Anda di halaman 1dari 5

FPK

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".

Pendidikan adalah suatu usaha berterusan bermaksud pendidikan merupakan satu proses
pemerolehan dan pemindahan ilmu serta kemahiran dan nilai murni yang berlaku secara
berterusan dari kecil sehinggalah ke akhir hayat. Jadi, pendidikan yang bermula dari awal kanak-
kanak amatlah penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak dalam lingkungan umur
antara satu hingga enam tahun. Sahsiah yang dibentuk kemudiannya akan terus berkembang
sepanjang tempoh persekolahan. Apabila tamat persekolahan, setiap individu masih juga perlu
untuk meneruskan peningkatan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Oleh itu, proses pendidikan
yang berterusan ini mampu untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai
perubahan.

Perkembangan potensi individu pula bermaksud setiap individu telah pun dianugerahkan bakat,
potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam. Bakat, potensi dan kebolehan ini sebenarnya
dapat dicungkil, dipupuk atau dikembangkan lagi bagi menyerlahkannya. Melalui interaksi sosial
dengan orang lain atau pun peredaran alam sekitar dapat menjelmakan bakat, potensi serta
kebolehan seseorang individu. Oleh sebab itu, setiap individu perlukan pendidikan kerana
pendidikan boleh memperkembangkan lagi bakat, potensi dan kebolehan mereka.

Antara maksud bagi elemen perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu pula
ialah, bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya
perlu dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain.
Sekurang-kurangnya, perkembangan bakat, potensi serta kebolehan mestilah merangkumi
keempat-empat aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Elemen insan yang seimbang dan harmonis pula ialah, setiap individu mestilah mempunyai ilmu
(intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada tuhan serta mempunyai akhlak yang terpuji
(rohani) serta kesihatan diri yang baik (jasmani). Keempat-empat aspek tadi perlulah seimbang
untuk menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan juga orang
lain. Individu seperti ini tidak akan mempunyai sebarang masalah dalam menempuh apa juga
cabaran kehidupan dan mampu menghadapi serta menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik.

Unsur intelek ialah mempunyai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Selain itu,
setiap individu mestilah sentiasa berusaha untuk mengembangkan lagi ilmu yang benar. Unsur
intelek juga ialah berkemahiran dalam berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif. Untuk terus
memastikan kemajuan dalam keluarga masyarakat dan negera, individu perlu untuk berkongsi
ilmu dengan orang lain dan persekitaran.

Menyedari dan percaya kepada Tuhan ialah salah satu daripada unsur rohani. Kita mestilah
bersyukur dengan pemberian tuhan dan mempunyai akhlak yang mulia dan berpegang dengan
nilai-nilai murni supaya dipandang tinggi oleh masyarakat.

Unsur emosi pula ialah mempunyai emosi yang matang dan stabil serta dapat memiliki dan
memupuk perasaan kasih sayang sesama insan. Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan
amatlah penting bagi mengeratkan serta mengukuhkan lagi kekuatan masyarakat kita yang
berbilang kaum dan bangsa.

Unsur yang terakhir ialah unsur jasmani. Unsur ini ialah menyedari tentang kepentingan
kesihatan fizikal. Mestilah mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan
sosial. Menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.

Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan merupakan satu elemen yang amat penting dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita mesti mengakui tentang kewujudan Tuhan dan mengakui
bahawa Tuhan sebagai pencipta manusia dan alam. Selain itu, kita juga mesti menyedari bahawa
setiap fenomena alam merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh tuhan. Setiap individu
mesti bertanggungjawab ke atas segala perbuatan dan tindakannya. Setiap individu juga mesti
mengamalkan setiap ajaran agama yang dianutinya.

Elemen yang lain ialah, rakyat Malaysia yang berilmu tinggi. Setiap individu mestilah menyintai
ilmu pengetahuan. Jika kita cinta akan ilmu, kita akan berminat untuk menuntut pelbagai ilmu
kerana ilmu itu luas. Dalam FPK, terdapat juga rakyat Malaysia yang berketerampilan, berakhlak
mulia, serta bertanggungjawab. Berketerampilan bermaksud mempunyai kecekapan dan
kompetensi diri serta berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna. Berketerampilan
boleh dipupuk dalam setiap diri individu jika mempunyai kekuatan dalam intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Manakala berakhlak mulia pula ialah mempunyai perwatakan diri yang baik dan
berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup. Untuk memastikan kita
hidup dalam masyarakat yang harmoni dan bersepadu, nilai-nilai moral yang baik perlu untuk
menjamin masa depan negara. Bertanggungjawab pula bermaksud boleh dipercayai serta
menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan
dengan baik. Sebgai rakyat Malaysia, kita mesti menjalankan tanggungjawab kita dan mematuhi
rukun negara. Contohnya mematuhi undang-undang ataupun peraturan yang telah digubal oleh
kerajaan.

Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara merupakan elemen
yang penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu
berfikiran waras dan berjiwa tenang bagi menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar.
Setiap individu juga perlu berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi,
bertimbang rasa, kekitaan, hormat-menghormati dan bertolak ansur bagi mengukuhkan lagi
perpaduan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Untuk memberi sumbangan
terhadap keharmonian negara kita perlu berusaha untuk memajukan ekonomi negara,
mengekalkan kestabilan politik serta mematuhi perlembagaan dan peraturan negara.

Kita juga mesti berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan dapat memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara. Untuk mencapai
kesejahteraan diri, individu perlu mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi.
Berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup juga amatlah perlu. Seperti elemen yang
terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, individu yang mampu mencapai kesejahteraan
diri akan mampu untuk memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara.
Apakah maksud dasar pendidikan?

Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) telah dizahirkan melalui Penyata Razak (1956) yang
dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran (1957). Pada tahun 1960, dasar ini telah disemak semula
dan menghasilkan Laporan Rahman Talib yang kemudiannya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran
(1961). Seterusnya, DPK dikaji semula oleh sebuah Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1979.
Tujuan kajian semula tersebut adalah untuk memperbaiki pelaksanaannya agar dapat melahirkan
satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang
terlatih bagi mencapai pembangunan negara. Rentetan daripada kajian semula itu, Akta
Pendidikan 1996 [Akta 550] telah digubal dengan tujuan agar sistem pendidikan membolehkan
masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia
yang berdaya saing tinggi serta bersifat global kesan daripada perkembangan pesat sains,
teknologi dan maklumat.

DPK dilaksanakan melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan (SPK) yang memperuntukkan tiga
teras utama, iaitu penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama,
menggunakan kurikulum yang sama, iaitu Kurikulum Kebangsaan dan menduduki peperiksaan
yang sama. Ketiga-tiga teras utama ini diaplikasikan dalam peringkat pendidikan yang
diperuntukkan di bawah SPK, iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan
menengah, pendidikan lepas menengah sehingga pendidikan tinggi tetapi tidak termasuk
pendidikan di sekolah ekspatriat atau sekolah antarabangsa. Kesemua peringkat pendidikan ini
boleh diperoleh di institusi pendidikan yang dikategorikan di bawah peruntukan SPK, iaitu
institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan
swasta. Selain itu, SPK turut memperuntukkan pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan
komprehensif skopnya bagi memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan melalui
pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Pelaksanaan SPK turut mengambil kira prinsip am, iaitu murid haruslah dididik mengikut hasrat
ibu bapa masing-masing, namun tertakluk kepada keupayaan kerajaan selagi tidak melibatkan
perbelanjaan wang awam yang tidak munasabah. Oleh itu, seiring dengan hasrat merealisasikan
matlamat FPK dan peruntukan di bawah sistem pendidikan kebangsaan, KPM sebagai penggubal
dasar pendidikan amat komited bagi memastikan strategi pelaksanaan setiap dasar yang
diterjemahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
sebagai pelaksana dasar dalam bentuk tindakan dipatuhi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan
dasar yang telah digubal. Komitmen semua peringkat KPM, iaitu bahagian, JPN, PPD serta
pengetua/guru besar di sekolah amat diperlukan. Semua pihak dalam susur galur KPM
disarankan mengambil inisiatif meneliti, mengkaji, memahami, menghayati dan melaksanakan
setiap strategi pelaksanaan dasar yang digubal dengan menggerakkan jentera bertindak di setiap
peringkat organisasi masing-masing. Harapan KPM agar komitmen yang jitu, dan pelaksanaan
yang kemas dan sistematik serta kerjasama semua pihak yang terlibat dapat memperoleh
kejayaan yang cemerlang dan gemilang.

Dengan contoh-contoh yang tepat, jelaskan perkara-perkara berikut:


i. Kurikulum Kebangsaan
ii. Kurikulum Standard

Mengapakah kurikulum sekolah rendah dibina dengan isi kandungannya yang semakin sukar arasnya?
Bincangkan.

Apakah DSKP? Mengapakah DSKP dilaksanakan?

Anda mungkin juga menyukai