Anda di halaman 1dari 13

Hasmittha A/P Ganasan

V5
MELODI CINTA

IRAMA gesekan biola dan petikan gitar berpadu, menghasilkan alunan harmoni dalam bilik
muzik berkeluasan sederhana itu. Masing-masing yang berada di dalam bilik tersebut ikut
sama terbuai dalam pesona indah alunan yang dimainkan oleh seorang pemuda berkemeja
kotak dan gadis yang mengenakan blaus lengan panjang rona biru itu. Usai muzik berhenti,
tepukan gemuruh mula menggamatkan bilik tersebut.

“Syabas! Saya yakin persembahan kita semasa karnival muzik minggu depan pasti dapat
sambutan hangat. Azhar, Farida, kamu berdua sememangnya pasangan yang ideal!” ujar
Puan Najihah, pensyarah muzik bagi kelas tersebut.

Kata-kata Puan Najihah mendapat tepukan daripada para pelajarnya. Ada juga yang bersiul
dan menjerit memanggil nama Azhar dan Farida, membuatkan kedua-duanya tersipu malu.

“Baiklah, semua boleh bersurai. Jangan lupa minggu depan kita akan mulakan latihan koir
pula. Jumpa lagi,” ucap Puan Najihah lalu melangkah keluar, meninggalkan bilik muzik itu.

“Isha dah agak you all berdua mesti boleh punya. Best student katakan,” ujar seorang gadis
berambut pendek separas bahu pada Farida yang sedang memasukkan biolanya ke dalam
sarung.

“Awak pun apa kurangnya Felisha... Tak ada siapa di fakulti ni yang boleh menandingi awak
bila bermain piano,” balas Farida dalam senyum kecil.

“Iyalah tu. Jom, pergi minum. Hauslah...” ajak gadis yang dipanggil Felisha itu.

“Jom, saya belanja,” celah Azhar yang sejak tadi mendiamkan diri.

“Yes!” jerit Felisha lalu mula berjalan meninggalkan kedua-dua rakannya itu.

Azhar menoleh ke arah Farida. Mata mereka bertentangan. Dikenyitkan mata kanannya.
Pantas, Farida berpaling, malu. Sarung biola di tangan digenggam erat. Mereka mula
berjalan beriringan, meninggalkan bilik muzik itu.
“Dengarnya awak tengah cipta lagu?” tanya Farida.

“Mana tahu?”

“Isha yang cakap. Dia nampak awak tulis lirik masa kat dalam kelas hari tu,” terang Farida.

Azhar mengangguk.

“Lagu apa?”

“Lagu cinta.”

“Iya? Apa tajuknya?” soal Farida lagi.

“Tajuk tak pasti lagi. Tapi kali ni lagu yang saya cipta tu special sikit,” ujar Azhar.

“Special? Kenapa? Untuk siapa?” bertalu-talu Farida bertanya.

“Adalah. Rahsia!” usik Azhar.

“Ala...” Farida sudah tarik muka, pura-pura merajuk.

“Sampai masanya, awak akan tahu juga. Awak akan jadi orang pertama yang tahu. Janji!”

“Janji?” Farida meminta kepastian.

Azhar mengangguk sambil mengangkat telapak tangan seperti sedang berikrar.

“Hei, lambatnya you all berdua ni jalan! Macam siput! Cepatlah, Isha dah haus ni!” jerit
Felisha yang sudah jauh ke hadapan.

Farida menggeleng sementara Azhar ketawa kecil. Mereka mempercepatkan langkah. Tidak
mahu Felisha yang dianggap tuan puteri dalam kelas itu merungut lagi.

FARIDA yang sedang tekun mengelap biolanya terganggu dengan bunyi keriuk pintu ditolak
dari luar. Tidak perlu dia berpaling kerana sudah tahu gerangan orangnya. Kawan sebiliknya
itu memang tidak tahu mengetuk pintu dahulu sebelum masuk. Farida tidak kisah kerana
bilik ini dikongsi bersama. Bukan hak miliknya seorang.

“Ida!” jerit Felisha lalu meluru ke arah kawan baiknya itu lantas memeluknya dari belakang.

“Eh, Isha! Kenapa ni?”

“I’m so happy! Mama Isha baru telefon. Katanya ada special dinner Ahad ni,” jelas Felisha,
masih tidak melepaskan pelukannya.

“Wah, special dinner! Untuk apa?”


“Entah, tak ada pula mama beritahu. Tapi, rasanya Isha dah boleh agak.”

“Apa dia?” tanya Farida, penuh teruja.

Felisha meleraikan pelukannya. Kerusi kosong di sebelah Farida ditarik lalu dilabuhkan
punggungnya di situ. Farida menatap wajah kawannya yang kelihatan berseri, menanti
bicara gadis tersebut.

“Seminggu lepas, mama pernah cakap nak kenalkan anak kawan baik dia pada Isha. A guy.
And guess what? Lelaki tu memang Isha suka sangat,” ujar Felisha.

“Iya? Wah, saya tumpang gembira. Jadi, dinner tu untuk kenalkan awak berdualah ya?”

“Tepat sekali! Tak sabarnya nak tunggu Ahad ni...”

Farida mengukir senyum kecil. Sungguh dia gembira kerana kawan baiknya itu akan
bertemu dengan kekasih hatinya. Pasti anak orang berada juga. Maklumlah, papa dan
mama Felisha dari golongan korporat. Pangkat Tan Sri dan Puan Sri. Sementelah Felisha
adalah anak tunggal. Dilayan bagai tuan puteri pula tu. Pasti ibu bapanya mahukan yang
terbaik buat anak mereka.

Namun Farida bersyukur kerana Felisha tidak memandang darjat dan pangkat dalam
berkawan. Buktinya, gadis itu adalah kawan baiknya. Gadis kampung sepertinya dirasakan
amat bertuah mengenali Felisha, seorang yang manja dan cantik.

“Eh, ceritalah sikit tentang lelaki tu. Mesti handsome, kan?” sambung Farida.

“Em nak kata handsome tu bolehlah. Orangnya tinggi. Kulit cerah. Mata sepet macam orang
Cina. Dah lama sebenarnya Isha minat kat dia. Mula-mula Isha tak tahu macam mana nak
dekat dengan dia sehinggalah satu hari tu mama bawa kawan dia datang makan tengah
hari. Tak sangka lelaki tu anak kawan mama. Isha apalagi, terus beritahu mama yang Isha
suka lelaki tu.”

Farida tekun mendengar. Kalau sudah namanya jodoh, pasti dipermudahkan Tuhan.
Teringat pula kisah cintanya. Pertama kali jatuh cinta, syukurlah ia juga tidak melalui jalan
berliku. Ketika dilamar Azhar tiga bulan yang lalu, dia tidak terus menerima. Sebaliknya
berfikir dan melakukan solat istikharah. Dan setelah yakin dengan kata hati, barulah huluran
kasih Azhar diterima.

Memang dia sudah lama menyimpan rasa pada lelaki itu. Kata orang, cinta pandang
pertama. Kali pertama melihat wajah itu, hatinya diterpa debar yang menggila. Jantung
berdegup tidak sekata ketika mata mereka bertemu. Apatah lagi melihat senyuman manis
yang terukir di bibir mungil Azhar, serasa mahu pengsan kala itu namun cuba dikawal diri.
Ketika Azhar melamarnya untuk menjadi kekasih, sungguh dia terkejut. Terasa
seperti berada di awang-awangan sewaktu lelaki itu melafaz kata cinta. Tidak percaya lelaki
itu turut menyimpan rasa yang sama dengannya. Dan kini, dua hari lagi, genaplah hubungan
meraka tiga bulan. Kata Azhar, selepas tamat belajar semester depan, lelaki itu akan
menghantar rombongan merisik dan seterusnya mereka akan bertunang.

“Ida! Ida! Farida!”

Panggilan Felisha menyentak lamunan Farida. Ah, bila teringatkan Azhar, bagai berada
dalam dunia sendiri. Sebuah senyum kecil menguntum di bibirnya. Tumpuan kembali ke
arah gadis berbaju T-shirt lengan panjang yang bercorak bunga kecil di depannya. Felisha
mencebikkan bibir. Senyum Farida melebar.

“Orang tengah bercakap pun sempat dia mengelamun ya,” rajuk Felisha disambut dengan
ketawa kecil Farida.

“Maaf, tak sengaja. Apa yang awak cakap tadi?”

“Tentang lelaki yang Isha suka tu. Farida kenal tau!”

Serentak, degupan jantung Farida terasa berhenti seketika. Kata-kata Felisha menerbitkan
gusar. Dia kenal lelaki itu? Siapakah?

“Sa... Saya kenal?” soal Farida, gugup.

Anggukan Felisha semakin mendebarkan hati. Ligat fikirannya berputar. Mencari wajah-
wajah kawan lelaki yang dia kenali. Tetapi hanya satu wajah sahaja yang muncul. Tuhan,
janganlah lelaki itu...

“Si... siapa?”

“Adalah. Nanti kalau dah confirm, Isha beritahu ya. Okeylah, nak pergi washroom kejap,”
ujar Felisha lalu bingkas bangun, meninggalkan Farida dengan rawan di hati.

Farida segera mencampakkan kain pengelap yang sejak tadi dipegang. Dia segera meluru
ke arah katil, mencapai telefon bimbitnya. Keraguan yang bermaharajalela dalam jiwa perlu
segera diusir pergi. Jika tidak, hatinya tidak akan tenang.

Pantas jari-jemarinya mendail lalu menanti penuh debar. Beberapa saat kemudian,
panggilannya dijawab.

“Assalammualaikum,” ucap pemanggil di talian sebelah sana.

“Waalaikummussalam,” mendengar suara itu, ada ketenangan yang menjalar ke kalbu.


“Ada apa Ida?”

“Em... Err... Em...” lidahnya kehilangan kata.

“Kenapa ni?” tanya pemanggil itu lagi.

“Azhar...”

“Ya?” sahut Azhar.

“Azhar ada pergi mana-mana tak Ahad ni?”

“Hmm... Rasanya tak ada. Kenapa? Hah, nak sambut anniversary tiga bulan ke?” tanya
Azhar dalam gelak.

Farida meletakkan tangan kiri ke dada. Seperti batu berat yang menghempap dadanya
diangkat pergi. Lega. Dalam masa yang sama, jiwanya dibuai indah. Lelaki itu mengingati
tarikh hubungan istimewa mereka terjalin.

“Awak ni... Baru tiga bulan nak anniversary apanya? Tak adalah, ingat nak ajak keluar
makan,” dalih Farida.

“Boleh aje. Nanti Ida confirm nak makan kat mana ya. Okeylah, saya ada group discussion
ni. Sleep tight. Good night!” ucap Azhar lalu mematikan panggilan.

Farida menghamburkan keluhan. Rawan yang menyelubungi kalbu sirna. Fikirannya mula
diterpa sesuatu. Siapa agaknya lelaki yang disebutkan Felisha tadi?

Jam berbentuk segi empat yang dipaku pada dinding dikerling. Sudah menjangkau pukul
9.30 malam. Biola yang dipinjam dari fakulti untuk latihan sempena karnival muzik nanti
dimasukkan semula ke dalam sarung. Entah bila dia dapat memiliki biola seperti ini.
Keluarganya bukan orang senang. Dapat melanjutkan pengajian ke menara gading ini pun
sudah cukup bermakna padanya.

Lebih-lebih lagi sebagai anak sulung, tanggungjawabnya besar dalam membantu


meringankan beban keluarga. Adik-adiknya seramai dua orang itu masih perlu meneruskan
pelajaran. Ayahnya sudah semakin lanjut usia. Setahun lagi akan bersara. Emak pula sudah
tiga tahun menemui Ilahi kerana kanser rahim.

Farida membuang pandang ke luar. Langit malam hitam pekat. Tiada kerdipan bintang
mahupun sinaran rembulan. Baru sahaja dia hendak bangkit, telefon bimbitnya berbunyi
menandakan ada panggilan masuk. Melihat nama yang tertera di skrin, Farida tersenyum.
Namun senyumannya mati tiba-tiba apabila mendengar bait-bait kata si pemanggil. Tanpa
sedar, telefon bimbit terlepas dari pegangan.
“Maaf, mama saya baru call. Ahad ni saya kena balik rumah. Ada hal penting kata mama.”

Itulah kata-kata akhir yang sempat ditangkap telinganya. Serta-merta tubuh Farida
menggigil. Tuhan...

DEBARAN dalam hati usah diteka. Setiap saat matanya tidak lepas dari melihat jam di
dinding. Menanti dengan penuh gementar. Beberapa minit menunggu, pintu bilik akhirnya
ditolak. Pantas Farida bangun. Wajah ceria Felisha menyapa pandangan, membuatkan hati
tambah berdebar.

“Hello!” sapa Felisha lalu duduk di atas katilnya sambil membuka kasut tumit tinggi yang
dipakai.

“Macam mana dengan makan malam tadi?” Farida terus ke persoalan utama, tidak ada
masa mahu berbasa-basi.

“Not bad.”

“Ceritalah, siapa lelaki tu?” tanya Farida lagi.

“Kalau Isha beritahu jangan terkejut ya,” ujar Felisha dalam senyuman.

“Siapa?” Farida menggesa walaupun dia seakan tahu nama yang bakal meniti keluar dari
mulut gadis yang berblaus hijau ditaburi bunga putih itu.

“Azhar.”

Dup! Farida cuba mengawal tubuhnya dari terjelepok. Benarlah. Benarlah apa yang berlegar
dalam fikirannya sejak Jumaat lepas. Tuhan, mengapa begini hebat dugaan yang diberikan
padanya?

“Ida! Hello! Are you okay?”

“Ah, maaf. Awak serius Isha?” soal Farida, cuba mencari ketenangan.

“Hah, terkejut, kan? Isha pun tak sangka mulanya Azhar tu anak kawan mama Isha. Tadi
masa makan malam, mama Azhar ada usik Isha. Katanya, bertuah dapat bakal menantu
macam Isha,” terang Felisha.

Bakal menantu? Oh, kali ini Farida rasakan dia benar-benar mahu rebah namun segera dia
duduk di kerusi belajar. Tidak, hal ini tak boleh dibiarkan. Azhar miliknya! Tapi... Bukankah
Felisha adalah teman baiknya? Argh! Kusut!
Bunyi deringan telefon bimbit menarik perhatian kedua-dua gadis itu. Farida hanya
membiarkan telefon bimbitnya menjerit nyaring dan akhirnya berhenti sendiri. Dia tahu benar
siapa yang menelefon. Lagu “No Air” dari drama Inggeris ‘Glee’ itu merupakan kesukaan
Azhar. Dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan lelaki itu. Telefon bimbitnya
sekali lagi berbunyi.

“Kenapa tak angkat?” tegur Felisha.

“Orang tak kenal. Dari tadi asyik kacau. Malas nak layan,” bohong Farida.

“Hmm... Isha nak salin baju dululah. Lepas tu nak tidur terus. Penat drive,” ujar Felisha lalu
melangkah ke almari pakaiannya.

Farida merenung telefon bimbit di atas meja. Fikirannya celaru. Antara kekasih hati dan
sahabat baik, yang mana satu perlu menjadi korban?

“IDA, kenapa ni? Saya ada buat salah ke?”

Farida tidak hiraukan pertanyaan lelaki berkemeja kotak rona coklat itu. Dia melangkah laju,
bimbang terserempak dengan Felisha yang masih berada di dalam bilik kuliah.

“Farida!” nada suara Azhar sudah naik satu oktaf.

Langkah Farida terhenti. Tanpa berpaling, dia bersuara, “Jumpa saya petang ni dekat taman
mini pukul enam.”

Usai menyatakan ayat tersebut, Farida kembali menyambung langkah. Panggilan dari
Felisha juga tidak dihiraukan. Setelah berfikir semasaknya, dia sudah membuat keputusan.
Dia yakin, keputusannya ini akan memberi kebahagiaan pada Felisha, Azhar dan juga
dirinya sendiri.

Farida terus melangkah tanpa hala tuju. Akhirnya, dia berhenti melepas lelah di bawah
gazebo kecil berhampiran bilik muzik. Lantas, dihalakan kaki ke bilik tersebut. Pintu ditolak
perlahan. Seorang petugas wanita yang duduk di kaunter dihampirinya. Selesai
mendaftarkan nama dan meninggalkan kad pelajar, dia ke bilik yang menempatkan alat-alat
muzik. Matanya terus tertancap pada piano yang tersergam megah di sudut kiri bilik
tersebut.

Perlahan-lahan Farida menghala ke arah piano itu. Penutup papan kekunci dibuka.
Lalu, jemarinya mula menari di atas papan kekunci. Matanya dipejamkan. Lagu bertajuk
“Saat Terakhir” dendangan kumpulan dari seberang, ST12 dimainkan.
Tak pernah terfikir olehku
Tak pernah sedikit pun ku menyangka
Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri

Begitu sulit ku menyangkal


Begitu sakit ku rasakan
Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri

Inilah saat terakhirku melihat kamu


Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ucapkan selamat jalan kasih
Satu jam saja ku telah bisa
Cintai kamu kamu kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu
Butuh waktuku seumur hidup

Satu jam saja ku telah bias


Sayangi kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu
Butuh waktuku seumur hidup
Di nantiku

Belum habis lagu itu dimainkan, tiba-tiba Farida menekan kuat papan kekunci. Bergema bilik
tersebut dengan bunyi piano yang kuat. Sekali lagi Farida membuat perilaku yang sama.
Tanpa sedar, ada manik-manik jernih yang berjuraian di pipi. Sakit. Perit. Itulah yang
dirasakan saat ini.

BANGKU kayu yang dicat kuning itu menjadi tempat pertemuan Farida dan Azhar petang
itu. Tidak ramai pelajar yang berada di taman mini tersebut. Rata-rata lebih gemar ke pusat
sukan untuk beriadah.

Semasa Farida sampai, Azhar sudah duduk menanti di bangku kayu tersebut. Pohon
semarak api yang tumbuh berjajar di taman itu sudah mula rekah berbunga. Jingga dan
merah warna bunganya. Semilir yang berpuput sedikit pun tidak menghantar tenang dalam
hati Farida. Sebentar lagi dia akan mencampakkan diri ke lembah derita. Biarlah, dia rela.
Asalkan mereka yang dia sayangi bahagia.

“Assalammualaikum, maaf saya lewat,” sapa Farida lalu duduk di bangku tersebut,
sedikit jarak dari Azhar.

“Waalaikummussalam. Tak apa, saya pun baru sampai,” balas Azhar.


Sepi mula mengambil tempat. Masing-masing melayan perasan. Empat hari berlalu sejak
Ahad lepas dan sepanjang empat hari itu Farida menjauhkan diri dari Azhar. Walaupun
belajar di dalam kelas yang sama, Farida menganggap Azhar bagai orang asing. Ketika sesi
latihan pula Farida buat tidak endah sahaja akan kewujudan Azhar. Apatah lagi melihat
Felisha yang semakin mesra dengan kekasih hatinya itu.

“Kenapa jauhkan diri?” akhirnya Azhar memecah sunyi.

“Awak ke mana Ahad lepas?” soalan Azhar dijawab dengan soalan oleh Farida.

“Kan saya dah beritahu, saya balik rumah.”

“Buat apa di rumah?”

“Ada hal sikit,” jawab Azhar acuh tak acuh.

“Hal apa?”

“Ida nak tahu ke?”

“Kalau awak tak keberatan nak cerita,” jawab Farida, masih memandang ke
hadapan.

Azhar menarik nafas lalu menghembuskannya perlahan-lahan.

“Saya ke rumah Felisha.”

Farida memejamkan mata. Dia perlu kuatkan semangat. Segala-galanya perlu ditamatkan.

“Kenapa tak cakap yang sebelum ni awak pernah ke rumah Felisha?” tanya Farida.

“Jadi, Felisha dah ceritakan semuanya?”

“Felisha bakal menantu yang baik. Mama awak sukakan dia,” ujar Farida.

“Tapi saya cintakan Ida.”

“Belum tentu keluarga awak terima saya. Keluarga awak dan Felisha dah kenal antara satu
sama lain. Tentu mereka mahu hubungan persahabatan itu jadi lebih erat. Lagipun, awak
berdua memang sepadan. Masing-masing dari golongan korporat. Saya ni hanya pipit
sahaja. Yang menumpang kasih dengan enggang,” jelas Farida.

“Ida, kenapa cakap macam tu? Saya yakin keluarga saya tak anggap macam tu. Mereka
beri kebebasan pada saya untuk pilih suri hidup saya sendiri. Saya dah pilih Ida. Hanya Ida,”
tegas Azhar.
“Cukuplah Azhar. Anggaplah kita tiada jodoh. Felisha adalah pilihan yang baik. Saya tahu
dia sayangkan awak. Dia mampu bahagiakan awak.”

“Jangan merepek Ida. Saya sayangkan Felisha sebagai seorang kawan. Tak lebih dari tu.
Kenapa Ida nak undur diri pula?”

“Saya tak nak kehilangan Felisha. Dia kawan baik saya. Kawan yang sentiasa berada di sisi
saya semasa susah mahupun senang,” terang Farida.

“Jadi awak sanggup kehilangan saya? Rupanya saya tak penting pada awak...” lemah suara
Azhar.

Farida bungkam. Azhar silap. Lelaki itu sangat penting padanya. Lebih penting dari
nyawanya sendiri. Apakah Azhar tidak tahu menilai kasih sayangnya pada lelaki itu selama
ini?

“Maafkan saya. Walau apapun, kita tetap kawan, kan?” pinta Farida.

Azhar diam. Tidak sedikit pun memandang ke wajah gadis yang selalu menemani lenanya
itu. Hatinya tercalar. Farida begitu mudah mengalah sebelum berlawan.

“Saya tahu saya dah lukakan hati awak. Saya juga terluka. Tapi percayalah, ini yang terbaik
untuk kita. Saya sayangkan Felisha. Saya juga sayangkan awak. Namun untuk menyintai
awak, saya rasa Felisha lebih layak. Maafkan saya...” ujar Farida, sayu.

Bunyi ranting kayu yang dipijak menarik perhatian Azhar dan Farida. Kedua-duanya lantas
berpaling ke arah batang pokok semarak api itu. Azhar bangun begitu juga dengan Farida.
Dapat dilihat seorang gadis sedang berlari meninggalkan kawasan taman mini itu. Mata
mereka bertentangan. Azhar mengangguk. Farida terjelepok ke atas rumput yang
menghijau. Mereka kenal benar gadis itu walau dipandang dari belakang. Habislah, Felisha
sudah dengar semuanya...

SABTU tiba jua. Hari ini bermulanya karnival muzik yang setiap tahun diadakan. Karnival
selama dua hari ini dianjurkan oleh Fakulti Muzik. Pelbagai aktiviti diadakan seperti
pameran, pertandingan nyanyian, garage sale dan sebagainya. Sebentar lagi majlis
perasmian akan disempurnakan oleh pengarah kampus bersama-sama dekan fakulti. Usai
majlis perasmian, persembahan dari pelajar-pelajar muzik tahun akhir akan diadakan.

Farida tidak punya semangat untuk meneruskan persembahan. Dua hari rakan sebiliknya
tidak kelihatan. Felisha tidak pulang ke bilik mahupun menghadiri kuliah. Sesi latihan koir
apatah lagi. Tiba-tiba sahaja Puan Najihah mengatakan yang Felisha menarik diri kerana
faktor kesihatan.

Dia tahu itu hanya alasan yang direka oleh Felisha. Telefon tidak berangkat, mesej tidak
berbalas. Mungkin terlalu dalam luka di hati Felisha sehingga mengambil masa sebegini
lama untuk merawatnya. Sungguh Farida risau akan keadaan kawan baiknya itu. Pasti
Felisha kecewa. Gadis itu akan menganggap dia sebagai pengkhianat. Dia yakin,
persahabatan yang terjalin hampir tiga tahun itu sudah berkubur. Felisha tidak akan
mempercayai dirinya lagi.

Farida yang menunduk mengangkat wajah apabila dirasakan ada seseorang berada di
hadapannya. Azhar menguntum senyum tawar. Ah, lelaki di hadapannya ini juga tidak dapat
diteka perasaannya. Ternyata dia tidak mampu menahan gelora rindu yang bermukim di
pantai hati. Dia tidak dapat menipu dirinya, perasaannya, jiwanya bahawa dia sangat
merindui Azhar. Lelaki ini terlalu dekat namun sukar untuk digapai.

Tidak, dia tidak boleh lemah. Bukankah dia sudah nekad untuk melepaskan lelaki ini pergi?
Tetapi, mengapa semakin jauh dia berlari, bayang-bayang Azhar semakin menghampiri?
Ingatan dan kenangan indah bersama-sama lelaki ini kerap kali bertali-arus terlayar di ruang
minda. Sekaligus mencarik rakus luka di hati.

“Bersedialah, sebentar lagi giliran kita,” ujar Azhar, mengembalikan Farida ke alam realiti.

“Felisha ada hubungi awak?”

Azhar hanya diam lalu berpaling pergi. Farida dicengkam rasa bersalah yang teramat. Kini
dia bukan sahaja kehilangan kekasih hati, malah sahabat baik juga sudah menjauh pergi.
Salah diakah kerana tidak pernah memberitahu Felisha akan hakikat hatinya telah dimiliki?
Bukan dia tidak mahu menyampaikannya tetapi hubungan cintanya dengan Azhar masih
hijau. Cadangnya, sebelum tamat semester, baru dia akan memberitahu Felisha. Tapi, nasi
sudah menjadi bubur.

Suara pengerusi majlis kedengaran menjemput tetamu kehormat untuk memulakan majlis
perasmian. Farida bangun dengan lemah. Dia menarik nafas panjang. Selepas tamat
persembahan, dia nekad untuk mencari Felisha. Pasti gadis itu berada di rumahnya.

“Baiklah, sekarang kita akan disajikan dengan persembahan dari para pelajar tahun akhir
yang akan mendendangkan beberapa buah lagu secara medley. Dengan segala hormatnya,
dipersembahkan!” ujar pengacara majlis yang segak memakai kot hitam itu.

Semua peserta yang membuat persembahan bersiap-sedia. Farida mengikuti langkah Azhar
ke atas pentas. Dewan besar itu kelihatan padat dengan orang ramai. Ada gemuruh yang
menjalar dalam hati Farida. Pertama kali dia membuat persembahan di hadapan orang
ramai sebegini.

Bagai menyedari gelisah yang melanda Farida, Azhar memetik gitarnya perlahan,
membuatkan Farida menoleh ke arahnya. Dikenyitkan sebelah mata pada gadis itu lantas
mengangguk. Farida mengukir senyum kecil. Matanya dipejamkan.Dia mula memegang
biola di tangan kiri dan memulakan gesekan. Bergema dewan tersebut dengan irama merdu
dari gesekan biolanya. Tenang dan mendayu.

Kemudian, diikuti dengan petikan gitar dari Azhar, menghasilkan kombinasi alunan gemersik
yang membuai rasa. Perlahan-lahan tirai di belakang diangkat dan para peserta koir mula
menyanyi.

Selesai membuat persembahan, Farida segera turun dari pentas. Dia mahu mencari
sahabat baiknya. Biola dimasukkan ke dalam sarung lalu dia pantas belari namun terhenti
apabila lengannya ditarik. Farida berpaling dan matanya membulat.

“Tunggulah, persembahan masih belum tamat.”

“Sekarang, persembahan istimewa dari Azhar dengan lagunya ‘Melodi Cinta’.


Saksikanlah!” suara pengacara majlis menyapa telinga Farida.

“Lagu ini saya tujukan buat satu-satunya gadis yang saya cintai. Sebuah lagu yang
dicipta istimewa untuknya. Kepada Farida, jangan pernah berhenti menyanyi lagu cinta kita,”
ujar Azhar membuatkan seisi dewan kecoh.

Petikan gitar mula kedengaran. Farida rasakan jiwanya bergetar hebat. Suara Azhar
terasa menusuk kalbu.

Kau bidadari terindah


Yang ku temu dalam lewat hariku
Kau yang satu antara seribu
Kau menawan hatiku

Saat bertentang mata denganmu


Seluruh jiwaku berlagu
Melodi cinta kucipta buatmu
Agar jadi pengubat rindu

Tiada kata yang mampu ku ucapkan


Untuk aku miliki seluruh isi hatimu
Agar dapat aku khabar pada dunia
Betapa kucinta kamu
Kau tercantik antara yang ada
Kau terhebat di dalam jiwa
Kau sempurna di pandang mata
Aku mahu kamu

Cintaku
Dengarlah lagu kucipta buatmu
Agar kau tahu
Rahsia hati ku
Betapa benar aku cintai kamu…

Usai petikan gitar berhenti, tepukan gemuruh kedengaran menguasai dewan. Farida
memandang wajah di hadapannya penuh tanda tanya.

“Azhar hanya milik awak Ida. Melodi cintanya tidak akan merdu jika dinyayikan untuk
Isha,” ucap Felisha, lembut.

Farida merangkul Felisha ke dalam pelukan. Air matanya lebat mencurah.

“Terima kasih Isha! Terima kasih!”

“Isha yang sepatutnya berterima kasih pada Ida. Kalau Isha tak ikut Ida hari tu, entah
sampai bila Isha akan buat dua orang kawan baik Isha ni terseksa.”

“Ta... Tapi awak sukakan Azh...”

“Suka tak bermakna cinta. Mulanya Isha sakit hati, marah bila tahu kawan baik Isha
turut menyayangi lelaki yang Isha suka. Tak dinafikan, Isha kecewa sebab terlewat. Cinta
Azhar sudah dimiliki oleh gadis lain. Tapi, Isha bersyukur kerana gadis itu adalah kawan
baik Isha sendiri. Isha yakin, hanya Ida yang dapat bahagiakan Azhar,” ujar Felisha lalu
meleraikan dakapan Farida.

Farida menyeka air mata yang mengalir dengan jemarinya. Wajah Azhar menyapa
ruang mata. Lelaki itu tersenyum lebar. Perlahan-lahan bibir Farida turut mengukir senyum.
Manis. Ya, seperti kata Azhar, dia tidak akan sesekali berhenti menyanyi melodi cinta yang
ditujukan istimewa untuknya!

Anda mungkin juga menyukai