Anda di halaman 1dari 6

PENGHAYATAN ETIKA DAN PERADABAN (UW00802)

SEMESTER 2
SESI 2020/2021

TUGASAN INDIVIDU

TAJUK TUGASAN :
CABARAN KELESTARIAN ETIKA DAN PERADABAN DI MALAYSIA

DISEDIAKAN UNTUK :
DR. ABG MOHD RAZIF BIN ABG MUIS

NAMA : NURUL AIN IZZATI BINTI MASRI @


ABDULLAH
NOMBOR MATRIKS : BS20110242
SEKSYEN : 9
EMAIL PELAJAR : nurul_ain_bs20@iluv.ums.edu.my
Sejak sedekad yang lalu, kita telah banyak menghadapi pembangunan negara
yang semakin masyhur dipersada dunia. Kita acap kali berhadapan dengan pelbagai
permasalahan yang tercetus oleh masyarakat kita sendiri. Antaranya adalah cabaran
kelestarian etika dan peradaban. Hal ini dikatakan demikian kerana, perubahan yang
dialami oleh masyarakat berlaku dengan pantas dan sukar dikawal sama ada dari segi
sosial, ekonomi, politik, alam sekitar, teknologi dan banyak lagi. Kepesatan
pembangunan ekonomi banyak membawa implikasi positif mahupun negatif dalam
peningkatan pendapatan negara, persekitaran fizikal, alam sekitar dan kesejahteraan
hidup masyarakat. Sebelum membincangkan mengenai cabaran kelestarian etika dan
peradaban, kita harus memahami apa itu etika dan adab. Etika bermaksud nilai-nilai
akhlak yang menjadi pegangan seseorang manakala adab pula membawa maksud
berbudi bahasa. Tidak dilupakan juga, kelestarian bermaksud proses mengekalkan
sesuatu perubahan dengan cara yang seimbang. Etika dan peradaban sangat penting
dalam sesebuah masyarakat supaya setiap individu mempunyai keperibadian tinggi,
saling menghormati dan hidup harmoni. Terdapat banyak cabaran kelestarian etika
dan peradaban yang dapat diulaskan.

Pertama sekali, Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan program sosioekonomi


yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak sekitar tahun 1971
sehingga 1990. Program ini diwujudkan untuk mengurangkan kemiskinan rakyat
Malaysia dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan di
Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa yang bertujuan memperbaiki
ketidakseimbangan ekonomi Malaysia. Sejak itu, matlamat DEB berjaya dicapai dan
telah menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. DEB berhasil
menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pendidikan, pekerjaan,
keusahawanan dan pemilikan kediaman hingga lahir budaya kelas menengah dalam
negara merentas etnik. Meskipun begitu, DEB yang menjadi pemangkin ‘Shared
Poverty’ gagal membawa ‘Shared Prosperity’. Malaysia tidak mampu mempertahankan
pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang menyebabkan golongan B40 semakin
bertambah dan bukannya golongan M40. Ini dapat dibuktikan berdasarkan data
pendapatan, pemilikan harta dan pekali gini. Kegagalan DEB dalam mengagihkan hasil
pendapatan negara secara adil dan memperbanyakkan golongan M40 telah
melahirkan keresahan masyarakat Malaysia terutamanya pada waktu ini dimana
ekonomi negara semakin merosot disebabkan oleh pandemik Covid-19. Dalam PRU14
yang telah diadakan pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah berhasil memilih kerajaan
baharu agar ‘Shared prosperity’ menjadi matlamat pembangunan yang mendahulukan
kebajikan rakyat. Sungguhpun begitu, terkini pada tahun 2021 rakyat semakin kecewa
dan berang dengan keadaan negara yang semakin memburuk dari segi kemerosotan
ekonomi. Golongan M40 semakin ramai yang beralih menjadi golongan B40 serta B40
yang sedia ada menjadi semakin sukar untuk menampung kehidupan seharian.
Akhirnya, rakyat merasa terpinggir dan renggang dengan kerajaan seterusnya
berakhir dengan kekerasan rakyat marhaen terhadap kerajaan pemerintah.

Berkait dengan cabaran yang disebutkan sebelum ini, sekiranya kualiti hidup dan
ekonomi semakin tidak terjamin, kekerasan rakyat yang teraniaya akan menimbulkan
kegelisahan yang berterusan lalu menyebabkan ketegangan sosial dalam masyarakat.
Jika perkara ini tidak ditangani dengan segera, perpecahan pasti akan berlaku
sekaligus membantutkan kemajuan negara. Walhal, apabila tadbir urus dijalankan
dengan baik dan secara sistematik pasti dapat mengatasi permasalahan ini yang
membawa kepada kesepaduan nasional serta pengukuhan perpaduan negara. Etika
dan adab yang meliputi amanah, prihatin dan bertolak ansur seharusnya sering
diterapkan dalam diri masing-masing tidak kira pemerintah mahupun rakyat agar
negara sentiasa dalam keadaan damai. Kegagalan mempunyai etika dan adab
terutamanya dalam dunia digital akan mencalarkan imej negara dengan tanggapan
buruk yang diberikan daripada seluruh penduduk bumi. Dunia digital merupakan dunia
yang sangat licik kerana apa sahaja yang disampaikan melaluinya akan tersebar
secara pantas tidak mengira kesahihan dan kesensitivitian. Jelaslah bahawa negara
kita mempunyai kepimpinan yang lemah berpunca daripada pemimpin yang
kekurangan idea dan strategi dalam melestarikan etika dan peradaban di Malaysia.

Cabaran yang seterusnya adalah berkaitan ‘black economy’ dan rasuah. ‘black
economy’ sering dikaitkan dengan istilah ‘underground economy’, ‘shadow economy’,
‘informal economy’ atau lebih dikenali sebagai ‘black market’. Ini bermaksud aktiviti
ekonomi tidak dilaporkan kepada kerajaan agar mereka dapat lari daripada
pembayaran cukai. ‘Black economy’ merupakan aktiviti ekonomi yang dijalankan
secara haram, contohnya penyeludupan dan penjualan dadah, judi, pinjaman wang
haram, pengambilan pekerja asing tanpa dokumen sah dan banyak lagi. Namun begitu,
aktiviti ekonomi yang dijalankan secara sah seperti rokok juga terlibat dengan ‘black
economy’ dengan menjual barang tersebut pada jumlah yang melebihi jumlah yang
ditentukan oleh kerajaan. Seringkali kita dengar, Malaysia kerap mempunyai kes rokok
seludup yang dirampas menyebabkan negara kita kerugian sekurang-kurangnya RM5
billion setahun. Saban tahun, kegiatan ini semakin menjadi-jadi disebabkan
penyeludup yang semakin licik dan berani untuk merasuah pegawai penguatkuasaan
yang tidak beretika dalam menjalankan tugas untuk memelihara undang-undang
negara. Baru-baru ini, Berita Harian telah menyatakan bahawa negara kita Malaysia
menduduki tangga pertama di seluruh dunia bagi kes perdagangan rokok seludup.
Penyeludupan ini agak susah untuk dibendung kerana perdagangannya telah
berkembang secara besar-besaran yang merangkumi sektor pengilangan
antarabangsa, pengimportan, pengangkutan, dan gudang simpanan. Kes ini hanya
akan dapat dicegah dengan mengetatkan lagi kawalan agensi penguatkuasaan di
sempadan-sempadan, lapangan terbang dan pelabuhan kapal. Kerajaan juga
seharusnya mempertimbangkan untuk menambah baik teknologi-teknologi yang ada
selaras peredaran zaman terutamanya mesin pengimbas dan kamera litar tertutup.
Bukan itu sahaja, polisi tugas agensi perlu diperkasakan dengan lebih lagi kerana ia
merupakan hal yang paling utama dalam pencegahan aktiviti haram bagi mengelakkan
pembabitan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab atas undang-undang negara.
Seperti yang telah disebutkan, rasuah melibatkan pegawai-pegawai tidak beretika
yang menggunakan kuasa yang ada demi kepentingan diri sendiri. Contoh situasi yang
dapat digambarkan apabila seseorang polis membuat sekatan jalan dan mendapati
pengguna jalan raya melanggar peraturan jalan raya, polis tersebut tidak
mengeluarkan saman tetapi sebaliknya meminta pesalah berkenaan untuk membayar
sejumlah wang secara peribadi kepadanya.

Selain itu, cabaran kelestarian etika dan peradaban di Malaysia adalah


masyarakat materialisme atau yang mementingkan kebendaan. Materialisme wujud
dalam kalangan masyarakat kerana adanya sifat ‘judgmental’ dalam diri mereka.
Perkara biasa yang dapat kita lihat, kebanyakan masyarakat sekarang memandang
tinggi pada orang yang mempunyai barangan mewah seperti kereta atau barangan
lain yang mahal. Sifat ‘judgmental’ ini menyebabkan ramai orang terutamanya
golongan muda menjadi materialistik kerana ingin dipandang tinggi oleh masyarakat
sekeliling. Sosial media merupakan penyumbang utama yang memicu kepada perkara
ini kerana lebih memberikan kesan negatif berbanding positif kepada pembentukan
akhlak seseorang, lebih-lebih lagi banyak anak muda seawal sekolah rendah telah
didedahkan dengan gajet dan sosial media. Kemajuan teknologi yang membangun
pesat telah memudahkan kita untuk berkongsi kehidupan seharian pada dunia maya
dan mempengaruhi gaya hidup kita. Pastinya apa yang dikongsi di sosial media tidak
memaparkan kehidupan sebenar seseorang tetapi ini menyebabkan orang lain
menjadi iri hati dan seterusnya menyebarkan kebencian lalu hilang sifat beretika
dalam menghormati individu lain. Golongan muda yang mudah terpengaruh dengan
perkara ini mungkin juga dilahirkan daripada ibu bapa yang mengutamakan kehidupan
mewah. Taraf hidup yang semakin meningkat sering menjadi punca ibu bapa perlu
mengutamakan kerja berbanding anak-anak mereka. Hal ini mengakibatkan
anak-anak mereka biasa mempunyai kehidupan yang senang dan mewah tanpa
dihalang. Namun jika dilihat dari sudut lain, anak-anak yang tidak diberikan sepenuh
perhatian lebih cenderung untuk mengalami kegagalan mengawal emosi walaupun
mereka diberikan kehidupan yang senang. Sedikit sebanyak, hal ini akan memberi
kesan kepada generasi yang akan datang. Kekurangan perhatian juga akan
melahirkan anak yang keras kepala dan tidak beretika. Oleh itu, ibu bapa perlu
memainkan peranan utama dalam melahirkan institusi keluarga yang bahagia dan
utuh untuk mendidik anak mereka dengan penuh kasih sayang agar nilai etika dan
peradaban dalam diri mereka tidak pudar.

Kesimpulannya, negara yang semakin berkembang maju tidak menjamin sikap


penduduknya menjadi seiring dengan status negara maju itu dan ini jelas dilihat
dengan apa yang berlaku dalam negara Malaysia. Maka dari itu, setiap individu tidak
kira sesiapapun perlulah menanamkan nilai etika dan peradaban dalam diri
masing-masing supaya negara menjadi lebih sejahtera. Keupayaan individu dalam
mengukuhkan nilai ini akan memotivasikan orang-orang sekeliling untuk membuat
perkara yang sama. Natijahnya, sikap penduduk yang seiring dengan status negara
maju dapat mengatasi cabaran-cabaran kelestarian etika dan peradaban di Malaysia.
RUJUKAN :

Nor Azizah Mokhtar. (2021, April 14). Kartel rokok seludup, negara rugi RM5 billion
setahun. Dipetik dari
https://www.msn.com/en-my/news/berita/kartel-rokok-seludup-negara-rugi-rm5-bili
on-setahun/ar-BB1fDtQM

Dasar Ekonomi Baru. (2021, April 21). Dipetik dari


https://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru

Pengertian Black Market Dalam Ekonomi. (n.d.). Dipetik dari


www.pengertianmenurutparaahli.net/pengertian-black-market-dalam-ekonomi/

Anda mungkin juga menyukai