Anda di halaman 1dari 2

Pendahuluan Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan

dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita
acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan perkauman yang dicetuskan oleh rakyat kita
sendiri. Negara Malaysia mengecapi kemerdekaan hasil usaha kesemua rakyat pada ketika
itu, tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit untuk hidup harmoni bersama-sama.
Namun, hari ini kita sering melihat siaran berita di televisyen dan video-video perkongsian di
laman sosial yang menggugat perpaduan kaum yang telah terbina sejak dahulu lagi. Pelbagai
faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku di mana kekurangan sifat toleransi merupakan
nilai yang penting bagi mencari kemajmukan dalam kalangan masyarakat hari ini. Oleh itu,
mari kita huraikan cabaran-cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum.
Cabaran pertama adalah dari segi politik negara. Perbezaan parti politik di Malaysia yang
berasaskan perkauman telah menyukarkan perpaduan kaum. Dunia politik sememangnya
penuh dengan kontrovesi dimana terdapat pelbagai individu yang mempunyai tujuan dan
kepentingan yang berbeza. Hasilnya, masih terdapat pemimpin yang kurang bijak dengan
mengharapkan sentimen perkauman dapat memancing perhatian rakyat tetapi sebaliknya
hanya ingin melindungi kepentingan diri sendiri. Oleh itu, bagi menggerakkan negara ke arah
kemajuan yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain,
ahli politik perlu bersikap terbuka dan matang. Politik sepatutnya membela nasib keseluruhan
rakyat bukannya mengikut kepentingan bagi mana-mana pihak. Tidak dapat dinafikan lagi
bahawa fahaman parti politik merupakan salah satu cabaran untuk mengekalkan perpaduan
kaum di negara ini. Sekiranya rakyat dan para pemimpin negara dapat mengatasi cabaran ini,
pasti perpaduan kaum antara masyarakat dalam negara akan menjadi lebih erat
Di samping itu, dominisasi sesebuah kaum dalam sesuatu bidang ekonomi juga telah
mewujudkan jurang ekonomi antara perkauman. Cabaran ini telah pun timbul sejak zaman
penjajahan British lagi dimana kaum Melayu menjadi petani dan nelayan, kaum India
diletakkan di ladang getah dan kaum Cina bekerja sebagai pedagang dan melakukan
perlombongan. Setelah kemerdekaan dicapai, berlaku perubahan di mana setiap kaum
mendapat peluang pendidikan dan mampu berjaya sekiranya berusaha dengan betul. Namun
begitu, akibat dasar penjajah dahulu, kesannya masih dapat dilihat sampailah sekarang
dimana sektor perniagaan masih didominisasi oleh kaum Cina dan kebanyakan orang India
masih tinggal di ladang. Rentetan senario ini telah menyebabkan interaksi sosial di antara
mereka terbatas. Kesannya, perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin kuat
dan menebal di antara sesama kaum dan menyukarkan proses perpaduan.
Cabaran seterusnya adalah dari segi sosial golongan muda dimana sistem pendidikan yang
diasingkan mengikut kaum telah wujud dan meninggalkan kesan yang kurang baik.
Pengenalan sistem sekolah vernakular yang mengikut kaum telah menjadikan hubungan
masyarakat semakin renggang. Mutakhir ini, masih ramai rakyat yang merupakan
warganegara Malaysia tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan iaiatu Bahasa
Melayu. Bahasa merupakan elemen utama untuk berkomunikasi di antara satu sama lain,
sekiranya kita tidak fasih untuk berbahasa, bagaimana untuk kita berkomunikasi dan
memahami individu lain yang berbeza pendapat dengan kita. Jika masyarakat majmuk
melibatkan diri dalam kegiatan sosial terutamanya pendidikan dan berkomunikasi dengan
baik maka akan timbul sifat keterbukaan, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain.
Pada hemat saya, mewujudkan satu sahaja aliran dalam sistem pendidikan negara serta
penekanan tehadap penggunaan bahasa kebangsaan dapat menyelesaikan masalah perpaduan
kaum yang semakin membelenggu masyarakat hari ini. Persis kata mutiara, melentur buluh
biarlah dari rebungnya
Pada masa yang sama, ledakan teknologi hari ini juga merupakan cabaran dalam
mengekalkan perpaduan kaum. Kemudahan media massa dan sosial yang semakin pantas
dalam menyampaikan sesuatu teks atau video telah menunjukkan sisi negatifnya. Penyebaran
fitnah dan berita palsu semakin menular terutama apabila isu tersebut menyentuh sensitivi
perkauman atau agama. Setiap individu sewajarnya bertanggungjawab dan beretika dalam
menyampaikan atau berkongsi sesuatu perkara yang sensitif dan mungkin tidak sahih.
Netizen perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum memberi reaksi terhadap perkara yang
menyentuh tentang perkauman dan agama. Pihak berkuasa wajar menguatkuasakan undang-
undang kepada pelaku yang mencetuskan isu atau sesuatu perkara yang mampu
menggolakkan perpaduan antara kaum. Ahli masyarakat juga bertanggungjawab menjadi
mata-mata pihak berkuasa dimana jika ternampak sesuatu perkara yang akan menimbulkan
kemarahan sesebuah kaum atau penganut agama, wajar untuk kita laporkan kepada pihak
polis. Intihannya, penggunaan teknologi seperti media sosial sepatutnya menjadi perkara
yang positif dalam kehidupan harian kita sebaliknya, penularan isu-isu yang menyentuh
perpaduan kaum menjadi bahan perbualan masyarakat hari ini.
Secara tuntas, pelbagai cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum dalam
negara kita. Pelbagai usaha telah diambil tetapi belum cukup untuk mengekalkan perpaduan
kaum yang mudah untuk dimusnahkan. Kestabilan politik dan ekonomi merupakan antara
aspek yang bakal menentukan keutuhan perpaduan kaum dalam negara ini. Semoga setiap di
antara kita sedar betapa nikmatnya untuk hidup bersama-sama dengan kaum dan agama lain
secara harmoni dan sejahtera. Cabaran mengekalkan perpaduan kaum ini sebenarnya
merupakan tugas kita sendiri dalam memastikan pemimpin yang adil dipilih, amalan sikap
toleransi serta bertolak ansur dilaksanakan dalam kehidupan harian masing-masing. Bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh

Anda mungkin juga menyukai