Anda di halaman 1dari 8

1

Mencapai Kesinambungan Islam dan Hak Asasi Manusia di Malaysia

Wan Kamal Mujani


Mohd Al Adib Samuri
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Pengenalan

Hak asasi seringkali dilihat sebagai acuan Barat yang sebahagiannya dianggap bercanggah
dengan Islam. Hakikatnya, mencari titik persamaan untuk memulakan dialog dan wacana
berkaitan hak asasi manusia adalah tersangat penting terutamanya pada masa kini yang
suasananya kian mencabar di mana pelbagai pihak rakus menuntut hak asasi masing-masing
tanpa memahami konsep dan matlamat hak asasi manusia yang sebenar. Titik persamaan ini
adalah perlu kerana ia memungkinkan hak asasi dilihat sebagai ‘kepentingan bersama’, dan
bukannya ‘ancaman musuh.’ Sebenarnya, terdapat banyak prinsip hak asasi dan asas-asas
Islam yang selari dan saling menguat serta mengukuhkan seperti keadilan dan tidak
mendiskriminasi yang boleh dijadikan tunjang atau paksi bagi hak asasi manusia di negara
kita, Malaysia.

Konsep Hak Asasi Manusia Dalam Islam

Hak asasi manusia adalah hak-hak yang menjadi asas kepada kewujudan manusia itu sendiri
dan ia adalah perlu untuk menjamin maruah dan kehormatan manusia. Hak asasi manusia
sebenarnya bukanlah perkara atau isu yang asing kepada orang Islam kerana agama Islamlah
yang memperkenalkan hak asasi manusia. Sejarah kegemilangan Islam jelas menunjukkan
bahawa hak asasi manusia telah diberi perhatian utama oleh Islam dan dilindungi oleh pihak
pemerintah Islam. Dalam Islam, manusia sebenarnya tidak memiliki hak-hak kebebasan yang
mutlak kerana manusia perlu dalam keadaan apa sekalipun patuh kepada peraturan alam yang
telah ditetapkan oleh Penciptanya iaitu Allah SWT. Nyata sekali bahawa manusia memang
memiliki sejumlah hak asasi, namun manusia perlu menikmati hak-hak tersebut dalam
lingkungan yang dibenarkan oleh syariat. Lantaran itu, manusia perlu menikmati hak-hak
tersebut dalam skop pengabdian dirinya kepada Allah SWT.
Sesungguhnya sebelum munculnya Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa
Bersatu pada 1948, Islam telah mengiktiraf hak asasi manusia dalam batasan tertentu yang
dibenarkan oleh syariat. Hal ini telah dijelaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Isra’, ayat 70
iaitu: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri
mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan
rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka
dengan selebih-lebihnya atas banyak makluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” Ayat ini
jelas menunjukkan bahawa kebebasan bukan sahaja menjadi hak asasi manusia, tetapi
menjadi suatu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia agar ia
dilaksanakan dengan baik di kalangan masyarakat manusia yang merupakan hambaNya.
Ini bermakna apabila manusia menuntut untuk mendapat sesuatu yang dikatakan
haknya bagi maksud melanggar perintah Allah SWT, maka mereka sebenarnya menuntut
sesuatu yang sekiranya diberikan ia akan menyebabkan kehormatan dirinya akan jatuh. Ini
sama sekali tidak akan dibenarkan oleh syariat Islam dan kerana itu pihak-pihak yang
bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang syariah tidak boleh memberi ruang
kepada umat Islam yang menuntut hak tersebut kerana ia boleh menjatuhkan kemuliaan
manusia dan agama Islam itu sendiri. Islam juga menyeru manusia agar melakukan anjakan
2

paradigma daripada sifat taksub kepada puak atau kabilah, keluarga, keturunan, warna kulit
dan ras kepada sifat menyayangi dan menghormati kesatuan kemanusiaan yang semuanya
berasal dari satu keturunan iaitu Adam AS.
Timbul pula persoalan, bagaimana manusia menikmati hak asasinya dalam ruang
lingkup pengabdian dirinya kepada Allah? Sebenarnya manusia boleh menikmati hak
asasinya dalam ruang lingkup pengabdian dirinya kepada Allah SWT. Ini kerana syariat yang
diturunkan kepada manusia adalah untuk memelihara lima prinsip utama iaitu memelihara
agama, tubuh badan, keturunan, harta dan akal. Kenyataan ini bermaksud bahawa sekiranya
manusia menuruti aturan syariat, manusia akan dapat menikmati hak asasinya dengan aman
dan sejahtera kerana syariat bukan melarang manusia menikmati hak asasinya untuk
menganut agama yang sesuai dengan fitrah kejadiannya, menikmati hak asasi untuk makan
dan minum atau menjalani kehidupan dengan aman dan sejahtera, hak untuk melahirkan
zuriat yang juga memberi ruang kepadanya memuaskan nafsu seksnya, hak untuk memiliki
harta dengan cara yang halal dan hak untuk menggunakan fikirannya dengan sempurna
apabila akalnya tidak rosak kerana meminum minuman yang memabukkan.
Hak asasi manusia akan dipelihara secara berimbang tanpa adanya Ifrat iaitu
keterlampauan dalam mencabul hak individu demi untuk menjaga kemaslahatan sesuatu
jamaah (kumpulan secara kolektif) atau Tafrit iaitu pengabaian secara melampau terhadap
hak kumpulan kolektif demi untuk menjaga hak penguasa secara individu. Ini kerana hanya
Allah SWT yang mengurniakan hak-hak ini menerusi syariatNya, bukannya mana-mana
individu sehingga memberi ruang kepadanya untuk bertindak melampau mencabuli hak
jamaah atau kerajaan sehingga memberi ruang kepadanya untuk menambah kuasanya bagi
menceroboh ke atas hak individu. Secara umumnya, Islam mengiktiraf hak asasi manusia
dalam batasan syariat.

Hak Asasi Manusia Di Sepanjang Sejarah Islam

Islam sudah lebih lama mengenal apa yang disebut dengan hak asasi manusia iaitu dengan
termeterainya Piagam Madinah beberapa tahun selepas Hijrah pada 622M. Ia memberi hak
kepada semua bangsa tanpa mengira agama, pangkat dan darjat. Malah, terdahulu daripada
itu lagi iaitu sebelum Islam, Nabi Muhammad SAW telah mengiktiraf satu triti (perjanjian)
yang berlaku pada zaman pra Islam lagi atas pertimbangan keadilan. Triti itu bernama Hifl al-
Fudul di Makkah bagi mewujudkan perdagangan yang adil dan mengelakkan penindasan
kepada kumpulan yang lemah. Isu tersebut bermula apabila ada pihak yang enggan
membayar hutang perdagangan. Oleh itu, pihak pemiutang merayu kepada kabilah Quraysh
untuk bertindak dan akhirnya mereka berjaya mendapatkan hak mereka kembali. Dalam
konteks ini, dapat dinyatakan bahawa prinsip daripada Hifl al-Fudul ialah Islam mengiktiraf
mana-mana perjanjian yang menegakkan keadilan, biarpun dibuat oleh bukan Islam.
Selain itu, pidato terakhir Rasulullah SAW ketika Haji Wida’ (yang juga dikenali
sebagai Deklarasi Arafah) merupakan dokumen tertulis pertama yang berkaitan dengan hak
asasi manusia. Antaranya, Rasulullah SAW menyatakan sebagaimana yang tercatat di dalam
Sahih Bukhari dan Sahih Muslim: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan maruah diri
kamu adalah terhormat dan dilindungi…” Contoh lain yang menunjukkan Islam menjaga hak
asasi setiap manusia ialah pewujudan beberapa institusi untuk menjaga kebajikan wanita.
Umpamanya, Suffah Wanita (Badan Kebajikan Wanita) yang diketuai oleh Asma’ binti
Yazid al-Ansariyyah yang berperanan memberi hak pembelajaran di Masjid al-Nabawi. Ini
termasuklah Penjara Wanita yang terletak berhampiran Masjid yang berfungsi menjaga serta
memuliakan tawanan yang akhirnya menarik minat Saffanah binti Hatim al-Ta’iyy memeluk
agama Islam). Di samping itu, terdapat Institusi Kesihatan dan Khidmat Masyarakat (Khimah
3

Rufaydah Aslamiyyah) yang memberikan hak kepada wanita dalam aspek ekonomi,
perkahwinan, menuntut ilmu pengetahuan, harta pusaka, bekerja dan mencari nafkah.
Di sepanjang sejarah gemilang umat Islam, khususnya pada zaman para Khulafa al-
Rashidin dan kepimpinan Islam selepasnya, para pemimpin kerajaan Islam amat
menghormati hak asasi manusia, termasuk hak-hak yang dinikmati oleh ahli Zimmah iaitu
larangan memerangi mereka sekiranya mereka condong untuk berdamai dan sanggup
membayar Jizyah, perlindungan ke atas harta benda, nyawa dan kehormatan mereka,
kebebasan untuk beribadat di pusat-pusat ibadat mereka dan menguruskan hal ehwal berkait
dengan urusan peribadi mereka. Ini termasuklah kebebasan bekerja, hak memegang jawatan
dalam pentadbiran, pemberian hak yang sama sebagaimana yang diberikan kepada orang-
orang Islam, perlindungan mereka dari dicerobohi nyawa dan harta mereka serta dizalimi.
Terdapat beberapa etika yang diamalkan oleh tentera Islam ketika mereka berada di kancah
peperangan; mereka tidak boleh membunuh kanak-kanak, orang tua, memusnahkan tempat-
tempat ibadah, menebang pokok-pokok yang sedang berbuah dan sebagainya.
Sejarawan mencatatkan bahawa semasa berlaku Perang Salib Pertama, tentera
Kristian telah menyembelih puluhan ribu orang Islam tanpa belas kasihan sehingga darah
yang mengalir bagaikan aliran air sungai dalam Masjid al-Aqsa dan jalan-jalan di Baitul
Maqdis, semua dibunuh, orang tua, kanak-kanak, wanita, orang alim dan sebagainya. Hal
seperti ini jauh sekali dengan apa yang dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi ketika tokoh
tersebut membebaskan Baitul Maqdis yang tidak melakukan perilaku kejam seperti
menumpahkan darah, menjatuhkan kehormatan dan perbuatan menghina institusi-institusi
ibadat.

Persamaan serta Prinsip Saling Mengukuh antara Islam dan Hak Asasi Manusia

Sebagaimana yang dinyatakan di atas iaitu mencari titik persamaan untuk memulakan dialog
dan wacana berkaitan hak asasi manusia adalah penting. Titik persamaan memungkinkan hak
asasi dilihat sebagai ‘kepentingan bersama,’ bukannya ‘ancaman musuh.’ Hampir
keseluruhan idea hak asasi manusia mempunyai persamaan dengan pemikiran Islam. Kaedah
hukum, prinsip asas kepimpinan, demokrasi dan perundangan Islam sangat jelas dan teguh.
Islam mengambil berat proses pengadilan yang adil dan seimbang yang berakar umbi
daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sebagai contoh, Piagam Madinah telah menggariskan
beberapa hak asasi manusia seperti kebebasan diri dan keselamatan, kesamarataan, kebebasan
beragama, hak masyarakat, hak bernegara dan terlibat dalam aktiviti negera serta hak ke atas
harta. Piagam ini mengiktiraf setiap manusia sebagai insan yang bermaruah mengikut nilai
kemanusiaan.
Islam telah menggariskan empat klasifikasi hak yang mesti ditunai oleh setiap
manusia iaitu Hak Allah SWT (penentuan hukum), hak individu, hak semua manusia (awam)
dan hak menggunakan dengan betul segala kurniaan Allah SWT. Sistem hak asasi manusia
dalam Islam juga mengandungi hak politik, sivil, ekonomi, sosial dan budaya mirip Universal
Declaration of Human Rights (UDHR 1948). Islam juga memberi hak kepada kepada
golongan yang lemah seperti golongan miskin, minoriti, dan cacat tanpa mengira usia,
jantina, warna kulit, keturunan dan agama. Kebebasan bersuara untuk menyatakan kebenaran
bukan sahaja hak tetapi tanggungjawab yang menjadi kewajipan setiap manusia. Dalam
peradaban Islam, setiap orang mesti menjaga kehormatan darah, nyawa, maruah, nama baik,
harta dan rumah tangga sendiri serta anggota masyarakat.
Sebenarnya, terdapat beberapa persamaan serta prinsip saling mengukuh antara Islam
dan hak asasi manusia seperti dalam aspek berikut:
1. Prinsip Kesejagatan. Terdapat banyak pesanan dalam al-Quran dan al-Sunnah untuk
manusia, keseluruhannya dengan bertemakan keadilan, kemanusiaan dan belas
4

kasihan (compassion). Ini dapat dilihat apabila al-Quran menggunakan kalimah “Ya
Ayyuha al-Nas - Wahai Manusia...” sebanyak 306 kali. Mesej dalam al-Quran juga
bersifat sejagat sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Suarh al-Baqarah ayat 185
yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi
petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).
Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 213 yang
bermaksud: “Manusia itu ialah umat yang satu (setelah mereka berselisihan), maka
Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira, dan pemberi amaran;
dan Allah turunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang benar, untuk
menjalankan hukum (undang-undang) di antara manusia apa yang mereka
perselisihkan.” Di samping itu, Nabi Muhammad SAW juga bersabda: “…setiap Nabi
terdahulu diutuskan untuk kaumnya sahaja, tetapi aku diutuskan untuk semua manusia
berkulit merah ataupun hitam…”. Sehubungan itu, prinsip hak asasi manusia yang
ditekankan oleh al-Quran adalah bersifat sejagat.
2. Prinsip Kehormatan Insan. Islam mengiktiraf kehormatan insan dan manusia wajib
menghormati antara satu sama lain. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat
70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam;
dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami
berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka
atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” Firman Allah SWT lagi dalam
Surah al-Tin, ayat 4 bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia
dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Selain itu, Rasulullah SAW telah bersabda ketika
Haji Wida’ di Mina: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan maruah diri kamu
adalah terhormat dan dilindungi…”.
Mengenai hal yang sama, Abdullah bin ‘Umar berkata: Aku melihat
Rasulullah SAW bertawaf mengelilingi Kaabah dan bersabda: “Betapa baiknya kamu
(Kaabah), betapa baiknya wangianmu, betapa hebatnya kamu, dan betapa mulianya
kamu. Demi Allah yang di tangan-Nya jiwa Muhammad, kemuliaan diri seorang yang
beriman itu lebih besar di sisi Allah berbanding kemuliaanmu, darahnya dan
hartanya…”. Dalam aspek ini juga, setiap individu sebenarnya perlu dihormati, sama
ada hidup ataupun telah mati. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Mematahkan tulang
orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup”. Ibn Hajar al-
‘Asqalani pernah menyatakan: “…kehormatan seorang mukmin kekal selepas
kematiannya, sebagaimana kehormatannya semasa hayatnya.”
3. Prinsip Keadilan. Allah SWT telah mengamanahkan setiap manusia untuk
bertanggungjawab menegakkan keadilan tanpa pilih kasih. Allah SWT berfirman
dalam Surah al-Nisa’, ayat 135: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu
menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi kerana Allah,
sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalau
orang itu kaya atau miskin maka Allah lebih tahu keduanya. Oleh itu, janganlah kamu
turutkan hawa nafsu untuk berbuat tidak adil…” Ibn Qayyim menjelaskan bahawa
alam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kita untuk bangun menegakkan keadilan,
iaitu kesaksamaan. Ini adalah perintah untuk bersikap adil terhadap sesiapapun, sama
dia musuh atau pun kawan.
Al-Quran adalah konsisten dalam menyeru manusia untuk berpegang dengan
prinsip keadilan dan mereka yang menegakkan keadilan akan mendapat ganjaran.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl, ayat 90, bermaksud: “Sesungguhnya
Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum
kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia
5

mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.” Nabi Muhammad SAW


bersabda: “Pada setiap sendi manusia itu padanya ada sedekah. Pada setiap hari
apabila terbit matahari, akan ada pahala sedekah bagi orang yang menegakkan
keadilan di antara manusia”.
Antara ajaran Islam yang utama ialah ia meminta umatnya menentang
kezaliman, dan bersikap objektif dalam menegakkan keadilan. Allah SWT berfirman
dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu
untuk tidak berlaku adil. Berlaku adil lah kerana ia lebih hampir kepada takwa.” al-
Baydawi dalam mentafsirkan ayat ini menerangkan: “Jangan biarkan kebencian kuat
kamu kepada orang kafir menyebabkan kamu gagal berlaku adil terhadap mereka dan
menzalimi mereka dengan melakukan perkara terlarang seperti mencacatkan mayat,
memfitnah mereka, membunuh wanita dan anak-anak atau melangggar perjanjian
kerana penentangan di hati kamu.”
Allah SWT juga telah berfirman dalam sebuah hadith Qudsi: “Wahai hamba-
hamba-Ku! Aku telah haramkan kezaliman ke atas diri-Ku. Dan Aku jadikan ia haram
kepada kamu, maka janganlah menzalimi...”. Dalam hal ini, Sarkhasi menyatakan:
“Menegakkan keadilan adalah tersenarai sebagai amalan soleh yang paling mulia
selepas beriman kepada Allah SWT. Ia adalah tanggungjawab terbesar yang
diamanahkan kepada para Nabi… Dan ia adalah alasan terkuat mengapa manusia
menjadi khalifah di bumi”. Sahifah Madinah iaitu perlembagan pertama di dunia yang
dibuat oleh Nabi Muhammad SAW telah lebih awal memasukkan prinsip keadilan,
mengiktiraf hak-hak setiap individu dan kaum, dan juga mengiktiraf kepelbagaian,
kebebasan, dan kesaksamaan.
4. Prinsip Ihsan. Antara maksud prinsip Ihsan adalah memberi layanan yang adil dan
saksama di bawah rule of law tanpa mengira status sosial dan ekonomi. Rasulullah
SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya umat yang terdahulu telah dibinasakan kerana
apabila seorang bangsawan mencuri, mereka akan melepaskannya, tetapi apabila
seorang yang lemah mencuri, mereka akan melaksanakan hukuman ke atasnya. Demi
Allah, jika Fatimah anak Muhammad telah mencuri, aku akan memotong tangannya.”
Sebenarnya, layanan kepada bukan Islam juga mestilah baik dan adil jika mereka
tidak memusuhi Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-
orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu
dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku
adil.”
Tidak sekadar itu sahaja, Islam turut menyeru kepada perbuatan memberikan
layanan baik kepada semua individu. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat
83: “Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Isra’il
(dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu-bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang
miskin dan katakanlah kepada sesama perkataan yang baik; dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling (perjanjian setia kamu itu)
kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak
menghiraukan perjanjian setianya.” Allah SWT berfirman lagi dalam al-Qasas, ayat
77: “Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik
kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”
6

Islam turut mewajibkan layanan yang baik diberikan kepada semua orang
tanpa mengira status agama atau sosial. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’,
ayat 36: “…berbuat baiklah kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak
yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh
dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu
miliki.” Rasulullah SAW turut bersabda: “Malaikat Jibril gemar mewasiatkan
kepadaku untuk melayani jiran dengan baik, sehingga aku menyangka yang jiran akan
mewarisi pusaka.” Di samping itu, Islam juga menyarankan agar layanan baik
diberikan kepada banduan atau tahanan perang Muslim atau non Muslim. Rasulullah
SAW pernah melewati seorang tahanan yang dirantai dan tahanan itu berkata: “Wahai
Muhammad, Wahai Muhammad! Baginda mendatangani tahanan itu dan bertanya,
apakah yang kamu mahu? Dia berkata, aku lapar, berikanlah aku makanan. Aku haus,
berikan aku minuman.” Nabi mengarahkan agar hajat tahanan itu dipenuhi. Selain itu,
layanan baik untuk pelarian Muslim dan agama lain sama sekali tidak boleh
diketepikan dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Taubah, ayat 6: “Dan
jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah
perlindungan kepadanya sehingga ia mendengar firman Allah, kemudian hantarlah dia
ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman.”
5. Prinsip Tidak Mendiskriminasi. Islam sememangnya menolak sebarang bentuk
penindasan dan diskriminasi terhadap warna kulit, bangsa, kaum, darah, kekuasaan
ataupun apa-apa perbezaan yang lain. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujuraat,
ayat 6, 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari
lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku
puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” Dari aspek sejarah sendiri,
sebilangan para Sahabat Nabi Muhammad SAW adalah berasal datang daripada
pelbagai suku, kaum dan warna kulit. Sebagai contoh, Bilal bin Rabah dari Habsyah,
Suhaib bin Sinan al-Rumi dari Rom dan Salman al-Farisi dari Parsi.
Islam turut menolak sebarang bentuk rasisme. Seseorang itu tidak boleh
didiskriminasi hanya kerana fizikalnya. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kamu
wajib mendengar dan taat kepada pemimpin kamu, walaupun dia adalah hamba
Etopia (hitam) dan kepalanya seperti kismis.” Di dalam Khutbah Haji Wida’ baginda
telah menekankan anti-racism: “Wahai manusia, Tuhan kamu adalah satu, dan bapa
kamu (Nabi Adam) adalah satu. Tiada kemuliaan pada orang Arab terhadap bangsa
bukan Arab, atau orang bukan Arab terhadap orang Arab, atau orang berkulit merah
melebihi berkulit hitam atau orang berkulit hitam melebihi berkulit merah, melainkan
hanya dengan taqwa (takut kepada Allah).” Sesungguhnya Islam mengiktiraf semua
manusia itu mempunyai hak yang sama, tanpa mendiskriminasi seperti terhadap
gender mereka. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl, ayat 97: “Sesiapa yang
beramal salih, daripada lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh
Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami
akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah
kerjakan.”
6. Prinsip Kesaksamaan. Islam juga menolak sebarang pewujudan kasta dan kelas
masyarakat serta memberikan hak yang saksama kepada semua manusia, tanpa
mengira darjat dan status sosial. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat
13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak,
supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah
7

orang yang paling takwa di antaramu.” Islam turut menyuruh berbuat baik kepada
hamba yang mempunyai status sosial yang rendah. Lebih awal lagi, Islam
menggalakkan pembebasan hamba, sebelum kerajaan moden Eropah dan Amerika
Syarikat melakukannya. Rasulullah SAW bersabda: “Hamba kamu adalah saudara
kamu, dan Allah telah meletakkan mereka di bawah arahanmu. Maka, apabila seorang
saudara di bawahmu, berikanlah makanan dengan apa yang kamu makan, berikanlah
pakaian dengan apa yang kamu pakai. Jangan memaksa mereka melakukan perkara
yang di luar batas kemampuan mereka, dan jika kamu membebaninya, maka bantulah
mereka”.

Kesimpulan

Sebenarnya terdapat banyak prinsip hak asasi manusia yang menyamai prinsip Islam dan ia
mengukuhkan lagi konsep hak asasi manusia yang terdapat dalam triti antarabangsa. Wacana
berkaitan hak asasi mestilah turut mengambil kira kerangka Islam atau perundangan Islam
dan janganlah tertumpu kepada teori hak asasi antarabangsa sahaja. Pelbagai pihak perlu
melihat hak asasi manusia sebagai titik persamaan, bukannya perbezaan. Amalan,
kepercayaan dan pegangan yang bersifat diskriminatif dan tidak adil perlu dihapuskan,
dengan syarat ia sejajar dengan kehendak Islam. Itulah formula terbaik dalam hal dan isu
yang berkaitan dengan hak asasi manusia di negara kita.

Bibliografi

Abu Dawud Sulaiman ibn al-Ashʿath Al-Sijistani. 2008. Sunan Abu Dawud - The Third
Correct Tradition of the Prophetic Sunna. Mohammad Mahdi al-Sharif (trans.). Beirut,
Lebanon: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Al-Quran al-Karim.

Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani. 1999. Sirat al-Rasul dan Khulafa al-Rashidun.
Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh.

Azyati Azhani Mohd Mazuki, Wan Kamal Mujani et al. 2013. Aplikasi konsep Wasatiyyah
dalam pembentukan Piagam Madinah. International Journal of West Asian Studies, 5(2),
hlm. 1-15.

al-Bukhārī, Muḥammad ibn Ismāʿīl. 1970. Ṣaḥīḥ Bukhārī Sharīf Mutarjim. Karācī:
Muḥammad Saʿīd.

https://www.ohchr.org/en/udhr/pages/Language.aspx?LangID=mli

Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali. 1986. Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhāri.
Kaherah: Dar al-Rayyān li al-Turath.

Ibn Mājah, Muḥammad ibn Yazīd. 1953. Sunan al-ḥāfiẓ Abī ʿAbd Allāh Muḥammad ibn
Yazīd al-Qazwīnī Ibn Mājah. Kaherah: Dār Iḥyāʾ al-Kutub al-ʿArabīyah.

Mohd Fauzi bin Hamat. 2007. Hak asasi manusia menurut syarak. Jurnal Penyelidikan Islam,
(44), hlm. 45-64.
8

Muhammad bin Hanbal al-Shaybani, Abu Abdullah Ahmad bin. 2012. Musnad Imam Ahmad.
Nasiruddin Al-Khattab (trans.) and Huda al-Khattab (ed.). Riyadh: Darussalam.

Muhammad Zahir Ismail, Ermy Azziaty Rozali & Wan Kamal Mujani. 2014. Konsep
Wasatiyyah dalam al-Quran. Dlm. Prosiding Seminar al-Mabsut Tamadun Islam & Tamadun
Asia dan Hubungan Etnik (SeTH) 2014. Nurulwahidah Fauzi et al. (sunt.). Nilai: Pusat
Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia, hlm. 172-180.

Muslim ibn al-Ḥajjāj al-Qushayrī. 1994. Sahih Muslim. Kaherah: Dār al-Ḥadīth.

Norsaleha Mohd. Salleh, Abdul Halim Tamuri & Salleh Amat. 2010. Hak-hak wanita pada
zaman Rasulullah SAW: Menyingkap sejarah serikandi Islam. Dlm. Kertas kerja Seminar
Islam dan Hak-hak Wanita. Shah Alam: Dewan Annex, SUK, 14hb. Disember.

Sheikh Abdullah Basmeh & Dato' Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim (translated and
narrated). 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur'an (30 Juz). Kuala
Lumpur: Darulfikir.

Waltz, S. 2004. Universal human rights: the contribution of Muslim states. Human Rights
Quarterly, 26(4), pp. 799–844.

Wan Kamal Mujani. 2017. Pelaksanaan Wasatiyyah di Malaysia. Putrajaya: Institut


Wasatiyyah Malaysia.

W. K. Mujani & A. A. M. Mazuki. 2018. Wasatiyyah virtues in Islam. International Journal


of Civil Engineering and Technology, 9(3), hlm. 542-548.

Wan Kamal Mujani & Azyati Azhani Mohd Mazuki. 2017. The concept of moderation within
the context of leadership in Malaysia. European Journal of Interdisciplinary Studies, 3(1),
pp. 53-61.

Wan Kamal Mujani, Azyati Azhani Mohd Mazuki, Azmi Aziz & Ermy Azziaty Rozali.
Pelaksanaan konsep Wasatiyyah di Malaysia: tinjauan daripada aspek kefahaman dan
cabaran. Dlm. Wan Kamal Mujani (sunt.). 2017. Pelaksanaan Wasatiyyah di Malaysia.
Putrajaya: Institut Wasatiyyah Malaysia, hlm. 57-96.

W. K. Mujani et al. 2015. The wasatiyyah (moderation) concept: Its implementation in


Malaysia. Mediterranean Journal of Social Sciences, 6(4S2), pp. 66-72.

Wan Kamal Mujani, Kartini Aboo Talib @ Khalid & Anwar Muttaqin. Pelaksanaan konsep
Wasatiyyah di Malaysia. Dlm. Wan Kamal Mujani (sunt.). 2017. Pelaksanaan Wasatiyyah di
Malaysia. Putrajaya: Institut Wasatiyyah Malaysia, hlm. 39-50.

Wan Kamal Mujani & Mohd Efendi Abutiar. 2017. Wasatiyyah dan takrifannya menurut
Islam. Dlm. Wan Kamal Mujani (sunt.). Pelaksanaan Wasatiyyah di Malaysia. Putrajaya:
Institut Wasatiyyah Malaysia, hlm. 17-24.

Anda mungkin juga menyukai