Anda di halaman 1dari 3

GARISAN HAYAT HIDUPKU – REFLEKSI.

Salam sejahtera. Nama saya Muhammad Ihsan Aiman bin Zulkifli. Saya berasal dari Pulau Pinang dan
berumur 24 tahun. Refleksi di bawah adalah berkenaan dengan garisan hayat hidup saya yang telah
dilukis dalam gambar sebelum ini.

1. Peringkat Bayi (1997) :

Sebenarnya pada peringkat bayi ini, saya tidak mengingati satu peristiwa apapun. Namun jika
dibelek album gambar yang tersimpan di almari rumah, saya menganggap bahawa saya
disayangi oleh semua orang. Saya merupakan bayi yang normal, jadi saya melalui semua proses
yang dinyatakan dalam teori tokoh-tokoh psikologi terkenal seperti Arnold Giselle dari segi
biologi dan Jean Piaget dari segi intelektual.

2. Prasekolah (2002-2003) :

Saya dihantar ke prasekolah agama iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Pada fasa ini juga
tiada apa yang menonjol dalam ingatan saya kecuali tentang saya mewakili tadika saya dalam
pertandingan nasyid antara PASTI seluruh negeri Pulau Pinang, dan saya menjadi pelajar terbaik
tadika tersebut ketika berumur 6 tahun. Mungkin pada ketika ini saya berada dalam peringkat
‘Moral Konvensional” dalam teori Kohlberg kerana saya berasa gembira apabila dipuji atas
kejayaan saya dalam pelajaran.

3. Sekolah Rendah (2004-2009) :

Ibu bapa saya sangat menitikberatkan pendidikan agama terhadap anak-anak mereka. Mereka
sanggup berhabis wang menghantar saya dan adik-adik ke sekolah agama swasta demi
memastikan kami mendapat didikan agama yang sempurna. Pada fasa ini saya sangat aktif dan
nakal, sesuai dengan fitrah seorang kanak-kanak normal. Pelbagai insiden telah berlaku pada
masa ini. Antara yang paling saya ingati adalah babak saya terjatuh basikal kerana saya cuba
untuk mengatasi kelajuan kayuhan ayah saya, dan saya juga pernah melanggar pasu bunga jiran
kerana gagal mengawal keseimbangan semasa mencuba untuk kayuh basikal tanpa memegang
pemegang (hands free cycling). Saya menganggap ketika ini adalah fasa di mana saya berada
dalam peringkat keempat dalam teori Erik Erikson (kerajinan lawan kerendahan diri) kerana
terlalu banyak perkara baharu yang saya lakukan samada ianya datang daripada idea saya
sendiri, mahupun kerana saya cuba meniru kemahiran orang lain. Di sebalik kenakalan saya,
Alhamdulillah saya masih berjaya memperoleh keputusan 5A dalam UPSR. Ini bermakna saya
sudah menguasai peringkat operasi formal dalam teori kognitif Jean Piaget.
4. Sekolah Menengah (2010-2015) :

Pendidikan agama saya diteruskan dengan kemasukan saya ke salah sebuah sekolah agama
Islam terkenal utara tanah air, iaitu Maktab Mahmud Alor Setar. Ini bermakna pada usia 13
tahun saya sudah mula berjauhan daripada ibu bapa kerana saya tinggal di asrama. Pada fasa ini
saya juga aktif bermain bolasepak bersama rakan-rakan, dan juga menyertai aktiviti nasyid jika
berkesempatan. Sepertimana semua remaja normal yang lain, sudah tentu saya juga sudah
berada pada peringkat ketiga dalam teori Havighurst pada masa ini, iaitu saya sudah akil baligh,
sifat-sifat rebel mula terbentuk, dan sudah dapat membezakan yang baik daripada yang buruk.
Namun berbekalkan rasa kasih dan saying terhadap ibu bapa, saya tidak tergelincir menjadi
pelajar bermasalah, dan berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang dalam semua peperiksaan
utama. Saya mendaftar ke Tingkatan 6 untuk mengambil STAM kerana ingin ke Mesir bersama
rakan-rakan, namun takdir Tuhan membawa saya ke negara Islam yang lain, iaitu
Maghribi@Morocco sebelum sempat saya menghabiskan tempoh setahun tingkatan 6 di
sekolah tersebut.

5. Universiti (2015-2018) :

Sekali lagi keputusan dalam pendidikan saya dipengaruhi oleh ibu bapa. Dalam masa tiga tahun,
saya bersama semua rakan kohort yang sama berjaya memperoleh ijazah daripada pusat
pengajian yang diperakui oleh MQA ini. Disebabkan saya sudah fokus belajar sehingga
memperoleh ijazah dengan cepat, maka saya merasakan inilah masanya untuk saya keluar
daripada dunia akademik ini. Saya sudah puas dengan segala kejayaan yang dikecapi, dan
bercadang untuk memberi masa kepada diri dalam mengejar segala minat seni dan perniagaan
yang saya abaikan semasa memberi yang terbaik dalam pelajaran. Jika dilihat pada teori Erik
Erikson, maka saya anggap bahawa saya sedang berada dalam peringkat kelima iaitu identiti
lawan kekeliruan identiti. Namun pada awal tahun 2020, disebabkan saya menjadi calon
simpanan guru interim yang belum dipanggil, maka saya disuruh mengambil ijazah sarjana
bidang usuluddin Islam pula demi mempertingkatkan taraf sosial saya di mata penemuduga.

6. Kerjaya (2019-2021) :

Saya dipanggil posting ke Sarawak dalam keadaan saya sudah separuh jalan dalam pengajian
sarjana saya. Maka saya lalui tahun 2020 dengan bekerja sambil belajar. Manakala pada tahun
ini pula sayalah pekerja, sayalah pelajar, dan sayalah juga penulis tesis. Saya merasa tertipu
kerana menganggap bahawa ibu bapa saya akan berpuas hati dengan taraf pendidikan sarjana
muda saya yang cemerlang daripada tadika. Saya mula menyedari bahawa manusia memang
dilahirkan dengan sifat tamak dan tidak merasa cukup. Maka saya lebih memilih untuk
percayakan diri sendiri sahaja sekarang dalam membuat keputusan. Namun pendirian saya ini
bolehlah dikatakan tertakluk dalam peringkat keenam teori Erik Erikson, iaitu peringkat
kerapatan lawan pengasingan. Saya berharap apabila saya sudah berkahwin dengan pilihan hati
saya nanti, saya akan mempunyai bahu untuk dipinjam ketika merasa perit ditimpa ujian. Berkat
ilmu agama yang tertanam dalam jiwa, tetap saja saya bersyukur dengan lukisan takdirNya di
samping tidak putus berdoa agar segala yang diimpikan mampu dicapai sebelum saya
meninggalkan dunia yang fana ini.

Sekian, semoga jawapan ini menepati skema yang dikehendaki.

Muhammad Ihsan Aiman bin Zulkifli.

PDPP PI – SR 2

Anda mungkin juga menyukai