Anda di halaman 1dari 7

Tokoh Mujaddid : Shah Waliyullah ad-Dahlawi

RIWAYAT

Imam Al-Kabir Sheikh Ahmad Abdur Rahim Ibn As-Shahid Wajihuddin Ibn Mu’azzam
Ibn Mansur Ibn Ahmad Ibn Mahmud Dahlawi adalah nama sebenarnya tetapi beliau
lebih dikenali dengan gelaran Shah Waliyullah.Shah Waliyullah adalah tokoh ulama’
yang mahir dalam ilmu filsafat,pujangga,seorang sufi ,Muhaddits dan juga Guru Tarekat.
Digelar juga sebagai seorang mujaddid ( reformis atau pembawa pembaharuan ) oleh
Syeikh
Rashid Redha.
Lahirnya pada 21 Februari di sebuah kampung kecil bernama Pulth,daerah Muzaffaragh,
dekat Delhi,India bersamaan, 4hb.Syawal 1114 H / 1702 Masihi 4 tahun sebelum
kematian Sultan Aurangzeb.Silsilah keturunannya di sebelah ayahnya sampai kepada
Sayyidina Umar Al-Faruq dan di sebelah ibunya sampai kepada Imam Musa Kazhim r.a.
Datuknya,Syaikh Wajihuddin al-Amri as-syahid adalah cucu kepada Sayyid Nur al-Mashadi,
keturunan Sayyid Nasaruddin as-syahid bersambung dengan keturunan Al-Imam Musa
al-Khazim.

Bapanya Syeikh Abdul Rahim merupakan seorang Pegawai penting dalam angkatan tentera
Shah Jahan.Bapanya juga dikenali sebagai seorang yang wara’,tawadhu’,terhormat dan
alim yang
menjadi tempat rujuk kepada orang Islam di India.Malah dia salah seorang yang
menyumbang
kepada penghasilan Fatawa Alamgiriyah iaitu satu fatwa hukum syarak’.Shah Waliyullah
telah dapat menghafal al-Quran ketika berumur 7 tahun lagi. Semasa umurnya 15
tahun,beliau telah dapat
menguasai banyak cabang ilmu seperti ilmu bahasa ( Arab dan Parsi),Tafsir,Hadis,Feqah,
Usul Fiqh,Tauhid,Tasawuf,Hisab,Perubatan dan Falsafah.Beliau belajar dibawah asuhan
ayahnya
kemudian menjelang umurnya 17 tahun,ayahnya meninggal dunia pada Tahun 1131 H /
1719 M
dan beliau mengambil alih Madrasah Rahimiyah dan mengajar di situ selama 12 tahun.

India suatu masa dulu merupakan Negara yang melahirkan beberapa agama besar dunia
seperti Hindu,
Buddha,Jai dan Sikh.Pada permulaan kurun ke 16, sebuah empayar besar dikenali sebagai
Empayar Moghul
telah menguasai India tetapi pada kurun ke 18,India mula dikuasai oleh Kompeni Hindia
Timur Inggeris.
Shah Abdur Rahim,bapanya hidup di zaman puncak kegemilangan pemerintahan
Aurangzeb Alamgir.Maharaja itu sendiri seorang yang alim dan wara’.Empayar ini sangat
kuat tetapi orang-orang Hindu dan Syiah selalu membuat kacau dan huru-hara.
Dasar kerajaan selepas itu menjadi sebab kejatuhan kerajaan Moghul sehingga Aurangzeb
meninggal
dunia,keadaan empayar itu bertambah hancur.Shah Waliyullah seorang tokoh yang hidup
berlatar
belakangkan keruntuhan empayar Islam dan permulaan pendudukan Inggeris.Zaman itu
adalah zaman kejatuhan politik.Kejatuhan politik adalah gejala keruntuhan akhlak yang
membawa kepada keruntuhan ekonomi dan keruntuhan moral.

PENDIDIKAN

Shah Waliyullah memerhati dengan teliti keruntuhan empayar yang beransur-ansur itu dan
memerhatikan
perpecahan umat Islam di mana-mana.Ini menyebabkan beliau berfikir untuk melakukan
sesuatu bagi
mengelakkan kehancuran terus berlaku. Sebelum mempraktikkan renungan dan pendapat
beliau,adalah
lebih baik baginya mendalami dan menyempurnakan ilmu hadis terlebih dahulu.

Oleh itu, pada Tahun 1143 H, Shah Waliyullah telah melanjutkan pelajaran ke Hijaz di Tanah
Haram dan
berguru dengan Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim Al-Kurdi Al-Madani,seorang ahli
hadis dan beberapa orang lagi.Dalam masa 2 tahun sahaja,beliau telah dapat menguasai
banyak cabang ilmu dan dapat bergaul dengan ulama’-ulama’ di Mekah dan Madinah serta
menunaikan haji.Ketika di Mekah, beliau bermimpi bertemu Rasulullah yang berpesan agar
beliau mendamaikan kelompok Ibnu Arabi
yang berfahaman Wahdatul Wujud dan kelompok Ahmad Sirhindi yang berfahaman Wahdah
al-Shuhud.

SUMBANGAN

Beliau kembali semula ke India dan meneruskan meneruskan kegiatan dan gerakannya di
Madrasah Rahimiah.Apabila bertambah maju,beliau membuka pusat pengajian baru yang
dikenali sebagai Darul Ulum.Shah Waliyullah berjuang memperkenalkan Islam sebagaimana
sebenarnya dan menyerang bid'ah dan
pendapat yang menyeleweng yang dikemukakan oleh ulama’ yang sempit fikiran dan
orang-orang sufi yang palsu.Shah Waliyullah membuktikan sesuatu pandangan dan
pendapat itu bersesuaian dengan logik ddan akal fikiran tetapi tidak sesekali menundukkan
ugama kepada akal sahaja sehingga agama tertakluk kepada akal semata-mata.

Shah Waliyullah berjasa besar kepada umat Islam dalam bidang pembaharuan ilmu dan
pemikiran Islam.As-Sayyid Sabak menyifatkan beliau setanding dengan Imam Ghazali dan
Ibn Taimiyyah.Ini adalah disebabkan beliau terkenal sebagai mujaddid yang gigih,tekun dan
sabar dalam perjuangan.Di zaman Shah Waliyullah,bahasa rasmi di Benua Indo-Pakistan
ialah Bahasa Parsi.Sebilangan besar orang mengetahui bahasa ini dan ia lebih popular dari
bahasa lain.Oleh itu beliau merasakan perlunya dibuat terjemahan
Al-Quran dan tafsirannya ke dalam Bahasa Parsi itu.
Dalam bidang Ulum al-Quran,beliau telah memperkenalkan beberapa jenis ilmu yang
diterangkan dalam nas-nas al-Quran dengan begitu jelas iaitu :

a. Ilmu al-Mukhaasamah
b. Ilmu al-Tazkir bi Aalaillah
c. Ilmu al-Tazkir bi Ayyamillah
d. Ilmu a—Tazkir bi al-Maut wa Ba’dahu

Ada banyak kitab-kitab karangan beliau termasuklah beberapa Risalah yang mana Kitab
Hujjatullah al-Balighah adalah antara yang masyhur sekali.Setakat yang dapat
dikesan,karya Shah Waliyullah semuanya berjumlah 71 dan berikut ini adalah diantaranya :

1. Al-Fauzul Kabir – Tafsir Al-Quran


2. Fathurrahman fi tarjamtil Quran – Tafsir ( Parsi )
3. Az-Zahrawain – Tafsir Surah Al-Baqarah dan Ali-Imran
4. Takwilul Hadis – Tafsir yang menumpukan kepada kisah Nabi
5. Al-Musoffa syarah al-muwatta’ – Hadis ( Parsi )
6. Al-Musawwa syarah al-muwatta’ – Hadis ( Arab )
7. Syarhu tarjumil abwabi Bukhari – Hadis ( Arab )
8. An-nawadir min ahaditsi sayyidil awwali wal akhir –Hadis ( Arab )
9. Addurussaminu fi mubasyirotin nabiyyil amin –Hadis ( Arab )
10. Al-Irsyadu di muhammatil istinad – Hadis ( Arab )
11. Insanu aini fi masyaeikhi haramain – Hadis ( Parsi )
12. Hujjatullah al-Balighah – Hikmah-hikmah Syariat ( Arab )
13. Izalatul khafa i an khilafatul khulafa i – Akidah ( Parsi )
14. Qurrotul Ain Aini fi tafdhi lis syaikhain – Aqidah ( Parsi )
15. Husnul akidah – Akidah ( Arab )
16. Al-Insofu fi bayani asbabil ikhtilafi bainal fuqoha i wal mujtahidin – Syariat ( Arab )
17. Al-Budurul bazirah – Aqidah ( Arab )
18. Al-Thoful qudsi fi lathoifin nafsi – Tasauf ( Parsi )
19. Al-Qaulu jamilu fi bayani sawa issabil – Tasawuf ( Arab )
20. Al-Intibahu fi salasili aulia illah – Tasawuf ( Parsi )
21. Sururul mahzun – Tasawuf ( Parsi )
22. Anfas Al ‘ariffin – Sejarah Keturunannya ( Parsi )
23. Athyabu Naghom fi madhi sayyidil arabil wal ‘ajam – Syair memuji Rasulullah S.A.W (
Parsi )
24. Syifaul qulub – Tasawuf
25. Muqaddimah dar fann i tarjumatu E Quran –( Parsi )
26. Al-Khair ul kathir – ( Arab )
27. Al-Tafhimat al ilahiyyah – ( Arab / Parsi )
28. Al-Fadlul mubin fil musalsa min hadis min nabiyyil amin – ( Arab )
29. Arba’una hadisan mosalsalat bil israffi ghalib sanadiha - ( Arab )
30. Hama’at – ( Parsi )
31. Sata’at – ( Parsi )
32. Lamahat – ( Arab )
33. Altaf Ul quds – ( Parsi )
34. Maktubat ma’hu manaqib Abi Abdullah Muhammad b. Ismail al-Bukhari wa fadhilat ibn
Taimiyyah –
( Parsi )
35. Maktub-i-madani – ( Arab )
36. Maktubul ma’arif ma’damimah maktub thalathah – ( Parsi )
37. Kalimat-i-taiyyibat / Maktubat – ( Parsi )
38. Maktubat ( terkandung dalam “Hayat-i-wali” ) –( Arab )
39. Maktubat ( terkandung dalam “waliyullah dehlawi key siyasi maktubat ) – ( Parsi )
40. Imdad fi ma'athir-al ajdad – ( Parsi )
41.‘Athiyat-us-Samadiyyah Fi anfasil Muhammadiyah – ( Parsi )
42. Hawami ( Syarh-i-hizb-ul Bahr ) – ( Parsi )
43. Al-Juz ul latif – ( Parsi )
44. Wasiyat Namah – ( Parsi )
45. Husnul ‘aqidah – ( Arab )
46. Risalah-i-Danishmandi – ( Parsi )
47. Kashful ghain fi syarh-ir-ruba’iyatain – ( Parsi )
48. Sarf-i-mir – ( Parsi )
49. As-Sirrul maktum fi asbab tadwin al ulum – ( Arab )
50. Al-Intibah fi salasil auliya Illah wa asanid warithi Rasulillah– Tasauf ( Parsi )

PERANAN DALAM GERAKAN TAJDID WAL ISLAH

Pada awal abad ke 12 Hijrah,Shah Waliyullah telah mempelopori gerakan Tajdid wal Islah,
iaitu gerakan
pembaharuan dalam kesedaran dan pembangunan semula masyarakat Islam yang
dipergiatkan lagi oleh Al-Sayyid Jamaluddin Afghani al Husaini dalam abad ke 13
Hijrah.Pada zaman permulaan abad ini,orang-orang yang dianggap ulama’ pada masa itu
pula menjadi penganjur kepada amalan-amalan bid'ah dan khurafat.

Perbincangan-perbincangan tentang masalah khilafiah baik yang berpunca dari Al-Quran


atau Hadis atau Feqah seringkali berakhir dengan pergaduhan dan masam muka.Apa yang
pasti, ulama’-ulama’ itu bersependapat di dalam mengekalkan orang-orang awam dalam
kejahilan.Demikianlah keadaan umat Islam pada awal abad ke 12 Hijrah atau permulaan
abad ke 18 Masihi.Keadaan seperti itulah selalunya menghendaki kedatangan seorang
tokoh mujaddid seperti Shah Waliyullah.

Rasulullah pernah menyebutkan,


“Sesungguhnya Allah menghantar untuk umat ini di permulaan 100 tahun orang-orang yang
memperbaharui
untuknya agamanya” ( HR Abu Daud ).

Beliau memperjuangkan pemikiran pembaharuan dalam beberapa aspek iaitu :

1.Akidah – Beliau menjelaskan betapa pentingnya akidah untuk membetulkan cara


berfikir,beramal dan
bertindak.Banyak kesilapan berlaku di kalangan umat Islam kerana salah faham dalam
akidah.

2.Berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah – Beliau menganjurkan supaya ilmu Al-Quran
dan Sunnah dipelajari secara mendalam supaya umat Islam dapat memahami rahsia-rahsia
dan hikmah-hikmah dalam syariat Allah Ta’ala ,seperti yang difahami oleh umat Islam
terdahulu.Orang Islam hendaklah mengutamakan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan
hidup,serta meninggalkan taqlid kepada pendapat-pendapat fuqaha melainkan setelah
dibahas,dihalusi dan difahami hujah-hujah mereka.

3.Siasah dan pemerintahan – Beliau mengajak umat Islam mencontohi khulafa ar-rasyidin
dalam menegakkan syariat Allah melalui pemerintahan Negara Islam.Kitab beliau,”Khilafatul
khafa-i-an tarikhil khulafa-i” antaranya menjelaskan tentang ciri-ciri Negara Islam,kewajipan
dan tanggungjawab menegak dan memeliharanya.

4.Bahasa Arab – Kebanyakan orang Islam tidak memahami Bahasa Arab,ini menyebabkan
mereka tidak
memahami Al-Quran dan Sunnah secara langsung.Setiap orang Islam sepatutnya tahu
Bahasa Arab dan dapat memahami makna Al-Quran sekurang-kurangnya secara umum
apabila membacanya.

5.Masa depan Dunia Islam – Dalam perjuangan gerakan Islam, Shah Waliyullah melihat
umat Islam perlu bersedia dengan kemampuan akal yang tinggi bagi menghadapi kemajuan
dunia.Mereka perlu dibekalkan dengan ilmu dan kefahaman tentang hikmah-hikmah ajaran
Islam dan syariat Allah.Beliau menganjurkan, sekiranya sesebuah negara itu tidak dapat
dibaiki lagi kerana terlalu rosak, satu angkatan jihad
bagi menumbangkan pemerintahan itu hendaklah diwujudkan supaya dapat dibentuk
sebuah Negara Islam baru yang dapat melaksanakan syariat Allah.

KEJAYAAN SHAH WALIYULLAH

Usaha beliau dalam gerakan Tajdid wal Islah, penyebaran ilmu pengetahuan yang benar
dan membentuk syakhsiah Islamiah telah melahirkan satu angkatan ulama’ yang dapat
meneruskan perjuangannya.Begitu juga institusi pengajian yang terus berkembang.Boleh
dikatakan seluruh umat Islam India terhutang budi kepada Shah Waliyullah kerana ilmu
pengetahuan,gerakan dan contoh perjuangan yang ditunjukkan di abad
ke 12 Hijrah.

Beliau ada 6 orang anak.Antara anaknya yang masyhur yang menuruti perjuangannya ialah
Shah Abdul Aziz
( 1159-1239 H ),Shah Rafi’uddin ( 1163-1233 H ),Shah Abdul Kadir ( meninggal pada 1230 H
) dan Shah Abdul Ghani ( meninggal pada 1230 H ) serta cucu-cucunya Shah Muhammad
Ishak ( meninggal pada 12227 H ) dan Shah Ismail Hunaid ( meninggal pada 1246 H ).

Mereka telah mengarang beberapa kitab dan meneruskan perjuangan Shah Waliyullah.
Selepas beliau meninggal dunia,anaknya Shah Abdul Aziz menggantikan tempatnya.Cucu
Shah Waliyullah iaitu Al-Imam Muslih Sheikh Ismail bin Shah Abdul Ghani telah memainkan
peranan besar dalam perjuangan Islam di India.

SUMBANGAN SHAH WALIYULLAH DALAM ILMU KALAM


Ilmu Kalam sebenarnya dimaksudkan untuk membuktikan agama Islam itu benar-benar
datang dari Allah.Agama Islam yang datangnya dari Allah itu pada umumnya terbahagi
kepada 2 iaitu :
a. ‘Aqaid
b. Ahkam

Kitab-kitab Ilmu Kalam yang ditulis sebelum Shah Waliyullah pada keseluruhannya hanya
memperkatakan
tentang ‘aqaid sahaja.Tidak ada sesiapa pun menyentuh bahagian yang kedua. Shah
Waliyullah lah orang yang mula-mula menulis di bahagian kedua untuk membuktikan Islam
itu benar-benar datang dari Allah.

Satu perkara besar yang langsung tidak disentuh ahli-ahli Ilmu Kalam dahulu dan hanya
diutarakan oleh
Shah Waliyullah ialah mereka menunjukkan mukjizat Al-Quran disudut fashahah dan
balaghahnya sahaja
sedangkan mukjizat Al-Quran yang paling besar terletak pada prinsip-prinsip akhlak dan
cara-cara
tazkiyah an-nafs,konsep tauhid,risalah dan ma’ad (kembali ke akhirat) yang tersebut di
dalamnya.Semua perkara-perkara tersebut adalah terletak di luar kemampuan manusia
biasa. Allah mempermudahkan kefahaman tersebut kepada beliau.

Shah Waliyullah menjauhi diri dari berat sebelah dan beliau sentiasa menyebelahi
kebenaran dan keadilan dalam membuat kesimpulan dan pendapat.Shah Waliyullah adalah
seorang yang alim yang sebenarnya dalam bidang hadis dan feqah.Benarlah pendapat
Maulana Ubaidullah Sindhi yang menyamakan peringkatnya sama taraf dengan Imam Malik
dan Imam Abu Hanifah.

Beliau mempelajari sistem kesufian dari bapanya dan mengamalkan Tariqat


Naqsyabandi.Beliau diberi gelaran Wali Allah bersempena gambaran daripada nama Allah,
Al-Wali.

Shah Waliyullah juga adalah orang yang menerangkan mengenai Rahsia Huruf Muqattaat (
Ayat-ayat
Mutasyabihat ) atau juga dikenali sebagai Huruf Potong / Huruf Ringkas .

Beliau meninggal dunia pada 29hb.Muharram 1176 H / 1763 M iaitu ketika berumur 61 tahun
4 bulan.
Dalam tahun 1383 H/1963 M, Akademi Shah Waliyullah telah didirikan secara resmi di
Hyderabad oleh Jabatan Auqaf,Pakistan.

Bibliografi : Buku Ajaran Shah Waliyullah


Buku Pendidikan Islam Ting. 5 DBP
Tokoh Mujaddid Islam,prosiding seminar BPPI
Kitab Iktisar Hujjatullah Al-Balighah
Risalah Pengajian Almarhum Ust.Nik Salleh
Jurnal KIPSAS,As-Sirat Jilid III,bil.7
Seminar IKIM

Acit pada 18.12.09

Acit May 28, 2010 at 1:10 AM


Baru-baru ini iaitu pada 27hb April,2010 telah diadakan Seminar Sehari di IKIM bertajuk
"Gagasan Islah dan Tajdid Shah Waliullah al-Dihlavi".Sebanyak 8 kertas kerja dibentangkan
pada hari tersebut.
.

Anda mungkin juga menyukai