Anda di halaman 1dari 5

Faktor-faktor kelemahan pelajar dan cara untuk meningkatkan prestasi.

Data-data yang diperoleh telah dianalisis secara terperinci bagi mencari punca dan sebab-sebab
berlakunya kelemahan pelajar dalam subjek bahasa Melayu penulisan. Berdasarkan kajian ini juga
terdapat beberapa cadangan bagi meningkatkan tahap prestasi pelajar dalam subjek bahasa melayu
penulisan.

Berdasarkan hasil temu bual bersama guru bahasa melayu penulisan tahun lima,
Pn. Rosidah binti Md Ali Hanafiah, terdapat beberapa faktor kelemahan murid yang
menyebabkan skor mereka tidak tinggi dalam subjek ini. Pertama, kebanyakan pelajar
masih lagi tidak menguasai pembendaharaan kata. Pelajar sentiasa menggunakan
perkataan yang sama dan berulang menyebabkan pembaca menjadi bosan. Kata
bunga-bungaan seperti peribahasa, simpulan bahasa serta bidalan juga jarang
digunakan oleh para pelajar untuk menghiasi karangan mereka. Oleh itu, secara
keseluruhannya, karangan mereka kelihatan biasa dan menunjukkan tahap kematangan
mereka masih rendah dalam membina dan menghiasi ayat.

Seterusnya, antara komen yang selalu ditulis oleh guru diakhir karangan pelajar
ialah masalah kekurangan isi dalam karangan. Kekurangan isi ini telah mempengaruhi
markah pelajar untuk menjadi rendah. Kebanyakan pelajar mempunyai masalah untuk
mencipta idea yang baru ketika menulis karangan. Hal ini kerana, kurangnya
pembacaan bahan-bahan ilmiah dalam kalangan pelajar telah menjadikan mereka
umpama ‘katak dibawah tempurung’. Mereka juga turut kekurangan huraian dan fakta
untuk menyokong isi yang telah dilontarkan. Selain itu, terdapat juga isi yang kurang
tepat atau kurang relevan dengan tajuk karangan. Hal ini akan mendorong pelajar untuk
menulis isi yang pesong daripada tajuk karangan. Kesimpulannya, keseluruhan
karangan mereka hanya terdapat isi dan huraian secara ringkas.

Sehubungan dengan itu, pelajar juga tidak mengikut hukum bahasa yang betul
ketika menulis karangan. Kelemahan daripada apek bahasa ialah seperti ejaan yang
salah, ayat yang terlalu panjang serta struktur ayat yang tidak kemas dan gramatis. Ayat
pelajar juga kadangkala tergantung dan mempunyai maksud yang kabur. Kelemahan
bahasa ini sering dihadapi oleh kebanyakan pelajar.
Kelemahan seterusnya adalah kelemahan dalam teknik mengarang. Karangan
pelajar kebanyakannya mempunyai pemerengganan yang tidak seimbang. Hal ini
berpunca daripada bahagian pendahuluan yang terlalu panjang, atau tidak relevan
manakala bahagian isi adalah pendek. Pelajar juga gagal untuk mengaitkan isi antara
perenggan menyebabkan pertalian tidak bersepadu atau tidak logik. Punca hal ini ialah
daripada kecuaian pelajar kerana tidak merangka karangan telebih dahulu.

Faktor utama yang menjadi kelemahan para pelajar adalah tahap penguasaan bahasa melayu yang
lemah. “Kata Ibn Khaldun dalam Mukadimah nya, penguasaan bahasa adalah suatu keahlian
sebagaimana juga penguasaan dalam bidang apa-apa sahaja. Pendapat sedemikian diutarakan juga
oleh pemikir-pemikir yang lain, baik mereka dari dunia Barat mahupun dari dunia Timur. Yang
berlainan hanyalah tafsiran terhadap konsep keahlian itu sahaja.” (Isu-isu bahasa Malaysia, 1998).

Salah satu faktor kelemahan pelajar untuk menguasai bahasa melayu menurut Awang Sariyan
dalam karya Isu-isu bahasa Malaysia adalah disebabkan pencemaran bahasa Malaysia. Pencemaran
bahasa yang perlu diatasi ialah pencemaran dalam bidang sintaksis atau pembinaan ayat. Antara
contoh pencemaran daripada sudut sintaksis ialah pengabaian dalam Hukum DM. “Banyak sekali saya
temukan dalam tulisan, apatah lagi dalam ucapan, ayat yang bermula seperti demikian : Dalam lain
perkataan.... Sebagai terjemahan langsung dari In other word...., dalam bahasa Inggeris. Struktur ayat
yang betul seharusnya berbunyi demikian : Dengan kata-kata lain... In dalam bahasa Inggeris belum
tentu bermakna dalam bagi bahasa Malaysia. Other words dalam bahasa Inggeris semestinya kata-
kata lain dalam bahasa Malaysia, jika menurut Hukum DM (kata-kata sebagai unsur yang diterangkan
mesti mendahului lain sebagai unsur yang menerangkan. Logiknya ada, kerana budak nakal tidak
pernah kita ucapkan sebagai nakal budak (naughty boy)”. (Isu-isu bahasa Malaysia,1998).

Media massa juga menjadi punca pelajar sering melakukan kesalahan dalam bahasa melayu. Hal
ini dapat dilihat melalui bahasa komunikasi di dalam telefon seperti mesej. Ini menyebabkan pelajar
terikut-ikut dalam penggunaan bahasa tersebut didalam karangan dengan menggunakan bahasa
ringkas atau ‘short form’. Tatabahasa yang digunakan dalam rancangan televisyen juga tidak mengikut
hukum yang betul mengikut laras bahasa penulisan. Walaupun penggunaan laras bahasa di televisyen
tidak perlu mengikut laras bahasa penulisan, namun ia mempengaruhi pelajar untuk menggunakan
laras bahasa tersebut didalam penulisan mereka.

Faktor terakhir yang menyebabkan kelemahan pelajar ialah sikap pelajar itu sendiri. Hal ini
kerana, pada perhatian saya, guru sentiasa menunjukkan usaha yang berterusan dalam mendidik
pelajar dengan melakukan pelbagai teknik dan pedagogi dalam pengajaran. Namun begitu,
kebanyakan pelajar hanya melakukan tugasan dan belajar bagai melepaskan batuk ditangga. Mereka
hanya datang ke sekolah dan belajar atas dasar belajar semata-mata. Kebanyakan pelajar malas untuk
membaca dan menulis ayat yang panjang apatah lagi untuk menulis sebuah esei. Mereka hanya
berfikir bahawa penulisan hanya sebagai satu subjek yang perlu dipelajari disekolah tanpa mengetahui
bahawa penulisan ini adalah sebagai latihan kepada mereka untuk menghadapi masa depan dalam
kehidupan seperti menulis laporan dan resume di alam pekerjaan. Kesimpulannya, mentaliti pelajar
pada hari ini masih kurang matang kerana masih mengambil ringan terhadap apa yang mereka pelajari
disekolah tanpa menunjukkan minat untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Oleh itu, untuk mengatasi masalah kelemahan pelajar dalam mata pelajaran ini,
terdapat beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi
pelajar. “Pengajaran bahasa yang disampaikan kepada pelajar perlu disesuaikan
dengan trend dan keperluan semasa sama ada daripada segi pemilihan bahan, strategi
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, keupayaan berfikiran kritis dan kreatif
serta aspek pentaksiran yang menuntut penilaian kembali. Disamping itu, guru-guru
bahasa Melayu juga perlu menyerlahkan keupayaan menguasai ilmu bahasa Melayu
dan bidang-bidang lain yang berkaitan seperti sosiolinguistik, psikolinguistik serta ilmu
linguistik asas serta tatabahasa”. (Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu, 2005)

Melalui temu bual bersama guru mata pelajaran bagi pelajar tahun lima, terdapat
beberapa langkah yang diambil untuk meningkatkan tahap penguasaan pelajar seperti
aktiviti latih tubi soalan. Soalan latih tubi yang diberikan kepada pelajar adalah mengikut
format peperiksaan dan pelajar perlu menyiapkan soalan tersebut mengikut masa yang
ditetapkan. Melalui cara ini, pelajar menjadi serasi dengan format peperiksaan sebenar.
Selain itu, pelajar juga perlu membuat pembetulan bagi kesalahan yang dilakukan dalam
latihan mahupun soalan peperiksaan yang sebenar. Hal ini dapat membolehkan pelajar
faham akan kehendak sebenar soalan tersebut dan tidak akan mengulangi kesilapan
yang sama semula.

Seterusnya, setiap kelas telah disediakan beberapa buah kamus dewan untuk
rujukan para pelajar. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk sentiasa merujuk kamus bagi
perkataan yang tidak diketahui serta menambah perbendaharaan kata. Sehubungan itu,
pelajar diberi tugasan untuk menyalin contoh karangan yang baik. Karangan contoh
tersebut adalah untuk dijadikan rujukan kepada pelajar untuk menulis karangan
berpandukan sturktur ayat yang betul dan penggunaan bahasa yang baik.

Menurut Abd Aziz Abd Talib dalam bukunya, Pedagogi Bahasa Melayu, penekanan
pengajaran dan latihan yang serius perlu diberikan kepada aspek-aspek yang berkaitan
dengan teknik mengarang dan penggunaan bahasa yang berkesan. Penekanan teknik
mengarang adalah mengajar cara bagaimana hendak menulis dan menyampaikan isi
karangan secara tersusun dan berkesan serta penggunaan bahasa dan gaya penulisan
yang baik dan menarik. Pelajar perlu diajar untuk rajin berfikir dan membina idea. Guru
tidak perlu menyuapkan mereka dengan idea-idea atau isi karangan. Oleh yang
demikian, dicadangkan supaya pendekatan guru mengajar penulisan karangan kepada
pelajar seperti mengajar aspek teknikal yang berkaitan dengan teknik mengarang.
Kedua, mengajar aspek tatabahasa, iaitu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa
yang betul dan berkesan. Ketiga, mengajar pelajar mencari isi dengan membaca dan
merujuk pelbagai sumber. (Pedagogi Bahasa Melayu, 2000).

Disamping itu, menurut Abd Aziz Abd Talib, guru juga perlu mengutamakan
pengajaran pembendaharaan kata kepada pelajar. Pembendaharaan kata (atau kosa
kata) ialah aspek bahasa yang amat penting. Dalam hal ini, pelajar perlu tahu dan perlu
diajar bukan sahaja tentang makna atau erti perkataan dalam bahasa Melayu, malah
lebih penting daripada itu ialah mereka perlu diajar tentang bagaimana perkataan
memainkan peranannya dalam ayat supaya hasrat komunikasi dapat disampaikan
secara jelas dan berkesan. Sehubungan dengan perkara ini, Virgina French Allen
(1983:29) mengatakan bahawa “In addition to knowing words and their meanings, one
must know also how words work together in sentences”. Oleh itu, terdapat beberapa
cara yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar pelajar makna dan kemahiran
memahami dan menggunakan perkataan secara konotatif dalam ayat iaitu dengan
melatih dan menggalakkan pelajar supaya banyak mendengar orang bekomunikasi
secara lisan dalam bahasa Melayu. Banyak bahan yang boleh didengar seperti ucapan,
dialog, perbahasan dan lain-lain bentuk komunikasi lisan. Selain bertujuan untuk
mengajar aspek-aspek prosidi (sebutan, tekanan dan intonasi), pelajar juga boleh
belajar tentang pembendaharaan kata serta penggunaanya dalam ayat. Kedua, guru
perlu menggalakkan murid-murid supaya banyak membaca pelbagai jenis bahan
bacaan, selain buku-buku teks sekolah. Hal ini dapat membolehkan pelajar untuk
mengetahui makna dan cara menggunakannya melalui pendegaran dan pembacaan
(buku, majalah, akhbar dan sebagainya). Ketiga, guru bahasa perlu menggunakan
pelbagai teknik untuk mengajar tentang pembendaharaan kata dibilik darjah,iaitu teknik
mengajar makna denotatif dan konotatif atau yang berjenis literal (terus), idiomatis atau
inferensi dalam bahasa Melayu. (Pedagogi Bahasa Melayu, 2000)

Akhir sekali, guru perlu mengajar bahasa idiomatis kepada para pelajar. Bahasa
idiomatis ialah bahasa yang menggunakan idiom dalam sesuatu bahasa. Tujuan
mengajar bahasa idiomatis adalah supaya pelajar dapat menggunakan idiom-idiom
bahasa Melayu secara sesuai dan berkesan dalam penulisan seperti karangan, esei,
surat, dialog dan cerpen. Bahasa idiomatis atau dipanggil kata bunga-bungaan ini dapat
menghiasi karangan pelajar agar pembaca tertarik untuk membaca esei pelajar.
Kematangan pelajar juga dapat dilihat melalui penggunaan bahasa idiomatis ini. Bahasa
idiomatis yang sesuai diajar kepada pelajar sekolah rendah ialah peribahasa dalam
bentuk simpulan bahasa, perumpamaan dan bahasa kiasan. (Pedagogi Bahasa Melayu,
2000)

Anda mungkin juga menyukai