Anda di halaman 1dari 6

Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

217

WISAYAH : KEPENTIGANNYA DALAM PENGURUSAN HARTA
DAN KELUARGA ORANG ISLAM

Yusof Ramli
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam
Pendahuluan
Masyarakat Islam di Malaysia, pada keseluhannya sudah biasa mendengar perkataan wasiat, namun tahap
kefahaman mereka tentang perkara ini belum dapat dipastikan. Jarang berlaku perbualan dan perbincangan
dalam masyarakat Melayu mengenainya. Kemungkinan mereka merasakan tidak penting kerana wasiat hanya
suatu bentuk ibadah sunat sahaja, bukan suatu yang wajib, dan ianya hanya melibatkan sebahagian kecil
harta ,tidak lebih daripada 1/3 untuk diberikan kepada orang-orang yang tidak berhak mewarisi harta pusaka
si mati. Namun demikian perhatian serius dalam perkara ini oleh pihak berkuasa dapat dilihat dengan
wujudnya undang- ndang khusus mengenai wasiat Islam di beberapa buah negeri di Malaysia. Dalam pada itu
terdapat satu aspek undang keluarga Islam yang berkait rapat dengan wasiat hampir tidak diberi parhatian
secara langsung. Aspek undang yang dimaksudkan ialah undang Islam mengenai wisayah. Tidak dinafikan ada
bebrapa aspek undang-undang Islam yang terangkum dalam wisayah dimuatkan dalam Undang-undang
Keluarga Islam di Malaysia antaranya di negeri Selangor. Contohnya undang-undang mengenai penjagaan
kanak-kanak. Tiada undang-undang Islam yang khusus mengenai wisayah yang dikuatkuasakan di mana-mana
negeri di Malaysia. Kerana itu mana-mana wasiat Islam yang ada wasi dilantik untuk melaksanakannya,
mahkamah syariah tiada kuasa mengesahkan perlantikan wasi untuk tujuan berkenaan.

Pengertian Wisayah
Wisayah dalam perundangan Islam (fiqh) bermaksud : seseorang itu meminta/ melantik orang lain
mengambil tempatnya melaksanakan sesuatu pekerjaan selepas dia meninggal dunia dalam menguruskan
harta atau mentadbirkan urusan anak-anak yang masih kecil, ibu-bapa yang telah uzur atau mana-mana ahli
keluarga dalam tanggungannya yang cacat atau kurang upaya, yang ditinggalkan selepas kematiannya.
Wisayah mempunyai makna yang hampir sama dengan wakalah (perwakilan ). Bezanya ialah dari segi masa
pelaksanaan kerja yang di minta supaya dilakukan. Dalam wakalah seseorang muwakkil meminta orang lain
iaitu wakil melakukan kerja bagi pihaknya pada masa hidupnya. Manakala wisayah seseorang musi (
pembuat wisayah) meminta seseorang wasi melakukan sesuatu kerja yang berkait dengan urusan
keluarganya iaitu anak-anak yang masih kecil atau mana-mana ahli keluarganya yang kurang upaya atau harta
tinggalannya terutama harta pusaka yang diwarisi oleh anak-anaknya yang masih kecil itu selepas dia
meningggal dunia

Wisayah Dalam Pengurusan Keluarga
Pelaksanaan wisayah diperlukan dalam perkara menjaga kebajikan anak yatim, mengurus harta mereka dan
juga dalam menguruskan penyelesaian tuntutan pembahagain harta pusaka. Undang-undang Islam mengenai
wisayah amat perlu digubal dan dilaksanakan dalam kehidupan umat Islam. Ia amat diperlukan dalam
peguurusan hal ehwal keluarga dari segi penjagaan maslahah orang-orang yang lemah, kurang upaya seperti
kanak-kanak, orang tua yang sudah uzur, pesakit mental, anak down sindrom dan kecacatan-kecacatan lain.
Golongan ini memerlukan penjagaan dalam pelbagai aspek kehidupan harian mereka. Bagi kanak-kanak
keperluannya lebih menyeluruh bukan sahaja dari segi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal,
tetapi mereka perlukan persekitaran yang bersesuaian untuk membesar dan dewasa dengan persiapan hidup
sebagai seoarang muslim yang memenuhi semua ciri-kehidupan seorang insan yang sempurna.

Wisayah perlu difahami dari segi tujuan pensayriatanya dan skop kerja yang boleh dilakukan oleh
orang yang diminta melaksanakan kerja-kerja yang dipersetujui dalam kontrak wisayah berkenaan. Anak-
anak adalah terletak di bawah jagan bapa semasa bapa itu masih hidup. Dalam syariat Islam hak melantik
wasi untuk melaksnakan wisayah diberi kepada bapa untuk menjaga kemaslahatan anak-anaknya selepas dia
meninggal dunia. Keperluan wisayah ini lebih dirasakan jika seseorang itu mengidap penyakit-penyakit yang
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

218

dia sendiri menyedari bahawa jangka hayatnya tidak mengizinkannya untuk membesarkan anak-anak di
bawah jagaannya itu, dia tidak dapat menentukan sendiri corak pendidikan anak-anaknya dan tidak dapat
menguruskan perbelanjaan hidup mereka .

Dalam al-Quran terdapat suatu tuntutan supaya menguji anak-anak yatim dari segi kebolehan
mereka menguruskan harta sebelum harta itu dapat diserahkan ke tangan mereka untuk diurus sendiri (al-
Nisa: 6). Dari sinilah dapat difahami tentang keperluan anak-anak yatim itu diberi pendidikan yang
sempurna. Hal ini menjadikan perlantikan seseorang wasi bagi menjaga hal ehwal mereka satu keperluan,
kontrak wisayah adalah satu pendekatan praktikal untuk mengisi keperluan ini. Dalam perkara ini seseorang
yang ingin meminta orang lain melakukan kerja-kerja menjaga anaknya dan menguruskan harta yang
ditinggalkan buat anak-anaknya itu hendaklah memilih orang-orang boleh diamanahkan untuk melaksanakan
kerja-kerja berkenaan

Dari segi istilahnya, dalam fiqh Islam orang yang dilantik untuk melaksanakan tugas pengurusan
dalam kontrak wisayah dikenali sebagai wasi. Istilah yang sama juga dipakai kepada pelaksana wasiat. Wasi
bertanggungjawab dalam menguruskan harta anak yatim sebagai pemegang amanah. Dia tidak
beranggungjawab membayar ganti rugi jika berlaku sebarang kerosakan atau kehilangan harta berkenaan.,
kecuali disebabkan kecuaian dan salah laku wasi berkenaan. Dalam bidang ibadah yang melibatkan harta,
antara kerja yang harus dilakukan oleh wasi ialah mebayarkan zakat harta, zakat fitrah, qurban, fidyah,
aqiqah dan sebagainya. Dalam bidang muamalah pula melibatkan tindakan menjual dan membeli dengan
harta kanak-kanak berkenaan , menyewakan harta , menuntut hak syufah , membayar hutang, memungut
hutang , memulangkan barang wadiah, melaksankan wasiat dan sebagainya.

Wisayah Dalam Pengurusan Pusaka
Mewujudkan kontrak wisayah dengan melantik wasi yang adil dan amanah untuk mengurus harta pusaka
tinggalan si mati dapat mengelakkan harta pusaka itu daripada terbiar atau dimanfaatkan oleh orang yang
tidak berhak ke atasnya. Musi ( orang yang membuat kontrak wisayah) boleh menentukan sendiri mana-
mana orang yang di percayai bersifat amanah, layak dan sesuai untuk melaksanakan tugas wisayah yang
dipertanggungjawabkan kepadanya terutama untuk menjaga anak-anaknya dan mengurus harta mereka.
Wasi yang dilantik melalui kontrak wisayah berkenaan perlu memahami hakikat bahawa harta seseorang
yang telah meninggal dunia akan berpindah milik secara ijbari (kuatkuasa syara) kepada waris-waris
termasuk anak yatim dengan serta merta. Walaupun anak yatim menjadi pemilik harta tinggalan pewarisnya ,
namun harta itu belum boleh diserahkan kepada mereka untuk diurus sendiri. Harta itu perlu diurus oleh
wasi sehingga anak yatim itu baligh, cerdik dan matang. Setelah itu barulah harta itu boleh diserahkan
kepada mereka untuk menegurusnya sendiri.

Harta pusaka juga tidak boleh dibiar lama tanpa diurus dengan baik, pastikan harta pusaka itu
diagihkan kepada waris-waris dengan cara yang menepati kehendak syarak. Musi dalam penyediaan
dokumen kontrak wisayah seharusnya menyatakan dengan jelas kerja-kerja yang dikehendaki supaya
dilaksanakan oleh wasi.Antaranya musi seharusnya berpesan supaya harta pusaka tinggalannya diagihkan
kepada waris-warisnya berpandukan hukum perwarisan harta yang tentukan oleh Allah dalam syariatNya.
Untuk mengelakkan masyarakat daripada memakan harta anak yatim atau memakan harta pusaka secara
yang tidak baik (batil), maka musi dalam dokumen kontrak wisayahnya itu hendaklah juga menyatakan
dengan jelas siapa waris yang akan mewarisi harta pusaka tinggalannya dan kadar harta yang diwasiatkan
untuk tujuan-tujuan tertentu. Untuk itu musi boleh mendapatkan penjelasan mengenai bahagian pusaka
waris-warisnya daripada mahkamah syariah.

Musi wisayah juga boleh membuat pesanan dalam kontrak wisayah antaranya dengan wasi supaya
wasi menyegerakan penyelesaian agihan harta pusaka tinggalannya kepada waris-waris untuk mengelakkan
harta pusaka itu daripada tertangguh lama tidak dibuat pembahagian. Membuat pembahagian pusaka
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

219

dengan seberapa cepat yang boleh perlu untuk menghindari dari berlaku kerumitan dalam
pembahagiannya. Melambat-lambatkan pembahagaian pusaka sehingga berlaku pula kematian waris yang
berhak menerima pusaka berkenaan sebelum harta pusaka itu dibahagikan menyebabkan penyelesaian
pusaka itu menjadi semakin rumit. Oleh yang demikian wasi mestilah bertindak segera menguruskan harta
pusaka berkenaan tanpa menunggu sehingga berlaku kematian berlapis menyebabkan penyelesaian agihan
harta pusaka menjadi kusut dan lebih sukar diurus.

Dalam undangundang wasiat Islam, khususnya dalam Enakmen Wasiat Orang Islam ( Negeri
Selangor) 1999 tiada peruntukan melantik wasi untuk kontrak wisayah. Dalam Enakmen ini juga tidak
menyebut tentang wasi untuk pelaksaanan wasiat, sememangnya wasi tidak menjadi rukun wasiat. Hanya
dalam wisayah wasi menjadi satu rukun. Setakat mengadakan wasiat untuk memberikan sebahagian kesil
kecil harta pusaka kepada orang atau pihak lain yang bukan waris tidak akan mempengaruhi
penambahbaikan dalam penyelesaian harta pusaka. Ini kerana peruntukan yang ada dalam undang-undang
ini hanyalah untuk mengurus tadbir harta wasiat, sedangkan harta wasiat adalah diluar dari harta pusaka
yang akan diwarisi oleh ahli-ahli waris,. Kadar harta itu pula tidak melebihi 1/3 daripada harta tinggalan si
mati.

Dalam masyarakat Melayu, sudah menjadi adat kebiasaan setiap kali berlaku kematian, ahli keluarga
si mati akan mengadakan kenduri arwah. Pengisian yang dibuat dalam kenduri tersebut ialah dengan
membaca ayat-ayat al-Quran tertentu, tahlil dan doa, khususnya untuk si mati berkenaan. Perbelanjaan
untuk kenduri berkenaan akan diambil daripada harta pusaka tinggalan si mati. Dalam perkara ini jika musi
ingin mengadakan kenduri arwah dengan membaca al-Quran dan bertahlil untuknya selepas kematiannya
sebagaimana yang biasa dilakukan dalam masyarakat Melayu, dia sepatutnya menyediakan dana untuk
tujuan itu daripada harta tinggalnnya melalui wasiat. Tidaklah dibiarkan semuanya menjadi harta pusaka
untuk waris-warisnya. Berwasiat untuk tujuan ini juga termasuk dalam skop wisayah.

Berkenaan dengan harta pusaka tinggalan si mati, dalam keadaan tiada wasiat sedemikian dibuat,
jika digunakan sebahagain daripadanya untuk kenduri arwah, sebelum harta itu dibahagikan. Penggunaan itu
dikuatiri melibatkan penyalah gunaan harta anak yatim ( jika ada dikalangan waris si mati kanak-kanak di
bawah umur baligh) untuk diberi makan kepada ahli masyarakat yang hadir pada kenduri berkenaan.
Sedangkan anak yatim tidak layak untuk membuat persetujuan bagi pengambilan hartanya untuk tujuan
berkenaan. Memakan harta anak yatim adalah dilarang keras dalam Islam ( al-Quran ,4:10). Wasiat untuk
tujuan kenduri arwah dan untuk tujuan-tujuan yang lain yang sah di sisi syara adalah terhad, tidak lebih 1/3
daripada hartanya Bakinya akan jadi milik waris-waris. Dengan cara itu harta pusaka terhindar daripada
digunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak syari. Peruntukan untuk kenduri arwah telah tersedia diluar harta
pusaka berkenaan iaitu dalam harta yang telah diwasiatkan khusus untuk tujuan itu. Dengan cara ini juga
masyarakat Melayu boleh mengelak daripada terlibat memakan harta anak yatim kerana mengikut kehendak
adat. Dengan demikian budaya berkenduri arwah boleh berlaku tanpa melibatkan perkara yang dilarang oleh
syara.

Perbezaan Antara Wisayah dan Wasiat
Wisayah adalah cabang daripada wasiat. Wasiat mempunyai makna yang banyak, ia juga membawa makna
pesanan dan dan peringatan. Dalam perkara mengurus harta wasiat digunakan sebagai satu istilah yang
merojok kepada pemberian secara sukarela seseorang akan hartanya kepada seseorang yang lain atau pihak
tertentu pada kadar yang tidak melebihi 1/3 daraipada harta miliknya dan pemindahan milik harta itu hanya
berkuatkuasa selepas kematiannya. Manakala wisayah ,walaupun ianya sejenis wasiat tetapi ia merupakan
satu istilah yang digunakan dalam fiqh Islam secara khusus bagi merojok kepada penyerahan tugas mengurus
anak yatim dan harta milik mereka ; mengurus waris-waris yang kurang upaya dan melaksanakan wasiat,
termasuk menguruskan penyelesaian harta pusaka. Masyarakat Islam khusus di Malaysia terutamanya dari
kalangan perunding-perunding pusaka harus faham perbezaan konsep antara wasiat dan wisayah. Daripada
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

220

pengamatan penulis, ternyata persoalan ini masih bercelaru dan mengelirukan orang ramai kerana istilah
wasiat tetap digunakan merojok kepada wisayah yang dibuat oleh seseorang.

Terdapat rungutan setengah kalangan ahli masyarakat yang menyelar orang Melayu kurang
membuat wasiat menyebabkan harta pusaka milik mereka banyak yang tidak diurus dengan baik. Tetapi jika
orang Melayu ramai yang membuat wasiat ke atas 1/3 daripada harta tinggalan mereka dan wasiat itu hanya
boleh dibuat kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka, apakah perkara ini dapat membantu
menyelesaikan masalah harta pusaka mereka?. Sudah tentu pendekatan ini tidak mungkin membatu.
Pemikiran seperti itu terbit hasil dari salah fahama tentang konsep wasiat. Mereka menyamakan wasiat Islam
dengan wasiat bukan Islam seperti yang dinyatakan dalam Akta Wasiat 1959 (Akta 346), dimana pentadbiran
wasiat ini tersedia undang-undang mengenainya dalam Akta Probet 1959 ( Akta 97)

Penyelesaian 2/3 lagi harta tinggalan simati selepas dikeluarkan harta wasiat yang akan diwarisi oleh
ahli keluarganya memerlukan kepada beberapa peringkat pentadbirannya sama seperti harta pusaka yang
lain yang tidak berwasiat. Malah dalam undang-undang pentadbiran harta pusaka di Malaysia, harta pusaka
orang Islam, walaupun ada wasiat dibuat, namun ia tidak dianggap sebagai harta pusaka berwsaiat. Gran
probet tidak akan dikeluarkan untuk penyelesaian pusaka berkenaan,. Ia tetap diurus tadbir dengan
menggunakan surat kuasa pentadbiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi sama seabagimana
pengurusan harta pusaka orang Islam yang lain,yang tiada wasiat kecuali jika ada perlantikan wasi dibuat
bagi mengurus harta berkenaan. Pihak yang menuntut penyelesaian harta pusaka berkenaan perlu
berhubung dengan Pejabat Tanah jika harta itu harta pusaka kecil; perlu menyediakan semua dokumen
mengenai harta pusaka berkenaan, mengemukakan surat mati, mengumpulkan ahli waris, menjalani proses
bicara kusa, penentuan kaedah pembahagian. Semua tuntutan ke atas harta pusaka berkenaan daripada
pemiutang, pemegang gadai dan sebagainya mesti diselesaikan. Sama sahaja prosidur pengurusanya sama
ada harta pusak itu pusaka berwasiat atau tidak. Ini bermakna membuat wasiat ke atas harta pusaka oleh
orang Islam tidak akan membantu mangatasi masalah tanah pusaka yang terbiar, tidak diselesaikan
pembahagiannya yang bernilai puluhan billion ringgit.

Pada pandangan penulis bukan wasiat yang diperlukan bagi mengatasi masalah pusaka orang Islam.
Apa yang diperlukan ialah perancangan awal dan lantik pentadbir harta supaya pentadbir berkenaan boleh
menguruskan penyelesaian pusaka berkenaan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syariah dan
undang-undang pentadbiran harta pusaka yang dikuatkuasakan. Pentadbir yang dilantik itu bukan sahaja
berperanan sebagai pelaksana wasiat tetapi juga boleh diamanahkan supaya membayar hutang, memungut
hutang , membayarkan nazar dan fidyah, membuat badal Haji, menebus harta yang tergadai, memulangkan
harta wadiah, menjaga anak-anakya yang menjadi anak yatim dengan kematiannya, mengurus harta anak-
anak yatim berkenaan , meghantar mereka belajar di sekolah yang di nyatakan dalam dokumen perlantikan
pentadbir berkenaan. Harus diingat behawa istilah wasi lebih utama dipakai dalam kontrak wisayah
daripada kontrak wasiat. Wasi adalah satu rukun dalam kontrak wisayah. Manakala dalam kontrak wasiat
tidak dimasuklkan wasi sebagai satu daripada rukunnya. Sebarang wasiat yang melibatkan pelantikan wasi
untuk melaksanakannya akan bertukar dengan sendirinya menjadi wisayah.

Perlu difahami juga bahawa jika ada perlantikan wasi dibuat sama ada untuk melaksanakan wasiat
Islam dalam bentuk pemberian harta oleh si mati kepada mana-mana orang yang bukan waris yang berhak ke
atas harta pusaka tinggalannya atau kepada mana pihak; atau wasiat supaya menguruskan harta anak yatim
(harta pusaka) adalah dikenali sebagai wisayah dalam fiqh Islam. Tetapi dalam urusan pentadbiran pusaka di
Malaysia baik yang dilaksanakan sendiri oleh Perbadanan Amanah Raya Berhad (ARB) atau mana perunding
pusaka bertauliah yang lain tetap menggunakan istilah wasiat merojok kepada perkara yang sama. Mereka
tidak mahu menggunakan istilah wisayah kerana bimbang masyarakat akan menjadi keliru, alasan mereka
kerana wasiat dan wisayah berasal daripada perkataan yang sama. Dengan itu mereka memilih untuk terus
kekal dengan menggunakan istilah wasiat sahaja, walapun pada hakikatnya mereka melaksanakan kontrak
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

221

wisayah. Pada pandangan penulis jika dibiarkan masyarakat terus menggunakan istilah yang tidak menepati
kehendak kontrak yang berkaitan, mereka akan berterusan berada dalam kekeliruan. Mereka akan terus
tertanya-tanya mengapa orang harus berwasiat untuk mengurus tadbir harta pusaka mereka, sedangkan
Islam hanya membenarkan orang membuat wasiat kepada orang lain, bukan waris yang berhak ke atas harta
pusaka berkenaan. Untuk waris-waris tidak perlu lagi dibuat pemberian secara wasiat kerana ia dilarang,
kecuali jika jika dipersetujui oleh waris-waris lain. Hak waris-waris telah ditentukan dalam al-Quran, tidak
boleh dberi secara wasiat. Kekeliruan ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang awam, ia juga berlaku
dikalangan golongan ilmuan dari bidang-bidang lain yang pelbagai.

Di Malaysia sebarang wasiat pengurusan harta pusaka yang ada melantik wasi untuk
menlaksanakannya, yang diistilahkan sebagai wisayah dalam fiqh Islam itu tidak lagi berada di bawah kuasa
mahkamah syariah untuk membuat perakuan terhadapnya. Ini kerana ia tertakluk di bawah Akta Probet dan
Pentadbiran 1959. Hanya Mahkamah Tinggi Awam yang berhak mengeluarkan probet untuk membolehkan
wasi bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak yang melantiknya. Setakat ini mahkamah syariah
tiada kuasa dalam mengesahkan/ memperakukan kontrak wisayah orang Islam untuk mengurus harta
pusaka. Ini berbeza dengan wisayah yang dibuat untuk menjaga anak yatim itu sendiri atau untuk
menguruskan harta mereka. Perakara ini diletakkan dibawah kuasa mahkamah syariah berasaskan kepada
peruntukan dalam Undang Keluarga Islam negeri masing-masing.

Dalam undang-undang pentadbiran harta pusaka di Malaysia terdapat juga unsur wisayah di
dalamya. Ini dalam perkara 10 (1) Akta pusaka Kecil 1955( Akta 98) yang memperuntukakan kuasa kepada
pemungut untuk melantik penjaga kanak-kanak dan orang kurang upaya yang berhak ke atas sesuatu harta
pusaka. Penjaga yang dilantik oleh pemungut itu boleh bertindak melakukan semua prosiding bagi pihak
kanak-kanak atau orang kurang upaya. Jika dilihat dari sudut hukum fiqh wasi sedemikian adalah dikira
sebagai wasi Qadhi atau wasi lantikan pemerintah. Namun tiada peruntukan yang mengenakan syarat
bahawa wasi yang dilantik untuk meajaga kanak-kanak mestilah orang yang seagama dengannya. Dalam
Islam orang Islam sahaja yang layak dilantik untuk menjaga anak-anak orang Islam yang belum sampai umur
matang.

Penutup
Undang-undang Islam berkaitan dengan pengurusan harta dan penjagaan orang urang upaya yang
dibicarakan dalam bab wisayah perlu diguna pakai bagi mempastikan pengurusan harta pusaka dan
penjagaan kanak-kanak, khususnya anak-anak yatim dan orang kurang upaya (al-qasir) yang beragama Islam
dapat dilaksanakan bersesuaian dengan hukum Islam. Masalah istilah yang dipakai dalam pengurusn harta
pusaka dapat diselaraskan dengan kehendak atau makna sebenar yang terkandung dalam istilah berkenaan.
Istilah wasiat sepatutnya dibataskan kepada pemberian harta yang dibuat oleh seseorang sebelum dia
menninggal dunia kepada seseorang yang bukan warisnya atau kepada suatu pihak lain yang yang difikirkan
sesuai dengan tujuan untuk bertaqwa kepada Allah dengan menggunakan hartanya. Kuatkuasa perpindahan
harta itu kepada penerima berlaku setelah si pemeberi meniggal dunia dengan penerimaan yang dibuat pihak
yang diberi. Manakala wisayah pula harus digunakan untuk wasiat yang melibatkan perlantikan wasi
menguruskannya. MahkamaSyariah perlu diberi kuasa memperakukan status wasi yang dilantik oleh
pembuat wisayah. Dalam kehidupan orang Islam wisayah seharusnya dibudayakan bagi mempastikan
pengurusan pusaka dapat berjalan lancar, terhindar daripada pembekuan pusaka yang berpanjangan dan
mengelakakkan pembaziran






Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

222

Rujukan

Al-Quran al-Karim
Abdullah Muhammad Rababiah . 2009M. / 1429 H. al-Wisayah fi al-Fiqh a-islami . Amman: Dar al-Nafais.
al-Sharbini , al-syaikh Muhammad al-khatib . Mughni al-Muhtaj , Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam ( Negeri Selangor) 2003.
Enakmen undang-undang Keluarga Islam ( Negeri Selangor 2003)
Ibn Abidin , Muhammad Amin ibn Umr. 1966. Radd al-mukhtar Mukthar . Misr: Syarikah Maktabah al-
Halabiy.
Musa Fathullah Harun. Masalah Wasiat dan Faraid. 1994. Skudai Johor Darul Takzim : Unit Penerbitan
Akademik Universiti Tenologi Malaysia.
Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali al-Syarbaji. 2003. al-Fihq al-Manhaji. Terjemahan Solehan Ayyub.
Kuala Lumpur : Pustaka Salam Berhad.
Wahbah al-Zuhayli. 1988H/ 1409 M. al-Fiq al-Islami wa Adillatuh. Juzu 8.Damsyik: Dar a al-Fikr.

Anda mungkin juga menyukai