Anda di halaman 1dari 1

Soalan:

Masa lapang sesebuah keluarga dapat diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan
menyeronokkan. Satu daripada pengisian aktiviti tersebut adalah berkebun.

Tulis karangan tentang faedah-faedah berkebun bersama keluarga.

Pelbagai aktiviti dapat dilakukan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Satu daripadanya
adalah dengan berkebun. Sesebuah keluarga boleh menjadikan aktiviti berkebun sayur atau
berkebun bunga sebagai hobi yang menyeronokkan.

Berkebun mendatangkan banyak faedah kepada anggota keluarga. Antaranya ialah dapat
menyihatkan badan mereka. Semasa menjalankan aktiviti berkebun, badan berpeluh. Dengan
demikian, lemak di dalam badan terbakar dan seterusnya memelihara kesihatan anggota keluarga
daripada penyakit yang berbahaya seperti kegemukan, darah tinggi, dan kencing manis.

Selain itu, berkebun dapat merapatkan hubungan sesama anggota keluarga. Semasa
menjalankan aktiviti berkebun, suasana kemesraan dapat dipupuk. Bagai aur dengan tebing, semua
anggota keluarga melaksanakan tugasan bagi menjayakan misi keluarga.

Seterusnya, pengetahuan dan pengalaman setiap anggota keluarga juga akan bertambah
dengan berkebun. Perkara ini diperoleh melalui kerja-kerja membuat batas, menabur baja, atau
menanam anak benih. Anak-anak dapat mengetahui kaedah pertanian moden. Selain itu, anak-anak
juga dapat mengetahui nama sayur-sayuran atau bunga-bungaan tersebut.

Akhir sekali, berkebun dapat menambah ekonomi keluarga. Mereka dapat menjual hasil
tanaman yang melebihi penggunaan keluarga. Hasil jualan itu pula dapat digunakan untuk
menampung perbelanjaan harian keluarga atau disimpan sebahagiannya bagi kegunaan keluarga
pada masa akan datang. Simpanan itu pasti akan bertambah jika terus diamalkan, bak kata pepatah,
sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Kesimpulanya, hobi berkebun mendatangkan banyak kebaikan kepada keluarga. Oleh itu,
jadilah aktiviti berkebun sebagai satu daripada cara mengisi masa yang terluang agar setiap anggota
keluarag memperoleh manfaatnya bersama-sama.

Anda mungkin juga menyukai