Anda di halaman 1dari 6

TASAWWUR ISLAM: CIRI-CIRI DAN

KEISTIMEWAAN

PreviousNext
TASAWWUR ISLAM: CIRI-CIRI DAN KEISTIMEWAAN
Perbincangan tentang ciri-ciri dan keistimewaan Islam dalam tasawwur tidak
diperoleh secara khusus dalam al-Qur’an, al-Hadith mahupun penulisan para ulama’
silam. Namun, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang teliti, mendalam serta
objektif terhadap ajaran dan isi kandungan Islam, maka kita dapat simpulkan
bahawa Islam mempunyai beberapa ciri dan keistimewaan unggul yang
membezakannya daripada ajaran-ajaran lain. Ciri-ciri dan keistimewaan Islam ini
dapat dapat dirumuskan seperti berikut:

Rabbani (Ketuhanan)
Rabbani atau ketuhanan bermaksud segala hukum, konsep, nilai dan peraturan yang
terdapat di dalam Islam adalah ditetapkan dan diwahyukan oleh Allah s.w.t. Ia
bukanlah hasil pemikiran dan ciptaan manusia. Peranan manusia hanyalah sekadar
memahami, memperkembangkan dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka.
Manusia, walau setinggi mana pun kedudukannya, tiada hak untuk campur tangan
dalam urusan ketuhanan seperti penentuan hukum haram, halal, dosa, pahala, nilai
baik, buruk, jahat dan sebagainya. Peranan manusia dalam hal ini hanyalah untuk
mengkaji dan mengenal pasti hukum Allah dalam sesuatu perkara. Kemudian,
setelah jelas kepada mereka tentang hukum tersebut maka mereka perlu
melaksanakannya dalam kehidupan.
Ciri-ciri rabbani ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. pada banyak tempat di dalam al-
Qur’an. Antaranya, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu kitab (al-
Qur’an) dengan kebenaran, maka taatlah kepada Allah dengan
penuh keikhlasan kepada-Nya, ingatlah bahawa agama yang
bersih (benar) itu adalah milik Allah.
(Surah al-Zumar: 2 – 3)

Al-Thabat wa al-Murunah (Tetap dan anjal)


Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah. Dalam konteks ajaran Islam, ada
perkara yang telah tetap dan tidak boleh dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan
perlaksanaannya. Antara perkara yang termasuk dalam konsep thabat adalah aspek
akidah dan hukum-hakam amaliyyah yang dinyatakan secara qat’i (pasti) dalam al-
Qur’an dan al-Sunnah.
Konsep al-thabat dalam aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap
Allah s.w.t. yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan
akidah adalah tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Sementara dalam
konteks amaliyyah seperti ibadat solat, puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara
dan waktu perlaksanaan dalam syariat Islam. Begitu juga beberapa prinsip dalam
muamalat seperti pengharaman riba, gharar (unsur-unsur yang tidak ketentuan),
kewajipan saling meredai dalam berakad dan lain-lain. Selain itu, hukum jenayah
yang diwajibkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud dan qisas tidak
boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkaraperkara
yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak, berjudi
dan riba. Perkara-perkara ini ditentukan secara qat’i dan tidak mungkin berubah
sampai bila-bila. Perkara-perkara seperti inilah yang termasuk dalam konsep al-
thabat.
Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain daripada perkara-perkara pokok
dan dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara ranting dan
cabang yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan
perubahan maslahah manusia sepanjang peredaran zaman. Hal ini menjadikan
agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sentiasa sesuai dan bersifat senang
dan mudah untuk diamalkan. Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali
menyusahkan umatnya dalam mengamalkan segala ajarannya. Sebagai contoh, solat
adalah wajib dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan rukun.
Walaubagaimanapun, jamak dan qasar dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang
itu bermusafir. Ini terbukti bahawa hukum Islam tidak statik, sebaliknya bersifat
anjal dan fleksibel dengan memberi keutamaan kepada keselesaan penganutnya.
Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:

Allah tidak sesekali memberatkan seseorang itu kecuali dengan


kadar upayanya. Baginya (pahala) bagi kebaikan yang
dikerjakannya, dan keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang
dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami
atas apa yang kami terlalai atau silap padanya. Ya Tuhan
kami, Janganlah Engkau pikulkan pekerjaan yang berat ke atas
kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas mereka yang
sebelum daripada kami.
(Surah al-Baqarah: 286)
Waq’iyyah (Realistik)
Waq’iyyah bermaksud ajaran Islam bersifat praktikal dan realistik iaitu bersesuaian
dengan realiti kehidupan manusia. Ajaran Islam sentiasa seiring dengan kenyataan
hidup manusia. Dalam menetapkan sesuatu hukum atau peraturan, Islam sentiasa
mengambil kira realiti semasa, setempat dan adat yang diamalkan. Umpamanya, jika
sesuatu masyarakat telah mengamalkan sesuatu adat atau budaya tertentu dalam
menjalankan aktiviti ekonomi atau perniagaan antara mereka, dan adat itu pula tidak
mendatangkan sebarang keburukan dan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip
Islam, maka ia diiktiraf dan diterima dalam Islam.
Selain itu, dalam memerintahkan ketaatan manusia kepada hukum-hukumnya, Islam
tidak membebankan manusia dengan hukuman yang tidak realistik sehingga
manusia tidak mampu menunaikannya. Misalnya, Islam tidak memerintahkan
manusia untuk beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan kerja-kerja harian
untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri, keluarga, masyarakat dan
negara. Malah, kerja-kerja harian ini jika dilakukan dengan betul dan memenuhi
syarat-syaratnya, turut dianggap sebagai ibadat dan pelakunya diberi pahala yang
banyak.

Islam merupakan agama yang sangat mementingkan keadilan. Namun begitu, pada
masa yang sama, Islam mengiktiraf bahawa dalam realiti kehidupan manusia di alam
ini terdapat perbezaan, baik dari segi jantina, keupayaan fizikal dan mental, taraf
ekonomi dan lain-lain. Dengan itu, dalam menunaikan keadilan ekonomi
umpamanya, Islam tidak menuntut agar harta kekayaan dibahagikan sama rata
antara manusia. Hal ini kerana realitinya, manusia tidak sama dari segi keupayaan
fizikal, mental, kreativiti, kerajinan, tanggungjawab dan lain-lain. Oleh itu, anugerah
dan habuan ekonomi juga berbeza-beza berdasarkan perbezaan setiap individu dari
segi usaha dan kesungguhan, kerajinan, kreativiti, tanggungjawab yang dipikul dan
lain-lain.

Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:


Dan Allah melebihkan sesetengah daripada kamu ke atas yang
lain (dari segi anugerah) rezeki.
(Surah al-Nahl: 71)

Namun begitu, Islam juga memerintahkan agar manusia yang dianugerahkan dengan
kelebihan rezeki itu tidak melupai golongan yang kurang bernasib baik. Realiti dalam
kehidupan manusia menunjukkan bahawa sentiasa terdapat golongan miskin dan
kurang bernasib baik yang perlu dibantu. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan anda
berzakat dan memberikan pahala/ganjaran yang besar kepada mereka yang
bersedekah.

Ringkasnya, semua bukti menunjukkan bahawa Islam adalah realistik, malah telah
berjaya diamalkan dengan baik sehingga Islam dapat membina tamadun yang
cemerlang serta menjadi pelopor dalam pelbagai bidang kehidupan.

Tawazun (Keseimbangan)
Tawazun bermaksud ajaran Islam memberikan perhatian yang seimbang kepada
semua aspek kehidupan manusia; dari segi individu dan masyarakat, rohani dan
jasmani, kebendaan dan kerohanian serta dunia dan akhirat.
Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga mengabaikan
kepentingan masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Islam juga tidak membenarkan
umatnya mementingkan aspek kerohanian semata-mata sehingga mengabaikan
aspek jasmani dan kebendaan dan begitu juga sebaliknya. Umpamanya, seseorang
tidak dibenarkan beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan keperluan
menjaga kesihatan tubuh badan atau mencari rezeki yang halal. Begitu juga
sebaliknya, umat Islam tidak dibenarkan mencari rezeki sehingga mengabaikan
kepentingan beribadat kepada Allah. Islam juga tidak membenarkan penganutnya
mementingkan aspek kehidupan dunia sehingga mengabaikan kehidupan akhirat,
begitu juga sebaliknya.

Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah digabungkan


dalam satu gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya kehidupan
manusia menjadi sempurna dan sejahtera.

Kepentingan ciri tawazun ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah yang
bermaksud:

… apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari


Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan
tinggalkan jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu
mengetahui. Apabila solat telah dilakukan maka bertaburanlah
kamu di muka bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah
banyak-banyak supaya kamu beruntung.
(Surah al-Jumu’ah: 9 – 10)

Ayat di atas dengan jelas memerintahkan umat Islam untuk memberi perhatian yang
sewajarnya kepada kedua-dua aspek kehidupan di dunia dan akhirat.
Syumul (Menyeluruh)
Syumul bermaksud Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh serta
mencakupi segala aspek kehidupan setiap manusia.
Allah s.w.t. memiliki segala sifat kesempurnaan dan pengetahuan. Semua aspek
kehidupan manusia dijelaskan dan diberikan panduan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu-
Nya. Oleh itu, Islam mempunyai peraturan hidup yang serba lengkap, merangkumi
semua aspek kehidupan manusia dari segi kepercayaan, pemikiran, akhlak, ekonomi,
politik, sosial, perundangan, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan lain-lain. Jika
prinsip dan panduan ajaran Islam ini dihayati sepenuhnya dengan bijaksana, maka ia
berupaya menyelesaikan segala masalah yang dihadapi manusia.

Namun begitu, tidak semua aspek kehidupan manusia ini dijelaskan dengan
terperinci dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Hal ini kerana perjalanan hidup manusia
akan berterusan manakala wahyu al-Qur’an dan al-Hadith pula terhenti dengan
kewafatan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, sebahagian besar panduan yang berkaitan
aspek kehidupan manusia dinyatakan dalam wahyu secara umum dan prinsipnya
sahaja. Perinciannya dibiarkan kepada manusia mengikut kesesuaian masa dan
suasana kehidupan mereka. Inilah yang menjadikan ajaran Islam itu sentiasa sesuai
untuk semua manusia pada semua zaman. Contohnya, pelaburan duit di dalam
insurans nyawa dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Kesempurnaan ajaran Islam seperti yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Hadith
itu dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan kami turunkan ke atas engkau kitab (al-Qur’an) sebagai


penjelasan bagi semua perkara.
(Surah al-Nahl: 89)

‘Alamiyyah (Sejagat)
‘Alamiyyah bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan
masa, tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa
dan tidak terbatas pada masa-masa tertentu. Aspek ‘alamiyyah merangkumi tiga
bidang utama iaitu syariah, akhlak dan akidah.
Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai
kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t. Tidak ada bangsa yang lebih mulia daripada
bangsa lain kerana faktor bangsa atau warna kulit atau bahasa semata-mata. Faktor
tunggal yang membezakan seseorang dengan yang lain ialah tahap ketakwaan kepada
Allah s.w.t. Semakin bertakwa, maka semakin tinggilah kedudukan orang tersebut di
sisi Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada kalangan kamu


ialah yang paling bertakwa.
(Surah al-Hujurat: 13)

Manifestasi kesejagatan Islam bukan sahaja meliputi sesama manusia, malah


merangkumi makhluk yang lain. Allah s.w.t. bukanlah Tuhan bagi manusia sahaja,
malah Allah s.w.t. juga merupakan Tuhan bagi makhluk yang lain. Oleh itu, ajaran
Islam diturunkan bukan sahaja untuk menjaga kebahagiaan dan kebajikan makhluk
manusia sahaja, tetapi juga makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan
dan lain-lain.

Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan


sebagai (membawa) rahmat ke seluruh alam”.
(Surah al-Anbiya’:107)

Wasatiyyah (Kesederhanaan)
Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam. Islam menolak semua
unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja
ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan
sebagainya. Malahan, dalam aspek keakhiratan seperti beribadat dan berzikir,
sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak dibenarkan.
Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat
kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Dalam aspek pemakanan
umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh manusia makan dan minum dari makanan dan
minuman yang baik. Namun pada masa yang sama juga Allah s.w.t. mengingatkan
manusia agar tidak melampaui batas.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… dan makanlah dan minumlah dan (tetapi) jangan kamu


melampaui batas kerana Ia (Allah) tidak suka orang yang
melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)

Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, termasuk dalam pemakanan
merupakan sesuatu yang membahayakan diri manusia. Hal ini termasuk melakukan
ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat akhirnya akan menyebabkan
seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud:

Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu,


kerana Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti
yang akan jemu.
(HR. al-Bukhari)

Namun ini tidak pula bermakna umat Islam mesti bersederhana dalam
melaksanakan akidah Islamiyyah. Ertinya beriman kepada semua rukun iman secara
sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua
rukun iman mestilah dilakukan dengan penuh yakin tanpa sebarang keraguan.
Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Anda mungkin juga menyukai