Anda di halaman 1dari 4

TUGASAN ESEI KRITIKAN 2

SITI ARVINA CHE COB ( P82233 )

NILAI-NILAI ARTISTIK PADA TEATER MUZIKAL JANG OH JANG

Teater Muzikal Jang Oh Jang (TMJOJ) merupakan hasil produksi Pusat Kebudayaan Universiti
Malaya dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad. Di bawah arahan Dr. Rosdeen Suboh dari
hasil karya En. Hafizee, teater ini telah dipentaskan sebanyak lima kali dalam tempoh tiga hari
mulai 25 Mac hingga 27 Mac 2016 di Panggung Eksperimen Universiti Malaya. Ringkasnya,
TMJOJ mengisahkan tentang kekecewaaan seorang lelaki yang bernama Ujang kerana hasrat
beliau untuk berkahwin dengan Milah tidak kesampaian kerana keadaan beliau yang tidak
berduit. Ini memaksa Ujang membawa diri dengan hati yang lara meninggalkan kampung
termasuk ibu beliau semata-mata untuk membuktikan kepada bapa Milah yang dia mampu
berjaya. Omak bersedih dan menunggu kepulangan Ujang saban hari sehinggalah akhirnya
Ujang kembali ke pangkuan ibunya dengan menjadi seorang yang telah berjaya dan berhasrat
untuk meminang semula Milah setelah mengetahui Milah telah putus tunang dengan Samad.

Secara keseluruhannya, pementasan TMJOJ menyajikan khalayak dengan satu


persembahan yang penuh warna warni dan mempunyai nilai-nilai artistiknya yang tersendiri. Ini
dapat dilihat daripada pelbagai aspek seperti set, prop, tata cahaya, audio, busana dan tatarias.
Kombinasi semua elenen ini telah menjadikan teater berkenaan tampak lebih real dan hidup.
Dalam aspek set dan prop misalnya, TMJOJ memaparkan sebuah teater berkonsepkan realism,
maka penggunaan set yang real telah diaplikasikan. Oleh kerana pentas yang digunakan adalah
jenis proscenium dan panggung tersebut juga agak besar, maka ianya menjadi satu kelebihan
kepada produksi terutamanya kepada pereka set dan krew untuk merancang dan membina set
yang berskala besar. Sebagai contohnya, rumah yang bersaiz besar dan mempunyai rekaan
rumah kampung yang sebenar dengan warna cat yang bersesuaian telah mewujudkan suasana
kampung yang tipical di atas pentas tersebut. Begitu juga halnya dengan pembinaan titi kayu
berserta dengan pondok serta perigi dan pokok kelapa. Penggunaan prop yang relevan dengan
konsep cerita seperti basikal tua, bakul rotan, pelita, buah kelapa dan lain-lain lagi memang
memberikan efek kepada suasana kampung sepanjang cerita tersebut. Ternyata nilai-nilai artistik
telah berjaya ditunjukkan dalam penggunaan set dan prop dalam TMJOJ.

Nilai artistik yang paling menonjol dalam TMJOJ adalah dalam aspek penataan
cahayanya. Di bawah kendalian pengarah tata cahaya, En Mohd Ziyad Jamaluddin, penataan
cahaya telah berjaya memberikan kesan kepada persembahan tersebut dalam pelbagai aspek.
Pertama, penggunaan cahaya yang tepat dan berkesan telah mewujudkan pelbagai mood di
dalam teater ini. Sebagai contohnya, penggunaan kombinasi warna seperti biru, hijau dan kuning
semasa adegan di sawah padi telah memberikan mood tenang dan gembira terutamanya ketika
adegan tarian dan nyanyian. Semasa adegan flashback pula, warna merah akan digunakan bagi
membangkitkan suasana suram. Selain itu, penggunaan teknik fokus oleh lampu profile semasa
adegan di atas titi kayu di hadapan pentas telah berjaya mengalihkan perhatian penonton pada
adegan berkenaan. Ketika itu jugalah ruang lain di atas pentas digelapkan bagi tujuan pertukaran
set. Di sini, fokus dan emosi penonton dapat dikekalkan dengan penggunaan teknik pencahayaan
yang cekap. Di samping itu juga, penggunaan gobo, lampu Par Can LED serta moving head light
telah memberikan efek khas kepada teater ini. Ini ditunjukkan di dalam adegan tarian dan
nyanyian serta semasa curtain call yang mana penggunaan cross light cahaya berwarna warni
dikendalikan dengan kreatif. Itulah juga di antara unsur kekaguman yang dapat dihasilkan oleh
penataan cahaya.

Penggunaan audio dan penataan bunyi amat memainkan peranan yang penting dalam
TMJOJ. Ini dalah kerana konsepnya sebagai sebuah teater muzikal. Apa yang istimewa dan
unik bagi teater ini adalah dari sudut penggunaan muzik latarnya. Sepanjang persembahan teater
tersebut, muzik latar dimainkan secara live oleh kumpulan orchestra dengan diiringi oleh
kumpulan penyayi latar. Elemen inilah yang menjadikan TMJOJ tampak lebih hidup dan
setanding dengan produksi-produksi besar yang lain. Selain itu, penggunaan teknologi audio
yang menggunakan sistem digital amat membantu dalam penataan bunyi dan suara. Kesan-kesan
khas yang dihasilkan secara rakaman seperti bunyi burung berkicauan, ayam berkokok dan lain-
lain lagi dihasilkan dengan berkesan sekali sehinggakan ianya berjaya membawa penonton ke
suasana desa di dalam teater berkenaan. Di samping itu, kumpulan penyanyi latar juga
berperanan dalam membantu para pelakon semasa adegan nyanyian agar ianya kedengaran
harmoni. Sistem audio dan penataan bunyi yang berkesan telah berjaya menghidupkan TMJOJ.
Elemen terakhir yang membantu menambahkan nilai artistik pada TMJOJ adalah
busana dan tatarias. Elemen ini bukanlah sekadar digunakan untuk memenuhi syarat
persembahan, malah fungsinya jauh daripada itu. Dalam TMJOJ, terdapat dua konsep busana
telah digunakan iaitu busana kampung dan moden. Ini kerana, busana kampung yang dipilih
amat bertepatan dengan konsep dan mengikut kehendak skrip. Busana konsep moden pula
digunakan di dalam adegan selepas Ujang pulang dari kota berpakaian lebih moden bersama
rakan-rakannya yang lain. Pemilihan warna busana turut memainkan peranan dalam penghasilan
mood. Misalnya, warna hitam, kelabu menggambarkan mood sedih dan situasi miskin watak
Omak dan Ujang. Malah ia juga selari dengan penggunaan warna set dan prop. Bagi para
pelakon yang berperanan sebagai penari, mereka dipakaikan seluar khas untuk tarian Randai. Ini
merupakan elemen yang terpenting yang mempunyai nilai artistik yang tinggi jika dibandingkan
dengan busana pelakon biasa. Aspek tata rias atau solekan pula boleh dianggap menjadi
komponen sokongan. Ini kerana solekan yang digunakan pada para pelakon telah membantu
membentuk watak dan perwatakan pelakon. Contohnya watak Samad disolek sebegitu rupa bagi
manampakkan watak beliau yang bengis. Secara keseluruhannya, busana dan tatarias dalam
TMJOJ adalah bertepatan dengan kehendak karya dan dapat menghidupkan teater berkenaan.

Sebagai kesimpulannya, TMJOJ telah berjaya bukan sahaja menyampaian mesej dan
tema kekeluargaan kepada penonton, malah nilai-nilai artistiknya juga terserlah di dalam setiap
aspek dan menjadikan ia pementasan yang indah dan bermakna. Justeru, adalah tidak melampau
jika TMJOJ dianggap setaraf dengan pementasan teater oleh produksi-produksi tersohor di
panggung-panggung besar yang lain termasuklah Istana Budaya.

RUJUKAN

Andika Aziz Hussin.2008. Prosedur Pengurusan Produksi Teater. Universiti Malaysia Sabah:
Perpustakaan Negara Malaysia.

Barranger, M.S. 2002. Theatre: A Way of Seeing. Belmont : Wardsworth Thomsom Learning.

Misssouri, W.D. 2007. Experiencing the Art od Theatre: A concise Introduction. 2007. Belmont :
Wardsworth Thomsom Learning.

Anda mungkin juga menyukai