Anda di halaman 1dari 3

KARANGAN KEBAIKAN MEMBACA

Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi melahirkan perasaan yang
telah terbungkam dalam atma dan sukma mereka. Puisi di atas menggambarkan amalan membaca
sangat penting dalam kehidupan seharian kita bagi melahirkan generasi yang berintelektual dalam
mencorak masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan cabaran yang sarat
dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu, menerusi amalan membaca juga dapat
mencetus kesegaran minda agar tidak wujud modal insan yang dibelenggu dengan cara berfikir yang
sempit. Walaupun dunia sudah melepasi pelbagai zaman dalam beberapa dekad, namun budaya
membaca tetap mendominasi kemajuan dan keagungan sesebuah bangsa. Sesungguhnya, dengan
membaca kita mampu menguasai pelbagai cabang ilmu persis mutiara kata membaca itu jambatan
ilmu.

Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita. Amalan membaca dapat
membantu memberikan nilai tambah dalam diri seseorang sebagai persediaan untuk bersaing dalam
era globalisasi ini. ‘ Setiap seseorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri
masing-masing’. Demikian mantan perdana menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah
menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan
keramat itu, membawa maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah
andai individu itu berusaha melakukan anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di
takuk lama. Jika ditelusuri, ungkapan ini boleh direalisasikan dengan amalan membaca yang
pastinya dapat menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca. Selain melalui proses
pembelajaran secara formal di sekolah , nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi
amalan membaca bahan-bahan ilmiah seperti Majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan
sebagainya.) Cerdik pandai sering menganggap amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini
terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara manusia dengan dunia ilmu.
Tegasnya, amalan membaca sememangnya dapat menambah ilmu pengetahuan dan menjadi
persiapan untuk kesiagaan kita bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di jagatraya ini.

Seterusnya , mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat seterusnya iaitu membaca
dapat meningkatkan kepakaran. Kepakaran yang dimaksudkan ialah tenaga kerja yang
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Membaca dapat mewujudkan
koridor kemajuan ekonomi demi meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan. Ibu bapa
menjadi cerucuk utama dalam membentuk diri anak-anak supaya suka membaca. Hal ini demikian
kerana, rumah merupakan institusi pendidikan yang pertama untuk anak-anak. Sebagaimana yang
diketahui masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang maju dan kompetetif
sehingga dapat mencetuskan gegaran minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat.
Oleh sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang berkemahiran dan
berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai tahap yang maksimum dalam membentuk
individu yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung
kepada kepakaran luar lagi.
Selain itu, ibu bapa pula seharusnya memainkan peranan masing-masing dengan aktif bagi
menyemai minat membaca dalam diri anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah, ' melentur buluh
biarlah dari rebungnya ' . Apabila diri kita sudah terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan yang
berbeza, kita akan dapat mengenalpasti genre bahan bacaan yang sepadan dengan minat dan
kecenderungan kita sendiri. Dengan ini, sudah tidak dapat dinafikan bahawa memupuk minat
membaca akan menyumbang terhadap keberkesanan pengaplikasian amalan membaca dalam
kehidupan seharian.

Selain itu, kita juga seharusnya mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti yang
berfaedah seperti membaca. Pada zaman kini, sebilangan besar daripada masyarakat di negara kita
gemar atau cenderung untuk memenuhi waktu senggang mereka dengan melakukan aktiviti yang
tidak berfaedah seperti melepak, bermain permainan video, berpelesaran di pusat-pusat beli belah
dan melibatkan diri dengan gejala sosial yang membimbangkan. Hal ini biasanya terjadi dalam
kalangan remaja yang belum dewasa akibat desakan nafsu dan keinginan diri untuk menggapai
kebebasan bukan seperti ' burung di dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung' . Bagi
mengatasi hal ini, ibu bapa hendaklah meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama anak-anak di
samping mendorong mereka untuk menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti bagi
memanfaatkan masa lapang mereka secara optimum. Di samping itu, ibu bapa juga sewajarnya
menjadi teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak dengan turut menjadikan amalan
membaca sebagai aktiviti wajib semasa waktu senggang. Dengan ini, anak akan meniru perbuatan
kedua-dua orang tua mereka bak kata pepatah, ' ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi' .

Inisiatif berikutnya ialah membawa buku ke mana-mana sahaja. Perbuatan ini sebenarnya
mudah dan tidak sukar sama sekali untuk dipraktikkan. Namun begitu, amalan ini diabaikan oleh
masyarakat di negara kita. Sekiranya kita melihat penduduk di negara-negara maju seperti Jepun dan
Amerika Syarikat, mereka sudah sekian lama mengimplimentasikan amalan ini dalam kehidupan
mereka. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya masyarakat di negara-negara tersebut sangat
bertamadun dari pelbagai sudut seperti lahiriah, rohaniah dan juga ekonomi negara. Jadi, sampai
bilakah kita ingin berdiam diri dan terus berada di takuk lama? Kita sewajarnya mencontohi
perbuatan mereka kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan faedah yang besar kepada diri,
masyarakat dan negara bak kata pepatah, ' yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan
sempadan' . Oleh yang demikian, kita mestilah membiasakan diri dengan membawa bersama sebuah
buku ke mana-mana tempat sahaja yang kita pergi agar waktu senggang kita akan dapat
dimanfaatkan dengan pembacaan ilmiah biarpun sekejap.

Di samping itu, kita mestilah melazimkan diri untuk berkunjung ke pesta buku. Pesta buku
adalah bertujuan untuk memapar dan mempromosikan karya-karya baharu kepada khalayak ramai.
Di pesta buku juga biasanya terdapat potongan harga yang menarik bagi judul-judul buku yang
terpilih. Dengan ini, kita akan dapat menjimatkan wang yang sedia ada selain dapat membeli judul-
judul buku yang terbaharu di pasaran. Selain itu, kita juga berpeluang untuk bertemu dengan
penulis-penulis buku yang terkenal dan masyhur seperti A. Samad Said, Ain Maisarah dan ramai lagi.
Peluang keemasan seperti ini tidak seharusnya kita lepaskan kerana melalui pertemuan tersebut kita
akan dapat berbual-bicara dengan pengarang buku yang kita minati. Dengan ini, minat kita terhadap
membaca akan bertambah di samping dapat meluangkan masa bersama-sama insan tersayang
dengan berkunjung ke pesta buku bersama-sama.

Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang
cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan
pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang
memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau
isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan
mahupun di rumah. Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih
selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar dapat
menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara eksplisit, pelajar akan
mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang
adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca
sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.

Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua
pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan
membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi
sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa
yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini,
kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang
itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu,
sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan
membaca.

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara.
Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang
diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah
dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk
memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa
mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca.

Anda mungkin juga menyukai