Anda di halaman 1dari 3

Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di negara ini telah direndahkan ekoran

salah tanggapan penuturnya. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan
'stratifikasi sosial' di mana bahasa Melayu dianggap hanya seolah-olah digunakan oleh kelompok
berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti
korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan
bahasa Inggeris. Demikian juga kebanyakan ahli politik Malaysia lebih gemar menggunakan
bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran' termasuk ketika diwawancara media tempatan, majlis
rapat rakyat, persidangan dan sebagainya. Namun yang menyedihkan hati apabila rata-rata orang
yang menghadiri wawancara atau majlis tersebut adalah orang Malaysia tidak kira berbangsa apa
sekalipun, sepatutnya pemimpin Malaysia apabila berbicara bersama rakyat seharusnya
menggunakan bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan yang sepatutnya semua rakyat wajar
menerimanya dengan baik.

Kewajaran menguasai bahasa Inggeris memang tidak boleh disangkal kerana bahasa Inggeris
adalah medium terbaik yang diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah, wajar sekali
rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Mandarin dan Arab.
Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' dan
‘Cintailah Bahasa Kita’ perlu diterapkan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris bagi
menamakan taman perumahan, khususnya di sekitar bandar utama. Tindakan mereka jelas tidak
membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya membuktikan minda serta tindak
tanduk mereka masih terjajah walaupun negara ini sudah lebih 55 tahun mencapai kemerdekaan.
Isu ini bukan baru malah teguran dan peringatan seumpama itu sering dibuat, malangnya mereka
seolah-olah tidak langsung mempedulikannya, jauh sekali mahu merujuk kepada Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) sebelum mendapatkan lesen iklan daripada PBT. Sikap mereka terhadap
pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa utama amat mendukacitakan.

Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam pengiklanan dilihat
lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa pengiklanan
utama. Walaupun undang-undang telah ada namun penguatkuasaan bahasa kebangsaan dalam
pelbagai bidang utama seperti pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan komunikasi masih
banyak tidak diendahkan dan kurang diutamakan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Terdapat juga usaha kerajaan Malaysia untuk membudaya kembali penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, antaranya pada tahun 2009, kerajaan memperkenalkan
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan, memperkukuh dan
mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia. Menurut portal rasmi DBP, BKK adalah
lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan Minggu Bahasa
Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia kemudiannya dikenali
pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-1996), Gerakan Bahasa
Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia
dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan kini dikenali sebagai BBK.

Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman, Pengarah Institut Hadhari UKM menyifatkan sebagai
seorang saintis beliau amat yakin bidang sains dan teknologi perlu di ajar dalam bahasa
kebangsaan. Oleh itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi bidang sains dan
teknologi hanya akan membawa padah dan ia akan membuat kesilapan yang sama yang telah
dibuat oleh Barat. Sains di Barat tidak mempunyai ruang untuk agama atau kerohanian manakala
Islam tidak mengekang perkembangan bidang sains malah telah membantu dalam banyak situasi.

Menurut Prof Dr Awang Sariyan pula yang juga tokoh bahasa dan Penyandang Pertama Kursi
Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing
Beijing, di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya merupakan satu-satunya IPT
di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan
pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang. Ia
dapat dibuktikan sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam
bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi.

Manakala dalam Akta Pendidikan 1996, jelas menunjukkan institusi pengajian tinggi swasta
(IPTS) juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
utama. Namun kini di Malaysia IPTS dilihat lebih cenderung sepenuhnya mengajar pengajian
ilmiah dalam bahasa Inggeris dan menidakkan hak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dengan
begitu jelas sekali. Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah teras di IPTS, iaitu subjek Bahasa
Kebangsaan, Kenegaraan Malaysia dan Pengajian Islam atau Pendidikan Moral tampaknya
menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali
sesetengah IPTS seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti
Petronas.

Dalam pelbagai usaha yang dibangunkan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya kembali
memainkan peranan utamanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, masih
terdapat juga pelbagai lekak lekuk dan ketandusan yang berlaku di Malaysia kerana usaha
pemartabatan bahasa Melayu tidak menyeluruh malah hanya tertumpu pada sesuatu bidang atau
landasan tertentu. Kekhuatiran terhadap bahasa Melayu di Malaysia jelas mendapat
kebimbangan besar dari pakar, pejuang dan pencinta bahasa Melayu menerusi pelbagai ketetapan
yang dimeterai sepanjang sidang Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sehingga tahun 2011.

Anda mungkin juga menyukai