Anda di halaman 1dari 2

 

Kehadiran Adam disambut baik dan mesra oleh rakan-rakan kelas baharunya.
Dia merupakan pelajar baru yang baru sahaja berpindah sekolah kerana mengikut ibu
bapanya yang bertukar tempat kerja. Sikap baik budi pekerti dan bersopan santun telah
ditonjolkan oleh Adam agar tidak dipandang serong dan enteng oleh rakan-rakan
baharunya. Ternyata, Adam diterima dan disenangi oleh teman-temannya. Sejak hari
pertama persekolahan lagi, rakan-rakan sudah berdamping dengannya menyebabkan
Adam langsung tidak berasa kekok dan janggal dengan situasi di sekolah barunya itu.
               Dia dihormati oleh rakan-rakannya disebabkan oleh sikap rajin dan disiplin
yang ada pada diri Adam. Dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar
yang berjaya. Sokongan moral telah diberikan oleh rakan dan gurunya apabila impian
besarnya itu diketahui ramai. Malah, dia antara salah seorang pelajar yang aktif dan
sentiasa bertanyakan soalan jika ada yang tidak difahaminya. Namun, sikap baik yang
ditonjolkannya tidak berkekalan. Setelah dia berkawan dengan pelajar bermasalah, dia
sudah mula berkelakuan liar dan tidak baik. Pelajarannya sudah mula diabaikan dan
tidak diendahkan sedangkan suatu ketika dahulu dia begitu fokus dan bersungguh-
sungguh di dalam kelas. Dia sudah tidak lagi dihormati malah menerima cemuhan
daripada teman-teman kerana hanya berpura-pura selama ini. Segala pandangan
terhadap dirinya tidak dihiraukan oleh Adam kerana dia sudah memiliki rakan-rakan
karib yang sebenarnya banyak merosakkan akhlak dirinya.
             Sungguhpun begitu, teguran supaya telah diberikan oleh guru-guru yang
prihatin akan dirinya. Apabila sahaja dia ditegur, dia pasti akan insaf dan akan teresak-
esak  menangis dan bertekad untuk membuang segala perangai buruknya. Namun,
azam dan tekadnya itu hanya bersifat seketika sahaja. Dua atau tiga minggu kemudian
selepas ditegur, perbuatannya yang lama akan diulangi kembali. Mujurlah, guru-guru
yang mengajarnya tidak pernah kenal erti jemu atau bosan dalam terus mendidik dan
menegur kelakuan Adam supaya berubah. Pantauan sikap Adam sentiasa dilakukan
oleh guru kelasnya agar Adam tidak terlibat dalam kancah dan gejala sosial.
              Sikap kepala angin Adam ini sangat membingungkan rakan-rakan sekelasnya
yang rata-rata sangat risau akan kelakuan Adam. Sikap Adam cepat berubah angin
kerana sekejap Adam akan menjadi pelajar yang rajin dan adakala dia akan menjadi
pelajar yang bermasalah. Dia hanya mempunyai semangat pada mulanya, tetapi akan
berubah menjadi dingin jika dia sudah jemu berusaha. Nasihat yang diberikan sekadar
mencurahkan air ke daun keladi kerana segala pesanan dan kata guru-gurunya hanya
diabaikannya. Saban hari perangai dan kelakuan Adam semakin menjadi, malah dia
sudah berani untuk ponteng sekolah dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.
Ramai rakan seperjuangannya tertanya-tanya akan ke mana hilangnya semangat rajin
dan kental yang ditonjolkan oleh Adam sebelum ini?
                Musim peperiksaan sudah makin hampir. Adam pula masih alpa dengan
dunia laghanya yang akan menyebabkan masanya terbuang begitu sahaja padahal dia
bakal menduduki peperiksaan akhir. Dengan perasaan angkuhnya, pelajarannya telah
diabaikan kerana dia yakin dia boleh menjawab soalan peperiksaan tanpa usaha yang
bersungguh-sungguh. Sebagai natijahnya, keputusan akhir yang diterima sangat tidak
memuaskan. Ibu bapanya yang mula menyedari akan hal ini mula menegur Adam
supaya berubah demi masa depan kelak yang cerah. Dia telah diturunkan ke kelas
bawah dan bersama-sama dengan pelajar yang lemah di dalam akademik. Malunya
tidak kepalang kerana dijadikan bahan tawa teman-temannya di sekolah yang
dahulunya mengaku sahabat.
                    Keinsafan dan perasaan menyesal mula timbul dalam hati Adam. Sikap
dan kelakuan buruknya ini harus dikikis dan dibuang jauh untuk berjaya. Memang
sahlah kata pepatah, “hangat-hangat tahi ayam”, ditujukan kepada dirinya semangat
yang ada pada dirinya hanya ketika permulaan waktu, tetapi akhirnya mengalah, Unutk
masa hadapan yang gemilang, ksedarannya untuk betul-betul berubah bukan sahaja
pada jangka masa pendek, tetapi untuk juga untuk jangka masa panjang dan selama-
lamanya.

Anda mungkin juga menyukai