Anda di halaman 1dari 5

Huraikan kesinambungan sumbangan Zaman Prasejarah kepada kemajuan kehidupan masyarakat pada

zaman kini.

PENGENALAN

Zaman Prasejarah bermaksud zaman sebelum manusia mengetahui dan mengenal tulisan. Dalam Bahasa
Sanskrit, Zaman Prasejarah dikenali sebagai nirleka. Nirleka merupakan gabungan dua perkataan iaitu nir
bermaksud tidak ada dan perkataan leka bermaksud tulisan. Zaman Prasejarah dibahagikan kepada dua, iaitu
Zaman Batu dan Zaman Logam. Zaman Batu pula terdapat tiga tahap iaitu Zaman Paleolitik, Mesolitik dan
Neolitik. Zaman Batu merujuk kepada penggunaan teknologi batu manakala Zaman Logam merujuk kepada
penggunaan teknologi besi dan gangsa.

Terdapat banyak lokasi Zaman Prasejarah yang telah ditemukan di dunia. Di Malaysia, peninggalan
Zaman Prasejarah menunjukkan manusia telah menetap sejak 40000 tahun lalu. Tempoh itu bermula dengan
Zaman Paleolitik, diikuti dengan Zaman Mesolitik atau lebih dikenali sebagai Zaman Hoabinhian atau Epi-
Paleolitik. Zaman ini diikuti dengan Zaman Neolitik dan Zaman Logam.

Antara lokasi Zaman Prasejarah di Malaysia ialah Tingkayu di Sabah, Gua Cha di Ulu Kelantan,
Jenderam Hilir dan Lembah Bernam di Selangor, serta Sungai Tembeling di Pahang. Kewujudan lokasi Zaman
Prasejarah dapat dibuktikan melalui penemuan tinggalan manusia sama ada dalam bentuk artifak atau ekofak.

Penemuan pelbagai jenis peralatan menunjukkan manusia prasejarah mempunyai kemahiran dalam
menghasilkan peralatan batu dan logam yang digunakan dalam kehidupan harian seperti memotong, menetak
dan sebagainya. Penemuan di Kota Tampan, Perak dan Tingkayu, Sabah menunjukkan wujudnya bengkel
membuat peralatan batu. Zaman Neolitik di Hulu Perak pula menunjukkan mereka mampu menggilap peralatan
mereka. Peralatan logam pula ditemukan di Klang, Selangor membuktikan kewujudan Zaman Logam.

Kepelbagaian peralatan manusia Zaman Prasejarah yang ditemukan menunjukkan terdapat tiga bentuk
aktiviti masyarakat dalam bidang ekonomi iaitu memburu dan memungut hasil hutan, penanaman padi dan
perdagangan. Memburu dan memungut hasil hutan merupakan aktiviti sara diri yang utama dari zaman
Paleolitik hingga Zaman Hoabinhian. Penemuan pisau tembeling yang digunakan untuk menuai padi
menunjukkan Zaman Neolitik menjalankan aktiviti penanaman padi. Manakala penemuan alat dagang seperti
loceng dan gendang gangsa menunjukkan aktiviti perdagangan melalui sistem pertukaran barang di daratan dan
maritim berlaku pada Zaman Logam.

Selain itu, kewujudan Zaman Prasejarah di Malaysia dibuktikan kemahiran pembuatan tembikar dan
manik. Manusia prasejarah telah melakukan inovasi yang hebat kerana mencipta pelbagai jenis tembikar dan
manik. Tembikar yang ditemui di Gua Niah, Sarawak mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan corak hiasan.
Manakala pelbagai jenis manik telah ditemukan di Kuala Selinsing, Perak dan Lembah Bernam, Selangor.

Seterusnya, penemuan bukti yang paling ketara ialah lukisan gua dan ukiran batu sebagai cara
komunikasi dan penyampaian maklumat. Biasanya, lukisan gua menggunakan arang dan oker merah seperti
lukisan di Gua Niah, Sarawak. Manakala kewujudan ukiran batu yang mempunyai kaitan dengan budaya ritual
megalit iaitu batu yang tersusun rapi telah dijumpai di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan. Bukan itu sahaja,
penemuan ideofak di tapak perkuburan menunjukkan masyarakat pada zaman itu mengamalkan kepercayaan
dan memberikan penghormatan kepada orang mati.
CIRI-CIRI KEHIDUPAN MANUSIA ZAMAN PRASEJARAH

Kehidupan manusia Zaman Prasejarah mempunyai ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri yang dapat dilihat ialah
tempat kediaman, peralatan, aktiviti pengumpulan makanan, kegiatan ekonomi, organisasi sosial, kepercayaan
serta kesenian dan kebudayaan masyarakat pada Zaman Prasejarah.

Pertama sekali, saya akan membincangkan ciri-ciri tentang Zaman Paleolitik. Tempat kediaman
manusia zaman ini tertumpu pada petempatan di gua dan lubang bawah tanah. Selain itu, mereka berlindung di
bawah pokok atau tempat berlindung yang diperbuat daripada ranting kayu. Manusia pada Zaman Paleolitik
membuat peralatan daripada batu, kayu dan tulang haiwan. Peralatan ini biasanya dalam bentuk sedia ada,
ringkas dan kasar pembuatannya. Manusia zaman ini mengumpulkan makanan seperti buah-buahan, cendawan,
bijiran dan pucuk tumbuhan liar di dalam hutan selain memburu binatang.

Kegiatan ekonomi manusia Zaman Paleolitik bersifat sara diri. Mereka bergantung sepenuhnya pada
sumber alam semula jadi dan hidup secara nomad untuk mencari makanan dan dikongsi bersama. Manusia
zaman ini hidup dalam kelompok kecil yang terdiri daripada gabungan beberapa keluarga. Kepercayaan mereka
pula mengamalkan animisme dan kepercayaan alam semula jadi. Mereka percaya pada kuasa alam semula jadi
seperti petir, kilat, angin, hujan dan matahari. Manusia pada Zaman Paleolitik ini telah menghasilkan lukisan
gua yang bersifat realisme.

Kedua, saya akan menjelaskan tentang ciri-ciri Zaman Mesolitik atau Zaman Hoabinhian. Tempat
kediaman manusia zaman ini masih menempatu gua dan lubang bawah tanah serta tempat berlindung yang
diperbuat daripada ranting kayu. Tumpuan petempatan mereka di pinggir sungai dan laut supaya mudah untuk
mendapatkan bekalan air dan makanan. Manusia pada Zaman Mesolitik masih menggunakan peralatan daripada
batu, kayu dan tulang haiwan. Namun, pembuatannya lebih halus dan kemas. Terdapat juga alatan lebih kecil
yang dikenali sebagai mikrolit. Mereka juga menggunakan panah semasa memburu binatang dan menggunakan
perangkap untuk menangkap ikan.

Manusia zaman ini masih mengumpulkan makanan. Mereka juga mengumpulkan kerang dan siput di
pinggir sungai dan laut. Kegiatan ekonomi manusia Zaman Mesolitik masih lagi mengutip hasil hutan,
memburu binatang dan menangkap ikan serta berkongsi makanan. Manusia zaman ini masih hidup dalam
kelompok kecil dan secara nomad. Mereka belum mempunyai organisasi sosial yang tersusun. Kepercayaan
mereka pula mengamalkan animisme. Manusia pada Zaman Mesolitik mempunyai kesenian dalam lukisan gua.

Seterusnya, ciri-ciri Zaman Neolitik pula akan dibincangkan dengan terperinci. Tempat kediaman
manusia zaman ini di kawasan lebah sungai dan di persiaran pantai. Mereka telah membina rumah yang
diperbuat daripada natu, tanah liat dan kayu. Manusia pada Zaman Neolitik membuat peralatan yang lebih halus
dan kemas seperti alat menggali dan roda. Aktiviti mengumpulkan makanan pada Zaman Neolitik semakin
berkurangan kerana mereka sudah mampu menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan sebagai sumber
makanan dan kegiatan ekonomi mereka. Selain itu, mereka mula menjalankan aktiviti perdagangan dengan
menggunakan sistem barter dan pengkhususan kerja.

Pada Zaman Neolitik, manusia sudah hidup menetap dan telah mewujudkan sistem sosial yang lebih
baik. Terdapat ketua yang dipilih daripada kalangan mereka dan bermulanya pembahagian dalam sosial iaitu
adanya kelas atasan atau pemimpin dan kelas bawahan. Kepercayaan pada zaman ini pula mula melakukan
ritual bagi mewujudkan perdamaian dengan kuasa alam dan amalan penyembahan. Mereka menguruskan mayat
dengan teliti kemudian dikebumikan dengan sempurna kerana percaya kehidupan selepas mati. Selain lukisan
gua, kesenian manusia pada Zaman Neolitik dapat dilihat melalui corak yang menghiasi permukaan tembikar.
Pola geometri merupakan pola utama yang dikenali sebagai simbolisme.
Akhir sekali, saya akan membincangkan mengenai ciri-ciri Zaman Logam. Manusia zaman ini telah
menetap dan mempunyai tempat kediaman yang lebih baik. Binaannya diperbuat daripada batu, tanah liat dan
kayu serta lebih tersusun. Selain kawasan lembah sungai dan persisiran pantai, mereka juga tinggal di kawasan
tanah tinggi. Manusia pada Zaman Logam mampu mencipta peralatan yang diperbuat daripada logam seiring
dengan pengetahuan manusia tentang teknologi peleburan dan pembuatan acuan. Peralatan zaman ini terdiri
daripada tembaga, gangsa dan besi. Pengumpulan makanan pada zaman ini hampir tidak dilakukan kerana
berlaku kemajuan dalam bidang pertanian, penternakan dan perdagangan tukar barang sebagai sumber makanan
dan kegiatan ekonomi. Selain itu, aktiviti pembuatan dan pertukangan turut berkembang pada zaman ini.

Kehidupan manusia zaman Logam lebih tersusun. Pemimpin bertanggungjawab menyelesaikan masalah
yang timbul dan membentuk aturan kehidupan agar diikuti oleh setiap anggota masyarakat. Keadaan ini
membawa kepada pembentukan sistem pentadbiran. Dalam kepercayaan zaman ini pula, penyembahan manusia
terhadap kuasa alam semakin jelas. Binaan khusus telah diwujudkan bagi upacara ritual dan menyempurnakan
kepercayaan mereka. Manusia pada Zaman Logam mementingkan nilai estetika dalam peralatan mereka seperti
yang ditemukan di gendang gangsa yang mempunyai pola hiasan yang menarik.

KESINAMBUNGAN SUMBANGAN ZAMAN PRASEJARAH KEPADA KEMAJUAN


KEHIDUPAN MANUSIA

Tanpa disedar, manusia Zaman Prasejarah banyak mewariskan penemuan dan aktiviti mereka kepada
tamadun manusia. Mereka telah mencipta dan melakukan pelbagai kegiatan yang masih dapat ditemui dalam
kehidupan manusia hari ini. Aktiviti pertanian, memburu dan menternak binatang, pembuatan peralatan dan
tembikar, ideofak serta monumen dan seni bina merupakan antara aktiviti manusia Zaman Prasejarah yang
masih diteruskan hingga hari ini.

Aktiviti pertanian giat dijalankan sejak Zaman Neolitik. Antara jenis tanaman yang diusahakan ialah
padi, gandum dan barli. Aktiviti pertanian menjadi sumber makanan penting hingga membolehkan manusia
tinggal secara menetap. Manusia menjalankan aktiviti pertanian sara diri secara kecil-kecilan pada awalnya dan
terus diamalkan menjadi pekerjaan penting hingga hari ini. Namun, pada zaman moden ini, aktiviti pertanian
telah menjadi aktiviti komersial apabila hasil pertanian mula dijual. Aktiviti pertanian kini dilakukan secara
besar-besaran dalam bentuk ladang dengan menggunakan peralatan moden.

Aktiviti memburu binatang merupakan aktiviti paling tua yang diamalkan oleh manusia untuk
mendapatkan binatang. Pada Zaman Prasejarah, aktiviti memburu binatang dilakukan menggunakan senjata
yang diperbuat daripada batu, tulang, kayu, gangsa dan besi. Selain itu, tombak, panah dan sumpit juga
digunakan untuk memburu. Bagi sesetengah tempat, sumpit masih digunakan sehingga hari ini. Pada zaman
moden, aktiviti memburu dijadikan hobi dengan menggunakan senjata yang lebih canggih, berlesen dan
berdaftar. Kini, aktiviti memburu perlu mendapatkan lessen daripada pihak berkuasa yang dikeluarkan oleh
Perhilitan.

Selain itu, sejak Zaman Neolitik, manusia telah mempunyai kemahiran menternak binatang. Aktiviti ini
membolehkan mereka mendapatkan sumber makanan secara berterusan. Pada zaman moden ini, penternakan
binatang dijadikan komersial bagi menampung keperluan daging dan tenusu.

Peralatan manusia Zaman Prasejarah diperbuat daripada batu, kayu dan tulang yang digunakan dalam
kehidupan harian. Peningkatan pengetahuan manusia tentang campuran logam, acuan dan suhu pembakaran
telah membolehkan peralatan gangsa dan besi dicipta bagi menggantikan peralatan batu dan kayu. Peralatan
besi dan gangsa merupakan inovasi manusia yang masih digunakan hingga hari ini seperti pedang, parang,
tombak, cangkul, keris dan kapak. Peralatan pada zaman moden berubah apabila mesin dan jentera mula
digunakan.
Seterusnya, manusia Zaman Prasejarah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam membuat
tembikar yang dijadikan bekas makanan dan peralatan memasak. Selain itu, manusia Zaman Prasejarah
menggunakan tembikar untuk upacara ritual. Pembuatan tembikar terus kekal hingga hari ini dan menjadi
industry yang sangat penting. Contohnya, pembuatan labu sayong di Kuala Kangsar, Perak.

Manusia Zaman Prasejarah percaya bahawa kematian bukan akhir kehidupan. Oleh itu, mereka amat
menghirmati mayat. Pelbagai kaedah pengebumian mayat dilakukan dan biasanya mayat dikebumikan bersama-
sama dengan pelbagai peralatan. Di Gua Cha, Kelantan, kepla mayat diletakkan di atas “bantal” batu. Mayat
juga disertakan dengan bahan makanan dan terdapat ritual menunjukkan istemewanya mayat itu. Manakala di
Sabah, terdapat masyarakat yang memasukkan mayat ke dalam keranda kayu dan disimpan dalam gua batu
kapur. Sehingga kini, penghormatan terhadap mayat masih diamalkan mengikut agama masing-masing.

Di samping itu, sejak Zaman Neolitik, manusia berkebolehan untuk membina monument dan binaan
yang digunakan untuk pelbagai tujuan. Binaan ini ada yang masih kekal sebagai warisan sejarah untuk generasi
akan datang. Pada zaman moden, kemampuan manusia membina binaan yang mengagumkan terus meningkat
seperti Menara KLCC.

NILAI YANG DIPEROLEH

Memahami Zaman Prasejarah membolehkan kita mengetahui sejarah dan tamadun manusia berkembang
dalam satu tempoh masa yang panjang. Perkembangan ini menjadikan manusia semakin matang dan
bertanggungjawab dalam tindakan mereka. Oleh itu, kita bertanggungjawab dalam memajukan bangsa.

Selain itu, kebijaksanaan manusia Zaman Prasejarah menyesuaikan kehidupan dengan persekitaran
haruslah dihargai. Oleh itu, masyarakt mestilah pandai memanfaatkan sumber alam bagi meneruskan
kelangsungan kehidupan.

Di samping itu, inovasi dalam peralatan manusia Zaman Prasejarah telah membantu manusia
memperbaik tahap kehidupan mereka. Dari sini, masyarakat perlulah kreatif dan inovatif dalam menghasilkan
ciptaan untuk meneruskan kehidupan.

Akhir sekali, perubahan dan kesinambungan sumbangan Zaman Prasejarah merupakan aspek penting
yang membawa kesan besar terhadap kehidupan manusia kini. Jadi, masyarakat perlu bekerjasama dalam
melakukan sesuatu pekerjaan. Dalam meneruskan kehidupan, masyarakat perlu rajin untuk melakukan sesuatu
pekerjaan.

KESIMPULAN

Dalam kajian kes ini, saya telah memperoleh pengetahuan mengenai Zaman Prasejarah. Kajian kes ini
tentang menjelaskan kepentingan Zaman Prasejarah dalam perkembangan tamadun manusia. Perubahan yang
berlaku sejak Zaman Paleolitik hingga Zaman Logam menunjukkan kemampuan manusia meneruskan
kelangsungan hidup. Pengalaman serta keupayaan manusia melakukan inovasi serta menyesuaikan diri dengan
alam sekeliling manjadi asas penting untuk mereka meneruskan kehidupan. Kemahiran dan keupayaan manusia
Zaman Prasejarah memberikan sumbangan kepada kemajuan kepada kehidupan masyarakat pada masa kini.

Oleh itu, kepentingan Zaman Prasejarah perlu dikekalkan melalui usaha pemeliharaan dan
pemuliharaan. Selain itu, kita mestilah gigih dalam menimba ilmu pengetahuan serta kreatif dan inovatif dalam
meningkatkan ekonomi negara. Harapan daripada kajian kes ini semoga negara terus maju, wawasan negara
dapat dicapai dan dapat melahirkan masyarakat yang berinovasi.

Anda mungkin juga menyukai