Anda di halaman 1dari 4

Penderaan Pembantu Rumah Dalam zaman yang berteknologi canggih dan mencabar ini, kebanyakan manusia menghadapi masalah

kekurangan masa dan tenaga untuk menguruskan hal ehwal rumah tangga mereka. Hal ini menyebabkan anak-anak sering terasa diabaikan dan segala keperluan isi rumah tidak diuruskan dengan baik. Untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlaku, kebanyakan ibu bapa pada masa kini telah mengambil alternatif yang terbaik sekali iaitu mengupah pembantu rumah untuk membantu mereka mengendalikan urusan-urusan rumah tangga mereka. Dengan tindakan tersebut, ibu bapa yang keluar bekerja ini dapat menumpukan perhatian terhadap kerja mereka tanpa perlu memikirkan masalahmasalah anak-anak mereka yang berada di rumah kerana telah ada orang untuk membantu mereka menguruskan masalah-masalah tersebut. Tindakan ini juga dapat memastikan jadual harian mereka tidak terjejas atau terganggu oleh masalah-masalah luar. Namun begitu, pengambilan pembantu rumah bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana baru-baru ini, sering kali kita didedahkan dengan kes-kes penderaan pembantu rumah. Antara kes yang paling mengemparkan ialah kes yang melibatkan penderaan pembantu rumah daripada Indonesia iaitu Nirmala Bonat. Beliau telah diseksa dengan begitu kejam sekali sehingga sesiapa yang mengetahui kes ini pasti akan mengatakan bahawa majikan beliau umpama binatang dan tidak ada langsung sifat perikemanusiaan di dalam dirinya. Mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan pembantu rumah adalah orang yang membantu kita menguruskan urusan seharian rumah tangga kita. Tidak adakah sifat belas ihsan kita untuk mereka sedangkan mereka adalah makhluk yang sama seperti kita juga. Apakah tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini?? Itulah persoalan-persoalan yang perlu difikirkan oleh semua pihak yang masih mempunyai rasa tanggungjawab di dalam hati mereka tentang masalah ini.

Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya kes-kes penderaan pembantu rumah ini. Antaranya ialah mutu kerja pembantu rumah tidak seperti yang diharapkan. Majikan mengeluarkan belanja sehingga RM5,000 untuk proses mendapatkan pembantu rumah. Mereka juga membayar gaji pembantu rumah setiap bulan. Keadaan ini menyebabkan harapan majikan terhadap mutu perkhidmatan pembantu rumah sangat tinggi. Pembantu rumah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka gagal memberikan perkhidmatan seperti yang diharapkan. Hal ini menyebabkan majikan akan mengalami kekecewaan dan kemarahan yang seterusnya boleh mengakibatkan penderaan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pembantu rumah ialah seorang yang berpendidikan rendah dan tidak dapat memahami arahan dengan tepat dan cepat. Maka

terjadilah penderaan apabila seseorang pembantu rumah itu mendapat majikan yang kurang sabar dan kadangkala tidak dapat berfikir dengan waras. Selain daripada harapan yang tinggi punca lain yang menyebabkan penderaan pembantu rumah ialah majikan menghadapi tekanan di tempat kerja. Majikan yang tidak pandai mengawal emosi diri atau tekanan perasaan ini akan membawa balik masalah dan tekanan yang mereka hadapi di tempat kerja ke rumah. Seterusnya mereka akan melepaskan tekanan mereka terhadap pembantu rumah mereka yang tidak berdosa itu apabila mendapati keadaan rumah mereka tidak seperti yang mereka harapkan. Ini menyebabkan pembantu rumah yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan bagi majikan yang tidak pandai mengawal emosi. Majikan-majikan yang gagal mengawal tekanan perasaan ini akan mula melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral terhadap pembantu rumah mereka sebagai protes terhadap masalah-masalah dan tekanan yang mereka alami di tempat kerja mereka. Mereka akan memukul, mencucuh puntung rokok ke atas badan pembantu rumah mereka dan sebagainya sehingga mereka merasakan tekanan mereka telah hilang. Pembantu rumah yang tidak berdaya ini hanya mampu merelakan diri mereka diperlaku sedemikian dan menjadi mangsa keadaan bagi masalah majikan mereka sendiri.

Kurang didikan agama juga boleh dikatakan salah satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya masalah penderaan pembantu rumah. Tidak kira apa jua bangsa mahupun agama, ilmu agama memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi panduan yang terbaik untuk setiap penganutnya menjalani kehidupan yang aman dan sempurna. Majikan yang kekurangan didikan agama tidak dapat mengawasi tingkah laku mereka dengan baik seterusnya akan melakukan perkara yang tidak bertamadun. Hal ini kerana setiap agama tidak mengajar penganutnya untuk berbuat jahat. Sebaliknya setiap agama menyuruh pengikutnya untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Hal ini jelas menunjukkan majikan yang melakukan penderaan terhadap pembantu rumah bukan sahaja bersalah dari segi undang-undang tapi juga bersalah dari segi agama. Ini juga menunjukkan majikan tersebut bukanlah seorang penganut agama yang baik kerana telah ingkar terhadap perintah agama mereka dan jelas menunjukkan mereka mempunyai ilmu agama mereka yang terlalu cetek. Untuk itu masalah penderaan pembantu rumah ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera demi menjaga nama baik negara kita Malaysia yang tercinta ini. Beberapa langkah-langkah atau tindakan perlu dilaksanakan dengan segera demi mengelakkan masalah ini daripada menjadi bertambah parah. Antara langkah-langkah tersebut ialah memperbanyakkan pusat penjagaan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai taska di kawasan-kawasan perumahan. Dengan penubuhan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak ini, majikan tidak lagi perlu menggunakan pembantu rumah untuk menjaga anak-anak mereka sebaliknya boleh menghantar anak-anak mereka ke pusat penjagaan tersebut. Tindakan ini bukan sahaja dapat mengelakkan berlakunya kes-kes penderaan perbantu rumah bahkan membantu melahirkan kanak-kanak yg cemerlang, gemilang dan terbilang sejak usia muda lagi. Hal ini kerana, kebanyakan pusat penjagaan yang ditubuhkan hari ini sangat mementingkan amalan 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Oleh itu tidak akan wujud lagi manusia yang tidak pandai membaca pada masa akan dating. Sebagai galakan terhadap tindakan ini kerajaan boleh mengurangkan kadar cukai tahunan kepada pengguna yang menggunakan khidmat rumah asuhan ini.

Selain itu, kerajaan harus mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menguatkuasakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang mendera pembantu rumah. Hukuman yang berat ini boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan. Kerajaan juga harus mewujudkan "hotline" aduan di bilik gerakan ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk pembantu rumah asing dan orang ramai mambuat aduan.

Kesimpulannya, penderaan pembantu rumah merupakan perbuatan yang keji dan sangat dilarang keras oleh setiap agama. Tidak ada agama di dunia ini yang mengajar penganutnya berbuat jahat. Sebaliknya setiap agama menekankan kepentingan berbuat baik dan meninggalkan kejahatan terhadap penganutnya. Selain itu, masalah penderaan pembantu rumah ini mestilah diatasi dengan segera dan tidak boleh dibiarkan terus berlarutan sehingga menjadi parah. Sekiranya masalah penderaan pembantu rumah ini tidak ditangani dengan secepat mungkin dan dibiarkan berlarutan sudah tentu akan menimbulkan perasaan buruk sangka dan kemarahan di kalangan rakyat negara pembantu rumah seterusnya merosakkan imej negara Malaysia yang harmoni ini di mata dunia. Hal ini kerana, pembantu rumah bukanlah barang dagangan yang boleh kita jadikan sebagai hamba dan boleh diperlakukan sesuka hati, tetapi pembantu rumah adalah insan yang kita harapkan untuk membantu kita menyelesaikan kerja yang tidak dapat kita laksanakan dengan sempurna. Tanpa mereka, perjalanan hidup kita mungkin pincang, kerana tiada siapa lagi yang membantu kita. Jadi, layanlah pembantu rumah dengan baik dan jauhilah kes penderaan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat kelak.

Anda mungkin juga menyukai