Anda di halaman 1dari 2

KELEBIHAN SOLAT DHUHA

Amalan solat dhuha sudah menjadi kelaziman harian dalam masyarakat Islam hari ini.

Rata-rata mereka yang istiqamah melazimi ibadah sunnah ini kerana beriman dengan hadis-hadis Nabi
Muhammad SAW mengenai kelebihan solat dhuha yang banyaknya menyentuh bab dipermudahkan
rezeki.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Kekasihku – Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam – mewasiatkan tiga hal padaku: berpuasa tiga hari
setiap bulannya, melaksanakan solat dhuha dua raka’at dan solat witir sebelum tidur.”

(Muttafaq ‘alaih)

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah tersebut jelas, solat sunat dhuha adalah antara amalan
sunnah yang tidak boleh diambil mudah akan kebesaran fadhilatnya.

Malangnya, masih ramai yang beranggapan bahawa manfaat solat dhuha hanyalah terhad sekadar kepada
‘pembuka rezeki’.

Berikut merupakan kelebihan dan keutamaan solat dhuha berpandukan kepada hadis-hadis Nabi
Muhammad SAW.

Antara Kelebihan Solat Dhuha:

1. Diberi Pahala Sedekah

Solat dhuha merupakan cara paling ‘murah’ untuk mendapatkan pahala bersedekah. Begitu indahnya
ajaran Islam, sehingga hampir tiada alasan untuk seseorang itu untuk tidak melalukan amal soleh.
Semuanya ditunjukkan cara.

“Setiap pagi, setiap ruas anggota badan kalian wajib dikeluarkan sedekahnya. Setiap tasbih adalah
sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah,
menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang berbuat munkar adalah sedekah. Semua itu
dapat diganti dengan solat dhuha dua rakaat.”

(HR. Muslim)

2. Tergolong Dalam Kalangan Orang Yang Bertaubat

Barangsiapa yang menunaikan solat Dhuha dia tergolong sebagai orang yang bertaubat kepada Allah swt.

“Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali ia telah tergolong sebagai orang yang
bertaubat.”

(HR Hakim)
Bahkan dosa-dosa yang terdahulu turut terampun dengan melazimi solat dhuha!

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala
dosanya walaupun seperti buih di lautan.”

(HR Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

3. Pintu Rezeki Dibuka Seluas-Luasnya

Kebiasaannya fadhilat inilah yang sering menjadi tumpuan mereka yang sering melaksanakan solat dhuha.
Sekalipun tidak salah, seharusnya bukan hanya semata-mata fadhilat ini yang dikejar.

“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah
yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat
kembalinya.”

(Sahih al-Targhib: 666)

4. Berpahala Seperti Mengerjakan Umrah

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka
pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat
Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”

(Sahih Al-Targhib: 673)

5. Disediakan Sebuah Rumah Di Syurga

“Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan
dibangunkan sebuah rumah di syurga.”

(Sahih al-Jami’: 634)

Begitulah sedikit sebanyak fadhilat dan keutamaan solat dhuha yang dijelaskan oleh Rasulullah melalui
sabda Baginda.

Ternyata selain ‘murah rezeki’ banyak lagi kelebihan-kelebihan lain yang tidak seharusnya kita abaikan.

Tiada lagi rahsia solat Dhuha yang tidak disingkap hadis Nabi Muhammad SAW.

Tinggal lagi kita sebagai umat yang mengaku cinta dan ingin bersama Baginda di akhirat kelak, terus
istiqamah mengamalkan sunnah yang sangat dituntut ini.

Anda mungkin juga menyukai