Anda di halaman 1dari 3

Semangat Jiran Perlu Dipupuk

Ahli Panel 1: Muhammad Ikmal Bin Md.Arfizal

Konsep
Terima kasih saudari Pengerusi.
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamu’alaikum dan salam sejahtera kepada sidang hadirin sekalian.

Takrif jiran yang saya petik daripada Kamus Pelajar Edisi Kedua dari segi bahasa berasal
daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud orang yang tinggal berhampiran
dengan rumah sendiri atau tetangga.

Dari segi istilah pula, jiran merupakan orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan
rumah, kampung, atau daerah. Jiran juga bererti 40 buah rumah di setiap penjuru yang
mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadis riwayat Abu Daud, telah bersabda,
Rasulullah S.A.W iaitu:

Maksudnya: ”Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”

Berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada
rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, maka rumah-rumah tersebut juga dikira sebagai
jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa erti hubungan
kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan
itu dihuni oleh orang yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita.

Menurut Islam, jiran terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu jiran beragama Islam yang
mempunyai pertalian darah, jiran beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah
dan jiran bukan Islam. Hal ini sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisaa’ ayat 36
iaitu:
Maksudnya: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan
sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak
yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh[3] dan teman
sejawat, ibnu sabil[4] dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-
orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
Selain itu, saya juga ingin menyentuh tentang hak yang perlu kita pelihara sebagai jiran
yang selari dengan tuntutan agama. Antaranya adalah tidak menyakiti jiran. Sebagai jiran,
seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran
tetangganya. Perbuatan tersebut seperti mencuri, membuat bising, memfitnah dan
membuang sampah berdekatan dengan rumah jiran. Hal ini telah dijelaskan sebagaimana
dalam sabda Rasulullah S.A.W iaitu:

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah
dia menyakiti jirannya.”

Seterusnya, kita perlulah menghormati jiran dan pengamalan mereka selagimana tidak
membawa mudarat. Walaupun jiran tersebut bukanlah beragama Islam, maka hormatilah
mereka dan jangan ganggu kehidupan dan pengamalan mereka. Misalnya, ibadah mereka
dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan
tokong di luar rumah. Oleh itu, kita hendaklah menghormatinya selagimana tidak membawa
bahaya dan mudarat.

Tambahan pula, umat Islam yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-
hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-
jirannya. Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang
merupakan manusia yang paling mereka kasihi. Islam banyak menyeru umatnya agar
sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya
kedudukan jiran di dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan.
Antara hak jiran yang lain yang perlu dipelihara adalah sentiasa memberi layanan baik dan
kasih sayang serta akhlak mahmudah dalam muamalat bersama mereka. Islam
mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat daripada
banyak panduan daripada hadis baginda. Antaranya adalah daripada riwayat Abu Dzar,
Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya : “Wahai Abu Dzar, sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan
berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau.”

Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa Islam seringkali menganjurkan dan menyeru
umatnya supaya sentiasa menjaga hubungan dengan jiran tetangga dan memelihara hak-
hak jiran disamping menghormati jiran-jiran bukan Islam selagimana tidak merosakkan
akidah dan akhlak. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita
sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Sesungguhnya, pepatah
“Jiran Sepakat Membawa Berkat” tertanam dalam jiwa kita bagi membentuk sebuah
masyarakat yang bersatu padu.
Setakat ini sahaja saudari pengerusi mengenai konsep jiran. Saya serahkan semula kepada
saudari pengerusi . Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai