Anda di halaman 1dari 2

KEPIMPINAN DALAM NOVEL SBDKL

Kepimpinan adalah proses dimana pemimpin mempengaruhi orang bawahannya


untuk melaksanakan tugas tertentu atau mempengaruhi pengikut supaya mengikuti
idea dan pendapat. Cara untuk memengaruhi seseorang adalah bergantung kepada
gaya (style) seseorang pemimpin. Ada sesetengah pemimpin gemar menggunakan
kuasa (power) yang ada pada dirinya lantaran kedudukannya yang mampu
mempengaruhi orang lain secara autokratik. Namun cara ini kurang digemari ramai
pengikut. Gaya yang lebih demokratik ketika mempengaruhi orang bawahan adalah
lebih digemari dan mampu menjurus kepada perlakuan yang sukarela.Terdapat
beberapa situasi yang signifikan dalam SBDKL yang menunjukkan bagaimana
proses kepimpinan berlaku.
Pada awal bab didapati encik Muhammad selaku pemimpin organisasi
perniagaannya mampu mempengaruhi rakan kongsinya, Datuk Tan untuk bersetuju
dengan rancangannya bagi mengeskport lada hitam ke Jerman. Ketika ini encik
Muhammad didapati mampu mempegaruhi Datuk Tan bersetuju dengan kontrak
perniagaan yang telah beliau rancang. Ia adalah meliputi jumlah eksport, destinasi
dan sumber bekalan lada hitam. Encik Muhammad didapati amat berpengaruh dan
sangat dihormati oleh rakan niaganya.
Pada masa yang sama encik Muhammad didapati mampu mempengaruhi
pekerjanya agar mempunyai disiplin kerja yang baik. Perkara ini dapat dilihat pada
diri Mahani selaku pekerja yang rajin dan pandai melayan tetamu yang datang.
Pada masa yang sama, beliau tidak mahu membina jurang yang jauh antara dirinya
dengan para pekerja. Ini dapat dibuktikan apabila beliau tidak terlalu
mementingkan panggilan formal yang sering diamalkan di pejabat. Encik
Muhammad lebih senang berhubungan dengan pekerjanya dengan panggilan yang
tidak terlalu melambangkan pangkat dan kedudukan. Perkara ini amat disenangi
oleh pekerja bawahan dan mampu mempengaruhi pekerja agar bekerja dengan
rajin dan sukarela.
Jika kita meneliti proses kepimpinan di Kampung Tualang, didapati YB Mohamad
Yusuf adalah merupakan pemimpin setempat yang berkaitan dengan politik. Encik
Mohamad Yusuf sangat berkesan ketika mempengaruhi rakyat setempat supaya
mengikuti rancangan pembangunan di kampung berkenaan. Beliau mampu
mempengaruhi penduduk kampung agar menerima cadangan supaya berpindah ke
rancangan Felda. Beliau sering hadir dalam perjumpaan di kampung dan seluruh
pengikutnya di kampung mendengar ucapan dan idea beliau.
Seterusnya jika diteliti kepada proses kepimpinan yang lebih kecil, kita dapati
pemimpin di Kampung Tualang yang terdiri daripada imam dan ketua kampung.
Mereka juga telah memainkan peranan penting untuk mempengaruhi penduduk
kampung. Pada awalnya penduduk kampung mempunyai perasaan tidak puas hati

dan tidak jelas tentang hala tuju pembangunan kampung. Namun setelah beberapa
perjumpaan dilakukan, ramai diantara mereka bersetuju dengan rancangan agar
kampung Tualang didirikan pusat lombong bijih timah. Tindakan imam Saad
menerima rancangan pembangunan telah mempengaruhi penduduk kampung yang
lain agar bersama-sama bersetuju dengan rancangan pembangunan berkenaan.
Begitu juga dengan Lebai Maaruf yang berjaya dipengaruhi oleh encik Muhammad
lantaran sifat beliau yang mahu mendengar cadangan dan saranan pihak lain.
Di kalangan orang muda dalam Kampung Tualang juga terdapat gambaran
tentang kepimpinan. Situasi tersebut dapat dilihat apabila dalam kalangan ada
kumpulan tertentu yang membentuk kepimpinan mereka sendiri. Sudin telah
dilantik menjadi ketua di kalangan orang muda kerana beliau dirasakan mampu
mempengaruhi rakannya yang lain. Namun begitu terdapat juga golongan
antagonis seperti Mat Akil yang mampu mempegaruhi perlakuan golongan muda.
Walaupun pada awalnya Mat Akil semacam lebih berpengaruh, namun akhirnya
kepimpinan Mat Akil didapati gagal dan tidak mendapat sambutan.
Proses kepimpinan dalam SBDKL juga dilihat dari sudut kepimpinan dalam
keluarga. Encik Muhammad selaku pemimpin keluarga juga mampu mempengaruhi
ahli keluarganya. Walaupun pada awalnya rancangan encik Muhammad mendapat
tentangan daripada Rahim, namun akhirnya Rahim telah menerima cadangan
ayahnya. Rahim telah bersetuju untuk bekerja dengan syarikat perlombongan
ayahnya setelah perbincangan dilakukan. Keupayaan encik Muhammad memimpin
keluarganya adalah bukti bahawa proses untuk mempengaruhi orang lain ini
memerlukan banyak perbincangan dan mendengar pendapat orang lain.
Tegasnya, proses kepimpinan yang berlaku dalam SBDKL adalah cerminan
daripada pelbagai situasi yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini.
Kepimpinan yang dikemukakan dalam novel ini adalah meliputi kepimpinan
organisasi formal dan tidak formal. Terdapat perbezaan gaya kepimpinan formal
dengan tidak formal lantaran keperluan dan anggota organisasi yang berbeza.

Anda mungkin juga menyukai