Anda di halaman 1dari 9

10 PUNCA MASALAH BERAT BADAN & OBESITI

Masalah berlebihan berat badan, kegemukan atau OBESITI adalah faktor risiko kesihatan yang utama di
dunia sekarang. Ia berkaitan dengan pelbagai penyakit seperti sindrom metabolik, tekanan darah tinggi,
paras glukosa darah tinggi, kolesterol tinggi, kanser dan strok.

Kajian menunjukkan seseorang dengan masalah sindrom metabolik mempunyai risiko tinggi mendapat
penyakit jantung koronari, diabetes, darah tinggi dan strok berbanding dengan seseorang dengan berat
badan yang normal. Sejak beberapa dekad yang lalu, kebanyakan kajian telah memfokuskan kepada
punca sebenar obesiti dan bagaimana menanganinya.

Ramai diantara kita yang menyangka bahawa obesiti adalah berpunca daripada tabiat kuat makan dan
tiada semangat untuk menurunkan berat badan. Ramai juga yang salah sangka bahawa obesiti adalah
kerana seseorang banyak makan lemak dan makanan berminyak. Lebih ramai lagi yang menyangka
obesiti adalah kerana kurang bersenam dan kurang bergerak. Semuanya kerana kebanyakan masyarakat
hanya memahami dari aspek kalori semata-mata.

Fahaman kita adalah untuk menurunkan berat badan, kita perlu membakar lebih banyak kalori
berbanding dengan jumlah kalori yang kita makan. Fahaman ini adalah kurang tepat dan tidak mengikut
kajian terkini yang menunjukkan jenis makanan adalah lebih penting berbanding dengan kuantiti (kalori)
makanan yang diambil dalam usaha mengurangkan masalah obesiti.

Kajian menunjukkan fahaman mengira jumlah kalori dan malas bersenam adalah tidak benar
sepenuhnya, kerana terdapat banyak faktor-faktor lain yang terlibat sehingga terjadinya masalah obesiti
kronik ini. Banyak faktor mempengaruhi seseorang untuk makan secara berlebihan seperti jenis
makanan yang dipilih, hormon, psychososial, pengiklanan, genetik dan gaya hidup. Seseorang boleh
mengawal faktor genetik tersebut dengan menjaga gaya hidup dan sikap. Perubahan gaya hidup
memerlukan semangat dan displin yang tinggi tetapi bukanlah terlalu susah jika anda tahu ilmu yang
betul.

Di sini di senaraikan 10 faktor yang boleh mempengaruhi dan menyebabkan seseorang menghadapi
masalah berat badan dan obesiti.

1. MAKANAN & MINUMAN BERGULA TINGGI

Gula tinggi dalam pemakanan merupakan faktor utama yang perlu kita fahami. Gula pasir atau sukrosa
adalah dalam hampir semua makanan proses dan makanan moden kita hari ini. Gula pasir juga di
letakkan dalam kuih muih, lauk-pauk dan juga hidangan yang biasa kita makan termasuklah sambal yang
pedas.

Minuman manis adalah kandungan gula yang tertinggi yang kita ambil setiap hari tanpa kita sedar dan
selalunya kita pandang ringan. Gula pasir berlebihan akan mengganggu hormon dan tidakbalas biokimia
serta metabolisma tubuh untuk jangkamasa panjang dan akhirnya menyebabkan masalah berat badan
berlebihan dan obesiti .
Kajian menunjukkan gula yang berlebihan akan menyebabkan masalah sindrom rintangan insulin kerana
kandungan fruktosanya yang tinggi. Fruktosa adalah bahan yang menyebabkan gula rasa manis dan ia
juga menyumbang kepada peningkatan selera makan. Gula menyebabkan peningkatan pengumpulan
lemak kerana ia mempunyai nilai indeks glisemik yang tinggi dan ia meningkatkan paras insulin tubuh.

Oleh kerana itu ia akan menyebabkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Kajian jelas
menunjukkan bahawa peningkatan insiden obesiti diseluruh dunia berkait rapat dengan peningkatan
gula yang tinggi.

2. MAKANAN RINGAN ( ‘JUNK FOODS’)

Makanan ringan atau Jajan (Junk Food) adalah makanan yang dibuat menggunakan karbohidrat proses
halus dan hanya mempunyai nilai kalori sahaja tanpa khasiat nutrisi yang lain.

Produk makanan ringan atau jajan ini di cipta dengan pelbagai bahan tambahan atau additif untuk
menjadikannya sedap, murah, tahan lama di rak-rak jualan dan susah untuk berhenti memakannya.

Makanan yang dicipta dengan rasa yang seperti ini menjadikannya satu bentuk perniagaan yang
menguntungkan dan memberi pulangan yang lumayan kepada industri makanan ringan. Ia
menyebabkan pengguna yang suka makan makanan ringan atau jajan ini mempunyai masalah berat
badan berlebihan dan obesiti kerana menjadi satu tabiat yang susah dihentikan.

Selalunya makanan ringan tidak mempunyai rupa yang sama dengan makanan asli dan semulajadi,
tetapi ia di reka dan di cipta dengan tujuan menjadikan penggunanya makan tanpa henti dan berulang-
ulang .

3. KETAGIHAN MAKAN

Makanan yang manis dan tinggi gula, tinggi lemak trans seperti marjerin dan bergaram tinggi akan
menyebabkan ransangan yang kuat pada bahagian otak yang mencetuskan rasa suka. Ini menjadikan
seseorang yang makan makanan seperti ini akan suka makan dan makan secara berulang-ulang yang kita
panggil sebagai ketagihan makan .

Kajian menunjukkan gula akan menyebabkan ketagihan kepada makanan yang kuat dan menjadikan
seseorang makan tanpa henti dan berulang-ulang . Kajian menunjukkan makanan proses yang seperti ini
menyebabkan ketagihan yang lebih kuat berbanding dengan ketagihan kepada dadah seperti
kokain,alkohol,nikotin dan kanabis .

Ramai yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti mempunyai masalah ketagihan
kepada makanan proses dan makanan ringan serta makanan segera. Mereka mudah kehilangan kawalan
apabila mengadap makanan seperti ini seperti seorang yang ketagihan rokok atau alkohol.

Ketagihan adalah satu isu yang sangat kompleks dan susah untuk di atasi. Apabila seseorang ketagih
kepada sesuatu ia akan menyebabkan seseorang mudah hilang kawalan dan pilihan sentiasa ke arah
memilih untuk mengikut tarikan kepada ketagihan tersebut.
4. HORMON INSULIN

Insulin adalah hormon yang mengawal paras glukosa darah dan regulasi glukosa dalam darah manusia.
Ia juga mempunyai kesukaan atau afiniti kepada sel-sel lemak apabila parasnya menjadi tinggi dalam
darah.

Oleh itu jika seseorang makan makanan yang tinggi karbohidrat proses dengan indeks glisemik tinggi
maka ia akan menyebabkan paras insulin yang tinggi. Kesannya adalah berlakunya pengumpulan lemak
yang berlebihan akibat insulin ini menyimpan glukosa berlebihan sebagai lemak dalam sel-sel lemak dan
menyebabkan tenaga simpanan ini di simpan tanpa boleh digunakan oleh tubuh.

Kajian telah membuktikan peranan insulin dalam mekanisma yang menyebabkan masalah obesiti. Paras
insulin akan menjadi tinggi apabila seseorang mengalami masalah sindrom rintangan insulin (insulin
resistance) akibat pengambilan makanan proses dan makanan gaya Barat yang tinggi gula,tepung dan
marjerin seperti roti,pizza, pastri, kek dan sebagainya.

Kajian ini menunjukkan jika paras insulin meningkat, ia akan menyebabkan pengumpulan lemak
berlebihan dalam tubuh. Oleh kerana itu adalah amat penting kita mengawal paras insulin dengan
mengawal pengambilan karbohidrat proses halus yang tinggi nilai indeks glisemiknya seperti tepung
gandum, gula pasir, nasi putih dan sebagainya.

Pengambilan makanan karbohidrat dengan kandungan serat yang tinggi akan membantu menurunkan
indeks glisemik karbohidrat tersebut dan secara tidak lansung ia menurunkan paras insulin. Oleh itu
pengambilan serat yang secukupnya amat penting untuk mencegah obesiti .

Kajian menunjukkan pengambilan makanan yang tinggi lemak akan mengurangkan rasa lapar dan
menurunkan paras insulin darah. Tiada keperluan untuk mengira kalori atau saiz porsi di perlukan
apabila mengambil makanan yang tinggi lemak dalam masa yang sama mengurangkan pengambilan
karbohidrat halus (GI tinggi) kerana penurunan berat badan akan berlaku secara beransur-ansur tanpa
perlu bersusah-payah.

Paras insulin yang tinggi dan masalah rintangan insulin adalah berkait rapat dengan berlakunya masalah
obesiti. Untuk mengawal paras insulin kita perlu mengurangkan pengambilan karbohidrat proses halus
(berglisemik indek tinggi), mengambil lebih banyak serat dan mengambil lebih banyak lemak sihat dalam
pemakanan seharian .

5. PROMOSI DAN PEMASARAN BERKESAN ‘MAKANAN TIDAK SIHAT’

Makanan ringan, makanan proses, makanan segera dan minuman segera manis dan bergula tinggi
mempunyai kaedah pemasaran yang agresif dan promosi yang tanpa henti.

Mereka menggunakan kaedah pemasaran dengan memberikan gambaran bahawa makanan yang
mereka jual sebagai makanan yang sangat enak, menggembirakan apabila di makan, sesuai untuk seisi
keluarga dan sesuatu yang sihat dan memberikan tenaga.
Ini terutamanya sangat berkesan kepada kanak-kanak dan ia menjadikan kanak-kanak mendesak
ibubapa mereka membelikan makanan-makanan yang tidak sihat ini untuk menggembirakan hati anak-
anak atau untuk memujuk mereka.

Kaedah pemasaran ini sangat bagus untuk perniagaan mereka, tetapi kesannya kepada kesihatan
masyarakat adalah sangat teruk dan menyebabkan berlakunya masalah obesiti yang meluas dalam
masyarakat kita terutamanya dikalngan kanak-kanak. Kita masih lagi melihat sehingga sekarang iklan-
iklan minuman yang tinggi gula dan karbohidrat ringkas halus ini di jual di pasaran dan mendakwa ianya
sebagai minuman kesihatan. Mungkin kerana itulah masalah kegemukan kanak-kanak semakin menjadi-
jadi dan sangat sukar dibendung.

Selalu makanan lain yang disalahkan sebagai punca kegemukan seperti nasi lemak dan juga kononnya
kerana kurang bersenam. Hakikatnya pemakanan yang tinggi karbohidrat halus dan berglisemik indeks
tinggi inilah punca sebenarnya.

Di seluruh dunia hari ini kanak-kanak menghadapi masalah kegemukan,mendapat penyakit diabetes di
usia remaja dan ketagihan kepada makanan segera dan bergula tinggi adalah kerana kaedah pemasaran
efektif yang dijalankan oleh industri makanan yang menjadikan kanak-kanak ini sebagai ‘target’ mereka
yang menjadikan pemilihan makanan yang tidak sihat sebagai satu pilihan tanpa mereka sedar dan
faham kesan jangkamasa panjang kepada kesihatan mereka.

Industri makanan segera dalam syarikat SME juga tumbuh bagai cendawan dan menjual pelbagai jenis
produk yang majoritinya mempunyai kandungan gula dan krimer serta bahan maltodekstrin yang tinggi
seperti kopi 3 dalam 1, teh tarik segera, kopi segera dan sebagainya. Sepatutnya kerajaan menggalakkan
pengeluaran produk makanan yang lebih sihat tanpa gula dan memeberikan insentif khusus kepada
pengilang yang mengeluarkan makanan sihat dan membantu mengurangkan penggunaan gula pasir
seperti produk yang menggunakan stevia atau madu sebagai bahan pemanisnya.

6. KEMUDAHAN MENDAPAT MAKANAN

Satu lagi faktor yang sangat kuat mempengaruhi kadar obesiti dan kegemukan dalam masyarakat adalah
kemudahan mendapatkan makanan tanpa kira waktu.

Di Malaysia ini wujudnya restoran-restoran 24 jam yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan
minuman manis tanpa mengira masa walaupun di awal pagi. Masyarakat kita yang suka menonton
rancangan sukan sehingga lewat malam bersama kawan-kawan telah menjadikan budaya melepak di
kedai-kedai 24 jam ini sebagai satu kemestian. Ini menyebabkan masyarakat kita secara tidak sedar akan
makan secara berlebihan. Minuman kegemaran masyarakat Malaysia iaitu ‘Teh Tarik’ adalah minuman
yang sangat tinggi gula iaitu hampir 12 sudu teh gula dalam segelas teh tarik. Jumlah ini adalah sangat
merbahaya kepada kesihatan kerana penggemar teh tarik selalunya akan minum sehingga 5 gelas teh
tarik dalam sehari.
Jika kita melihat menu-menu hidangan yang disediakan di kedai-kedai makan ini, hampir semuanya
tinggi dengan gula dan karbohidrat proses halus yang memudaratkan kesihatan dan menyebabkan
masalah obesiti.

Makanan ringan seperti jajan atau keropok atau kerepek, minuman jus dan berkarbonat yang tinggi gula
boleh dibeli dimana-mana sahaja termasuklah kedai runcit 24 jam yang ada di merata-rata tempat. Jika
kita masuk ke kedai-kedai 24 jam ini kita akan melihat pelbagai jenis makanan ringan yang sangat murah
dan mudah di perolehi.

Penyediaan makanan asli yang mengambil masa lama dan agak rumit penyediaannya menjadikan
masyarakat kita memilih untuk makan makanan segera yang sangat mudah diperolehi. Ini juga berpunca
daripada perubahan budaya masyarakat kita yang sama lebih ramai wanita yang berkerja dan
mempunyai masa yang terhad untuk menyediakan makanan di rumah.

Terdapat juga kajian menunjukkan penduduk miskin di bandar selalunya akan makan makanan ringan
dan makanan proses yang murah dan mudah diperolehi berbanding makan makanan yang asli dan sihat
seperti buah-buahan.

Kajian oleh FAMA menunjukkan masyarakat kita di Malaysia sangat kurang makan buah-buahan iaitu
hanya 5kg sebulan berbanding jumlah yang sepatutnya iaitu 40kg sebulan. Ini adalah satu fakta yang
membimbangkan kerana ia akan menyebabkan masalah obesiti semakin parah di Malaysia.

7. UBAT-UBATAN TERTENTU

Terdapat juga ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan masalah kegemukan secara beransur-ansur
untuk jangkamasa panjang . Ubat-ubat diabetes yang meningkatkan paras insulin (insulin secretagogues)
seperti glicazide, glipizide, glibenclamide termasuklah suntikan insulin itu sendiri boleh menyebabkan
masalah berat badan dan obesiti .

Ubat anti kemurungan (anti depressant) seperti setraline, fluoxetine, fluvoxamine dan lain-lain juga
menyebabkan peningkatan berat badan yang sederhana secara beransur-ansur . Ubat anti psikotik
(seperti resperidone) juga diantara ubat yang menyebabkan masalah berat badan berlebihan . Ubat-
ubatan jenis steroid juga boleh menyebabkan berat badan bertambah jika di gunakan untuk jangkamasa
panjang.

Ubat-ubatan ini bukan menyebabkan seseorang itu tidak bersemangat untuk mengawal pemakanan
atau ketagihan kepada makanan, tetapi ia mengganggu fungsi tubuh dan otak yang menurunkan kadar
metabolisma tubuh dan meningkatkan selera makan secara tidak lansung. Jika anda menggunakan
ubat-ubata ini maka usaha untuk menurunkan berat badan adalah sangat sukar dan selalunya gagal.

8. MASALAH RINTANGAN HORMON LEPTIN

Leptin adalah sejenis hormon yang penting dalam mengawal masalah berat badan seseorang. Ia
dihasilkan oleh sel-sel lemak kita dan parasnya akan meningkat apabila lemak bertambah dalam tubuh.
Oleh kerana itu paras hormon leptin ini adalah tinggi dikalangan orang yang mempunyai masalah
obesiti.

Dalam seseorang yang sihat, paras hormon leptin yang tinggi akan mengawal selera makan. Apabila
hormon leptin ini berfungsi dengan normal, ia akan menghantar isyarat kepada otak tentang simpanan
lemak kita. Oleh itu jika kita telah mempunyai simpanan lemak yang cukup, maka selera makan kita akan
menurun.

Tetapi di kalangan orang yang ada masalah obesiti, fungsi leptin ini akan terganggu dan mengalami
masalah fungsi yang tidak normal yang dipanggil sebagai masalah ‘rintangan leptin’ (leptin resistance) .
Oleh kerana itu, walaupun seseorang yang mempunyai masalah kegemukan atau obesiti, maka leptin
yang tinggi dalam tubuh mereka gagal berfungsi dengan betul dan isyarat kepada otak itu tidak sampai
menjadikan mereka susah mengawal selera makan.

Keadaan inilah yang dipanggil sebagai Rintangan Leptin yang menjadi di antara punca obesiti berlaku .

Masalah gangguan fungsi leptin ini berlaku jika seseorang mempunyai paras keradangan yang tinggi
dalam tubuh mereka dan selalunya berlaku dalam seseorang yang mempunyai perut yang buncit.

9. SALAH FAHAM TENTANG PEMAKANAN

Ini adalah diantara isu utama kenapa berlakunya masalah obesiti di seluruh dunia. Kita selalu di beritahu
bahawa obesiti berlaku akibat pengambilan kalori yang berlebihan dan tidak membakar kalori yang di
ambil dengan senaman yang secukupnya. Terdapat banyak salah faham dalam ilmu pemakanan yang
terjadi akibat pemahaman sains yang tidak telah ‘outdated’ dan teori pemakanan yang tidak benar
(seperti teori kalori, teori lemak dan teori kolesterol) serta informasi yang datang daripada pihak yang
berkepentingan .

Dengan era teknologi maklumat sekarang iaitu kita boleh mendapatkan maklumat melalui ‘talipon-
bimbit’ dengan mudah boleh mencari maklumat di Google sahaja. Terdapat banyak laman web yang
memberikan info yang pelbagai dan selalunya tidak tepat tentang kesihatan dan pemakanan. Kita yang
tidak mempunyai asas ilmu pemakanan yang cukup akan mudah menjadi keliru dengan maklumat yang
ada. Ia menjadikan kita keliru dan selalunya akan mengikut kaedah yang salah dalam menyelesaikan
masalah obesiti yang kita hadapi. Kadangkala kita mendapat informasi tentang menurunkan berat badan
daripada laman web syarikat yang menjual prosuk menguruskan berat badan yang sebenarnya tidak
berkesan dan boleh memudaratkan.

Kita perlu merujuk kepada seseorang yang betul-betul mahir tentang Nutrisi seperti doktor yang
mendalami bidang Nutritional Medicine untuk faham tentang pemakanan yang sebenar dan juga untuk
mendapatkan maklumat yang betul dan tepat.

10. FAKTOR GENETIK


Masalah obesiti berkaita rapat dengan faktor genetik atau keturunan. Tetapi ia bukanlah faktor utama
kerana faktor persekitaran dan gaya hidup yang boleh di ubah menjadi faktor yang lebih kuat sebagai
punca obesiti.

Kajian menunjukkan kanak-kanak yang lahir daripada ibubapa yang mempunyai masalah obesiti akan
mendapat masalah obesiti juga.

Saintis berpendapat selain dari faktor genetik, ia adalah disebabkan faktor pemakanan yang serupa
yang dididik oleh ibubapa kepada anak-anak mereka yang menyebabkan anak-anak menjadi obes juga.
Ini adalah kerana perubahan gen dalam sel tidak boleh berlaku dalam masa satu atau dua generasi,
tetapi perubahan corak pemakanan adalah faktor yang lebih kuat mempengaruhi punca obesiti. Kajian
juga menunjukkan jika pasangan kembar akan mempunyai masalah obesiti yang sama walaupun mereka
hidup berasingan dan makan makanan yang berbeza.

Disini jelas terdapat juga komponen faktor genetik yang menentukan risiko obesiti seseorang walaupun
ia bukanlah sesuatu yang tetap dan tidak boleh di ubah lansung. Bermaksud , jika seseorang dengan
faktor genetik obesiti masih boleh menurunkan berat badan jika ia mengamalkan pemakanan yang betul
dan sihat dan mengelakkan faktor-faktor boleh ubah yang lain. Jika seseorang yang tidak mempunyai
genetik untuk masalah obesiti boleh mendapat masalah obesiti jika memilih untuk makan secara tidak
sihat dan gaya hidup yang berisiko untuk obesiti.

KESIMPULAN

Jika anda ingin menurunkan berat badan dengan efektif dan sihat, anda perlu mendapatkan konsultasi
dan menyertai program-program ‘coaching’ dengan pakar-pakar atau doktor-doktor yang faham tentang
konsep sebenar pemakanan sihat. Jangan mengikut kaedah yang tidak betul dan juga menggunakan
produk-produk tanpa memahami konsep sebenar bagaimana ia boleh menurunkan berat badan.

Anda boleh belajar bagaimana sebenarnya tubuh anda boleh mengawal pengumpulan lemak dalam
tubuh dan apakah kaedah yang boleh anda amalkan untuk mengawal berat badan anda dengan lebih
efektif.

Jika anda telah mengamalkan kaedah-kaedah yang betul, tetapi masih gagal menurunkan berat badan
anda, maka anda perlu mendapatkan konsultasi professional daripada pakar dan doktor yang mahir
(bukan semua doktor yang mahir tentang rawatan obesiti). Anda perlu menyertai program ‘coaching’
dengan doktor yang mahir untuk anda mendapatkan panduan secara berterusan sepanjang tempoh
anda berusaha menurunkan berat badan anda.

Dengan mempunyai ilmu yang betul, anda akan mendapati anda berjaya menurunkan berat badan
tanpa perlu terlalu bersusah payah dan berlapar sehingga menderita. Itulah bezanya orang yang berilmu
dan yang tidak cukup ilmu. Insyaallah

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS(Manipal) ,MSc(UCSI)
MNM(ACNEM), FAGE (MAHE)

Rujukan:

1. https://www.healthline.com/.../9-reasons-obesity-is-not-a...

2. https://www.healthline.com/nutrition/does-sugar-make-you-fat

3. Basciano H, Federico L, Adeli K. Fructose, insulin resistance, and metabolic dyslipidemia. Nutr Metab
(Lond). 2005 Feb 21;2(1):5.

4. Tappy L, Lê KA. Metabolic effects of fructose and the worldwide increase in obesity. Physiol Rev. 2010
Jan;90(1):23-46. doi: 10.1152/physrev.00019.2009.

5. https://www.healthline.com/nutrition/how-to-stop-overeating

6. P.Radaab N.M.Avenaa B.G.Hoebe et al. Daily bingeing on sugar repeatedly releases dopamine in the
accumbens shell. Neuroscience Volume 134, Issue 3, 2005, Pages 737-744

7. Avena, Nicole M et al. “Evidence for sugar addiction: behavioral and neurochemical effects of
intermittent, excessive sugar intake.” Neuroscience and biobehavioral reviews vol. 32,1 (2008): 20-39.
doi:10.1016/j.neubiorev.2007.04.019

8. https://www.healthline.com/.../10-similarities-between...

9. Esmaillzadeh A, Kimiagar M, Mehrabi Y, Azadbakht L, Hu FB, Willett WC. Dietary patterns, insulin
resistance, and prevalence of the metabolic syndrome in women. Am J Clin Nutr. 2007 Mar;85(3):910-8.

10. https://www.healthline.com/.../insulin-and-insulin...

11. Templeman NM1, Skovsø S1, Page MM1, Lim GE1, Johnson JD. A causal role for hyperinsulinemia in
obesity. J Endocrinol. 2017 Mar;232(3):R173-R183. doi: 10.1530/JOE-16-0449. Epub 2017 Jan 4.

12. Weickert MO, Pfeiffer AFH. Impact of Dietary Fiber Consumption on Insulin Resistance and the
Prevention of Type 2 Diabetes. J Nutr. 2018 Jan 1;148(1):7-12. doi: 10.1093/jn/nxx008.

13. McClernon FJ, Yancy WS Jr, Eberstein JA, Atkins RC, Westman EC. The effects of a low-carbohydrate
ketogenic diet and a low-fat diet on mood, hunger, and other self-reported symptoms. Obesity (Silver
Spring). 2007 Jan;15(1):182-7.

14. Hernandez TL, Sutherland JP, Wolfe P et al. Lack of suppression of circulating free fatty acids and
hypercholesterolemia during weight loss on a high-fat, low-carbohydrate diet. Am J Clin Nutr. 2010
Mar;91(3):578-85. doi: 10.3945/ajcn.2009.27909. Epub 2010 Jan 27.

15. Ness-Abramof R1, Apovian CM. Drug-induced weight gain. Drugs Today (Barc). 2005 Aug;41(8):547-
55.
16. McFarlane S. Antidiabetic medications and weight gain: implications for the practicing physician.
Curr Diab Rep. 2009 Jun;9(3):249-54.

17. Patten SB, Williams JV, Lavorato DH, Khaled S, Bulloch AG. Weight gain in relation to major
depression and antidepressant medication use. J Affect Disord. 2011 Nov;134(1-3):288-93. doi:
10.1016/j.jad.2011.06.027. Epub 2011 Jul 19.

18. Correll CU, Lencz T, Malhotra AK. Antipsychotic drugs and obesity. Trends Mol Med. 2011
Feb;17(2):97-107. doi: 10.1016/j.molmed.2010.10.010. Epub 2010 Dec 22.

19. https://www.healthline.com/nutrition/leptin-101

20. Sáinz N, Barrenetxe J, Moreno-Aliaga MJ, Martínez JA. Leptin resistance and diet-induced obesity:
central and peripheral actions of leptin. Metabolism. 2015 Jan;64(1):35-46. doi:
10.1016/j.metabol.2014.10.015. Epub 2014 Oct 23.

21. https://www.healthline.com/.../11-biggest-lies-of...

22. Bouchard C, Tremblay A, Després JP et al. The response to long-term overfeeding in identical twins.
N Engl J Med. 1990 May 24;322(21):1477-82.

Anda mungkin juga menyukai