Anda di halaman 1dari 3

Kahwin Tanpa Kebenaran: Satu

Jenayah Syariah
APR 11

Posted by ERAKITA
Kahwin Tanpa Kebenaran: Satu Jenayah Syariah
11 April 2012

Lazimnya, manusia akan melakukan apa saja bila terdesak, walaupun tindakan itu boleh
memudaratkan dirinya, orang lain atau melanggar undang-undang dan hukum Allah. Bagi orang
Islam, kerajaan telah menyediakan undang-undang yang jelas bagi mengatur urusan
kekeluargaan. Justeru, beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Sabah) 2004 diwujudkan khusus bagi pengurusan perkahwinan, perceraian dan rujuk.

Bagi mana-mana pasangan yang hendak berkahwin di negeri ini, mereka mesti mendapatkan
kebenaran daripada pihak berkuasa Agama Islam. Selain perlu menjalani kursus pra-
perkahwinan yang dianjurkan atau diiktiraf oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
(JHEAINS), pasangan mesti mendapatkan kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Pernikahan,
Perceraian dan Rujuk di Jabatan Agama.

Pasangan perlu mengisi borang khusus yang disediakan dan memastikan satu kebenaran telah
diperolehi dari Pendaftar Perkahwinan sebelum pernikahan dilangsungkan. Tujuannya, agar
pernikahan yang dijalankan menepati hukum syarak. Sudah tentu, pasangan akan ditanya
mengenai kedudukan wali, hubungan nasab pasangan, saksi dan lain-lain perkara berkaitan
sebelum kelulusan diberikan.

Pasangan harus menerima peraturan ini demi kebaikan semua pihak. Tidak patut timbul isu
menyusahkan atau menyukarkan proses atau melambat-lambatkan urusan pernikahan. Undang-
undang ini telah disediakan sebegitu rupa setelah melalui proses kajian mendalam oleh pakar-
pakar perundangan dan pihak pengubal undang-undang. Semuanya dilakukan untuk mengelak
berlakunya masalah pernikahan pada masa hadapan seperti kesahihan pernikahan, nasab anak
dan lain-lain lagi. Tambahan pula, peraturan ini akan memastikan bahawa perkahwinan
tersebut didaftarkan bagi tujuan pengeluaran sijil pernikahan. Sijil pernikahan pula diperlukan
untuk urusan-urusan berkaitan seperti persekolahan, hospital, bantuan kerajaan, pengeluaran
dokumen pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara, imigresen dan sebagainya.

Bagaimanapun cantik dan lengkap undang-undang tersebut, kes melibatkan perlanggaran


undang-undang sentiasa berlaku. Tidak kurang kejadian membabitkan pasangan bernikah tanpa
mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa Agama. Mereka mencari jalan mudah dengan
bernikah menggunakan sindiket pernikahan yang sentiasa menanti mangsa. Sindiket ini ada
kalanya berlagak sebagai pegawai agama, sebagai jurunikah bertauliah dan bermacam lagi
lagak dan bohongnya.
Yang penting bagi mereka adalah wang! wang! wang!. Pasangan yang terdesak untuk bernikah
segera samada disebabkan tidak direstui oleh keluarga atau menyembunyikan pernikahan
kerana berpoligami atau telah terlanjur akan menggunakan khidmat nikah sindiket ini.
Mereka sanggup membayar perkhidmatan walau kosnya mencecah ribuan ringgit. Ada ketikanya
pasangan terus mendapat sijil nikah atau dijanjikan akan diberikan sijil nikah dalam jangka
masa terdekat.

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sijil nikah palsu yang diterima tak laku.
Pasangan terpaksa menghadapi tindakan undang-undang iaitu pendakwaan atas kesalahan
jenayah syariah. Jurunikah dan pihak-pihak yang terlibat sama dalam pernikahan tersebut juga
turut menghadapi tindakan undang-undang.

Dalam hal ini, Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Sabah) 2004
memperuntukkan mengenai bentuk tindakan yang boleh diambil oleh Pendakwa Syarie ke atas
pihak terbabit. Jika disabit salah, Mahkamah boleh mengenakan hukuman tidak lebih dari
RM1000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.

Untuk lebih jelas, ERAKITA sukacita menurunkan peruntukan berkenaan sebagaimana berikut.

ENAKMEN 8 TAHUN 2004


ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004
BAHAGIAN IV PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN BERHUBUNGAN
DENGAN AKAD NIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

Seksyen 40. Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akad nikah perkahwinan


(1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu
yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu
perkahwinan-
(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau
(b) di hadapan selain di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh
dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu,adalah
melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu
ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan
penjara itu.
(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah
atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan
dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan
hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi
enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Walaupun telah ada undang-undang yang jelas, kes-kes nikah tanpa kebenaran masih terus
berlaku. Ramai pasangan yang telah didakwa dan dihukum di Mahkamah Syariah atas kesalahan
tersebut. Mereka terpaksa melalui proses pendakwaan bagi mendapatkan sijil nikah yang
didaftarkan secara sah dari pihak berkuasa agama. Apa yang jelas ialah pada akhirnya, mahu
tak mahu, pasangan terpaksa menerima hakikat bahawa perkahwinan mereka akan diketahui
juga oleh pihak keluarga dan masyarakat. Ini kerana, ramai pihak yang terlibat akan dipanggil
untuk siasatan di Jabatan Agama bagi tujuan pengesahan nikah dan pendakwaan di Mahkamah
Syariah.

Justeru, semua pihak khususnya umat Islam perlu waspada dan merujuk terlebih dahulu
pegawai berkaitan di Jabatan Agama Islam jika hendak berkahwin. Jangan sampai kebhagiaan
yang dikecapi terusik dengan gelaran penjenayah apabila disabit dan dihukum atas
kesalahan yang tak sepatutnya berlaku. Semoga tulisan ini ada manfaatnya untuk kita semua.

Anda mungkin juga menyukai