Anda di halaman 1dari 7

Pengantar Pengajian Syariah: Satu Pengenalan

Dr. Muhammad Ikhlas Rosele

Pengenalan

Kemsyarakat adalah ciri penting manusia, perkara ini adalah sesuatu yang jelas dan tidak
boleh dinafikan dengan akal yang sihat. Manusia dilahirkan dan membesar dalam suatu
kelompok masyarakat. Justeru adalah mustahil untuk menggambarkan manusia tanpa ciri
kemasyarakatan. Dalam tamadun silam juga menggambarkan kehidupan-kehidupan
manusia dalam bentuk masyarakat.

Oleh itu, dalam sesebuah masyarakat sudah tentu juga wujud interaksi dan perhubungan.
Bermakna manusia itu akan menjalankan transaksi, perhubungan dan interaksi satu sama
lain. Kemudian sudah tentu ada percanggahan antara mereka. Jika masing-masing contohnya
hidup dalam idea kebebasan peribadi, sudah tentu kebebasannya itu memberi kesan kepada
kebebasan peribadi orang lain. Kemudian, keadaan tersebut boleh menggugat realiti
kebebasan yang dipegang tersebut dan akhirnya membawa kepada perselisihan.

Lantaran itu, manusia memerlukan satu perundangan yang membataskan kebebasan mereka
dan mengatur interaksi dan transaksi yang berlaku dalam kalangan sesebuah masyarakat.
Undang-undang tersebut adalah untuk memastikan kehidupan mereka aman dan tenteram,
kerana itu perundangan ini dianggap sesuatu yang diperlukan dalam masyarakat,
sebagaimana manusia yang perlu kepada masyarakat untuk hidup. Perundangan pula secara
umumnya boleh dibahagikan sebagaimana berikut;

1- Perundangan yang terbentuk melalui adat dan kebudayaan sesuatu masyarakat


2- Perundangan yang dibentuk oleh seseorang pemerintah yang ditaati dalam sesuatu
masyarakat
3- Perundangan yang dibentuk oleh kumpulan individu yang berautoriti
4- Perundangan yang datang daripada Pencipta manusia atau disebut sebagai
perundangan Samawi.

Tiga perundangan di awal tersebut adalah undang-undang yang dibuat oleh manusia atau
disebut sebagai undang-undang wad’i. Manakala undang-undang yang diturunkan oleh
Pencipta manusia adalah sebuat Syariat yang mesti dipatuhi penganutnya.

Syariat Samawi

Syariat samawi adalah syariat yang mana Allah SWT yang “membentuknya” untuk manusia
atau satu syariat yang datang melalui wahyu. Allah yang mencipta alam kauniyah ini di mana
sesuatu benda atau hidupan yang berada di dalamnya. Pada asasnya, manusia sebagai contoh
yang hidup diatas bumi ini memerlukan panduan hidup sebagai makhluk apatah lagi sebagai
seorang hamba. Justeru syariat samawi ini adalah berperanan untuk memberi petunjuk
kepada manusia dalam memahami tujuan penciptaannya, jalan hidup yang harus dituruti,
kaedah berinteraksi dengan masyarakat. Justeru adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia
ini tidak dicipta tanpa ada panduan, hal ini jelas di dalam firman Allah SWT;
‫ب اإلنْ َسا ُن أَ ْن يُْ َْت َك ُس ًدى‬
ُ ‫ََي َس‬
َْ ‫أ‬
Yang bermaksud: “Apakah manusia mengira, bahawa dia akan dibiarkan begitu
saja (tanpa pertanggungjawaban)?”

(Surah al-Qiyamah, 75; 36)

Di dalam al-Quran itu di dapati terdapat banyak perintah dan larangan yang menjadi asas
kepada panduan dalam hidup. Perintah dan larangan ini sebagaimana yang dijelaskan ulama’
tidak diturunkan melainkan diterangkan juga jalan untuk melaksanakan tuntutan tersebut
dan kaedah mengatur kehidupan manusia yang boleh difahami sebagai perundangan (al-
Qanun). Syariat samawi ini meliputi semua syariat yang diturunkan Allah kepada rasul-
rasulnya, namun, syariat tersebut telah disempurnakan dengan turunnya syariat Islam
melalui Nabi Muhammad SAW.

Undang-Undang ciptaan manusia

Jika syariat samawi sebelum ini pembuatnya atau yang mengarahkannya adalah Allah SWT
pencipta sekalian makhluk. Undang-undang ciptaan manusia ini pula adalah satu kaedah,
panduan dan sistem yang dibentuk oleh manusia. Sudah tentu terdapat perbezaan yang
ketara antara undang-undang ini dengan syariat samawi. Namun, realitinya, undang-undang
ini juga berperanan untuk mengatur kehidupan manusia, kerana sememangnya tabiat
manusia itu perlu wujudnya peraturan dan sistem sosial bagi mengelakkan konflik yang
berpanjangan.

Dalam realiti hari ini kita mendapati terdapat banyak undang-undang yang berpaksikan
kepada manusi sebagai penggubal. Undang-undang tersebut wujud dalam banyak bentuk
seperti undang-undang sosial, undang-undang adat, undang-undang sivil sesebuah negara.
Walaupun begitu, tidaklah undang-undang tersebut ditolak mentah-mentah kerana ia bukan
syariat yang digubal berasaskan sumber wahyu. Dalam penyelidikan hukum Islam, undang-
undang ciptaan manusia ini masih boleh disesuaikan dengan kehendak syarak kerana paksi
penggubalannya adalah sama iaitu demi menjamin kemaslahatan manusia. Akan tetapi
elemen ketuhanan dan keimanan yang sebenarnya tunjang kepada sebuah perundangan
masih lagi kosong dan tidak dihayati dalam undang-undang ciptaan manusia. Begitu juga
elemen mistik, tahyul dan khurafat yang wujud dalam sesuatu perundangan perlu
dimurnikan dengan pendekatan yang sesuai.

Masyarakat Arab dan Islam

Sebagaimana maklum, syariat Islam pada awal penurunannya adalah kepada bangsa Arab.
Bangsa arab adalah mereka yang tinggal di sebuah kawasan yang disebut sebagai tanah Arab.
Secara umumnya keturunan bangsa Arab ini dibahagi kepada dua kelompok kaum yang
besar iaitu al-Qahtani dan al-‘Adnani. Kaum al-Qahtani lazimnya menghuni di Kawasan
selatan tanah Arab di mana sebahagian mereka ini adalah penghuni negara Yaman. Manakala
al-‘Adnani adalah keturunan Isma’il bin Ibrahim iaitu bangsa arab di bahagian timur yang
merupakan penghuni Hijaz. Daripada dua kaum ini lahirlah pecahan kabilah yang banyak.
Selain itu bangsa arab ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu mereka yang hidup maju atau
disebut al-hadarah dan mereka yang hidup secara berpindah randah (nomad) yang disebut
sebagai nomad. Kebanyakan bangsa Arab sebelum kedatangan Islam adalah mereka yang
hidup secara nomad kecuali sebahagian mereka yang hidup di sebuah bandar atau pekan
yang mana lebih maju seperti di Yaman, Madinah (Yathrib ketika itu) dan Mekah. Golongan
badwi ini hidup berpindah-randah mencari air dan kawasan ragut, hidup dalam perkemahan
dan mengembala haiwan. Berbeza dengan mereka yang lebih maju di mana mereka bertani
dan berniaga dengan perniagaan yang lebih baik berbanding golongan badwi.

Secara ringkasnya, kehidupan bangsa Arab sebelum kedatangan Islam adalah berpuak-puak
dan ta’sub dengan kabilah masing-masing. Budaya ‘asabiyyah ini lazim menyebabkan
berlakunya peperangan antara kabilah. Sikap ini menyebabkan sesuatu perjuangan itu tidak
lagi berpaksikan kebenaran. Realiti perpecahan ini memberi gambaran yang buruk kepada
situasi kehidupan masyarakat Arab ketika itu. Hal ini berpanjangan sehingga syariat Islam
diturunkan melalui utusan Allah SWT yang mulia.

Kedatangan Islam pada hakikatnya memberi impak yang besar kepada realiti masyarakat
Islam ketika itu. Islam membawa misi penting seperti keadilan, menyama ratakan
masyarakat, menghilangkan semangat ‘asabiyyah, melarang pembunuhan tanpa hak.
menerapkan semangat persaudaraan, mencegah perbuatan yang tidak bermoral dalam
masyarakat dan paling penting menerapkan elemen akidah dan keimanan dengan
mengetahui bahawa Allah SWT sahaja yang layak disembah dan ditaati. Islam juga datang
membawa misi mengislah sistem-sistem masyarakat Arab seperti sistem pengambilan anak
angkat yang menjadi mahram dan layak menerima perwarisan, penindasan kepada golongan
wanita, sistem perkahwinan atau hubungan suami isteri dan sebagainya.

Namun, tidaklah Islam itu datang menghapuskan secara mutlak amalan dan kebudayaan
masyarakat Arab, akan tetapi terdapat banyak perkara yang diiktiraf dan diserap masuk
kedalam Islam. Seperti amalan-amalan yang mulia, baik dan terpuji yang telah diamalkan
masyarakat Arab sebelum Islam. Antara contoh amalan tersebut adalah berpegang kepada
janji, sikap keberanian mempertahankan negara, memuliakan tetamu dan selainnya. Justeru,
Islam yang datang dalam masyarakat Arab sebagai sebuah Syariat tetap memelihara budaya
masyarakat ketika itu selagi mana ua selari dengan prinsip dan objektif pensyariatan.

Konsep Syariat Islam

Syariat Islam adalah gabungan dua perkataan iaitu syariat dan Islam. Syariat dari sudut
bahasa adalah tempat keluar atau jalan yang lurus. Apabila disebut syir’ah al-ma’ dalam
bahasa Arab adalah merujuk tempat dimana yang diambil untuk diminum. Manakala jika
yang dimaksudkan berkait dengan jalan atau manhaj maka ia dimaksudkan sebagai jalan
yang jelas dan terang.

Syariat dari sudut istilah pula adalah setiap apa yang disyariatkan Allah SWT kepada
hambanya dari agama iaitu daripada hukum-hukum yang pelbagai. Hukum-hukum itu juga
dinamakan syariat kerana sifanya yang lurus dan mirip dengan tempat ambilan air. Hal ini
jelas kerana syariat sebagai tempat ambilan untuk menghidupkan jiwa dan akal manakala
tempat ambilan air adalah untuk menghidupkan badan.
Syariat, agama dan millah itu adalah membawa maksud yang sama iaitu apa yang
disyariatkan Allah SWT kepada hambanya daripada hukum-hukum. Hukum-hukum ini
dinamakan syariat sebagai gambaran kedudukannya dan kebenarannya. Manakala
diistilahkan agama (al-din) yang merujuk kepada tunduk dan beribada kepada Allah.
Kemudian millah sering digunakan kerana ia meliputi manusia. Perkataan millah dalam
penggunaan al-Quran adalah disandarkan kepada Nabi selain Nabi Muhammad, dan ia juga
tidak disandarkan kepada Allah dari sudut bahasa. Sebagai contoh millah Ibrahim tidak
disebuat millah Muhammad atau millah Allah.

Manakala Islan diertikan sebagai kebergantungan dan penyerahan kepada Allah. Istilah
Islam ini kemudiannya menjadi istilah khas kepada al-din, iaitu al-din jika disebut ia merujuk
kepada Islam. Hal ini selari dengan firman Allah SWT;

‫الم ِدينًا‬
َ ‫اإلس‬
ِ ِ
ُ ‫ت َعلَْي ُك ْم ن ْع َم ِِت َوَرض‬
ْ ‫يت لَ ُك ُم‬
ِ
ُ ‫ت لَ ُك ْم دينَ ُك ْم َوأَْْتَ ْم‬
ُ ْ‫الْيَ ْوَم أَ ْك َمل‬
Yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu,
dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu
sebagai agama bagimu”

(Surah al-Maidah, 5: 3)

Begitu juga firman Allah SWT:

ِ ِ ِ ِ ِ ِ
َ ‫اإلسالم دينًا فَلَ ْن يُ ْقبَ َل مْنهُ َو ُه َو ِِف اآلخَرةِ م َن ا ْْلَاس ِر‬
‫ين‬ ْ ‫َوَم ْن يَْب تَ ِغ َغ ْ َْي‬
Yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-
kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk
orang-orang yang rugi.”

(Surah Ali ‘Imran, 3: 85)

Kemudian, istilah syariat dan Islam yang digabungkan menjadi syariat islam membentuk
satu Istilah syarak yang khas iaitu hukum-hukum yang disyariatkan Allah kepada hambanya,
sama ada pensyariatan hukum tersebut melalui al-Quran ataupun Sunnah Nabi Muhammad
SAW dalam bentuk perkataan, perbuatan dan perakuan. Justeru syariat Islam adalah sesuatu
yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan wahyu daripada Allah
SWT.

Ciri-Ciri Syariat Islam

Terdapat beberapa ciri utama kepada syariat Islam yang dapat membezakannya dengan
syariat-syariat yang lain. Penjelasan kepada ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut (Zaydan,
2009);

1- Syariat yang datang daripada Allah SWT (Rabbani)

Sumber kepada syariatt Islam adalah Allah SWT iaitu berupa wahyu-Nya kepada Rasulullah
SAW sama ada dalam bentuk lafaz dan makna iaitu al-Quran ataupun makna semata-mata
iaitu al-sunnah. Dengan ciri yang pertama ini dapat membezakan syariat Islam dengan
undang-undang cipataan manusia yang penggubalnya adalah manusia sedangakan syariat
Islam digubal oleh Tuhan kepada manusia. Tonggak asas kepada ciri ini dapat difahami
dengan beberapa kesimpulan berikut;

i. Prinsip dan hukum syarak itu bebas daripada unsur kekejaman, kekurangan dan
hawa nafsu kerana ia datang daripada Allah SWT. Sedangkan Allah SWT Maha
Sempurna. Berbeza dengan undang-undang ciptan manusia yang tidak sunyi dari
kejahilan, kezaliman, kekurngan dan hawa nafsu. Oleh itu didapati syariat Islam
itu datangan mempromosi kesama rataan antara manusia tanpa mengira warna
kulit, gender dan bahasa. Hanya perkara yang membezakan antara seseorang itu
adalah amalan soleh dan takwa.
ii. Hukum syarak memelihara dan memuliakan jiwa orang beriman sama ada dia
pihak yang menghukum atau pihak yang dikenakan hukuman. Perkara ini jelas
dengan memahami hukuman yang telah digariskan dalam syariat Islam seperti
isu ganti rugi, perlaksanaan hukuman qisas dan larangan membunuh tanpa hak.
2- Ganjaran dalam syariat di dunia dan akhirat.

Antara ciri perundangan adalah melibatkan hukuman di dunia sahaja. Namun, dalam
perspektif yang luas syariat Islam dibentuk dengan ganjaran ataupun balasan di dunia juga
di akhirat. Sebagai contoh ganjaran dan balasan dunia yang wujud dalam syariat Islam adalah
seperti pampasan ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan ke atas harta orang lain, hukuman
hudud yang dilaksanakan di dalam Islam dan sebagainya. Manakala ganjaran dan balasan
diakhirat adalah berbentuk pahala, amalan-amalan hati dan amalan anggota badan,

3- Syariat Islam yang bersifat universal dan abadi

Syariat Islam adalah bersifat universal dan abadi yang mana tidak menerima pemansuhan
dan perubahan. Setiap yang diturunkan secara lazimnya adalah untuk merialisasikan
kemaslahatan manusia pada setiap zaman dan tempat. Syariat Islam juga berperanan untuk
memenuhi keperluan penganutnya dan tidak menyusahkan mereka. Hukum-hukum dalam
syariat Islam dilihat relevan dalam memelihara kemaslahatan manusia. Asas-asas yang
mendukung ciri ini antaranya adalah (Mohd Saleh, 1999);

i. Terbinanya syariat Islam itu adalah untuk meraih kemaslahatan dan menolak
kerosakan. Hal ini jelas dapat difahami kerana pada asasnya syariat itu
keseluruhannya adalah maslahah. Menolak kerosakan dalam konteks ini juga
merupakan satu maslahah yang hendak diraih dalam syariat Islam. Contohnya,
perlaksanaan qisas demi memelihara kemaslahatan jiwa yang lebih besar. Begitu
juga mensyariatkan rukhsah dalam keadaan wujudnya kesempitan dalam
melaksanakan atau mengaplikasikan hukum. Contohnya diharuskan mengucap
kalimah kufur tatkala diancam bunuh demi memelihara kelangsungan hidup dan
diharuskan memakan bangkai ketika berada dalam keadaan darurat.
ii. Prinsip syariat Islam dan tabiat hukum-hukumnya yang menjadikannya universal
dan abadi. Sebagaimana maklum bahawa hukum syarak itu boleh dibahagikan
kepada dua, pertama hukum yang didatangkan secara terperinci manakala kedua
didatangan dalam bentuk prinsip dan kaedah umum. Kedua-duanya ini
kemudiannya dapat disesuaikan pada setiap zaman dan tempat. Sebagaimana
contoh bagi bentuk kedua, terdapat satu kaedah yang terbentuk daripada hadis
Nabi SAW iaitu “tidak memudaratkan dan tidak mendatangkan mudarat” yang
mana dapat diaplikasikan dalam banyak keadaan dan menyelesaikan persoalan
semasa.
iii. Kepelbagaian sumber-sumber hukum. Pada asasnya al-Quran dan al-Sunnah
adalah sumber utama dan asli. Namun, kewujudan ijmak dan ijtihad yang dapat
difahami dari al-Quran dan al-sunnah telah menjadi sumber hukum Islam.
Kemudian daripada ijtihad wujudnya sumber-sumber hukum yang lain seperti
qiyas, istihsan, istislah dan sebagainya. Sumber ini akan menjadi rujukan dalam
penyelesaian hukum pada setiap masa yang membuktikan keumuman Syariah
dan menjamin kelangsungannya hingga hari kiamat.
4- Syariah bersifat komprehensif

Syariat Islam merupakan sistem yang komprehensif meliputi semua aspek kehidupan.
Syariah mengatur manusia ke jalan keimanan dan menjelaskan asas-asas akidah dan hubunga
mereka dengan pencipta. Ia juga menganjurkan penyucian jiwa dan memutuskan perkara
yang berkait perhubungan sesame manusia. Bahkan perkara kecil seperti masuknya lalat ke
dalam minuman atau adab-adab membuang air besar atau kecil telah dijelaskan. Perkara ini
menunjukkan sifat komprehensif Syariah meliputi aspek akidah, ibadah dan akhlak.

Fiqh, Hukum dan Undang-Undang

Syariah sebagai sebuah konsep yang khusus mempunyai perbezaan dengan fiqh, hukum dan
undang-undang. Secara dasarnya setiap korpus ilmu tersebut mempunyai perbezaan antara
satu sama lain. Fiqh dari sudut bahasa bermaksud kefahaman. Dari sudut istilah fiqh adalah
ilmu terhada hukum syaraka yang bersifat amali yang diperolehi daropada dalil-dalil yang
terperinci (al-Zuhayli, 2003). memahami hukum syarak melalui proses ijtihad. Seperti mana
mengetahui bahawa niat berwuduk itu wajib, witir itu sunat dan sebagainya dari perkara-
perkara khilaf. Justeru perkara yang tidak ada ruang perbezaan dan ikhtilaf seperti perkara
yang qat’i tidak disebut sebagai fiqh berasaskan istilah tersebut kerana tidak melalui proses
ijtihad (Hito, 2021).

Hukum pula membawa maksud mencegah dalam bahasa Arab. Namun, dalam istilah
pengajian Islam, hukum bermaksud arahan (al-khitab) Allah SWT yang berkait dengan
perbuatan mukallaf sama ada secara tuntutan, pilihan ada wad’i. Hukum ini dibahagi kepada
dua iaitu hukum taklifi dan wad’i. Secara ringksnya hukum taklifi adalah merujuk kepada
wajib, sunat, harus, makruh dan haram dan hukum wad’i adalah merujuk kepada sebab,
syarat dan halangan (Hito, 2021). Daripada penjelasan ini secara kasarnya dapat dirumuskan
bahawa fiqh adalah melibatkan kefahaman manusia terhadap dalil, manakala hukum adalah
arahan Allah yang terkandung di dalam dalil. Maka fiqh boleh dikatakan satu usaha untuk
memahami hukum di dalam dalil menggunakan perantaraan ilmu usul al-fiqh atau istinbat.

Manakala, berbeza dengan Syariah, fiqh dan hukum, undang-undang mempunyai sudut
pandang yang berlainan. Norma-norma yang diperolehi dari hukum akan diperundangkan
melalui badan perundangan tertententu, maka jadilah satu undang-undang. Ia lebih
menjurus satu usaha menstrukturkan hukum dalam bentuk perlaksanaan yang lebih formal.
Bermakna sesuatu hukum fiqh tidak menjadi undang-undang sekiranya tidak
diperundangkan dalam sesebuah negara atau institusi. Jika hukum fiqh sebelum ini tidak
mengikat maka undang-undang boleh mengikat individu untuk mematuhinya sehingga
suatu tindakan hukuman boleh dikenakan jika berlaku pengingkaran. Justeru, undang-
undang ini lebih dibawah kuasa kerajaan atau pemerintah (Mahmood Zuhdi, 2017).

Rujukan

Hito, Muhammad Hassan (2021). Al-Khulasah fi Usul al-Fiqh. Dimasyq: Dar al-Mustafa.

Rosele, Muhammad Ikhlas (2021). Usul al-Fiqh. Kuala Lumpur: Penerbit UM

Zaydan, Abd al-Karim (2009). Al-Madkhal Li Dirasah al-Syari’ah al-Islamiyyah. Bayrut:


Muasasah al-Risalah.

Al-Zuhayli, Wahbah (2003). Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Dimasyq: Dar al-Fikr.

Mahmood Zuhdi, A. M. (2017). Sejarah Pembinaan Hukum Islam. Kuala Lumpur: Penerbit UM.

Mohd Saleh H. A. (1999). Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.

Anda mungkin juga menyukai