Anda di halaman 1dari 2

Entimuk dan Kejuang

Pencerita: Richelle Muntai anak Stanley


Sekolah: SK Rumah Tinggi, Subis
Penulis: Isabella Jali
Diterbitkan oleh: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia

Terima kasih pengerusi majlis, yang arif lagi bijaksana barisan panel hakim, yang
sentiasa cakna dengan jamnya penjaga masa, dan hadirin sekalian. Salam sejahtera dan
selamat pagi saya ucapkan. Pada pagi yang mulia ini, saya Richelle Muntai anak Stanley
akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Entimuk dan Kejuang.

Syair
Tersebutlah kisah dahulu kala,
Tinggal berdua bersaudara,
Ibu bapa sudah tiada,
Meninggalkan mereka sebatang kara.

Suatu ketika dahulu, ada dua orang adik-beradik yang bernama Entimuk dan Kejuang.
Mereka tinggal di rumah panjang. Sejak ibu bapa mereka meninggal dunia, mereka
belajar hidup berdikari.
Entimuk dan kakaknya, kejuang mewarisi harta pusaka seperti tanah, tembikar dan
gong. Ayah telah berpesan kepada Kejuang, “Usahakanlah tanah itu bersama-sama
adikmu. Jangan jual tembikar dan gong tinggalan nenek moyang kamu itu. Jaga adikmu
baik-baik.”
Sebagai anak sulung, Kejuang berasa dirinya patut memiliki sebahagian besar harta
pusaka itu. “Ayah telah meninggalkan tiga ekar tanah, sepuluh biji tembikar dan enam
biji gong. Aku diamanahkan untuk membahagikan semua harta pusaka itu. Oleh sebab
aku anak sulung, engkau mesti menerima keputusanku,” kata Kejuang. “Ya, saya ikut
saja keputusan kakak,” kata Entimuk.
Tanpa berlengah-lengah lagi, Kejuang terus membahagikan harta pusaka itu. “Dua
ekar tanah itu milik aku. Satu ekar lagi milik kamu. Aku berhak mendapat tanah yang
lebih luas kerana aku anak sulung. Semua tembikar dan gong ini biar aku yang
menjaganya,” kata Kejuang. Entimuk menurut sahaja keputusan Kejuang tanpa menaruh
rasa curiga.
Kejuang bukan sahaja mengambil tanah yang lebih luas, malah ingin menjual
tembikar dan gong pusaka itu. Pada suatu petang, sebaik sahaja Entimuk pergi ke
sawah, Kejuang pergi ke pekan. Dia menjual semua tembikar dan gong pusaka itu
kepada pedagang. Sebaik sahaja tiba di rumah, Kejuang terus menyembunyikan duit
yang diperolehinya.
Apabila Entimuk pulang dari sawah, dia terkejut apabila mendapati tembikar dan
gong sudah hilang. Dia terus mendapatkan Kejuang. “Kakak, semua tembikar dan gong
pusaka sudah tiada,” kata Entimuk. “Jangan risau. Aku telah pindahkan semuanya ke
pondok di kebun kita. Lebih selamat di sana,” kata Kejuang.
Apabila musim menanam padi bermula, Entimuk dan Kejuang menguasahakan tanah
masing-masing. Walaupun tanahnya luas, Kejuang menanam padi sahaja. Entimuk pula
mengusahakan tanahnya dengan menanam padi dan pelbagai jenis sayur-sayuran.
Akhirnya, padi yang mereka tanam mula menguning. “Entimuk pasti cemburu
kerana padiku lebih banyak daripadanya,” fikir Kejuang. Tanpa berlengah lagi, Kejuang
pergi menemui Entimuk.
“Entimuk, banyakkah hasil padi kamu?” tanya Kejuang. “Syukurlah, padi dan sayur-
sayuran yang saya tanam semuanya membuahkan hasil,” jawab Entimuk. “ Tetapi padi
kamu tidak sebanyak padi aku. Hasil tuaianku tentu berlipat kali ganda,” kata Kejuang
dengan sombong. Entimuk hanya mendiamkan diri.
Tidak lama kemudian, musim menuai padi pun tiba. Entimuk dan Kejuang bekerja
keras menuai padi mereka. Kejuang sudah mula mengira keuntungan yang akan
diperolehnya nanti.
Setelah beberapa hari, akhirnya Entimuk selesai menuai padi dan mengutip sayur-
sayurannya. Dia menjual hasilnya itu di pasar, manakala Kejuang masih lagi menuai
padinya. Ketika hendak pulang, Entimuk singgah di sawah Kejuang.
“Boleh saya tolong kakak tuai padi?” tanya Entimuk. “Tidak mengapa, aku boleh
buat sendiri,” balas Kejuang yang bimbang Entimuk akan meminta hasil padinya. Dia
tidak mahu berkongsi hasil padinya itu.
Keesokannya, Kejuang bergegas pergi ke sawah. Dia sudah tidak sabar untuk
menjual hasil padinya. Sebaik sahaja tiba, Kejuang terkejut apabila melihat semua
padinya habis dimakan kera. Kejuang menangis teresak-esak. Kejuang pulang ke rumah
dengan hampa. Entimuk berasa hairan melihat kakaknya.
“ Mengapa kakak nampak sedih?” tanya Entimuk. “Padi aku habis dimakan kera,”
jawab Kejuang sambil menangis. “Sabarlah kak. Kalau kakak perlukan duit, guna sajalah
duit jualan padi dan sayur saya,” kata Entimuk.
Kejuang terharu dengan sikap adiknya itu. Dia meminta maaf dan menceritakan
segala-galanya.
“Tak apalah kak. Mulai sekarang, kita sama-sama usahakan tanah pusaka itu,” kata
Entimuk.

Pengajaran dari cerita ini, kita hendaklah bersikap baik dengan adik beradik kita. Kita
harus berlaku adil dalam setiap keputusan yang kita buat. Jangan bersikap tamak,
kerana orang yang tamak selalu rugi. Jadi amalkan lah sikap jujur, amanah dan baik hati
dalam setiap perlakuan dan tingkah laku kita.

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai