Anda di halaman 1dari 2

DILEMA MELAYU – Zurinah Hassan

Maka bangkitlah seorang Hang Jebat


suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”

Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan


gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.

Alangkah sukarnya membuat keputusan


untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.

Bukan mudah untuk membuat pertimbangan


di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.

Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.

Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah

Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku


bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.

Semalam aku tidak tidur


gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.

Alangkah sukarnya membuat pilihan


jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.

Lalu aku pilih untuk mengorbankan


sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.

Biarkanlah 
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari 
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.

Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana


tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.

*Dato Dr Zurinah Hassan merupakan Sasterawan Negara wanita pertama di Malaysia. Beliau
diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Beliau yang berasal
dari Kedah ini telah menghasilkan pelbagai karya yang meliputi sajak, puisi, kajian sastera,
autobiografi, memoir, cerpen, novel dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai