Anda di halaman 1dari 1

Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan

dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang
perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara
dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis
perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan
sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda
yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati
kebaikannya.

Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk
semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun
kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah
dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka
tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih
bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun
kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.

Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk
perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita
akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan
diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan
menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan
hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan
mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati
pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa
dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang
membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara
kita. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk
mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.

Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua
rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan
kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan
sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-
uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek
perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita
kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Anda mungkin juga menyukai