Anda di halaman 1dari 10

BAB 1

PENDAHULUAN

1.0 PENGENALAN

Kajian yang dijalankan ini adalah untuk mengenalpasti unsur kritikan sosial dalam cerita
jenaka di mana ianya merupakan karya agung yang penting dalam kesusasteraan tradisional
Melayu. Ianya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Karya ini bukan
semata-mata untuk hiburan yang digunakan oleh masyarakat Melayu pada masa dahulu
namun sebagai pendekatan untuk menyampaikan pengajaran dan makna berlapis bagi
menyindir sesuatu perbuatan masyarakat Melayu pada ketika itu. Pengarang pada ketika itu
menggunakan bahasa penyampaian yang sangat halus dimana ianya sesuai dengan sifat
masyarakat Melayu itu sendiri yang dikenali sebagai masyarakat yang lemah lembut dan
halus budi pekertinya.

Kritikan sosial juga adalah salah satu elemen penting dalam Kesusasteraan di mana
ianya adalah satu bentuk komunikasi dalam masyarakat yang bertujuan atau berfungsi
sebagai pengawalan terhadap jalan cerita suatu sistem atau proses bermasyarakat. Dalam erti
kata lain, kritikan sosial adalah tindakan membandingkan serta mengamati secara teliti dan
melihat perkembangan secara cermat tentang baik atau buruknya kualiti suatu masyarakat.
Tindakan mengkritik boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk sasterawan sekalipun
kerana kritikan sosial merupakan suatu perkara penting dalam memelihara sistem sosial yang
ada. Kritikan yang dikenakan bukanlah hanya untuk memburukkan seseorang tetapi bertujuan
untuk menyedarkan masyarakat bahawa sebarang tindakan memberi satu kesan yang baik
pada diri individu mahupun masyarakat.

Cerita jenaka merupakan sastera lisan di mana fokus penulisannya adalah mengenai
cerita jenaka Melayu seperti cerita Pak Pandir, cerita Pak Kaduk, cerita Si Luncai, cerita
Lebai Malang dan cerita Pak Belalang. Sebagaimana kita ketahui, sastera lisan merupakan
sastera rakyat yang dituturkan oleh orang perseorangan, tukang cerita atau penglipur lara.
Sintesis dan penganalisisan cerita-cerita jenaka tersebut bertujuan memperlihatkan dan
memperjelaskan unsur kritikan sosial yang terdapat dalam cerita jenaka Melayu. Secara tidak
langsung, kajian ini berupaya memberikan pengajaran mahupun nasihat kepada masyarakat
kini. Semua cerita jenaka itu mempunyai maksud hiburan, petunjuk, sindiran, seperti yang
terdapat dalam cerita-cerita jenaka tersebut.

1
1.1 LATAR BELAKANG KAJIAN

Kritikan sosial adalah satu bentuk komunikasi dalam masyarakat yang bertujuan atau
berfungsi untuk mengawal kehidupan bermasyarakat. Kritikan sosial ialah frasa yang terdiri
dari dua kata iaitu 'kritik' dan 'sosial'. Maksud 'kritik' ialah analisis, penilaian, dan ulasan
terhadap sesuatu. Sementara 'sosial' pula bermaksud yang berkaitan dengan masyarakat,
perlakuan masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu , kritikan sosial dapat diertikan dengan
penilaian atau pengajian keadaan masyarakat pada satu-satu masa. Dalam kritikan sosial
terdapat tiga perkara yang diambil kira iaitu, penilaian, perbandingan dan pengungkapan
mengenai suatu masyarakat. Aspek-aspek ini saling berkait rapat dengan nilai-nilai yang
diamalkan ataupun sifat -sifat yang boleh dijadikan pedoman hidup.

Cerita Jenaka adalah antara cerita rakyat yang berkembang secara lisan dan masih
bertahan hingga ke hari ini kerana ia adalah satu-satunya cerita yang bersifat kelucuan dan
menghiburkan setiap pendengar. Selain daripada menghibur, ia juga bertujuan untuk memberi
nasihat dan pendidikan secara tidak formal kepada ahli-ahli masyarakatnya. Menurut
Danandjaja (1984) “Cerita Jenaka” diperkenalkan oleh RO Winstedt dan A.J Sturrock dan
amat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat silam daripada peringkat umur kanak-kanak
sehingga dewasa pada masa silam. Hal ini demikian kerana, dapat dikaitkan dengan definisi
dan fungsi kelahiran cerita jenaka. Cerita Jenaka disebut sebagai Merry Tales, Jokes Farsical,
cerita komedi dan cerita lawak. Bagi definisi umum, cerita jenaka juga disebut sebagai cerita
lucu yang mengandungi unsur humor dan dapat menimbulkan rasa geli hati.

Terdapat beberapa fungsi yang tersendiri dalam cerita jenaka antaranya adalah
sebagai wahana hiburan. Jelas menunjukkan bahawa cerita jenaka adalah berunsurkan
kelucuan yang dimiliki oleh watak-watak dan peristiwa-peristiwa yang wujud dalam cerita
khususnya watak utama. Ini jelas terbukti watak utama seperti watak Pak Pandir, Lebai
Malang, Si Luncai, Pak Kaduk, Pak Belalang dan lain-lain lagi. Perwatakan yang ditonjolkan
oleh mereka telah menimbulkan kegelian hati dan menggerakkan lagi sesebuah cerita.
Selain itu, fungsi cerita jenaka sebagai kritikan sosial masyarakat Melayu khususnya
melibatkan golongan bawahan mahupun atasan. Kritikan sosial dalam cerita jenaka ini untuk
menegur, menyindir atau mengkritik masyarakat secara halus tanpa menimbulkan
pergaduhan dan pertelingkahan.

Bagi teori pula, pengkaji mengaplikasikan Teori Pendekatan Sosiologi dan


Pendekatan Moral dalam kajian ini. Pendekatan Sosiologi dalam kritikan sastera ialah satu
kaedah kritikan yang menggunakan prinsip-prinsip teori Sosiologi. Terdapat tiga teori utama
Sosiologi yang dapat dijadikan sebagai perspektif dalam memandang berbagai kajian sosial.
Tiga teori utama Sosiologi ini meliputi teori fungsionalisme structural, teori konflik dan teori
interaksi simbolik. Ketiga perspektif ini dinilai cukup berpengaruh dalam berbagai kajian
Sosiologi dan sering digunakan untuk mengkaji berbagai fenomena sosial. Walaupun
Sosiologi bersumberkan bidang sains sosial, namun ia tetap mempunyai hubungkait dengan
kesusasteraan. Sosiologi berkait rapat dengan aspek sejarah sebagaimana yang dibincangkan
dalam pendekatan Historikal sebelum ini. Sosiologi melibatkan pelbagai perkara yang
melibatkan latar sosial masyarakat baik di dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek

2
yang menjadi teras kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya dan
etika sosial akan turut dilihat sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi
kepengarangan dan latar tekstual karya. Falsafah pemikiran Auguste Comte (1798-1875)
yang meletakkan sosiologi sebagai ilmu yang tertinggi dan patut dipelajari, maka kritikan
sastera dan penulisan teksnya juga turut dipengaruhinya. Secara ringkasnya, pendekatan
sosiologi ini memberi penekanan kepada aspek-aspek sosial tentang bagaimana seseorang
rakyat atau individu itu seharusnya menjadi anggota masyarakat yang berguna,
bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat umumnya. Dalam hal ini, pendekatan
sosiologi tidak dapat lari dari membicarakan tentang pengkarya. Pengkritik perlu mahir
mengenalpasti aspek-aspek sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya di samping
mampu menghubungkan sosiologi itu dengan kesusasteraan.

Menurut Atar Semi (1984), pendekatan moral bertolak dari dasar pemikiran bahawa
sesuatu karya sastera dianggap sebagai suatu medium yang paling berkesan dalam membina
moral dan keperibadian kelompok sesuatu masyarakat (Rahman Shaari:1994:72). Manakala
Hashim Awang (1998: 9), memberikan pendapat bahawa teori moral timbul daripada
tanggapan dasar bahawa selain menjadi objek alam, sastera juga kejadian alam berupa
penghasilan ciptaan manusia. Di sini kejadian alam tidak lagi dilihat sebagai kewujudan
berbentuk alat atau benda, tetapi kejadian peristiwa yang mengambil sifat pengalaman hidup.
Pendekatan moral lebih menekankan kepada penilaian moral dan hubungan budaya iaitu
penilaian bercorak agama, kebudayaan dan falsafah. Penekanan dalam kritikan lebih kepada
soal baik buruknya sesuatu unsur yang terdapat dalam sesebuah karya. Ada empat kaedah
kritikan dalam pendekatan moral iaitu yang pertama sesebuah karya itu haruslah dilihat dari
aspek isinya. Yang kedua, perbincangan aspek moral karya. Yang ketiga, perbicaraan tentang
nilai karya dan yang keempat ialah membicarakan kesan atau pengaruh karya tersebut kepada
pembaca.

3
1.2 PERNYATAAN MASALAH

Pada era dunia yang canggih ini semakin pesat dengan ilmu sains dan teknologi. Ketaksuban
dalam mengejar kemajuan zaman, dunia sastera semakin dipinggirkan dan ada yang
menganggap dunia sastera sebagai dunia yang tidak bernilai. Kehidupan masyarakat kini
yang semakin didasari oleh kepesatan dunia sains dan teknologi menjadikan masyarakat
semakin kurang untuk menggemari cerita-cerita rakyat iaitu cerita jenaka yang menjadi
pemangkin dalam pembentukan sahsiah diri seseorang individu. Kemajuan dalam bidang
teknologi telah menenggelamkan ingatan masyarakat tentang kepentingan dunia sastera
terutamanya cerita jenaka yang adanya unsur-unsur kritikan yang boleh dijadikan sebagai
nilai dan pengajaran.

Masalah yang dihadapi dalam kajian ini ialah kurangnya kesedaran masyarakat
setempat tentang teguran yang diberikan. Dengan itu, timbullah satu pemikiran masyarakat
dalam memberi teguran ataupun sindiran melalui cerita jenaka yang disampaikan secara lisan.
Seterusnya, kajian mengenai unsur-unsur kritikan yang terdapat dalam cerita jenaka kurang
diperkatakan dalam dunia yang penuh dengan dunia teknologi moden. Hal ini kerana
pembaca kurang minat dalam mengkaji mesej ataupun pengajaran yang mengandungi unsur
kritikan yang dianggap boleh mendidik para pembaca apabila menghayati sesebuah cerita
tersebut. Pembaca hanya ingin mengetahui cerita yang berunsurkan kejenakaan serta
kelucuan yang ingin disampaikan semata-mata. Contoh yang paling jelas ialah “Cerita Pak
Kaduk” yang berunsurkan kejenakaan namun maksud disebaliknya penuh dengan unsur
sindiran.

Akhirnya, masyarakat mengganggap bahawa bidang sastera tiada nilai komersial jika
hendak dibandingkan dengan bidang-bidang yang lain. Contohnya bidang sains yang penuh
dengan kepesatan teknologi pada zaman ini. Keadaan ini turut mempengaruhi generasi muda
zaman sekarang yang mana tidak berminat dalam mendalami pelajaran terutamanya bidang
sastera dan sekolah juga turut terkena tempias. Tanggapan negatif tersebut telah
mempengaruhi pelajar pada masa sekarang dan kebanyakan sekolah menutup pengajaran
mata pelajaran sastera di sekolah disebabkan pelajar kurang mengambil perhatian terhadap
mata pelajaran tersebut. Kajian ini dapat memperkenalkan unsur-unsur sindiran dan kritikan
sekaligus mendidik dan menarik minat masyarakat dalam bidang sastera.

4
1.3 PERSOALAN KAJIAN

Dalam kajian ini, terdapat beberapa persoalan yang dapat dibangkitkan, antaranya:

4.1 Apakah unsur kritikan sosial dalam cerita jenaka.

4.2 Sejauhmanakah pengaplikasian Teori Pendekatan Sosiologi dan Pendekatan


Moral dalam cerita jenaka.

1.4 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian yang dijalankan ini berusaha sedaya upaya untuk menjawab persoalan-
persoalan kajian berdasarkan dua objektif berikut:

3.1 Mengenalpasti unsur kritikan sosial dalam cerita jenaka.

3.2 Membincangkan aspek kritikan sosial dalam cerita jenaka berdasarkan


pengaplikasian Teori Pendekatan Sosiologi dan Pendekatan Moral.

5
1.5 DEFINISI KONSEP

Definisi konsep terhadap tajuk ‘Unsur Kritikan Sosial dalam Cerita Jenaka’
dibahagikan setiap maksud tertentu. Maksud unsur berdasarkan Kamus Pelajar Edisi Kedua
ialah sifat atau keadaan. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud kritikan yang pertama
ialah kritik iaitu analisis, penilaian, dan ulasan terhadap sesuatu karya sastera dan lain-lain.
Yang kedua ialah kritik iaitu ulasan atau kata-kata tentang keburukan (kelemahan) seseorang
atau sesuatu, kecaman, pengkritik orang yang mengkritik dan pembidas. Perkataan kritik
berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘kritikos’ yang beerti keupayaan untuk menanggap.
Perkataan kritik itu diterbitkan pula daripada perkataan ‘krites’ yang membawa pengertian
seseorang yang memberi pertimbangan atau analisis beralasan, pertimbangan nilai,
penafsiran, ataupun pemerhatian.

Seterusnya, maksud sosial berdasarkan Kamus Pelajar Edisi Kedua ialah segala hal
yang berkaitan dengan masyarakat atau kemasyarakatan. Definisi sosial menurut Enda M.C.
pula ialah merupakan suatu cara mengenai bagaimana tiap-tiap individu saling berhubungan
satu dengan yang lain. Maksud cerita dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah kisah atau
riwayat (mengenai sesuatu peristiwa, kejadian dan lain-lain). Menurut Bachir “2005:10”
cerita ialah menuturkan sesuatu yang mengisahkan tentang perbuatan atau sesuatu kejadian
dan disampaikan secara lisan dengan tujuan membagikan pengalaman dan pengetahuan
kepada orang lain. Akhir sekali, maksud jenaka berdasarkan Kamus Pelajar Edisi Kedua ialah
perbuatan atau kata-kata yang menggelikan hati, lawak, membangkitkan ketawa, cerita-cerita
yang menggelikan hati dan lain-lain.

Kesimpulan akhir yang dapat diberikan dan difahami dengan jelas bagi maksud unsur
kritikan sosial dalam cerita jenaka ialah sifat kritik masyarakat dalam sesuatu peristiwa
ataupun cerita jenaka atau lawak yang membangkitkan ketawa.

6
1.6 BATASAN KAJIAN

Kajian ini merangkumi beberapa aspek yang dianggap berkenaan dengan tajuk yang
dipilih oleh pengkaji. Secara keseluruhannya, aspek kajian ini adalah merangkumi dan
meliputi penelitian terhadap unsur-unsur kritikan sosial yang terdapat dalam cerita jenaka dan
teori yang berkaitan. Dalam buku koleksi cerita jenaka yang diterbitkan oleh TOKO BUKU
ASIA dan juga MIND TO MIND SDN. BHD, pengkaji memilih lima buah cerita jenaka
untuk dikaji dari segi kritikan atau sindiran sekaligus mengaplikasikan Teori Pendekatan
Sosiologi dan Pendekatan Moral menerusi cerita jenaka tersebut. Walau bagaimanapun,
kritikan yang dikenakan itu masih dalam lingkungan pendidikan, yakni untuk memberitahu
masyarakat supaya mengambil iktibar atau pengajaran daripada sifat-sifat yang disampaikan
melalui cerita jenaka tersebut. Cerita jenaka yang menjadi pilihan pengkaji ialah ‘Cerita Pak
Kadok’, ‘Cerita Pak Pandir’, ‘Cerita Lebai Malang’, ‘Cerita Si Luncai’ dan ‘Cerita Pak
Belalang’.

1.7 KEPENTINGAN KAJIAN

Sememangnya setiap kajian yang dijalankan mempunyai kepentingan yang tersendiri.


Kepentingan kajian ini adalah untuk menjadi satu bahan rujukan kepada pengkaji, dunia
pendidikan, bidang kesusasteraan dan juga negara. Kajian yang dijalankan terhadap prosa
tradisional iaitu cerita jenaka pada zaman dahulu amat penting untuk melihat unsur-unsur
kritikan sosial terhadap sesuatu perlakuan masyarakat. Kritikan sosial dalam sastera ini
merupakan satu teguran dimana ianya untuk menjelaskan, menilai dan menyampaikan
penerimaan dan tanggapan seseorang terhadap sesuatu karya.

Kritikan sosial dalam sastera ialah satu usaha yang bukan hendak mencari untung
tetapi mempelajari dan menyebabkan sesuatu fikiran dan sesuatu yang telah diketahui sebagai
yang terbaik dalam dunia (Matthew Arnold, 1970: 142-143). Unsur-unsur kritikan
disampaikan secara tersurat dan tersirat di dalam sesebuah prosa seperti cerita jenaka yang
banyak mengandungi mesej yang berunsur pengajaran tetapi bersifat kiasan dan lucu. Dalam
konteks ini, kita dapat melihat bagaimana cara orang Timur menghasilkan sesebuah karya
untuk menyampaikan maksud secara terus atau menggunakan kata kiasan di dalam sesebuah
karya.

Kajian tentang unsur-unsur kritikan sosial yang terdapat dalam cerita jenaka penting
untuk mengetahui tentang mesej atau pengajaran yang berunsur kritikan yang terdapat dalam
buku koleksi cerita jenaka yang diterbitkan oleh TOKO BUKU ASIA dan juga MIND TO
MIND SDN.BHD di mana ia telah menghimpunkan beberapa prosa tradisional. Kajian ini
memfokuskan tentang unsur-unsur kritikan sosial dan pengaplikasian Teori Pendekatan

7
Sosiologi dan Pendekatan Moral dalam cerita jenaka. Kajian ini penting untuk mengetahui
tentang kritikan sosial yang cuba disampaikan oleh pencerita terhadap kehidupan masyarakat
Melayu terdahulu.

Akhir sekali, kajian ini penting untuk memartabatkan genre prosa tradisional yang
semakin lama dilupakan dalam sastera sebagai salah satu aspek yang sangat penting. Hal ini
kerana prosa tradisional iaitu cerita jenaka juga berperanan dalam menyampaikan mesej
kepada seseorang individu atau masyarakat. Melalui penggunaan bahasa yang berunsurkan
kejenakaan dapat menarik perhatian para pembaca yang membaca tentang isi tersurat dan
tersirat pada cerita tersebut. Dengan adanya kajian ini, ia akan dapat memantapkan lagi
perkembangan kesusasteraan Melayu pada masa kini.

1.8 KESIMPULAN

Kesimpulannya, cerita jenaka sebenarnya tidaklah begitu diambil perhatian oleh masyarakat
dan hanyalah merupakan sebahagian daripada tajuk kecil yang terkandung di dalam
Kesusasteraan Melayu Lama. Karya cerita jenaka bukan sahaja digunakan untuk hiburan
semata-mata, tetapi juga sebagai pendekatan untuk menyampaikan sesuatu maksud tersirat
melalui cara yang halus. Ianya juga ternyata mampu untuk membuka minda masyarakat
supaya menganalisis maksud tersirat disebalik sesuatu cerita tersebut. Walaupun cerita jenaka
hanya merupakan sebahagian daripada tajuk kecil sahaja tetapi ada banyak hal, aspek atau
perkara yang boleh diperlihatkan kepada pengkaji seperti unsur-unsur sosiologi dan moral.
Pengkaji tidak akan mengetahui banyak hal yang terkandung di dalam cerita jenaka ini jika
tidak dikupas. Cerita jenaka dapat membuka mata masyarakat dalam berfikir secara kritis dan
kreatif mengenai unsur kritikan sosial yang terkandung dalam cerita tersebut.

Disebalik kelucuan yang disampaikan atau diceritakan itu tersirat unsur-unsur moral
dan nasihat untuk dijadikan sebagai panduan hidup dan membawa mesej kritikan sosial yang
ditujukan kepada golongan tertentu. Melalui sifat watak-wataknya, kita dapati bahawa ianya
memberikan satu bentuk pengajaran dan tauladan kepada masyarakat. Dengan pendekatan
sosiologi pula dapat membantu masyarakat melihat cerita jenaka ini sebagai hasil budaya
yang dapat memberi pengetahuan mengenai budaya dan masyarakat sekelilingnya. Tambahan
lagi melalui cerita-cerita seperti ini juga dapat memperlihatkan corak pemikiran
pengarangnya dan juga masyarakatnya melalui tindak-tanduk watak-watak dalam cerita,
latar, pandangan dan cita-cita watak mengenai kejayaan dan kegagalan serta corak
masyarkatnya yang tergambar dalam cerita tersebut. Manakala pendekatan moral berguna
dalam mendidik masyarakat secara tidak langsung dapat memberi nasihat dan moral kepada
masyarakat serta memberi pengetahuan untuk berfikir secara kritis dan tidak bersifat satu hala
sahaja. Oleh itu, teori yang digunakan adalah menepati tajuk yang dikaji oleh pengkaji.
Jelaslah bahawa teori ini memang sesuai digunakan untuk mengkaji unsur kritikan yang
terdapat dalam cerita jenaka kerana ia sering kali dikaitkan dengan soal-soal manusia dalam
masyarakatnya.

8
1) Bibiografi
2) Semak cara menulis rujukan
3) Tambag lagi rujukan dalam definisi dan pengenalan

9
10

Anda mungkin juga menyukai