Anda di halaman 1dari 4

REVOLUSI INDUSTRI 4.

0
Apakah yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri 4.0?

Menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial
Revolution menjelaskan Revolusi Industri Keempat ini ditandai dengan kemunculan
superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, suntingan genetik dan perkembangan
neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimalkan fungsi otak.

Dalam erti kata lain, hidup manusia akan dipermudahkan dengan bantuan robot yang bakal
menjadi ”kawan” yang akan menguruskan hal ehwal dan tugasan harian.

Mungkin sukar untuk digambarkan logik akalnya apabila melihat pesanan piza yang kita lakukan
melalui pesanan telefon, akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan dron sampai di
depan pintu rumah.

Selain itu, segala urusan rumah seperti mencuci baju, memberi makanan haiwan kesayangan
dan mematikan alat pendingin hawa hanya perlu menekan butang di telefon pintar masing-
masing tanpa perlu lagi bersusah payah mengambil perkhidmatan pembantu rumah.

Untuk ke pejabat pula, kita tidak perlu lagi untuk menghidupkan enjin dan memandu di tengah-
tengah jalan raya yang sesak.

Semuanya akan selesai dengan hanya menekan butang kekunci, penumpang boleh
menyambung tidur dalam kereta masing-masing dan segala urusan pemanduan akan dikawal
sepenuhnya melalui satelit sampai ke tempat yang ingin dituju dengan selamat.

Senario tersebut walaupun pelik, namun secara perlahan-lahan telah mula berkembang dan
berevolusi menjadi satu bentuk norma yang biasa pada masa akan datang.

Dengan menggunakan akronim Revolusi Industri 4.0 ini, segala urusan harian manusia akan
dikongsi bersama robot yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan
manusia.

Walaupun teknologi-teknologi ini masih dalam peringkat pengujian di peringkat global, banyak
aplikasi yang digunakan telah pun kita nikmati. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi navigasi
seperti Waze atau Google Maps yang menyediakan pemandu tentang maklumat laluan serta
perjalanan adalah antara bibit-bibit awal kepada pengenalan dunia yang dipanggil Internet of
Things (IoT).

Sumber
: www.kosmo.com.my (http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0830&pub=Ko
smo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm)

Celik Industri 4.0

REVOLUSI Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi


cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan
perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing.

Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa
wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Diikuti revolusi perindustrian
ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Bagaimanapun, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi,
Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan
cloud yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal siber melibatkan keupayaan baharu
sepenuhnya bagi manusia,mesin dan kaedah baharu teknologi.

Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu
melibatkan manusia secara langsung.

Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga yang
secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Jadi, sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya,
ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Baru-baru ini, Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco Marmolejo dalam Seminar
Revolusi Industri 4.0 berkata, sistem pendidikan tinggi di seluruh negara juga akan mengalami
perubahan hasil revolusi Industri 4.0.

“Bayangkan pengetahuan yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja
menjelang 30 tahun akan datang dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu
atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

“Jadi kita memerlukan institut pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan sedia mengharungi
cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir dalam era globalisasi
dan digital itu,” katanya dalam satu seminar anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di ibu
negara itu.

Dalam seminar itu, Marmolejo turut memuji Malaysia selaku negara pertama merangka elemen
cabaran Industri 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Selain menyifatkan inisiatif Malaysia sebagai satu langkah ke hadapan, beliau menyifatkan pelan
pembangunan pendidikan tinggi yang merangkumi 10 lonjakan itu sebagai rangka kerja naratif
sangat baik bukan sahaja untuk masa depan tetapi hari ini.

“Saya telah melawat banyak negara dan memerhati usaha-usaha yang dilakukan dalam
menangani isu pembelajaran di seluruh dunia dan sangat jelas langkah yang diambil Malaysia
lebih konkrit dalam pelaksanaannya.

“Walaupun kesan revolusi perindustrian terutamanya berkaitan sistem pendidikan tinggi


dibincang secara global tetapi apa yang dilakukan di Malaysia menunjukkan komitmen
berterusan negara itu.

“Ini adalah negara pertama yang saya melihat usaha berterusan yang diambil oleh kerajaan ini
dalam menggalakkan perbincangan dan membangunkan pendidikan relevan dan selaras dengan
Industri 4.0,” katanya.

Tambah beliau, idea yang dipraktikkan Malaysia merupakan langkah paling inovatif untuk
menentukan bagaimana negara akan menjadi pemain signifikan dalam ekonomi global pada
masa hadapan.

Apa pun, bidang ilmu dan pendidikan mesti dijadikan sebagai teras dalam usaha
mempersiapkan pelajar dan graduan menangani cabaran baharu revolusi itu.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd (http://www.utusan.com.my/rencana/utama/celik-industri-4-


0-1.524994#ixzz58pf2YVPy)

Cabaran Revolusi Industri 4.0


INISIATIF dan peruntukan Bajet 2018 jelas bertepatan revolusi industri 4.0, menjamin kelestarian

persekitaran dan membuka harapan gagasan TN50 dalam kerangka maqasid syariah. Hampir semua

pihak gembira terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi cabaran yang

tinggal ialah merealisasikannya.

Amat perlu kita memahami teras belanjawan itu sebagai berharmoni dengan kerangka maqasid
syariah yang menjangkau semua urusan kehidupan dengan sasaran kecemerlangan duniawi dan
ukhrawi. Ini bererti, kita perlu merungkai agenda kehidupan dalam kerangka al-Quran, sebagaimana
perintah Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah apa yang Allah sediakan di alam akhirat (balasan
dan kebahagiaan), tapi janganlah lupa nasib kalian daripada dunia (yakni amal perbuatan dan
kenikmatan).” (Al-Qasas: 77).

Berdasarkan ayat ini, Allah memerintahkan agar pandangan alam dan prinsip hidup bermatlamatkan
akhirat sebagai pra-syarat sebelum menekuni usaha dan menikmati habuan kehidupan duniawi.
Gagasan akhirat mampu membersihkan urusan yang menyalahi etika kemanusiaan dan adab syariah
seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penganiayaan, penipuan dan segala kemungkaran.

Seperti ungkapan hikmah para cendekiawan mengatakan “jika kita mengejar dunia, dunia akan lari
lebih pantas dan kita akan kepenatan. Jika kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita”.
Sesungguhnya, orang yang memahami ungkapan ini ialah orang yang telah menjiwai mafhum firman
Allah tersebut. Merekalah yang telah mencapai Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.

Semua pihak perlu memastikan pembangunan inklusif dalam rentak revolusi perindustrian keempat.
Umat Islam sewajarnya lebih peka dan bersedia kerana semua teknologi yang sedang pesat
berkembang ini telah disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW antara lain memberi maksud
bahawa suasana suatu zaman yang masanya menjadi singkat, jarak sudah menjadi dekat dan
komunikasi pula menjadi lebih rapat (berdasarkan hadis diriwayatkan oleh At-Tirmizi).

Seiring dengan kefahaman ini, semua sektor perlu mempersiapkan diri tidak kira dalam bidang
ekonomi, sosial dan sebagainya. Suasana yang digambarkan telah memaksa manusia turut
berevolusi dan tidak statik dengan pendekatan tradisi dalam kehidupan.

Namun, maksud pembaharuan dan pembangunan ini ditujukan kepada kaedah kehidupan yang
diperbaharui, bukannya memperbaharui teras agama bersifat qat’ie (muktamad) dan tidak berubah.

Orang tua-tua selalu berpesan agar budaya sediakan payung sebelum hujan perlu sentiasa diamati,
lebih-lebih lagi apabila membincangkan tentang revolusi teknologi.

Di samping manfaatnya yang banyak, impak teknologi dan globalisasi bakal menggandakan
persaingan dan meluaskan capaian tanpa sempadan.

Malaysia yang dalam proses menangani isu pengangguran bakal dikejutkan dengan kehilangan
beberapa jenis pekerjaan tradisi dalam bidang-bidang tertentu kerana digantikan dengan peranti,
teknologi dan aplikasi pintar.

Pujian perlu diberikan kepada kerajaan yang peka terhadap nasib pemandu teksi dalam belanjawan
2018 dengan inisiatif geran RM5,000 dan e-hailing. Bukan setakat itu, malah negara juga wajar
menubuhkan pasukan petugas khas mempelopori rangsangan membina aplikasi pintar dengan
penglibatan langsung usahawan tempatan seperti mengadakan pertandingan membuat pendua
teknologi pintar sedia ada.

Dilaporkan bahawa Monetary Authority of Singapore (MAS) sedang dalam proses membangunkan
mata wang maya (wang kripto) sendiri ekoran dari perkembangan pasaran wang digital antarabangsa
sebagai alternatif dan langkah strategik negara tersebut mempersiapkan diri menjadi hub-kewangan
digital.
Landskap industri dan jenis pekerjaan sudah mula berubah.

Peluang pekerjaan tradisi bakal digantikan dengan jenis pekerjaan baru umpamanya keperluan
kepada pembangun aplikasi pintar, jurutera program, mudah alih dan pakar teknologi.

Sehubungan itu, premis perniagaan juga tidak lagi diperlukan kerana urusniaga dilakukan secara atas
talian tanpa halangan masa dan tempat. Premis pejabat, kaunter pelanggan dan perkhidmatan lepas
jualan umpamanya akan dilakukan secara maya.

Di masa hadapan, kehadiran teknologi pintar dalam pelbagai industri menyebabkan ekosistem
ekonomi dan sosial turut berubah.

Urusan perbankan sekarang ini lebih mudah dilakukan secara atas talian kerana menjimatkan masa
dan tenaga. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 11 aplikasi pintar teknowang (teknologi kewangan)
telah mampu menggantikan enam kluster fungsi tradisi kewangan melibatkan insurans, deposit dan
pinjaman, pembiayaan dana, pelaburan, provisi pasaran dan sistem pembayaran.

Kemudahan penggunaan teknologi ini jika tidak dihemati akan membawa bersamanya sampah sarap
anasir buruk seperti aplikasi berbahaya serta boleh membawa kesan moral dan jenayah.

Pesan al-Quran dalam surah al-Baqarah, ayat 195 mafhumnya; “Berinfaqlah kalian ke jalan Allah dan
jangan kalian jerumuskan diri kepada kemusnahan, berbuatlah baik kerana Allah menyukai orang
yang berbuat kebaikan.”

Inisiatif dan peruntukan bajet kerajaan memerlukan sokongan semua pihak untuk merealisasikan
kejayaannya. Semua pihak perlu menjalankan peranan masing-masing supaya aspirasi negara
melalui belanjawan 2018 berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan, pengangguran,
ketidaksamaan agihan, kos sara hidup dan menjamin kestabilan moral masyarakat.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd (http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cabaran-revolusi-


industri-4-1.547680#ixzz58pgoOizB)

Anda mungkin juga menyukai