Anda di halaman 1dari 15

LIA3021

UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM


SEMESTER 2
SESI 2017/2018

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ISLAM DI


MALAYSIA

DISEDIAKAN OLEH

PUTERI ZARINA HANIM BINTI AWANG ALIK


LIA160119
WAN NURSYAFIQAH BINTI WAN RUSLI
LIA160143
1.0.PENDAHULUAN

Apabila seseorang meninggal dunia, kesemua hartanya yang ditinggalkan akan


dibahagikan kepada waris tetapi sebelum harta pusaka itu boleh dibahagikan, ia perlu melalui
proses pentadbiran terlebih dahulu. Pentadbiran harta pusaka penting bagi memastikan harta
pusaka si mati dapat dimanfaatkan oleh waris dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Pentadbiran
harta pusaka seharusnya diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan penganiayaan atau
masalah berbangkit serta mengelakkan berlakunya kerumitan atau kekeliruan dalam kalangan
waris terhadap harta pusaka itu.

Dalam kerja kursus ini, kami akan membincangkan mengenai pentadbiran harta
pusaka Islam di Malaysia. Kami akan memulakan dengan memberi definisi harta pusaka dan
seterusnya menghuraikan pelbagai jenis harta pusaka. Kemudian kami akan membincangkan
bidang kuasa dan agensi-agensi yang terlibat dengan pentadbiran harta pusaka. Seterusnya
kami akan membincangkan permasalahan yang sering timbul mengenai pengurusan dan
pentadbiran harta pusaka sehingga menyebabkan sejumlah harta pusaka beku tanpa dituntut.
Akhir sekali, kami akan membincangkan cadangan penyelesaian untuk masalah yang telah
dinyatakan.

2.0.DEFINISI HARTA PUSAKA

Menurut al-Syeikh Imam Ramli di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, harta pusaka ditakrifkan
sebagai:

“Apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya dari sesuatu hak
seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi
cuka setelah matinya, diyat yang diambil daripada pembunuhnya kerana diyat itu
termasuk ke dalam miliknya, begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang
telah dipasangnya di masa hidupnya.”1

Menurut Ustaz Haji Abdul Kadir bin Ismail, dalam mazhab al-Syafi’i, harta pusaka
ditakrifkan sebagai:

1
Wan Abdul Halim Wan Harun. (2008). Permasalahan dalam Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka.
Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka. Kuala Lumpur, Malaysia: Dawama Sdn. Bhd.
“Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian
ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak kepunyaan, begitu juga
apa yang termasuk di dalam miliknya setelah dia mati.”2

Secara ringkasnya, harta pusaka bermaksud semua harta peninggalan si mati iaitu harta yang
dimiliki oleh seseorang dan berkekalan miliknya sehingga dia mati. Bentuk-bentuk harta
yand boleh diperolehi oleh waris terbahagi kepada dua kategori, iaitu harta alih dan harta tak
alih.

2.1.Harta Alih
Harta alih adalah harta yang bukan dalam bentuk tanah ataupun rumah. Contoh harta alih
adalah seperti pakaian, barang kemas, kenderaan, peralatan rumah seperti perkakas dapur,
perabot dan sebagainya, wang tunai, duit simpanan dalam mana-mana institusi kewangan
seperti bank, Tabung Haji dan KWSP, pelaburan seperti ASN, ASB, saham syarikat,
saham koperasi, pampasan pengambilan tanah, insurans, binatang ternakan dan lain-lain
yang seumpama dengannya.3

2.2.Harta Tak Alih


Harta tak alih bermaksud “tanah dan mana-mana kepentingan, hak atau faedah yang
diperoleh atau akan diperoleh daripada tanah.” 4 Harta tak alih termasuklah tanah,
faedah yang terbit daripada tanah, dan benda-benda yang dilekatkan kepada tanah atau
yang dilekatkan secara tetap kepada tanah.5

Harta tak alih merangkumi semua jenis tanah yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya,
termasuklah tanah pertanian, bangunan, perindustrian, lombong dan sebagainya. Tanah-
tanah yang telah diluluskan permohonannya oleh kerajaan kepada seseorang walaupn
masih belum dikeluarkan suratan hak milik (geran), tanah-tanah yang diluluskan di bawah
rancangan FELDA, FELCRA dan sebagainya di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960, tanah yang dipegang oleh seseorang bagi pihak si mati
sama ada sebagai pemegang amanah, pentadbir ataupun wakil, sesuatu kepentingan dalam
gadaian ataupun pajakan juga dikira sebagai harta tak alih.

2
Ibid.
3
Md Ghazali Ibrahim. (2008). Urus Harta Sebelum Mati. Kuala Lumpur, Malaysia: Percetakan Zafar Sdn. Bhd
4
Akta Tafsiran 1948 & 1967 (Akta 388) 1992, Kuala Lumpur: International Law Book Services, Perkara 3,
hlmn 3.
5
Ibid, Perkara 66, hlmn. 36.
3.0.PEMBAHAGIAN KATEGORI HARTA PUSAKA

Harta pusaka boleh dibahagikan mengikut dua tahap. Pertama sekali, mengikut peruntukan
undang-undang di Malaysia, semasa agihan harta pusaka dilakukan, dua perkara perlu
diperhatikan iaitu apakah si mati ada meninggalkan wasiat dan apakah nilai dan bentuk harta
si mati. Jika si mati meninggalkan wasiat maka perlu dipastikan bahawa wasiat tersebut sah
dan mengikut undang-undang. Dalam konteks undang-undang Islam, ianya perlu mematuhi
syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang pentadbiran agama Islam dan
disahkan oleh Mahkamah Syariah sekiranya terdapat pihak yang mencabar kesahihan wasiat
tersebut. Untuk mentadbir harta pusaka yang berwasiat, maka satu surat kuasa mentadbir
wasiat itu yang dikenali sebagai surat probet haruslah dipohon kepada mahkamah (letters of
administration with will annexed).

3.1.Pembahagian tahap pertama


3.1.1. Harta Pusaka Berwasiat
Jika si mati meninggalkan harta dengan surat wasiat terakhir yang sah
mengandungi cara-cara bagaimana harta pusakanya hendaklah dibahagikan antara
waris-warisnya, harta pusaka itu dipanggil harta pusaka berwasiat.

Bagi orang yang bukan beragama Islam, wasiat itu adalah sah selama ia tidak
mengandungi syarat-syarat yang bercanggah dengan Akta/Ordinan Wasiat dan
pengesahan wasiatnya tidak dicabar oleh mana-mana waris. Bagi orang yang
beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih daripada 1/3
daripada harta pusakanya kepada pihak-pihak selain waris (dengan persetujuan
atau tanpa persetujuan waris).6

3.1.2. Harta Pusaka Tidak Berwasiat


Orang yang meninggalkan harta tanpa wasiat dipanggil harta pusaka tak
berwasiat.7

6
Pentadbiran Harta Pusaka. (n.d.). Jabatan Bantuan Guaman. Diambil daripada:
http://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/pentadbiran-harta-pusaka.pdf
7
Ibid.
Bagi tahap kedua pula, jika si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat, maka agihan
pusakanya bergantung pada nilai dan bentuk harta peninggalan si mati. Dalam hubungan ini,
undang-undang membahagikan harta pusaka tidak berwasiat kepada beberapa bentuk iaitu
pusaka biasa atau besar, pusaka kecil dan pusaka yang melibatkan harta alih sahaja atau juga
dikenali sebagai pusaka ringkas.8

3.2.Pembahagian tahap kedua


3.2.1. Harta Pusaka Kecil
Harta pusaka kecil ialah pusaka tanpa wasiat apabila harta termasuk harta alih dan
harta tak alih bernilai kurang daripada RM600,000. Permohonan untuk mentadbir
harta pusaka kecil dibuat kepada pegawai pentadbir pusaka di bawah Akta Harta
Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Permohonan kepada pegawai pentadbir pusaka
di bawah undang-undang ini terpakai kepada kedua-dua bentuk harta pusaka sama
ada harta alih dan tidak alih atau kedua-duanya. Permohonan juga boleh dibuat
kepada Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Raya mengikut Akta Perbadanan
Amanah Raya 1995 bagi pentadbiran harta pusaka harta alih yang tidak melebihi
RM600,000. Kedua-dua pegawai pentadbir pusaka ini mempunyai kuasa di bawah
undang-undang berkenaan untuk mentadbir dan menyelesaikan agihan pusaka si
mati setakat nilai yang dibenarkan oleh undang-undang tanpa perlu kepada surat
kuasa pentadbiran. Namun begitu, rayuan juga boleh dibuat kepada mahkamah
tinggi sekiranya terdapat keputusan pegawai berkenaan yang tidak memuaskan hati
pihak-pihak yang terlibat.9

3.2.2. Harta Pusaka Biasa


Harta pusaka biasa ialah harta alih atau harta tak alih bernilai lebih daripada
RM600,000. Permohonan untuk mentadbir harta pusaka biasa dibuat kepada
mahkamah tinggi.

Pembahagian harta pusaka kepada pusaka kecil dan pusaka biasa ialah bagi
mempercepat proses permohonan. Sungguhpun mengikut peruntukan undang-
undangnya hanya pegawai pentadbir pusaka dan Mahkamah Tinggi yang berkuasa

8
Resali bin Muda. (2016). Harta Pusaka Islam di Malaysia: Antara Perundangan dan Pentadbiran. Malaysian
Journal of Syariah and Law, 4.
9
Ahmad Hidayat Buang. (2007). Prinsip dan Pentadbiran Pusaka. Undang-undang Islam di Malaysia: Prinsip
dan Amalan. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit Universiti Malaya
mengeluarkan perintah bagi penyelesaian pusaka seperti pembayaran kepada
pemiutang atau kepada waris-waris yang berhak, namun dari segi amalan pihak
institusi kewangan seperti Bank, Tabung Haji, Syarikat Koperasi, KWSP dan
sebagainya juga membuat pembayaran terus kepada waris-waris tanpa perlu
kepada surat kuasa pentadbiran pusaka. Amalan ini dilakukan sekiranya jumlah
simpanan si mati adalah kecil dan bukti kematian seperti sijil mati serta sijil faraid
dikemukakan semasa memohon pembayaran. Bagi pihak bank lazimnya akan
meminta permohonan menandatangani satu surat aku janji bagi mengagihkan wang
tersebut mengikut faraid. Selain itu, Akta Insurans 1996 juga membenarkan wang
pampasan kurang daripada RM100,000 dibayar kepada waris atau kepada penama.
Waris-waris juga boleh memohon bayaran kecemasan daripada institusi ini
daripada akaun si mati bagi tujuan perbelanjaan pengurusan jenazah dan lain-
lain.10
3.2.3. Harta Pusaka Ringkas
Harta pusaka ringkas ialah harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi
RM600,000 yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai,
saham, KWSP, ASN, ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Permohonan
untuk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat
melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya
Berhad.

4.0.BIDANG KUASA

Di Malaysia, bidang kuasa pentadbiran dan pembahagian harta pusaka tertakluk di


bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di dalam
Perlembagaan Persekutuan Perkara 4(e)(1) Senarai 1, Jadual Kesembilan yang
memperuntukkan undang-undang berkaitan pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat
adalah terletak di bawah senarai Persekutuan. Hal ini bermaksud kuasa perundangan
berkaitan harta pusaka yang merangkumi harta alih atau tak alih, harta berwasiat atau tak
berwasiat adalah terletak kepada bidang kuasa Persekutuan.

Undang-undang asas yang terpakai pada agihan pusaka orang Islam di Malaysia
adalah tertakluk kepada hukum syarak. Perkara ini jelas diperuntukkan oleh Perlembagaan

10
Ibid.
dan Undang-undang Pentadbiran Agama Islam di Malaysia. Namun begitu, beberapa
pengecualian boleh diberikan terutama kepada pembahagian tanah adat di Negeri Sembilan
dan pembahagian tanah rancangan seperti FELDA yang tertakluk kepada undang-undang
tertentu yang mungkin berbeza dengan hukum syarak.

Manakala dari segi pentadbiran, semua harta pusaka tanpa mengambil kira agama
seseorang si mati itu tertakluk kepada tiga undang-undang yang menetapkan cara dan
peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia, iaitu, Akta Probet dan Pentadbiran 1959
(Akta No. 97), Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta No. 98) dan Akta Perbadanan
Amanah Raya Berhad 1995 (Akta No. 532). Akta Probet dan Akta Pusaka Kecil memberi
kuasa kepada Mahkamah Tinggi dan pegawai pentadbir pusaka untuk mentadbir pusaka dan
wasiat. Manakala akta Perbadanan Amanah Raya 1995 memberi kuasa kepada pihak Amanah
Raya untuk mentadbir harta pusaka.

Kesemua undang-undang ini bermaksud Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang


kuasa untuk mentadbir pembahagian harta pusaka. Mahkamah Syariah hanya berperanan
untuk mengesahkan siapakah pewaris kepada si mati dan bahagian mereka sahaja. Di dalam
kes Jumaaton @ Zaiton Bt Haji Awang & SL lwn Raja Hizaruddin B. Raja Nong Chik11,
mahkamah rayuan syariah telah memutuskan bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai
bidang kuasa dalam perkara probet dan surat kuasa mentadbir kerana ia terletak di bawah
bidang kuasa mahkamah sivil. Kes Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti
Dato’ Talib 12 juga telah mengiktiraf pentadbiran pusaka diletakkan di bawah Senarai
Perundangan Persekutuan (Senarai 1 Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan) dan
tidak kecualikan bagi orang Islam. Pemisahan antara undang-undang asas pusaka dan
pentadbiran ini adalah peninggalan polisi penjajah Inggeris yang dikekalkan sampai ke hari
ini.

Di Malaysia, sehingga kini masih belum ada undang-undang bertulis mengenai


pusaka orang Islam. Undang-undang bertulis seperti Akta Pengagihan Pusaka 1958 serta
Akta Wasiat 1959 tidak terpakai kepada orang Islam kerana peruntukan undang-undang ini
tidak mengikut undang-undang Islam. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah (dan juga
dalam sesetengah keadaan Mahkamah Sivil) semasa memutuskan kes-kes yang berkaitan
pusaka orang Islam merujuk kepada hukum syarak. Fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan

11
[1998] 6 MLJ 556
12
[1992] 2 MLJ 793
Mufti juga dirujuk dan digunakan di dalam amalan seperti bahagian Baitulmal dalam
ketiadaan waris ‘asabah, penolakan prinsip radd dan dhu arham di dalam pusaka. Keadaan
ini berbeza dengan negara-negara Islam yang lain seperti Mesir dan Indonesia yang terdapat
undang-undang bertulis mengenai pusaka.13

5.0.PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ISLAM

Terdapat tiga akta berbeza untuk mentadbir pelbagai jenis harta pusaka yang telah
dibincangkan di atas. Akta-akta berikut ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, Akta
Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Bagi mentadbir
undang-undang yang telah dinyatakan dalam akta-akta ini, terdapat tiga agensi yang terlibat.
Agensi-agensi ini ialah Mahkamah Tinggi Sivil, Amanah Raya Berhad dan juga Bahagian
Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) 14.

Segala harta yang diklasifikasikan sebagai harta pusaka kecil akan ditadbir mengikut
peruntukan dalam Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Seksyen 4(1) Akta ini telah
menyatakan bahawa “Kecuali sebagaimana Akta ini memperuntukkan sebaliknya, tiada
kepentingan di dalam apa-apa harta pusaka kecil membolehkan penurunan milik atau
peletakan hak kepada mana-mana orang menurut kuasa mana-mana instrumen selain daripada
satu perintah atau pemberian yang dibuat di bawah Akta ini.” Seorang Pegawai Penyelesai
Harta Pusaka yang bertugas di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian akan
bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran harta pusaka kecil berpandukan dengan Akta
Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Pegawai ini mempunyai kuasa semi-judicial dalam
menentukan pembahagian harta si mati. Cara pembahagian harta pusaka orang Islam di
JKPTG boleh dilakukan melalui hukum faraid ataupun secara muafakat oleh kesemua waris.

Seterusnya, harta pusaka biasa akan ditadbir oleh Mahkamah Tinggi Sivil mengikut
Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan prosedur yang ditetapkan di bawah Peraturan
Mahkamah Sivil (Rules of Court 2012). Akta Probet memperuntukkan cara-cara untuk
mendapatkan Geran Probet dan Surat Kuasa Mentadbir dan permohonan bagi mendapatkan
kedua-dua surat kuasa ini boleh didapatkan melalui permohonan kepada Mahkamah Tinggi
Sivil. Menurut Akta Probet, terdapat tiga jenis geran probet dan suara kuasa mentadbir iaitu:

13
Supra, n. 8.
14
Ibid.
i. Geran Probet (Surat Kuasa Wasiat) jika si mati ada meninggalkan wasiat yang
meliputi semua hartanya (bagi si mati bukan beragama Islam)
ii. Surat Kuasa Mentadbir bagi harta pusaka tanpa wasiat (intestate estate); dan
iii. Surat Kuasa Mentadbir dengan wasiat berkembar apabila si mati
meninggalkan wasiat untuk sebahagian daripada harta peninggalannya dan
sebahagian lain yang tanpa wasiat (partly testate and partly intestate)
Walau bagaimanapun, harta pusaka orang Islam haruslah dibahagikan mengikut hukum
faraid. Peraturan Mahkamah Sivil pula memainkan peranan dalam memudahkan prosedur
pembahagian harta pusaka di Mahkamah Sivil Tinggi.

Manakala harta pusaka ringkas akan ditadbir oleh Amanah Raya Berhad mengikut
Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Amanah Raya Berhad menawarkan pelbagai
perkhidmatan yang merangkumi perkhidmatan pentadbiran harta pusaka, penulisan dan
penyimpanan wasiat serta perkhidmatan pengamanahan. Bagi pentadbiran harta pusaka,
antara fungsi Amanah Raya Berhad ialah bagi mewakili waris di mahkamah dan mengiringi
waris ke Pejabat Pusaka Kecil bagi menguruskan harta pusaka bagi pihak waris. Amanah
Raya Berhad juga berperanan dalam pembahagian dan pindah milik harta pusaka berdasarkan
hukum faraid bagi yang beragama Islam.15

6.0.ISU-ISU DAN PERMASALAHAN DALAM PENTADBIRAN HARTA PUSAKA


ISLAM DI MALAYSIA

Pada tahun 2016, akhbar tempatan Berita Harian telah menerbitkan sebuah artikel
yang menyatakan bahawa sebanyak RM60b harta umat Islam beku dan tidak dituntut 16 .
Jumlah RM60b ini adalah jumlah keseluruhan harta yang tidak dituntut oleh perwaris-
perwaris semenjak negara kita mencapai kemerdekaan. Pada bahagian ini, kami akan
membincangkan serba sedikit antara isu-isu dan permasalahan dalam pentadbiran harta
pusaka sehingga menyebabkan jumlah harta pusaka yang sangat banyak beku tanpa
diagihkan. Kami telah mendapati terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada
permasalahan ini.

15
Pentadbiran Harta Pusaka. (n.d.). AmanahRaya. Diambil daripada:
http://www.arb.com.my/bm/index.asp?fuseaction=Content.View&ID=18
16
Ilah Hafiz Aziz. (2016, Mac 29). RM60b harta umat Islam tidak dituntut. Berita Harian Online. Diambil
daripada: https://www.bharian.com.my/node/138450
6.1.Faktor birokrasi dan pentadbiran
Pertama sekali, isu yang paling utama menyumbang kepada situasi ini ialah wujudnya
pelbagai agensi pentadbiran harta pusaka Islam dengan bidangkuasa yang berbeza
sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang Islam di Malaysia 17 . Orang Islam di
Malaysia secara umumnya tidak mengetahui bahawa terdapat agensi yang berbeza bagi
menguruskan jenis-jenis harta yang berbeza dan mempunyai kesukaran untuk memahami
dan membezakan bidangkuasa ketiga-tiga agensi ini. Kekeliruan ini menyebabkan waris
akhirnya gagal untuk menguruskan harta pusaka si mati. Selain itu, terdapat agensi
pentadbiran harta pusaka yang mengenakan bayaran yang tinggi kepada waris sehingga
membebankan mereka dan menyebabkan waris memutuskan untuk membiarkan sahaja
harta pusaka si mati beku18.

6.2.Faktor waris
Kedua, sikap waris sendiri yang mengambil mudah mengenai pembahagian harta pusaka
si mati 19 . Ini seringkali berlaku dalam situasi-situasi di mana harta pusaka yang
ditinggalkan oleh si mati tidak banyak sedangkan terdapat ramai waris. Oleh itu, kesemua
waris ini tidak merasakan prosedur-prosedur yang perlu dilalui dan pembayaran yang
perlu dilakukan adalah berbaloi dengan jumlah harta pusaka yang sedikit itu. Mentaliti
waris-waris yang merasakan bahawa pembahagian harta pusaka ini adalah sesuatu
perkara yang tidak penting juga menyebabkan mereka akan melengah-lengahkan usaha
untuk menyelesaikan pengurusan harta pusaka.

Antara masalah lain antara waris yang menyumbang kepada situasi ini ialah apabila
waris-waris bertelingkah sesama sendiri tentang cara pentadbiran dan jumlah harta yang
mereka wajar terima 20 . Akan terdapat waris yang tamak dan cuba untuk melakukan
penipuan bagi memastikan dia menerima kesemua harta si mati. Masalah hubungan

17
Wan Abdul Halim. (2009). Isu-isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam Dalam Konteks Perundangan
Malaysia. Jurnal Pengurusan Jawhar, 3(1).
18
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia. (2015). Cadangan Transformasi
Pentadbiran Harta Pusaka di Semenanjung Malaysia. Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya: Unit
Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia.
19
Mohd Fitri Abdul Rahman, Kamarudin Ngah, Jamaludin Mustaffa, Rozita Abdul Mutalib & Mohd Hilmi
Hamzah. (2016). Kelewatan Dalam Pembahagian Harta Pusaka. Journal of Global Business and Social
Entrepreneurship, 2(3).
20
Ibid.
renggang antara waris juga menyukarkan proses pentadbiran kerana tiada permuafakatan
dan menyebabkan kesukaran untuk memperoleh dokumen-dokumen penting.

6.3.Faktor sikap dan pengetahuan masyarakat mengenai pentadbiran harta pusaka


Ketiga, masalah ini juga terbit disebabkan kurangnya pengetahuan masyarakat Islam di
Malaysia mengenai proses pentadbiran harta pusaka Islam di Malaysia 21 . Mereka
bertanggapan bahawa harta pusaka akan dibahagikan melalui hukum faraid maka mereka
tidak perlu membuat perancangan awal mengenai pembahagian harta mereka22. Ekoran
daripada tanggapan ini, waris-waris perlu menanggung segala permasalahan yang timbul
mengenai pengurusan harta pusaka si mati. Di samping itu, sikap pemilik harta atau si
mati yang mengambil ringan terhadap dokumen-dokumen penting seperti menghilangkan
dokumen pemilikan tanah juga menambah beban waris dalam menguruskan pengagihan
harta pusaka23.

7.0.CADANGAN PENYELESAIAN

Kita dapat lihat daripada topik di atas bahawa terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan masalah harta pusaka Islam beku tanpa dituntut oleh waris. Oleh itu bagi topik
ini, kami akan membincangkan cadangan penyelesaian supaya pentadbiran harta pusaka
Islam akan lebih lancar dan mudah bagi orang Islam di Malaysia.

Pertama, cadangan yang paling utama ialah supaya kesemua agensi pentadbiran harta
pusaka Islam ini digabungkan menjadi satu institusi. Sesetengah pihak merujuk idea ini
sebagai mewujudkan sebuah pusat setempat atau ‘one stop center’24 di mana pusat ini akan
menerima semua permohonan pentadbiran harta pusaka, pengeluaran surat kuasa mentadbir
dan perintah pembahagian. Dengan wujudnya sistem pusat setempat ini, orang Islam di
Malaysia tidak perlu lagi runsing dengan pelbagai agensi pentadbiran dan hanya perlu
berurusan dengan sebuah agensi sahaja bagi urusan pentadbiran harta pusaka.

21
Nadia Hamid. (2017, Jun 12). Kerenah birokrasi, kurang ilmu punca pusaka RM60b terbiar. Berita Harian
Online. Diambil daripada: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/07/292113/kerenah-birokrasi-
kurang-ilmu-punca-pusaka-rm60b-terbiar
22
Supra, n. 9.
23
Md Yusof. (2008). Hukum wisoyah & realiti Permasalahannya dalam konteks perancangan pusaka Islam.
Jurnal Muamalat, 1, 73-102.
24
Hasliza Talib, Nurhayati Abdul Ghani, Nur Zulfah Md Abdul Salam, Nurul Syafini Abdul Rahman, Noor
Syahida Abdul Rahman & Farhana Abdul Samad. (n.d.). Isu-Isu Tuntutan Harta Pusaka: Satu Sorotan Literatur.
Kolej Universiti Islam Antrabangsa.
Kedua, statut khas bagi pentadbiran harta pusaka orang Islam juga wajar diwujudkan
di Malaysia. Ini kerana, walaupun sudah jelas bahawa harta orang Islam perlu dibahagikan
menggunakan hukum faraid, masih terdapat kekeliruan dan isu yang timbul akibat pandangan
mazhab yang berbeza 25 . Pegawai-pegawai dan mahkamah yang menentukan jumlah
pembahagian juga sering keliru dengan cara pembahagian harta pusaka melalui hukum faraid
kerana sumber rujukan mereka hanyalah faraid di samping menghadiri kursus asas dan
pembelajaran tidak formal. Dengan wujudnya sebuah statut bagi hukum faraid ini, seseorang
pegawai atau hakim mahkamah tidak perlu lagi runsing dalam membahagikan harta pusaka
kerana segala hukum telah digariskan di dalam statut ini. Selain itu, statut mengenai
pentadbiran harta pusaka Islam juga boleh diwujudkan dengan menggabungkan statut-statut
yang sedia ada seperti Akta Probet dan Akta Pusaka Kecil.

Ketiga, masyarakat Islam di Malaysia juga perlulah diperkasakan dengan ilmu


pengurusan harta pusaka. Badan-badan kerajaan perlulah menggalakkan orang Islam
membuat perancangan mengenai pembahagian harta sebelum mereka meninggal dunia.
Mentaliti dan tanggapan bahawa mereka tidak perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku
terhadap harta mereka setelah kematian mereka haruslah diubah. Mereka perlu sedar bahawa
melakukan perancangan seperti menyediakan wasiat sangat penting supaya dapat
memudahkan waris membuat tuntutan, menghindarkan pertelingkahan antara waris serta
menghalang harta mereka jatuh ke tangan yang tidak bertanggungjawab. Selain itu,
sepertimana badan perundangan mempunyai klinik bantuan guaman, klinik pengurusan harta
pusaka juga wajar diwujudkan supaya waris boleh mendapatkan penjelasan mengenai cara-
cara untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati dan diberi nasihat untuk
cara yang terbaik bagi menguruskan harta pusaka tersebut.

8.0.KESIMPULAN

Kita tidak dapat menafikan bahawa sememangnya di Malaysia terdapat sebuah jumlah besar
harta pusaka yang masih tidak dapat diselesaikan. Langkah-langkah penyelesaian seperti
yang telah dicadangkan di atas perlulah dilakukan dengan kerjasama oleh semua pihak yang
terlibat bagi memastikan masalah ini tidak menjadi semakin meruncing.

25
Mohd. Ridzuan Awang. (2008). Pengurusan Pusaka dan Wasiat Orang Islam di Malaysia. Dibentangkan di
Prosiding Konvensyen Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Kuala Terengganu, Oktober 2008.
BIBLIOGRAFI

Statut

1. Akta Amanah Raya Berhad 1995


2. Akta Probet dan Pentadbiran 1959
3. Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955
4. Akta Tafsiran 1948 & 1967
5. Peraturan Mahkamah Sivil 2012
6. Perlembagaan Persekutuan

Kes

1. Jumaaton @ Zaiton Bt Haji Awang & SL lwn Raja Hizaruddin B. Raja Nong Chik
[1998] 6 MLJ 556
2. Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato’ Talib [1992] 2 MLJ 793

Buku

1. Ahmad Hidayat Buang. (2007). Prinsip dan Pentadbiran Pusaka. Undang-undang


Islam di Malaysia: Prinsip dan Amalan. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit
Universiti Malaya
2. Md Ghazali Ibrahim. (2008). Urus Harta Sebelum Mati. Kuala Lumpur, Malaysia:
Percetakan Zafar Sdn. Bhd.
3. Wan Abdul Halim Wan Harun. (2008). Permasalahan dalam Pengurusan dan
Pembahagian Harta Pusaka. Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka.
Kuala Lumpur, Malaysia: Dawama Sdn. Bhd.

Laporan

1. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia. (2015). Cadangan


Transformasi Pentadbiran Harta Pusaka di Semenanjung Malaysia. Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan
Pengurusan Malaysia.
Artikel Jurnal

1. Hasliza Talib, Nurhayati Abdul Ghani, Nur Zulfah Md Abdul Salam, Nurul Syafini
Abdul Rahman, Noor Syahida Abdul Rahman & Farhana Abdul Samad. (n.d.).
Isu-Isu Tuntutan Harta Pusaka: Satu Sorotan Literatur. Kolej Universiti Islam
Antrabangsa.
2. Md Yusof. (2008). Hukum wisoyah & realiti Permasalahannya dalam konteks
perancangan pusaka Islam. Jurnal Muamalat, 1, 73-102.
3. Mohd Fitri Abdul Rahman, Kamarudin Ngah, Jamaludin Mustaffa, Rozita Abdul
Mutalib & Mohd Hilmi Hamzah. (2016). Kelewatan Dalam Pembahagian
Harta Pusaka. Journal of Global Business and Social Entrepreneurship, 2(3).
4. Resali Muda. (2016). Harta Pusaka Islam di Malaysia: Antara Perundangan dan
Pentadbiran. Malaysian Journal of Syariah and Law, 4.
5. Wan Abdul Halim. (2009). Isu-isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam Dalam
Konteks Perundangan Malaysia. Jurnal Pengurusan Jawhar, 3(1).

Kertas Persidangan

1. Mohd. Ridzuan Awang. (2008). Pengurusan Pusaka dan Wasiat Orang Islam di
Malaysia. Dibentangkan di Prosiding Konvensyen Pengurusan Harta Pusaka,
Wasiat dan Wakaf, Kuala Terengganu, Oktober 2008.

Artikel Suratkhabar

1. Ilah Hafiz Aziz. (2016, Mac 29). RM60b harta umat Islam tidak dituntut. Berita
Harian Online. Diambil daripada: https://www.bharian.com.my/node/138450
2. Nadia Hamid. (2017, Jun 12). Kerenah birokrasi, kurang ilmu punca pusaka RM60b
terbiar. Berita Harian Online. Diambil daripada:
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2017/07/292113/kerenah-
birokrasi-kurang-ilmu-punca-pusaka-rm60b-terbiar
Maklumat dari laman web

1. Pentadbiran Harta Pusaka. (n.d.). AmanahRaya. Diambil daripada:


http://www.arb.com.my/bm/index.asp?fuseaction=Content.View&ID=18
2. Pentadbiran Harta Pusaka. (n.d.). Jabatan Bantuan Guaman. Diambil daripada:
http://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/pentadbiran-harta-pusaka.pdf

Anda mungkin juga menyukai