Anda di halaman 1dari 10

Jurnal Arkeologi Malaysia

Disember 2017, Vol 30, No 2, hlm. 11-19


ISSN 0128-0732 e-ISSN 2590-4302
Diterbitkan oleh Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia

Kedah Tua: Satu Cerakinan Sumber India


Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun & Mokhtar Saidin
Abstrak

Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan awal dan kota pelabuhan yang wujud
di Lembah Bujang antara kurun ke-2 hingga kurun ke-14 Masihi. Lembah
Bujang merupakan sebuah terminologi moden yang diperkenalkan oleh
Jabatan Muzium dan Antikuiti pada tahun 1970-an untuk merujuk kepada
kawasan tempat berkembangnya pelabuhan Kedah Tua. Ia merangkumi
kawasan dari Sungai Sala di Utara, Gunung Jerai, Lembah Sungai Merbok dan
Sungai Muda hingga ke Cherok Tokkun. Penemuan-penemuan arkeologi di
Lembah Bujang termasuklah tinggalan candi, seramik, arca dan prasasti. Di
samping data arkeologi, gambaran tentang Kedah Tua turut didapati dari
sumber-sumber bertulis asing, terutamanya catatan China, India dan Arab.
Antara sumber bertulis yang memberi gambaran terpenting tentang Kedah Tua
merupakan sumber India. Hal ini kerana lokasi Kedah Tua yang terletak di
pintu masuk Selat Melaka dan berdekatan dengan Teluk Bengal menjadikannya
sebagai pusat persinggahan utama para pedagang dari India. Oleh yang
demikian, wujud banyak rekod-rekod dari India yang menerangkan tentang
aspek politik, ekonomi dan sosial Kedah Tua. Makalah ini akan cuba untuk
membincangkan sumber-sumber India dan sumbangannya kepada sejarah
Kedah Tua.

Kata Kunci:

Abstract

Ancient Kedah was a kingdom as well as a port polity which flourished in the Bujang
Valley between the 2nd to the 14th Century C.E. The Bujang Valley is a modern
terminology coined in the 1970s by the Department of Museums and Antiquity to refer
to the area where the port of Ancient Kedah developed. It covers the area from Sungai
Sala in the North, the Jerai Peak, Merbok-Muda river valleys and Cherok Tokkun in the
South. The archaeological discoveries in the area include temple structures, ceramics,
sculptures and inscriptions. Aside from archaeological data, descriptions about Ancient
Kedah are also available from the foreign accounts, such as the Chinese, Indian and
Arab records. However, the most important written records on Ancient Kedah are the
Indian written accounts. This is due to the fact that Ancient Kedah was strategically
located at the entrance of the Straits of Malacca and near to the Bay of Bengal, making
it an important stopping place for Indian traders. Hence, the abundance of Indian
records on this port-polity enable us to retrieve important insights into its political,
cultural and economical history. This paper attempts to study the Indian sources and its
contribution to the history of Ancient Kedah.
12 Jurnal Arkeologi Malaysia 30(2): 11-20

Keywords:

PENGENALAN

Kedah Tua merupakan sebuah kota pelabuhan yang terletak di Lembah Bujang yang merangkumi
kawasan dari lereng utara Gunung Jerai hingga ke kawasan Lembah Sungai Muda. Di samping itu,
kawasan-kawasan lain yang kemungkinan merupakan bekas penempatan masyarakat awal yang
merupakan sebahagian daripada kerangka kebudayaan Kedah Tua termasuklah Jeniang dan Cherok
Tokkun. Selain data arkeologi, sumber bertulis merupakan sumber terpenting yang menjadi titik
tolak kepada hujah dan huraian mengenai kronologi sejarah serta gambaran keadaan politik dan
sosioekonomi masyarakat Kedah Tua. Sumber bertulis berfungsi sebagai kerangka dan landasan
utama yang menjadi garis panduan kepada intepretasi terhadap data-data arkeologi. Di samping itu,
pertimbangan terhadap sumber bertulis boleh memastikan bahawa data arkeologi ditafsir mengikut
konteks yang sesuai dengan latar belakang masyarakat sesebuah zaman. Bagi tapak-tapak arkeologi
zaman Klasik, sumber penulisan tempatan yang paling sahih merupakan sumber prasasti. Walau
bagaimanapun, tidak seperti kerajaan Srivijaya, Mataram dan Suvarnabhumi yang memiliki
penemuan prasasti yang memberi gambaran yang lengkap mengenai struktur sosial dan politik
kerajaan-kerajaan tersebut, masih belum ditemui bentuk penemuan tersebut di Lembah Bujang.
Sehingga kini masih belum ditemui sebarang sumber bertulis tempatan mengenai Kedah Tua yang
mampu memberi gambaran yang mempunyai kredibiliti serta bersifat konkrit. Hal ini menyebabkan
gambaran sebenar mengenai keadaan masyarakat Kedah Tua pada zaman perkembangannya amat
bersifat spekulatif. Sumber bertulis tempatan yang wujud mengenai perkembangan awal Kedah Tua
cuma terdiri daripada dua karya sastera, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah
Negeri Kedah. Karya-karya tersebut memberikan gambaran mengenai sejarah pengasasan Kerajaan
Kedah Tua serta lokasi pusat kerajaantersebut. Walau bagaimanapun, fakta-fakta dalam kedua-dua
penulisan tersebut seringkali dipengaruhi oleh unsur lagenda dan mitos. Kesahihan dakwaan-
dakwaan yang dimuatkan dalam kedua-dua sumber tersebut sehingga kini masih belum dapat
disahkan melalui penemuan arkeologi mahupun melalui perbandingan dengan sumber bertulis luar.

Oleh yang demikian, gambaran yang diberikan dalam kedua-dua sumber tersebut yang
bersifat pseudo-sejarah adalah kurang sesuai dijadikan titik tolak kepada hujah mengenai Kedah
Tua. Gambaran mengenai kronologi sejarah dan dinamika sosial masyarakat awal Kedah Tua
sepatutnya berasaskan kepada sumber-sumber yang lebih mempunyai kredibiliti. Bagi kes
penyelidikan Lembah Bujang, sumber-sumber yang lebih sahih adalah sumber catatan asing.
Pelabuhan Kedah Tua memiliki lokasi yang amat strategik serta sejarah perkembangan yang amat
panjang. Sebagai sebuah pelabuhan, Kedah Tua dilawati oleh para pedagang dari Timur dan Barat
secara berterusan dan berkala bergantung kepada faktor pertukaran angin monsun. Kedah Tua telah
didatangi oleh para pedagang dan pengembara dari India, Asia Barat dan juga China yang memiliki
tahap ketamadunan yang tinggi dan yang paling penting mempunyai kebiasaan untuk menyimpan
rekod bertulis. Berdasarkan kepada penemuan arkeologi yang wujud diketahui bahawa pedagang-
pedagang yang paling dominan di Kedah Tua adalah pedagang China, Arab dan India. Hal ini
dibuktikan berdasarkan kepada penemuan seramik-seramik, arca, prasasti, dan monumen yang
ditemui di Lembah Bujang Para pengembara dan pedagang China, Arab dan India bukan sahaja
telah meninggalkan kesan arkeologi di Lembah Bujang malah telah turut mengabdikan pengalaman
atau pengetahuan mereka mengenai Kedah Tua dalam bentuk sumber bertulis. Perkembangan
Kedah Tua sebagai sebuah pusat pelabuhan entrepot telah digambarkan melalui catatan
pengembara dari China, India dan Asia Barat. Sumber-sumber asing tersebut boleh wujud dalam
pelbagai bentuk. Antaranya adalah seperti dalam bentuk syair/puisi, prasasti, ensiklopedia, sejarah
dinasti, catatan topografi dan juga catatan pelayaran. Kredibiliti catatan pedagang dan para
pengembara asing secara umumnya adalah tinggi kerana pencatat merekodkan gambaran
berdasarkan kepada perkara yang dilihat atau didengari. Walaupun gambaran yang diberikan
datangnya dari sudut pandangan yang berbeza-beza, tetapi hampir semua gambaran adalah
konsisten antara satu sama kerana kesemuanya menekankan peranan Kedah Tua sebagai sebuah
pelabuhan entrepôt yang kaya (Braddell 1989: 345, 388).
Nasha Rodziadi Khaw et. al. 13

Di samping itu, gambaran turut diberikan mengenai hubungan Kedah Tua dengan dunia luar.
Gambaran tersebut sama ada dinyatakan secara langsung atau kadangkala dimanifestasikan ke
bentuk cerita-cerita epik. Di samping pencatat yang terdiri daripada pengembara dan pedagang,
wujud juga sumber bertulis yang terdiri daripada prasasti-prasasti yang dikeluarkan oleh kerajaan
Chola yang menyebut tentang Kedah Tua. Catatan-catatan asing mengenai Kedah Tua mewakili
satu sudut pandang khas orang asing yang memberi gambaran terhadap Kedah Tua berdasarkan
kepada pemerhatian mereka dengan tafsiran berdasarkan kepada latar belakang sosiobudaya mereka.
Walau bagaimanapun, bukan kesemua gambaran yang diberikan dalam catatan asing adalah hasil
daripada pemerhatian dan pengalaman peribadi si penulis. Kemungkinan wujud sesetengah sumber
penulisan yang penulisnya mendapat maklumat berdasarkan kepada kutipan terhadap catatan
pengembara terdahulu ataupun berdasarkan kepada pengetahuan yang diceritakan oleh orang lain
kepadanya. Oleh yang demikian, sumber-sumber asing mengenai Kedah Tua turut mempunyai
kelemahan. Walau bagaimanapun, sumber-sumber asing mampu memberi gambaran keadaan politik
Kedah Tua dan persekitaran sosial yang wujud, gambaran yang sehingga sekarang masih belum
dapat diberikan oleh penemuan arkeologi. Sumber-sumber tesebut juga dapat menyumbang kepada
pengetahuan mengenai kronologi Kedah Tua. Dua sumber utama yang akan dibincangkan dalam
skop kajian ini adalah sumber India dan Arab. Hal ini kerana kedua-dua sumber tersebut paling
banyak memberi maklumat mengenai Kedah Tua berbanding dengan sumber-sumber lain. Di
samping itu, turut diberikan sedikit ulasan tentang sumber-sumber lain yang dapat memberi
sumbangan terhadap pengetahuan mengenai sejarah Kedah Tua walaupun sedikit. Sumber-sumber
tersebut adalah sumber China dan sumber Jawa.

Makalah ini cuba untuk membicangkan sumber-sumber bertulis India mengenai Kedah Tua,
serta menganalisis peranan rekod-rekod tersebut dalam merangka semula kronologi sejarah Kedah
Tua. Sumber-sumber India yang digarap dalam makalah ini termasuklah syair Tamil, sastera sejarah
Sanskrit, dan sumber epigrafi.

Syair Tamil

Sumber-sumber Tamil merupakan sumber penulisan tertua yang menyebut mengenai Kedah Tua.
Sumber-sumber tersebut boleh dipertarikhkan pada zaman Sanggam iaitu dari kurun ke-2 Sebelum
Masihi hingga kurun ke-2 Masihi. Walaupun syair-syair tersebut ditulis pada zaman Sanggam,
kemungkinan besar cerita-cerita yang wujud telah diceritakan secara lisan secara turun temurun
lebih awal dari kurun ke-2 Sebelum Masihi. Pada zaman Sanggam, berkembang tiga kerajaan utama
di India Selatan iaitu kerajaan Chera, Chola dan Pandya. Ketiga-tiga kerajaan tersebut menjadi fokus
kepada cerita-cerita dalam kebanyakan syair Tamil. Syair-syair Tamil yang menyebut mengenai
Kedah Tua terdiri daripada Pattinappalai dan Sillappadikaram. Kedua-dua syair Tamil tersebut
secara keseluruhannya menceritakan tentang perkembangan kerajaan-kerajaan India Selatan pada
zaman awal perkembangannya. Rekod mengenai Kedah Tua dalam sumber-sumber sastera Tamil
tersebut membuktikan hubungan rapat yang wujud antara Kedah Tua dengan India Selatan.
Sillappadikaram yang bermaksud “puisi gelang lengan” merupakan salah sebuah dari lima penulisan
epik Tamil yang boleh ditarikhkan pada penghujung zaman Sanggam. Walaupun wujud banyak
perdebatan mengenai tarikh sebenar karya ini dihasilkan, tarikh dari kurun ke-2 hingga ke-3 Masihi
yang dicadangkan oleh Nilakantha Sastri diterima bagi skop kajian tesis ini (Zvelebil 1973: 175-176).
Penulisan tersebut telah dikarang oleh Ilaŋkovaṭikal iaitu salah seorang putera dari Kerajaan Chera
(Zvelebil 1975: 112-113). Penulisan Sillappadikaram terdiri daripada tiga episod utama yang
menceritakan tentang tiga kerajaan utama di India Selatan iaitu Chola, Chera dan Pandya. Latar
belakang cerita dalam karya tersebut merupakan kota Puhar (pinggir pantai), Madurai (tanah subur)
dan Vanchi (pergunungan), masing-masing merupakan ibu kota Chola, Chera dan Pandya.
Penulisan Sillappadikaram memiliki pengaruh agama Siva, Vishnu, Buddha dan Jain.
Sillappadikaram menceritakan mengenai liku-liku kehidupan suami isteri iaitu Kovalan dan Kannaki
yang memiliki tema kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri (Zvelebil 1973: 177-183). Cerita
tersebut memberi gambaran mengenai mengenai cara hidup masyarakat Tamil pada zaman Sanggam
yang melibatkan keadaan kota dan bentuk kepercayaan mereka.
14 Jurnal Arkeologi Malaysia 30(2): 11-20

Penulisan Sillappadikaram turut menyentuh mengenai kepentingan kawasan Kepulauan


Melayu sebagai kawasan yang memiliki hubungan dagang dengan India Selatan. Dalam
Sillappadikaram, dikatakan bahawa kapal dari Tondi yang membawa kayu aloe, sutera, kayu
cendana, rempah dan kapur barus telah sampai ke kota Madurai di kerajaan Pandya (Braddell 1989:
346). Nilakantha Sastri berpendapat bahawa pelabuhan Tondi terletak di sekitar Semenanjung
Tanah Melayu. Berdasarkan kepada ulasan semula terhadap karya Sillappadikaram pada kurun ke-14
Masihi, kapal-kapal dari Tondi yang datang ke Madurai telah turut membawa rempah ratus seperti
bunga cengkih, lada hitam dan kayu aloe. Kayu aloe yang sampai ke Madurai disebut sebagai
Kidaravan, yang menunjukkan bahawa kayu tersebut berasal dari Kidaram atau Kedah Tua
(Braddell 1989: 347). Catatan dalam Sillappadikaram tersebut menunjukkan bahawa telah wujud
hubungan dagang antara Kadaram dan Madurai. Di samping penulisan Sillappadikaram, penulisan
Pattinappalai merupakan salah satu sastera zaman Sanggam yang turut memberi gambaran
mengenai Kedah Tua. Pattinappalai yang bermaksud “bunga kota pelabuhan” dihasilkan oleh
Uruttirangannanar (Zvelebil 1973: 57). Penulisan tersebut merupakan sebahagian daripada
kompilasi antologi karya-karya sastera Sanggam Pattupattu yang terdiri daripada kompilasi sepuluh
karya-karya yang lain. Pattinappalai boleh ditarikhkan pada tahun 190 hingga 200 Masihi (Zvelebil
1975: 96). Karya ini terdiri daripada 301 baris puisi yang didedikasikan kepada Raja Karikala, iaitu
pemerintah kerajaan Chola pada zaman Sanggam. Karya tersebut dibahagikan kepada dua bahagian
utama (Zvelebil 1973: 57). Bahagian pertama memberikan gambaran yang panjang lebar mengenai
kota Kaveripattinam, iaitu ibukota kerajaan Chola pada ketika itu. Penulisan Pattinappalai
memberikan gambaran yang jelas mengenai kehidupan di kota pelabuhan, tentang kapal-kapal dan
komoditi serta persekitaran sosial masyarakatnya. Bahagian kedua pula menceritakan tentang Raja
Karikala ketika baginda menaiki takhta, kempen ketenteraan baginda serta kebajikan yang telah
dilakukan ketika kerajaan Chola berada pada zaman kemuncaknya.

Dalam salah satu baris puisi Pattinappalai, wujud satu ayat yang menyatakan bahawa “barang-
barangan dari Kazhagam” telah diperdagangkan di pelabuhan Puhar atau Kaveripattinam
(Nilakantha 1975: 82). Kazhagam boleh disamakan dengan Kadaram, yang merujuk kepada Kedah
Tua. Perkataan Kazhagam dalam karya tersebut berkemungkinan berasal dari kata dasar kazh- yang
dalam bahasa Tamil Purba bermaksud besi. Oleh yang demikian, “barang-barangan dari Kazhagam”
kemungkinan besar merujuk kepada komoditi besi. Penulisan Pattinappalai yang menyatakan
bahawa komoditi dari Kedah Tua diperdagangkan di Kaveripattinam menunjukkan bahawa
wujudnya hubungan dagang antara Kedah Tua dan kerajaan Chola pada ketika itu. Di samping
penulisan-penulisan Tamil dari zaman Sanggam, wujud juga syair Tamil yang menyebut mengenai
Kedah Tua yang ditarikhkan selepas zaman Sanggam. Penulisan tersebut merupakan penulisan
Paruŋkathai yang boleh ditarikhkan pada kurun ke-10 Masihi (Sachithanantham 2010: 1-4).
Paruŋkathai merupakan sebuah sastera epik Tamil yang ditulis oleh pujangga bernama Kongkuvelir.
Penulisan tersebut menyatakan bahawa Kaṭāraththu irumpu yang bermakna “besi dari Kaṭāram”
merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk membuat kereta kuda Puteri Vācavathaththai.
Kaṭāram diketahui merujuk kepada Kedah Tua.

Sastera Sanskrit

Sumber penulisan Sanskrit yang menceritakan mengenai Kedah Tua terdiri daripada penulisan
Kathasaritsagara dan Kaumudimahotsava. Kedua-dua penulisan tersebut bukan merupakan sumber
sejarah yang tulen, tetapi merupakan karya-karya sastera sejarah. Perkara-perkara yang digambarkan
dalam sumber-sumber tersebut tidak semestinya mewakili perkara sebenar kerana fungsi utama
karya sastera bukanlah untuk menceritakan hakikat sebenar melainkan untuk tujuan seni. Walau
bagaimanapun, karya-karya tersebut masih mampu menyumbang terhadap pengetahuan mengenai
Kedah Tua. Hal ini kerana karya-karya sastera tersebut mewakili persepsi dan pandangan orang-
orang India terhadap kepentingan Kedah Tua dan masih relevan untuk diambilkira sebagai salah
satu sumber yang boleh menyumbang kepada pengetahuan sejarah. Karya Kathasaritsagara
merupakan sebuah himpunan karya-karya yang ditulis dalam bahasa sanskrit yang bermaksud
“lautan cerita-cerita”. Kathasaritsagara telah ditulis antara kurun ke-8 hingga ke-11 Masihi.
Penulisan tersebut seterusnya dikompilasikan pada 1070 Masihi oleh Brahman Somadeva (Wheatley
1961: 205-206). Dalam karya tersebut, telah jelas dipaparkan bahawa penulis telah menggunakan
Nasha Rodziadi Khaw et. al. 15

pengetahuannya tentang pelabuhan-pelabuhan yang wujud di Nusantara pada ketika itu untuk
melengkapkan ceritanya. Walau bagaimanapun, penulisan tersebut tidak semestinya mewakili cerita
sebenar dan berkemungkinan besar watak-watak yang disebut adalah rekaan semata-mata.
Berdasarkan karya ini, Kedah Tua telah disebut sebagai Kataha Dvipa. Telah dinyatakan bahawa
Kedah Tua merupakan sebuah pelabuhan yang amat kaya dan benar-benar wujud. Dalam karya
Kathasaritsagara, pelabuhan Kedah Tua telah digunakan sebagai salah satu latar belakang tempat
untuk cerita epik tersebut. Tiga buah cerita telah menyebut tentang pelabuhan Kedah Tua dalam
himpunan karya-karya tersebut. Cerita-cerita tersebut termasuklah kisah Guhasena, Chandrasvamin,
dan juga kisah Dua Puteri. Dalam kisah Guhasena, kota Tamralipti yang terletak di sekitar utara
Teluk Bengal memiliki hubungan pelayaran dengan pelabuhan Kedah Tua. Dalam kisah Dua Puteri
pula, telah dinyatakan bahawa Kedah Tua telah diperintah oleh Gunasagara yang disebut sebagai
“Raja sebuah negeri yang bernama Kataha, tempat yang penuh dengan kebahagiaan”. Raja tersebut
berhasrat untuk mengahwinkan puterinya dengan Raja Vikramaditya. Raja Gunasagara telah
mempersiapkan puterinya dengan sebuah kapal yang sarat dengan barang-barang berharga dan
menghantarnya untuk berlayar di lautan. Walau bagaimanapun, ketika melalui kawasan
Suvarnadvipa, puteri tersebut dengan segala anak kapalnya telah ditelan seekor ikan yang amat besar
(Braddell 1989: 345).

Dalam cerita Chandrasvamin pula, pelabuhan Kataha telah disebut bersama dengan
pelabuhan-pelabuhan yang lain yang kemungkinan wujud di sekitar perairan Asia Tenggara ataupun
pantai Timur India. Dalam cerita tersebut, dinyatakan bahawa Chandrasvamin dari kota Jalapura
India telah berlayar ke Narikela dan seterusnya ke Katahadvipa ataupun Kedah Tua. Di Kedah Tua,
Chandrasvamin telah bertemu dengan seorang pedagang yang bernama Danavarman, dan
mendengar cerita mengenai seorang pedagang yang lain, yang bernama Kanakavarman yang berada
di Karpuradvipa, iaitu Pulau Borneo ataupun Sumatra Barat. Chandrasvamin telah seterusnya
melawat Karpuradvipa, Suvarnadvipa (Jambi) dan Simlahadvipa (Ceylon). Karya
Kaumudimahotsava merupakan sebuah drama sanskrit ditulis pada kurun ke-8 Masihi oleh Vijjaka.
Dalam penulisan ini, Kedah Tua disebut sebagai Katahanagara. Dalam teks tersebut, jelas
dinyatakan bahawa Kedah Tua merupakan sebuah bandar yang terkenal dan dilawati oleh para
pedagang dari India secara berterusan. Pelabuhan Kataha dikatakan dihubung terus ke India
kemungkinan ke Tamralipti. Juga disebut bahawa pelabuhan Katahanagara sebagai sebuah kota
dengan penduduknya mempunyai kehidupan yang bahagia. Di samping itu, Kedah Tua turut
disebut dalam penulisan Purana dan juga sastera Prakrit. Dalam penulisan Prakrit, Kedah Tua
disebut sebagai Kadahadipa, iaitu sebuah pelabuhan yang terletak di seberang laut dan dihubungan
dengan pelabuhan Tamralipti. Dalam penulisan Agni Purana, telah disebut tentang satu puncak
gunung yang dikenali sebagai Anda Kataha. Kesemua penulisan-penulisan Sanskrit dan Prakrit
tersebut dapat dipertarikhan selepas kurun ke-7 Masihi (Braddell 1989: 344).

Sumber Epigrafi

Walaupun sumber-sumber syair Tamil dan Sanskrit sedikit sebanyak memberikan gambaran umum
mengenai kepentingan dan peranan Kedah Tua, kesahihan fakta dalam penulisan sastera masih
menjadi topik perdebatan sehingga kini. Hal ini kerana karya-karya sastera yang secara kebiasaannya
disemak dan disalin semula boleh ditokok tambah oleh para penyalin. Di samping itu, tujuan karya-
karya sastera dihasilkan untuk kesenian dan bukan untuk rekod sejarah. Walau bagaiamanpun,
keadaan adalah berbeza untuk prasasti. Prasasti merupakan dokumen rasmi yang cuma boleh
dikeluarkan oleh pihak pemerintah. Dokumen di atas prasasti yang sudah dipahat pada sesuatu masa
selalunya tidak lagi boleh dipinda. Oleh yang demikian, sumber prasasti merupakan salah satu
sumber yang terpenting yang mampu memberi gambaran paling konkrit mengenai masa lampau
Kedah Tua. Walaupun masih belum ditemui sebarang prasasti di Lembah Bujang yang ada memberi
gambaran mengenai perkembangan Kedah Tua pada zaman Klasik, prasasti-prasasti yang mampu
memberi gambaran tersebut telah ditemui di India Selatan. Sumber prasasti merupakan sumber
tertulis yang memiliki kredibiliti paling tinggi. Hal ini kerana, tidak seperti karya-karya sastera
ataupun sumber-sumber penulisan dalam bentuk manuskrip, kandungan dalam prasasti setelah
dipahat tidak boleh dipinda ataupun diubahsuai. Prasasti-prasasti merupakan satu bentuk dokumen
rasmi yang boleh dikeluarkan oleh pemerintah atau golongan pembesar sahaja. Oleh yang demikian,
16 Jurnal Arkeologi Malaysia 30(2): 11-20

maklumat-maklumat yang wujud dalam sesebuah prasasti boleh dianggap sebagai maklumat yang
sahih pada ketika prasasti tersebut dipahat. Sehingga kini, diketahui bahawa prasasti-prasasti yang
menyebut tentang Kedah Tua dari India cuma dikeluarkan oleh raja-raja kerajaan Chola sahaja.

Prasasti-prasasti yang dikeluarkan adalah hasil daripada hubungan politik atau ekonomi
dengan empayar yang menguasai Kedah Tua. Sumber-sumber prasasti selalunya memberi gambaran
mengenai status politik Kedah Tua dan mencerminkan bentuk kepentingan Kedah Tua kepada
kerajaan mereka. Prasasti-prasasti tersebut merupakan Kepingan Gangsa Leiden Besar, Kepingan
Gangsa Leiden Kecil, Prasasti Singkat Virarajendra dan Prasasti Tanjore. Prasasti Kepingan Leiden
Besar telah dikeluarkan oleh Raja Rajaraja I pada sekitar tahun 1006 Masihi manakala Prasasti
Kepingan Leiden Kecil telah dikeluarkan oleh Raja Kulotungga I pada tahun 1090 Masihi. Prasasti
Tanjore pula telah dikeluarkan oleh Raja Rajendra I pada tahun 1031 Masihi. Prasasti ringkas
Virarajendra dikeluarkan pada sekitar 1068 Masihi. Kesemua prasasti-prasasti tersebut telah
mencerminkan hubungan politik dan ekonomi yang amat rapat antara kerajaan Chola dan
kepulauan Asia Tenggara secara amnya. Prasasti kepingan Leiden Besar (Nilakantha 1949: 128-130)
yang dikeluarkan oleh Rajaraja I dipahat dengan menggunakan dua bahasa, iaitu bahasa Sanskrit dan
Tamil. Raja Rajaraja I memerintah kerajaan Chola dari tahun 985 hingga 1014 Masihi. Baginda
merupakan seorang pemerintah agung kerajaan Chola yang mengamalkan dasar ekspansi yang amat
agresif. Baginda telah melakukan kempen ketenteraan yang membawa kepada penaklukan kerajaan-
kerajaan seperti Pandya, Calukya, Cera, Anuradhapura dan Vengi. Empayar Rajaraja I merangkumi
kawasan dari Sungai Pinaki di utara, Cape Camorin hingga ke Pulau Ceylon di Selatan. Kekuatan
tentera laut Chola dibawah pemerintahan baginda juga telah membawa kepada penaklukan
kepulauan Maldives. Rajaraja I telah melantik Rajendra Chola I sebagai Yuvaraja pada tahun 1012
Masihi yang bakal menggantikan tempat baginda. Keberkesanan pemerintahan Rajaraja I telah
menyediakan asas kepada perkembangan empayar Rajendra Chola I apabila baginda menaiki takhta
pada 1014 Masihi. Pemerintahan Rajaraja I boleh dianggap sebagai zaman keemasan kerajaan Chola.
Oleh yang demikian, perhubungan dengan kerajaan-kerajaan luar, terutamanya dengan kerajaan
yang memiliki kepentingan perdagangan dengan kerajaan Chola yang merupakan sebuah kerajaan
maritim. Salah sebuah kerajaan tersebut merupakan kerajaan Suvarnabhumi.

Prasasti Kepingan Leiden Besar telah dikeluarkan oleh Rajaraja I sebagai satu dokumen rasmi
yang menceritakan tentang pembinaan sebuah Vihara Buddha di Nagapatam oleh Raja
Suvarnabhumi dan anugerah sebuah kampung yang berfungsi untuk menyelenggara vihara tersebut.
Prasasti tersebut melambangkan hubungan rapat yang wujud antara kerajaan Chola dan pelabuhan
Kedah Tua. Pada bahagian bahasa Sanskrit, prasasti tersebut dimulakan dengan puji-pujian kepada
Raja Rajaraja I yang disebut sebagai Rajaraja Kesarivarman. Dalam prasasti tersebut, dinyatakan
bahawa sebuah kuil Buddha yang dinamakan Culamanivarmavihara telah dibina oleh Raja
Maravijayotunggavarman di Nagapatam. Maravijayotunggavarman merupakan pemerintah Srivijaya
dan Katahadari Dinasti Sailendra dan merupakan putera kepada Culamanivarmadeva. Seterusnya,
prasasti tersebut menyatakan bahawa kampung Anaimangalam dianugerahkan oleh Rajaraja I untuk
penjagaan dan pembiayaan kuil tersebut. Pada bahagian akhir, diberi pujian kepada Raja Kataha dan
seterusnya dinyatakan bahawa prasasti tersebut dipahat oleh Tuvavuravan Anukka atas arahan Raja
Kataha. Pada bahagian bahasa Tamil pula, telah diberi perincian mengenai jumlah pendapatan yang
harus dibelanjakan untuk vihara tersebut, syarat-syarat pengecualian cukai dan kawasan tanah yang
dimiliki oleh vihara. Prasasti Tanjore (Nilakantha 1949: 133) yang dikeluarkan oleh Raja Rajendra
Cola I merupakan satu bentuk peringatan mengenai ekspedisi kententeraan baginda menyerang
kepulauan Melayu. Raja Rajendra Chola I memegang tampuk pemerintahan kerajaan Chola dari
1014 hingga ke 1044 Masihi, menggantikan Raja Rajaraja I. Rajendra Chola I telah mewarisi sebuah
empayar yang amat luas dari Rajaraja I dan telah meneruskan dasar ekspansi yang lebih agresif.
Baginda telah memperluaskan lagi Empayar Chola sehingga menjadikan empayar tersebut sebagai
sebuah kuasa maritim yang amat kuat. Ekspedisi baginda yang paling terkenal merupakan ekspedisi
terhadap kerajaan Suvarnabhumi. Walaupun pada zaman pemerintahan ayahanda baginda, iaitu
Rajaraja, Chola masih mempunyai hubungan yang akrab dengan Suvarnabhumi, keadaaan berubah
ketika pemerintahan beliau. Berdasarkan kepada prasasti Tanjore, dinyatakan bahawa baginda telah
menyerang dan menangkap “Raja Kadaram”. Raja Kadaram di sini sebenarnya merujuk kepada Raja
Suvarnabhumi. Selepas menangkap Raja Suvarnabhumi sebagai tawanan perang, baginda telah
Nasha Rodziadi Khaw et. al. 17

menyerang sebanyak sepuluh kota-kota kerajaan Suvarnabhumi. Serangan tersebut yang berlaku
pada tahun 1025 Masihi tidak bertujuan untuk menakluk kerajaan Suvarnabhumi kerana selepas
serangan tersebut Suvarnabhumi masih menghantar ufti ke China.

Raja Rajendra Chola I telah digantikan oleh tiga putera baginda iaitu Rajadhiraja I Rajakesari,
Rajendra II Parakesari dan Virarajendra Rajakesari. Dalam kalangan ketiga-tiga putera tersebut,
prasasti yang menyebut tentang Kedah Tua dikeluarkan oleh Virarajendra Rajakesari yang
memerintah dari 1063 hingga ke 1069 Masihi. Baginda telah mengeluarkan sebuah prasasti ringkas
(Nilakantha 1975: 271-272) yang menyebut mengenai Kedah Tua. Dalam prasasti tersebut,
dinyatakan bahawa Virarajendra telah menakluk Kadaram bagi pihak Raja Kadaram yang meminta
bantuan baginda. Kemungkinan besar hal tersebut melibatkan perang saudara, perebutan takhta
ataupun pemberontakan yang berlaku di Suvarnabhumi, hinggakan pemerintahnya terpaksa
meminta bantuan dari luar. Perkara tersebut yang kemungkinan besarnya berlaku pada sekitar 1068
Masihi. Walaupun Raja Rajendra Chola telah menyerang Suvarnabhumi pada tahun 1025 Masihi,
diperhatikan bahawa hubungan baik antara Chola dan Suvarnabhumi telahpun pulih. Prasasti
terakhir yang dikeluarkan oleh pemerintah Chola merupakan Prasasti Kepingan Leiden Kecil
(Nilakantha 1949: 132) yang bertarikh 1090 Masihi. Prasasti tersebut telah dikeluarkan oleh Raja
Kulotungga I yang menggantikan Virarajendra dan memerintah dari 1070 hingga 1120 Masihi.
Ketika pemerintahan baginda, dasar luar yang diamalkan oleh kerajaan Chola tidak lagi bersifat
terlalu agresif. Pada ketika itu, kekuasaan kerajaan Chola agak merosot dan kerajaan Chola mula
menghadap masalah pemberontakan di wilayah-wilayah kekuasaannya. Salah satu wilayah kerajaan
Chola yang telah bebas ketika pemerintahan Kulotungga I adalah kerajaan Anuradhapura di Ceylon.
Prasasti Kepingan Kecil Leiden telah menunjukkan bahawa pada ketika itu wujud hubungan yang
rapat antara kerajaan Chola dan Suvarnabhumi. Prasasti tersebut menceritakan tentang permintaan
Raja Kadaram untuk memperbaharui geran tanah bagi kuil Culamanivarmavihara yang telah
dinamakan semula sebagai Rājarājapperuṃballi. Di samping itu, Raja Kadaram turut meminta agar
sebuah lagi kampung diberikan untuk membiayai pembinaan dan penyelenggaraan sebuah lagi kuil
yang baru dibina yang dinamakan Rājendraśolapperumballi. Dalam prasasti tersebut telah turut
dinyatakan mengenai jumlah tanah yang diukur syarat cukai yang dikenakan.

Kesemua prasasti Chola telah beberapa kali menyebut pemerintah Suvarnabhumi sebagai
pemerintah Kedah Tua. Pada Prasasti Kepingan Leiden Besar, pada kedua-dua bahagian Sanskrit
dan Tamil prasasti tersebut. Pada bahagian bahasa sanskrit, pemerintah Suvarnabhumi pada
mulanya disebut sebagai “Śriviṣayādhipatinā Kaṭah-ādhipatyam ātavantā” yang bermaksud
“Pemerintah Srivijaya dan yang menjalankan pemerintahan di Kedah”. Walau bagaimanapun, pada
bahagian seterusnya Raja Suvarnabhumi tersebut digelar “Kaṭah-ādhipates” yang bermaksud
“Pemerintah Kedah”. Pada bahagian bahasa Tamil pula, Raja Suvarnabhumi disebut sebagai
“Kiḍāratta-araiyan” ataupun “Kaḍāratta-araiyan”, masing-masing bermaksud Raja Kidara dan Raja
Kadara, kedua-duanya membawa makna Raja Kedah. Pada bahagian pertama prasasti yang
berbahasa Sanskrit, Raja Suvarnabhumi digelar sebagai Raja Srivijaya yang “menjalankan
pemerintahan atau pentadbiran di Kedah”. Seterusnya, baginda cuma digelar sebagai Raja Kedah
dalam prasasti yang sama. Perkara yang sama telah diulangi dalam Prasasti Tanjore apabila Raja
Suvarnabhumi telah digelar sebagai “Kaḍārattaśanai” yang bermaksud “Raja Kadaram” manakala
dalam Prasasti Kepingan Leiden Kecil, Raja Suvarnabhumi sekali lagi disebut sebagai “Kaḍāratta-
araiyan” yang turut bermaksud Raja Kadara.

KESIMPULAN

Kewujudan sumber bertulis India yang lebih banyak berbanding dengan sumber bertulis lain berkait
rapat dengan kepentingan Kedah Tua kepada para pedagang dan pengembara India. Kedatangan
pengembara India ke Nusantara telah bermula sejak zaman Sebelum Masihi lagi. Pada ketika itu,
masyarakat di Kepulauan Melayu masih berada pada zaman Neolitik akhir atau zaman awal
perkembangan maritim. Perkembangan tamadun di benua kecil India yang berlaku jauh lebih awal
dari perkembangan tamadun-tamadun lain di Asia Timur menyebabkan perkembangan teknologi
pelayaran mereka berkembang lebih awal. Sehingga kini, sumber penulisan India yang memberikan
catatan dan rekod yang jelas menunjukkan bahawa wujud ekspedisi-ekspedisi pelayaran dari India ke
18 Jurnal Arkeologi Malaysia 30(2): 11-20

Kepulauan Melayu adalah amat kurang. Walau bagaimanapun, penemuan arkeologi serta karya-
karya sastera awal yang wujud sedikit sebanyak mampu memberikan gambaran mengenai persepsi
pengembara dan pedagang India mengenai Kepulauan Melayu. Kedatangan pengembara dan
pedagang India sejak zaman prasejarah tentunya membawa kepada wujudnya catatan mengenai
gambaran tempat-tempat yang dikunjungi oleh mereka. Kawasan perairan Asia Tenggara semestinya
merupakan satu tempat yang amat asing bagi pengembara India dan mereka membuat rekod
mengikut kaca mata keadaan sosiobudaya mereka. Seterusnya, kebanyakan gambaran mengenai
kawasan perairan Asia Tenggara dimanifestasikan ke dalam hasil-hasil kerja kesusasteraan mereka.
Walau bagaimanapun, adalah disedari bahawa pengetahuan yang mereka miliki tentang kepulauan
Melayu tidak pernah direkod dengan sempurna. Kesemua maklumat yang wujud tersebut dicatat di
dalam kesusasteraan keagamaan (Hindu-Buddha) dan syair-syair Tamil. Jika dikaji sumber-sumber
penulisan awal India yang menceritakan tentang pengembaraan ke Nusantara, ada yang
menceritakan tentang kecantikan alam sekitar serta kekayaan tempat yang dilawati.

Kekayaan yang dimaksudkan ialah dari segi material dan bukannya kebudayaan. Hampir
kesemua sumber penulisan India menceritakan tentang kota-kota pelabuhan serta bentuk komoditi
yang wujud. Amat jarang ditemui sumber yang memberi gambaran mengenai keadaan politik atau
sosial masyarakat di kepulauan Asia Tenggara. Olahan gambaran Kepulauan Melayu dalam sumber
penulisan mereka mencerminkan bentuk kepentingan kawasan tersebut kepada mereka. Hubungan
awal antara India dan Kepulauan Melayu dibuktikan dengan sumber penulisan Vayu Purana,
Ramayana dan penemuan Arca Buddha Sulawesi. Penulisan India yang terawal menyebut mengenai
Kepulauan Melayu merupakan penulisan Vayu-Purana pula yang boleh ditarikhkan pada kurun ke-5
Sebelum Masihi. Penulisan tersebut telah menyebut mengenai Yavadvipa, Yamadvipa, Jambudvipa
dan Malayadvipa (Wheatley 1961: 178, 204) Gambaran yang diberikan mengenai tempat-tempat
tersebut termasuklah dari segi bentuk muka bumi, flora, fauna dan juga komoditi yang dihasilkan.
Penulisan Ramayana yang boleh ditarikhkan dari kurun ke-3 hingga ke-4 Sebelum Masihi.
Ramayana telah merekodkan nama Yavadvipa yang boleh dikaitkan dengan Iabadiou dalam
penulisan Ptolemy dan Yeh-P‟o-Ti dalam penulisan Fa-Hsien. Kemungkinan Yavadvipa merujuk
kepada Pulau Sumatera, Jawa atau kedua-duanya. Di samping itu sumber bertulis, bukti arkeologi
yang paling jelas ialah penemuan sebuah arca Buddha di Sempaga, Sulawesi yang berasosiasi dengan
artifak-artifak prasejarah dari zaman Neolitik (Coedes 1968: 7) Arca tersebut dari jenis Amaravati
boleh dipertarikhkan dari kurun ke-5 Sebelum Masihi.

Berbanding dengan sumber-sumber penulisan lain, sumber India lebih banyak memberi
keutamaan kepada pelabuhan Kedah Tua. Hal ini berkaitrapat dengan lokasi pelabuhan Kedah Tua
yang terletak di pintu Selat Melaka serta Teluk Bengal dan Pantai Timur India. Oleh yang demikian,
lokasi yang strategik menyebabkan para pedagang dan pengembara dari pantai Timur India hingga
ke delta Ganges lebih tertumpu pada pelabuhan Kedah Tua tersebut. Berdasarkan kepada
keberadaannya, pelabuhan Kedah Tua yang memiliki lebih banyak kepentingan perdagangan kepada
pedagang-pedagang India berbanding dengan pelabuhan di Kepulauan Melayu. Oleh yang
demikian, perhatian yang diberikan oleh para pedagang dan pengembara India tersebut kepada
Kedah Tua kemungkinan membawa kepada wujudnya sumber-sumber India yang relatif lebih
banyak mengenai Kedah Tua. Sumber India yang memberi gambaran mengenai Kedah Tua terdiri
daripada tiga bentuk utama yang boleh ditarikhkan dari kurun ke-2 hingga ke-11 Masihi. Sumber-
sumber India tersebut terdiri dari sumber syair Tamil, sastera Sanskrit dan Prasasti Chola. Dari segi
pentarikhan, sumber penulisan India yang paling awal merupakan sastera-sastera Tamil diikuti
dengan sastera Sanskrit yang boleh ditarikhkan sehingga kurun ke-2 hingga ke-10 Masihi. Sumber-
sumber prasasti pula cuma boleh ditarikhkan pada selepas kurun ke-11 Masihi. Pentarikhan sumber-
sumber India tersebut menunjukkan bahawa selama sekurang-kurangnya satu milenium wujud
perhubungan berterusan antara India dan Kedah Tua. Dari segi isi kandungan sumber pula, sumber
syair Tamil cuma memberikan tumpuan kepada aspek komoditi yang dihasilkan. Hal ini dapat
dilihat apabila Sillappadikaram, Pattinappalai dan Paruŋkathai kesemunya cuma menyentuh
mengenai bentuk komoditi yang dihasilkan dan dieksport dari Kedah Tua. Sastera Sanskrit pula
cuma menggunakan Kedah Tua sebagai latar belakang dalam kisah-kisah epiknya yang tidak
semestinya mencerminkan perkara yang sebenar berlaku. Prasasti yang menyebut mengenai Kedah
Nasha Rodziadi Khaw et. al. 19

Tua diperhatikan memberi gambaran mengenai aspek politik Kedah Tua dan persekitaran politik
luar pada ketika itu.

Berdasarkan kepada pemerhatian terhadap isi-isi kandung prasasti tersebut, diperhatikan


bahawa wujud satu bentuk persepsi orang-orang India Selatan mengenai kerajaan-kerajaan di
Kepulauan Melayu. Mereka seolah-olah mempunyai anggapan bahawa pemerintah Suvarnabhumi
merupakan pemerintah Kedah Tua. Kedah Tua cuma merupakan salah satu taklukan empayar
Suvarnabhumi yang lebih luas yang merangkumi puluhan lagi negara-negara kota yang lain. Walau
bagaimanapun Kedah Tua tetap menjadi pilihan terhadap aspek gelaran yang diberikan kepada
pemerintah kerajaan Suvarnabhumi yang sebenarnya berpusat di Jambi. Hal ini kemungkinan
disebabkan oleh wujudnya hubungan yang berterusan antara Kedah Tua dengan Selatan India dari
kurun ke-2 hingga ke-11 Masihi yang menyebabkan Kedah Tua menjadi pelabuhan tunggal yang
terpenting di Kepulauan Asia Tenggara kepada para pedagang India. Oleh yang demikian, tanpa
mengambilkira pusat pemerintahan kerajaan Suvarnabhumi ataupun keluasan empayarnya, kesemua
Raja-raja Suvarnabhumi yang telah menakluk Kedah Tua pada ketika itu cuma dikenali sebagai
pemerintah Kedah Tua kepada raja-raja Chola. Hal ini memperlihatkan kepentingan Kedah Tua
kepada para pedagang India.

RUJUKAN

Braddell, R. The Study of Ancient Times in The Malay Peninsula and Straits of Malacca dalam
Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Jld. XXIII, 1989.
Coedes, G. (1968). The Indianized States of Southeast Asia, Kuala Lumpur: University of Malaya
Press.
Nilakantha Sastri, K. A. (1975). The Colas, Madras: The University of Madras.
Nilakantha Sastri, K. A. (1949). “History of Srivijaya (Sir William Meyer Lectures, 1946-7), Tesis
Sarjana, University of Madras.
Singaravelu Sachithanantham. (2010). “The importance of the recent archaeological evidence
discovered in the site of Sungai Batu for the early history of Bujang Valley Civilisation”,
Laporan, Tidak Diterbitkan, hlm. 1-4, Tidak Diterbitkan.
Wheatley, P. (1961). The Golden Khersonese, Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Zvelebil, K. (1973). The Smile of Murugan on the Tamil Literature of South India, Leiden: E.J. Brill,
Zvelebil, K. (1975). Tamil Literature, E.J. Brill: Leiden.

Nasha Rodziadi Khaw (Ph.D)


Pensyarah Kanan
Pusat Penyelidikan Arkeologi Global,
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Email: rnasha@usm.my

Nazarudin Zainun (Ph.D)


Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Email: naza@usm.my

Mokhtar Saidin (Ph.D)


Pengarah/Profesor
Pusat Penyelidikan Arkeologi Global
Universiti Sains Malaysia
Email: mmokh@usm.my

Anda mungkin juga menyukai