Anda di halaman 1dari 2

Dapatan ini membuktikan masalah imbuhan sememangnya telah wujud dalam pelbagai peringkat

persekolahan terutama sekali pada peringkat sekolah rendah. Pengajaran tatabahasa pada peringkat
sekolah rendah tertumpu kepada proses pembentukan kata dan pembinaan ayat yang betul. Pengajaran
tatabahasa pada peringkat ini amat penting kerana secara tidak langsung akan memberi kesan kepada
penguasaan bahasa Melayu murid. Pengajaran tatabahasa bukan sahaja mempengaruhi penguasaan
murid dalam aspek lisan tetapi juga dalam aspek tulisan terutama sekali dalam pembinaan ayat dan
penulisan karangan. Setiap murid mestilah menguasai setiap aspek tatabahasa yang akan digunakan
dalam penulisan termasuklah aspek imbuhan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152,
Perlembagaan Malaysia jelas menunjukkan bahawa kedudukan bahasa Melayu amatlah penting.
Perkara ini turut menjadi panduan bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan
sistem pendidikan yang berkualiti dengan mengambil kira peranan guru dalam usaha meningkatkan
penguasaan bahasa Melayu di sekolah termasuklah aspek-aspek tatabahasa terutama sekali aspek
imbuhan. Apabila dikaitkan dengan penggunaan aspek imbuhan, secara tidak langsung kemahiran yang
difokuskan adalah kemahiran menulis. Secara umumnya, kemahiran menulis merupakan satu
kemahiran yang penting dan perlu dikuasai oleh murid-murid bagi memudahkan pemahaman seseorang
murid dalam menerima pembelajaran harian. Perkara ini disokong oleh Zulkifli (2007) yang
menyatakan bahawa kemahiran menulis merupakan satu kemahiran yang penting dan perlu dikuasai
oleh pelajar bukan sahaja dalam pembelajaran bahasa tetapi juga untuk pelbagai mata pelajaran yang
lain.

Hasil pemerhatian mendapati masih terdapat murid yang tidak dapat membezakan cara
penulisan imbuhan awalan ‘di’ dengan kata sendi nama ‘di’ kerana keliru sama ada perlu ditulis jarak
atau rapat. Imbuhan merupakan morfem terikat yang diletakkan sama ada pada awal, tengah atau akhir
sesuatu kata dasar untuk membentuk satu kata baru iaitu kata terbitan. Morfem terikat tersebut lazimnya
membawa makna kenahuan tertentu yang mengubah makna kenahuan kata baru yang terhasil (Kamus
Linguistik, 1997). Dokumen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah Tahun 2019 menunjukkan bahawa
peratus tertinggi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Kertas Pemahaman keseluruhanya berada pada
tahap yang memuaskan sahaja iaitu dengan nilai 30.29%. Peratus tertinggi mata pelajaran Bahasa
Melayu bagi Kertas Penulisan secara keseluruhannya juga berada pada tahap yang memuaskan iaitu
dengan nilai 32.27%. Analisis ini jelas menunjukkan bahawa tahap penguasaan murid dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu belum sepenuhnya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu pada tahap
cemerlang.

Kesimpulannya, proses pengimbuhan merupakan salah satu komponen tatabahasa yang penting
namun tidak mudah difahami murid. Proses ini bersifat kompleks dan menimbulkan kekeliruan
terutama sekali bagi mereka yang kurang membaca ataupun menggunakan ayat secara gramatis dalam
komunikasi harian. Masalah menulis imbuhan awalan ‘di’ perlu diatasi segera agar prestasi murid
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dapat ditingkatkan.

Anda mungkin juga menyukai