Anda di halaman 1dari 8

BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pendahuluan

Kementerian Pelajaran Malaysia yang berhasrat untuk menaikkan taraf pendidikan di Malaysia
agar setaraf dengan pendidikan dunia telah menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu telah mengalami banyak perubahan, bagi memenuhi keperluan-keperluan semasa
berkepentingan untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu itu sendiri. Sememangnya bahasa
Melayu terdiri daripada tatabahasa atau nahu bahasa itu sendiri. Aspek terpenting di dalam
tatabahasa ialah aspek morfologi dan aspek sintaksis. Mofologi mengkaji tentang struktur ,
bentuk serta penggolongan kata. Sintaksis pula mengkaji pembentukan ayat serta hukum-hukum
di dalam ayat.

Imbuhan merupakan salah satu komponen tatabahasa yang penting kerana melalui proses
pengimbuhan, perkataan baharu akan terbina. Sifat imbuhan yang sebegini menyebabkan
imbuhan sering digunakan dalam penggunaan bahasa seharian, sama ada dalam bentuk
percakapan mahupun penulisan. Pengimbuhan ialah satu proses menerbitkan perkataan dengan
mencantumkan satu atau lebih imbuhan kepada sesuatu bentuk dasar. Imbuhan tersebut bolehlah
diletakkan di depan bentuk dasar, di belakang bentuk dasar, di kedua-dua bahagian depan dan di
belakang bentuk dasar atau disisipkan ke dalam bentuk dasar.

Namun, proses pengimbuhan bukanlah suatu proses yang mudah difahami kerana proses
ini merangkumi banyak aspek lain dan bersifat kompleks. Kadang-kala proses ini menimbulkan
kekeliruan kepada pengguna bahasa. Seorang pendidik perlu memperbaiki pengajaran mereka
agar dapat menarik minat murid serta membantu mereka meningkatkan penggunaan imbuhan
yang betul dan tepat dari masa ke semasa. Keadaan ini akan menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih bertenaga dan dapat menarik minat murid untuk belajar.

1.2 Latar Belakang Kajian

Sewaktu melakukan pemeriksaan hasil kerja pelajar tahun dua, pengkaji mendapati mereka
sering melakukan kesilapan ejaan terutama yang melibatkan penggunaan imbuhan awalan meN-
pada kata dasar yang bermula dengan huruf p,t,k dan s. Sebagai contoh, perkataan kata dasar
sidai ditulis dengan mensidai, kata dasar pakai ditulis menpakai. Terdapat juga pelajar yang
langsung tidak menggunakan imbuhan pada kata dasar sewaktu menulis ayat mudah. Pengkaji
cuba mencari punca kesilapan pelajar dengan memberikan kata dasar yang lain dan kemudiannya
meminta mereka menyatakan perkataan yang terhasil apabila perkataan itu digabungkan dengan
imbuhan meN-. Pengkaji mendapati hanya sebilangan kecil sahaja yang berjaya memberikan
jawapan yang tepat dan ada yang lain hanya berdiam diri.

Terdapat pelajar yang memberikan jawapan seperti mensapu, metari, mensikat, mepukul
dan menpijak. Ini menunjukkan mereka tidak menguasai penggunaan imbuhan meN- tersebut
dan beranggapan bahawa imbuhan hanya merupakan penambahan morfem terikat dengan kata
dasar. Menurut Azman Wan Chik (1989), kesalahan dalam aspek penggunaan imbuhan berlaku
kerana mereka keliru dengan bunyi sebutan imbuhan awalan serta tidak menguasai aspek makna
imbuhan tersebut . Manakala Abdullah (2008) menyatakan bahawa murid melakukan kesalahan
dalam imbuhan disebabkan mereka tidak memahami fungsi imbuhan.

Ini merupakan satu cabaran bagi pengkaji. Kesilapan menggunakan imbuhan awalan
meN- yang tepat ini tentunya memberi kesulitan kepada guru ketika menyemak hasil kerja
pelajar kerana berlakunya kesilapan ejaan serta penggunaan perkataan berimbuhan yang salah
dalam ayat. Hal ini juga turut menjejaskan hasil penulisan pelajar dari aspek kejelasan idea dan
makna ayat yang ditulis. Sekiranya keadaan ini tidak diselesaikan segera, pelajar akan terus
melakukan kesilapan ejaan khususnya dalam latihan membina ayat dan menulis karangan
sehingga menjejaskan prestasi mereka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
1.3 Pernyataan Masalah

Proses pengimbuhan meN- bukanlah suatu proses yang mudah difahami kerana proses ini
merangkumi pengajaran yang bersifat kompleks jika para pelajar jarang membaca buku dan
kurang bertutur dalam bahasa Melayu baku yang betul. Kelemahan pelajar dalam penggunaan
imbuhan meN- terutamanya sewaktu pembinaan ayat merupakan salah satu daripada aspek
penting betapa masalah menggunakan bentuk imbuhan meN- yang betul pada kata dasar yang
bermula dengan huruf p, t, k dan s ini perlu diberi perhatian dengan mendalam.

Hameelah Adnan (2006) melalui kajiannya ada menyatakan bahawa kesalahan


penggunaan imbuhan akan memberi kesan kepada markah penulisan dan mempengaruhi maksud
ayat. Untuk membina ayat yang mudah dan lengkap bergantung kepada pengimbuhan perkataan
dan struktur ayatnya. Ini bermakna pengimbuhan perkataan yang salah akan menyebabkan fungsi
ayat berubah daripada maksud sebenar yang hendak disampaikan. Ini tentunya akan menyulitkan
pemahaman pembaca malah menimbulkan makna yang berbagai-bagai.

Arbak Osman dalam Azman Wan Chik (2001) telah menjelaskan bahawa aspek
pengimbuhan dalam bahasa Melayu adalah antara yang sangat kompleks sehinggalah
ketidakupayaan memahami selok belok pemakaiannya boleh menghalang seseorang itu
menguasai bahasa Melayu dengan baik. Masalah tatabahasa ialah kesukaran yang dialami oleh
pelajar dalam memahami hukum-hukum bahasa dan masalah ini boleh menjejaskan penggunaan
bahasa Malaysia sebagai kebiasaan lisan mahupun tulisan, lantas menjejaskan pula maksud yang
hendak disampaikan dalam perhubungan sosialnya dalam masyarakat.

Berdasarkan pengamatan dan perbincangan pengkaji bersama rakan-rakan sekerja, faktor


utama yang menyebabkan pelajar-pelajar ini mengalami kesukaran membentuk awalan meN-
bagi kata dasar yang bermula dengan p,t,k dan s kerana proses ini memerlukan konsep
pengguguran dan perubahan pada awal huruf. Konsep pengguguran ini perlu diingati dan
difahami sepenuhnya oleh pelajar. Sekiranya keadaan ini tidak diselesaikan segera, pelajar akan
terus melakukan kesilapan ejaan khususnya dalam latihan membina ayat dan menulis karangan
sehingga menjejaskan prestasi mereka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Di antara faktor lain mengapa keadaan ini berlaku, disebabkan pelajar kurang minat dan
tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Seorang guru perlu sentiasa berusaha
mencari rangsangan yang dapat menimbulkan perasaan dan kepuasan yang menyenangkan dalam
diri pelajar. Bagi tujuan ini, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran, serta
latihan yang berperingkat-peringkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman dan
minat pelajar perlu diambil kira. Ini supaya minat pelajar dapat dikekalkan agar idea atau isi
pelajaran tertentu dikuasai sepenuhnya.

Maka, untuk meningkatkan minat pelajar serta keupayaan mengingati fakta dan konsep
pengguguran dan perubahan pada huruf awal imbuhan awalan meN- yang melibatkan kata dasar
p,t,k dan s ini, pengkaji telah menginovasi satu kaedah pembelajaran yang sesuai dengan tahap
kognitif serta gaya pembelajaran pelajar iaitu kaedah ‘TuTi’ ( Kaedah Tukar dan Ganti ).
Sekiranya pengkaji berjaya mempelbagaikan dan meningkatkan kaedah pengajaran dan
pembelajaran pengkaji, banyak sikap yang negatif yang ada pada pelajar-pelajar ini
kemungkinan dapat dihapuskan. Sesi pengajaran dan pembelajaran tentunya menjadi sesuatu
yang menyeronokkan.

1.4 Objektif Kajian

1.4.1 Objektif Umum


Meningkatkan penguasaan pelajar terhadap penggunaan imbuhan meN- bagi kata dasar yang
bermula dengan huruf p,t,k dan s dengan menggunakan kaedah ‘TuTi’.

1.4.2 Objektif khusus


Secara khususnya kajian ini adalah untuk :

 Mengenalpasti tahap kemahiran mengingat pelajar dalam konsep pengguguran dan


perubahan pada huruf awal imbuhan awalan meN- bagi kata dasar yang bermula dengan huruf
p,t,k dan s dengan menggunakan kaedah ‘TuTi’.
 Mengenalpasti persepsi pelajar terhadap kaedah ‘TuTi’ sebagai kaedah pembelajaran
yang menyeronokkan.
1.5 Soalan Kajian
Untuk mencapai objektif-objektif kajian, pengkaji telah menyenaraikan dua persoalan kajian
iaitu;

 Adakah terdapat peningkatan kemahiran mengingat pelajar dalam konsep pengguguran


dan perubahan pada huruf awal imbuhan awalan meN- bagi kata dasar yang bermula dengan
huruf p,t,k dan s dengan menggunakan kaedah ‘TuTi’ ?
 Apakah persepsi murid terhadap kaedah ‘TuTi’ sebagai kaedah pembelajaran yang
menyeronokkan?

1.6 Kepentingan Kajian

Arbak Osman dalam Azman Wan Chik (2001) telah menjelaskan bahawa aspek pengimbuhan
dalam bahasa Melayu adalah antara yang sangat kompleks sehinggalah ketidakupayaan
memahami selok belok pemakaiannya boleh menghalang seseorang itu menguasai bahasa
Melayu dengan baik. Masalah tatabahasa ialah kesukaran yang dialami oleh para pelajar dalam
memahami hukum-hukum bahasa dan masalah ini boleh menjejaskan penggunaan bahasa
Malaysia sebagai kebiasaan lisan mahupun tulisan, lantas menjejaskan pula maksud yang hendak
disampaikan dalam perhubungan sosialnya di kalangan masyarakat.

Memandangkan pengkaji berhadapan dengan masalah penguasaan murid tahun dua


dalam penggunaan imbuhan awalan meN- pada kata dasar yang bermula dengan huruf p.t.k dan
s, pengkaji merasakan satu kajian perlu dilaksanakan. Kajian yang dilaksanakan ini dapat
membantu pengkaji mengenal pasti pendekatan, kaedah serta teknik yang mampu menyelesaikan
masalah mereka. Kajian ini juga membolehkan pengkaji menyediakan rancangan pelajaran dan
bahan pengajaran yang lebih sesuai dan sempurna serta dapat menentukan teknik mengajar yang
lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah penggunaaan imbuhan meN- yang dihadapi oleh
pelajar terbabit.
Kajian ini juga dilaksanakan kerana imbuhan awalan meN- merupakan salah satu
kompenen Bahasa Melayu yang diuji dalam peperiksaan. Oleh sebab bentuk-bentuk awalan yang
lain juga diuji, kemahiran ini perlu dikuasai serta difahami pelajar agar mereka dapat
mengaplikasikannya dalam bentuk imbuhan yang lain seperti imbuhan peN- yang juga
menggunakan konsep pengguguran dan perubahan huruf awal yang sama. Oleh itu, pengkaji
perlu melaksanakan kajian ini untuk memberi gambaran umum tentang kaedah ‘TuTi’ di dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu khususnya dalam penggunaan imbuhan awalan
meN- sebagai satu cara penyelesaian masalah.

Diharap dapatan kajian ini mampu memotivasikan pelajar tahun dua yang belum
menguasai penggunaan imbuhan awalan meN- serta dapat meningkatkan prestasi murid-murid
terbabit dalam kemahiran menulis. Di samping itu, dapatan kajian ini juga diharap dapat
memberi kesan yang positif kepada sekolah khususnya sekolah pengkaji, bidang pendidikan serta
masyarakat dan berjaya meningkatkan prestasi murid ke arah yang lebih cemerlang. Ia juga
dapat diguna pakai oleh golongan pendidik ke arah mencapai matlamat dan objektif kemahiran
yang digariskan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu
Tahap 1 dan sekaligus memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sehubungan itu, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kajian ini dianggap penting kepada
semua pihak termasuk guru-guru, pengkaji kajian pada masa depan, pihak sekolah mahupun
sektor-sektor yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam dunia
pendidikan.

1.7 Batasan Kajian

Pengkaji telah membataskan penggunaan Kaedah TuTi ini untuk pengajaran imbuhan awalan
meN- bagi kata dasar yang bermula dengan huruf p,t,k dan s sahaja. Seramai 10 orang pelajar
tahun dua dari sebuah sekolah dalam daerah Mersing telah dipilih sebagai responden kajian.
Pelajar-pelajar ini didapati menghadapi kesukaran dalam memahami konsep pengguguran dan
perubahan huruf awal di dalam penggunaan imbuhan awalan meN- bagi kata dasar p,t.k dan s.
Pengkaji merupakan guru yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas responden
kajian. Dapatan kajian dan sebarang perubahan yang didapati dalam kajian ini adalah terbatas
kepada pelajar-pelajar yang terlibat itu sendiri.

Kajian ini hanya dilaksanakan pada waktu mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.
Peruntukan waktu perlaksanaan kajian adalah 4 waktu seminggu (2 jam) dari 12 waktu (6 jam)
yang diperuntukan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Prestasi murid-murid ini dinilai
melalui Ujian Pos dan Ujian Pra, malahan persepsi pelajar terhadap kaedah ‘TuTi’ ini hanya
ditentukan melalui soal selidik sahaja.

1.8 Definisi pembolehubah

Bahagian ini akan membincangkan tentang definisi istilah yang digunapakai dalam kajian ini.
Istilah-istilah yang digunapakai dalam kajian ini ialah:

1.8.1 Kaedah ‘TuTi’

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kaedah membawa dua maksud iaitu cara atau
peraturan membuat sesuatu (terutamanya yang bersistem atau yang biasa) dan yang kedua ialah
mengajar cara mengajar (berdasarkan prinsip-prinsip tertentu). Dalam buku Siri Pendidikan
Perguruan: Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3 karya Mok (2002), kaedah
didefinisikan sebagai cara atau peraturan membuat sesuatu. Kaedah juga merujuk kepada satu
siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran spesifik dalam
jangka pendek. ‘TuTi’ merupakan singkatan perkataan Tukar Ganti. Kamus Dewan Edisi
Keempat (2005) telah mentakrifkan tukar ganti sebagai memberikan sesuatu supaya diganti
dengan yang lain.

Dalam konteks kajian ini, pengkaji telah merumuskan bahawa Kaedah ‘TuTi’ merupakan
satu tindakan atau cara mengajar seorang guru yang bersistematik dengan memasukkan unsur-
unsur tukar dan digantikan dengan yang lain bertujuan untuk membantu murid menguasai
penggunaan imbuhan meN- dalam kajian ini. Kaedah ‘TuTi’ mengaplikasi pendekatan
pembelajaran berpusatkan murid, seterusnya mampu menggalakkan penglibatan aktif murid dan
membentuk konsep membina ilmu dalam diri murid.

1.8.2 Penguasaan Imbuhan

Penguasaan pula ialah perihal mengetahui dengan mendalam, atau menjadikan diri mahir
(Kamus Dewan Edisi Keempat: 2005). Dalam konteks kajian ini, penguasaan adalah berkaitan
dengan imbuhan awalan meN- dan bertumpu kepada aspek-aspek morfologi dan sintaksis sahaja
kerana bidang-bidang ini sering didapati salah penggunaannya dalam kalangan pelajar. Dalam
kajian ini, penguasaan imbuhan adalah merujuk kepada menguasai objektif kemahiran yang ada
dalam DSKP Bahasa Melayu Tahun 2 serta status penguasaan atau markah yang diperolehi
berasaskan keputusan ujian pra dan ujian pasca.

1.9 Rumusan

Bab ini telah menghuraikan tentang masalah kajian, tujuan dan persoalan kajian yang hendak
dijawab, kepentingan kajian serta batasan kajian yang menjadi komponen penting dalam
penyelidikan ini. Turut dibincangkan ialah istilah-istilah perkataan yang diguna pakai di dalam
kajian ini. Pengkaji telah membuat kajian mengenai keberkesanan penggunaan Kaedah ‘TuTi’
dalam pengajaran dan pembelajaran berkaitan penggunaan imbuhan awalan meN- bagi kata
dasar yang bermula dengan huruf p,t,k dan s. Kajian ini bertujuan untuk mengatasi kesilapan
penggunaan imbuhan awalan meN- pada perkataan dan ayat yang dibina oleh pelajar.

Anda mungkin juga menyukai