Anda di halaman 1dari 6

Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan
negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai
permasalahan perkauman yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Negara Malaysia mengecapi
kemerdekaan hasil usaha kesemua rakyat pada ketika itu, tanpa mengira bangsa, agama dan warna
kulit untuk hidup harmoni bersama-sama. Namun, hari ini kita sering melihat siaran berita di
televisyen dan video-video perkongsian di laman sosial yang menggugat perpaduan kaum yang telah
terbina sejak dahulu lagi. Pelbagai faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku di mana kekurangan
sifat toleransi merupakan nilai yang penting bagi mencari kemajmukan dalam kalangan masyarakat
hari ini. Oleh itu, mari kita huraikan cabaran-cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan
kaum.

Cabaran pertama adalah dari segi politik negara. Perbezaan parti politik di Malaysia yang berasaskan
perkauman telah menyukarkan perpaduan kaum. Dunia politik sememangnya penuh dengan
kontrovesi dimana terdapat pelbagai individu yang mempunyai tujuan dan kepentingan yang berbeza.
Hasilnya, masih terdapat pemimpin yang kurang bijak dengan mengharapkan sentimen perkauman
dapat memancing perhatian rakyat tetapi sebaliknya hanya ingin melindungi kepentingan diri sendiri.
Oleh itu, bagi menggerakkan negara ke arah kemajuan yang berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan negara maju yang lain, ahli politik perlu bersikap terbuka dan matang. Politik
sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat bukannya mengikut kepentingan bagi mana-mana
pihak. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa fahaman parti politik merupakan salah satu cabaran untuk
mengekalkan perpaduan kaum di negara ini. Sekiranya rakyat dan para pemimpin negara dapat
mengatasi cabaran ini, pasti perpaduan kaum antara masyarakat dalam negara akan menjadi lebih
erat.

Di samping itu, dominisasi sesebuah kaum dalam sesuatu bidang ekonomi juga telah mewujudkan
jurang ekonomi antara perkauman. Cabaran ini telah pun timbul sejak zaman penjajahan British lagi
dimana kaum Melayu menjadi petani dan nelayan, kaum India diletakkan di ladang getah dan kaum
Cina bekerja sebagai pedagang dan melakukan perlombongan. Setelah kemerdekaan dicapai,
berlaku perubahan di mana setiap kaum mendapat peluang pendidikan dan mampu berjaya
sekiranya berusaha dengan betul. Namun begitu, akibat dasar penjajah dahulu, kesannya masih
dapat dilihat sampailah sekarang dimana sektor perniagaan masih didominisasi oleh kaum Cina dan
kebanyakan orang India masih tinggal di ladang. Rentetan senario ini telah menyebabkan interaksi
sosial di antara mereka terbatas. Kesannya, perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi
semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum dan menyukarkan proses perpaduan.

Cabaran seterusnya adalah dari segi sosial golongan muda dimana sistem pendidikan yang
diasingkan mengikut kaum telah wujud dan meninggalkan kesan yang kurang baik. Pengenalan
sistem sekolah vernakular yang mengikut kaum telah menjadikan hubungan masyarakat semakin
renggang. Mutakhir ini, masih ramai rakyat yang merupakan warganegara Malaysia tidak fasih untuk
bertutur dalam bahasa kebangsaan iaiatu Bahasa Melayu. Bahasa merupakan elemen utama untuk
berkomunikasi di antara satu sama lain, sekiranya kita tidak fasih untuk berbahasa, bagaimana untuk
kita berkomunikasi dan memahami individu lain yang berbeza pendapat dengan kita. Jika masyarakat
majmuk melibatkan diri dalam kegiatan sosial terutamanya pendidikan dan berkomunikasi dengan
baik maka akan timbul sifat keterbukaan, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain. Pada
hemat saya, mewujudkan satu sahaja aliran dalam sistem pendidikan negara serta penekanan
tehadap penggunaan bahasa kebangsaan dapat menyelesaikan masalah perpaduan kaum yang
semakin membelenggu masyarakat hari ini. Persis kata mutiara, melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Pada masa yang sama, ledakan teknologi hari ini juga merupakan cabaran dalam mengekalkan
perpaduan kaum. Kemudahan media massa dan sosial yang semakin pantas dalam menyampaikan
sesuatu teks atau video telah menunjukkan sisi negatifnya. Penyebaran fitnah dan berita palsu
semakin menular terutama apabila isu tersebut menyentuh sensitivi perkauman atau agama. Setiap
individu sewajarnya bertanggungjawab dan beretika dalam menyampaikan atau berkongsi sesuatu
perkara yang sensitif dan mungkin tidak sahih. Netizen perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum
memberi reaksi terhadap perkara yang menyentuh tentang perkauman dan agama. Pihak berkuasa
wajar menguatkuasakan undang-undang kepada pelaku yang mencetuskan isu atau sesuatu perkara
yang mampu menggolakkan perpaduan antara kaum. Ahli masyarakat juga bertanggungjawab
menjadi mata-mata pihak berkuasa dimana jika ternampak sesuatu perkara yang akan menimbulkan
kemarahan sesebuah kaum atau penganut agama, wajar untuk kita laporkan kepada pihak polis.
Intihannya, penggunaan teknologi seperti media sosial sepatutnya menjadi perkara yang positif dalam
kehidupan harian kita sebaliknya, penularan isu-isu yang menyentuh perpaduan kaum menjadi bahan
perbualan masyarakat hari ini.

Secara tuntas, pelbagai cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum dalam negara
kita. Pelbagai usaha telah diambil tetapi belum cukup untuk mengekalkan perpaduan kaum yang
mudah untuk dimusnahkan. Kestabilan politik dan ekonomi merupakan antara aspek yang bakal
menentukan keutuhan perpaduan kaum dalam negara ini. Semoga setiap di antara kita sedar betapa
nikmatnya untuk hidup bersama-sama dengan kaum dan agama lain secara harmoni dan sejahtera.
Cabaran mengekalkan perpaduan kaum ini sebenarnya merupakan tugas kita sendiri dalam
memastikan pemimpin yang adil dipilih, amalan sikap toleransi serta bertolak ansur dilaksanakan
dalam kehidupan harian masing-masing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Punca-Punca Pencemaran Alam Sekitar

Dalam meniti kerancakan arus pemodenan pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang
serba mencabar akal dan minda ini telah membuatkan kita alpa akan tanggungjawab kita menghargai
serta memelihara keindahan alam semula jadi. Dewasa ini, kita boleh lihat hampir setiap hari buletin
di televisyen menyiarkan bencana-bencana alam yang menimpa manusia tidak kira di dalam
mahupun luar negara. Jadi adakah kita sedar bahawa sebahagian daripada musibah ini berpunca
daripada kegagalan kita menjaga habitat alam yang kita diami bertahun-tahun lamanya. Alam sekitar
yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia. Oleh
itu, rasionalnya untuk kita mengupas apakah dalang yang menyebabkan pencemaran ini berlaku dan
menjadi semakin berleluasa mutakhir ini.

Punca utama dalam berlakunya pencemaran ini adalah sikap tidak bertanggungjawab individu
mahupun sesebuah organisasi dalam pencemaran. Sebagai contoh, aktiviti ekonomi seperti
pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian yang baru diperlukan tetapi, ekosistem sesebuah
kawasan tersebut perlu dipelihara. Penebangan hutan dan penarahan bukit tanpa ada tindakan
pemuliharaan seperti penanaman semula pokok telah menyebabkan flora dan fauna kehilangan
habitat mereka. Hal ini menyebabkan berlaku bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat kerana
ketiadaan pokok-pokok yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan tanah di kawasan tersebut.
Justeru, kekayaan yang kian mengaburi mata-mata orang yang tidak prihatin akan alam semula jadi
ini harus dibukakan mata dan ditunjukkan kesan dan akibat sekiranya pencemaran ini berlaku dan
meniggalkan kesan terhadap diri mereka sendiri.

Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga antara punca berlakunya
pencemaran yang semakin menjadi-jadi hari ini. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang dan
pemantauan yang tidak konsisten menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab
membuat onar dan mengendahkan kedaulatan undang-undang. Intergriti pihak berkuasa perlu
dipersoalkan lantaran kes-kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan penjawat-penjawat awam.
Hal ini berlaku kerana tekanan ekonomi dan sikap tidak bertanggungjawab individu yang menawarkan
wang haram tersebut hanya kerana ingin melepaskan diri daripada tindakan undang-undang. Pihak
kerajaan sewajarnya lebih menumpukan perhatian dalam bab kebajikan pegawai-pegawai yang
bertugas menegakkan kedaulatan undang-undang negara.

Pada masa yang sama, antara dimensi lain yang menyebabkan pencemaran ini adalah kelonggaran
dasar atau polisi kerajaan dalam kepentingan alam sekitar. Kerajaan telah mengimplementasikan
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus,
mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi
pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih berlaku secara berleluasa.
Bak kata peribahasa Melayu, seperti melepaskan batuk ditangga yang bermaksud perlakuan kerja
yang dilakukan secara sambil lewa. Jikalau kita lihat, kepupusan haiwan semakin menjadi-jadi,
pembangunan secara lestari tidak dilaksana sehinggakan berlaku pencemaran yang memakan diri.
Misalnya, kejadian yang berlaku di Pasir Gudang, Johor di mana kawasan perindustrian dibina hampir
dengan kawasan perumahan dan sekolah dan pencemaran udara yang teruk telah melanda dan
mengakibatkan sekolah ditutup dan kanak-kanak dihantar ke hospital. Harapan yang tinggi untuk
pihak kerajaan hari ini mengutamakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di samping
memacu ekonomi negara ke arah kegemilangan.
Selain itu, punca pencemaan alam sekitar adalah penggunaan sumber tenaga yang mencemarkan
alam seperti diesel dan bahan bakar yang lain. Faktor perindustrian dan pengangkutan yang
bergantung pada bahan bakar petrol dan diesel menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi.
Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas,
dan motosikal secara berlebihan telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang
membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini. Kita boleh melihat contoh di negara Norway
yang menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik ataupun yang berasaskan tenaga yang boleh
diperbaharui. Mereka memberi pengecualian cukai dan kemudahan parkir untuk pengguna kenderaan
tersebut sekaligus mengurangkan pelepasan gas-gas yang mencemarkan udara dan memanfaatkan
sumber tenaga yang berpotensi untuk masa hadapan. Maka, pendekatan teknologi dan sistem yang
mesra alam perlulah digalakkan agar kita dapat bersama-sama mencegah pencemaran ini daripada
terus berleluasa.

Konklusinya, pelbagai punca yang dapat dirangkum dalam punca pencemaran ini terjadi. Masyarakat
dengan kerjasama media massa harus meningkatkan tahap kesedaran sivik orang-orang sekeliling
kita tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Jika setiap pihak mengambil langkah yang
proaktif persis mutiara kata, ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini
dapat diatasi dengan berkesan. Setiap individu hendaklah meluaskan horizon pemikiran dan
memanifestasikan fikiran dan membuat inteprestasi masing-masing dalam kepentingan memelihara
dan memulihara alam sekitar demi kelangsungan generasi akan datang. Semoga mereka dapat
merasai keindahan alam semula jadi secara langsung dan tidak hanya melihat video atau bentuk
digital keunikan flora dan fauna yang kita miliki hari ini.

Sebab-Sebab Remaja Lari Dari Rumah

Marcapada ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan kemajuan negara
yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai
permasalahan sosial yang tercetus dalam masyarakat kita sendiri. Antara polemik yang menjadi buah
mulut masyarakat masa kini adalah isu remaja lari daripada rumah. Ada di antara mereka yang
menghilangkan diri selama beberapa hari, minggu atau bulan sebelum pulang semula ke rumah
mereka dan ada yang tidak kembali langsung ke rumah mereka. Golongan remaja lazimnya berani
melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mereka kerana pada usia tersebut, mereka
mempunyai keazaman dan semangat tetapi tidak cukup matang untuk membuat keputusan.
Kebanyakan daripada mereka tidak memikirkan kesan jangka masa panjang sekiranya mereka
melakukan tindakan sebegini. Adakah ibu dan bapa mereka merestui dan meredhai perbuatan
mereka? Sesungguhnya tiada kasih sayang yang lebih berharga selepas kasih kepada Tuhan yang
dapat kita nikmati melainkan kasih sayang daripada ibu dan bapa kita. Oleh itu, wajar untuk kita
bincangkan sebab-sebab remaja melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Punca utama masalah kejadian remaja yang kian mengingkat ini kerana berlaku masalah di rumah
yang mereka diami. Kepincangan rumah tangga semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini kerana
tekanan kos sara hidup dan ketidak fahaman antara pasangan suami dan isteri. Data juga
menunjukkan jumlah penceraian bertingkat dari tahun ke tahun dan kebanyakan pasangan yang
terbabit mempunyai anak-anak yang remaja dan masih kecil. Remaja yang melihat ibu dan bapa
mereka sering bertengkar seperti anjing dengan kucing pasti akan merasa tertekan atau murung dan
menyebabkan mereka bertindak keluar daripada tempat tinggal mereka. Selain itu, kes keganasan
rumah tangga seperti memukul anak, mencederakan dan melakukan salah laku seksual terhadap
anak kandung sendiri telah menyebabkan golongan remaja trauma dan nekad untuk lari daripada
situasi tersebut. Masalah berkaitan institusi kekeluargaan ini sukar untuk diselesaikan begitu sahaja
kerana banyak pihak perlu memainkan peranan dan membuka hati untuk mempelajari ilmu serta
adab yang sepatutnya diamalkan dalam keluarga. Kesannya, golongan remaja akan bertindak keluar
dari rumah untuk mencari kehidupan yang lebih baik daripada hidup dianaktirikan oleh ibu, bapa atau
ahli keluarga sendiri.

Sebab lain yang menyumbang kepada kes dalam kalangan remaja ini adalah kerana mereka
mempunyai masalah di sekolah. Terdapat remaja yang tidak dapat menanggung tekanan yang
diberikan oleh guru mahupun ibu dan bapa terhadap diri mereka atas pencapaian akademik.
Ketegasan dan herdikan yang dianggap memberi terlalu berat oleh mereka telah menyebabkan
mereka bertindak di luar kawalan. Golongan ini perlu menyedari bahawa bumi mana yang tak kena
hujan. Maknanya, tiada perkara yang akan kita lalui tanpa rintangan dan juga halangan. Semangat
dan iltizam yang ada pada diri masing-masing  bakal menentukan sejauh mana perjalanan para
remaja dalam pelajaran ataupun kehidupan. Persis peribahasa, berakit-rakit ke hulu berenang-renang
ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Remaja perlu menerima nasihat dan
teguran yang diberikan oleh pendidik mereka dan berusaha untuk memperbaiki kesalahan diri serta
sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap perkara. Guru serta ibu dan bapa juga hendaklah
mendalami emosi dan pemikiran generasi muda masa kini kerana budaya dan persekitaran mereka
lain jika dibandingkan dengan zaman mereka dahulu.

Golongan remaja juga bertindak untuk keluar dari rumah atas pengaruh dan galakan daripada rakan-
rakan. Sudah menjadi asam garam masyarakat kita dimana pengaruh rakan menyumbang kepada
tindakan negatif seseorang ketika diusia remaja. Kebanyakan remaja merasakan rakan mereka
khususnya rakan sebaya adalah individu yang paling rapat dan memahami segala perkara yang
dihadapi oleh diri mereka. Misalnya, golongan remaja akan lebih menyokong tindakan ini daripada
perlu menghadap ibu dan bapa mereka yang selalu memarahi dan membebel terhadap perilaku
mereka.Bak kata pepatah, turut rasa binasa, turut hati mati. Golongan ini tidak menyedari bahawa ibu
dan bapa telah penat bekerja demi menyara kehidupan mereka sekeluarga dan memarahi anak-anak
mereka kerana sayang dan tidak mahu mereka terpesong ke arah perkara yang tidak diingini. Jurang
umur yang membezakan budaya dan pemahaman terhadap kasih dan sayang telah memakan diri
golongan remaja terutamanya. Ibu dan bapa masa kini perlu membuka mata kerana remaja sekarang
lebih memerlukan perhatian dan kasih sayang berbanding didikan orang tua dahulu. Intihannya,
pengaruh rakan merupakan antara punca remaja bertindak melalkukan perkara ini disebabkan sifat
besar kepala dan bodoh sombong.

Akhir sekali, sebab yang mendorong kes remaja lari daripada rumah kerana mereka terjebak dengan
masalah sosial seperti merempit dan menghisap dadah. Kita sedia maklum bahawa masalah sosial
merupakan barah yang semakin memburukkan kesejahteraan masyarakat hari ini. Lebih
menyedihkan bahawa pelaku masalah sosial ini ramainya terdiri daripada golongan remaja yang
berasal daripada keluarga yang kurang berada dan miskin. Mereka ingin melakukan perkara yang
memberi keseronokan tetapi sebaliknya memberi padah kepada diri dan juga masyarakat sekeliling
mereka. Golongan yang kurang bernasib baik ini akan melarikan diri bagi mencari kebebasan untuk
mereka melakukan aktiviti sosial seperti merempit atau menghisap dadah. Mereka akan bersikap
seperti kerbau dicucuk hidung dimana jika rakan-rakan mengajak mereka pasti akan mengikut sahaja
tanpa memikirkan akibat perilaku mereka. Izharnya, penglibatan remaja dalam masalah sosial
merupakan antara punca remaja keluar dari rumah kerana mengejar keseronakan duniawi yang
sementara sahaja.

Konklusinya, banyak sebab yang menyumbang kepada kejadian ini oleh golongan remaja. Masalah
ini perlu diatasi dan dipandang serius oleh setiap pihak terutamanya Kementerian Kesihatan
Malaysia. Permasalahan sosial yang timbul dalam kalangan remaja boleh diatasi dengan penglibatan
aktif setiap ahli masyarakat serta ibu dan bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak masing-
masing. Tidak semua daripada golongan remaja ini yang melakukan kegiatan yang negatif, hanya
segelintir daripada mereka dan kerana nila setitik, rosak sesusu belanga. Sekiranya golongan remaja
ini telah melakukan kesalahan dan berasa menyesal, tiada siapa yang menghalang dan setiap pihak
perlu menyokong mereka berubah ke arah yang lebih baik. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan,
balik ke pangkal jalan. Semoga permasalahan yang melibatkan generasi muda dapat dibendung agar
potensi sebenar diri mereka dapat dihasilkan dan memberi manfaat kepada diri mereka sendiri,
keluarga masyarakat dan juga negara.

Anda mungkin juga menyukai