Anda di halaman 1dari 2

ISU DAN CABARAN SEMASA UMAT ISLAM

Tamadun Islam merupakan sebuah tamadun yang terbina atas dasar akidah, syariah, akhlak dan ilmu
pengetahuan. Nabi Muhammad SAW yang merupakan pengasas tamadun Islam telah berjaya
menjadikan tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang cemerlang. Namun demikian, seiring
dengan peredaran zaman, umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran atas beberapa
faktor dalaman dan luaran. Isu dan cabaran ini adalah dari segi sosial, ekonomi, politik dan
Islamofobia. Ramai umat Islam yang hidup di bawah pentadbiran rejim bukan Islam yang anti Islam.
Selain itu, meskipun jumlah umat Islam agak ramai, namun majoritinya adalah miskin. Terdapat
beberapa buah negara yang mempunyai majoriti umat Islam tetapi tidak ditadbir dengan teratur dan
baik. Begitu juga pertubuhan dan kesatuan di kalangan negara-negara Islam tidak mampu memainkan
peranan yang baik.

Penulis dan pemikir Islam sudah banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi
umat Islam. Abdul Kadir Awdah, seorang pakar undang-undang Mesir, pernah
mengungkapkan antara cabaran ummah ialah kejahilan ummah itu sendiri dan
kelesuan ulama.
 
Dr Muhammad Sayyid al-Wakil, profesor sejarah Islam di Universiti Islam Madinah al-
Munawwarah pula menyentuh perancangan jahat musuh dan kejahilan umat Islam
sendiri mengenai Islam.
 
Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup dan latar
belakang mereka. Secara umumnya terbahagi kepada dua. Pertama, golongan kurang
terpelajar atau tidak terpelajar. Golongan ini kadang-kadang tidak memahami
langsung akan Islam kecuali maklumat asas mengenai aspek ibadat dalam agama.
Keislaman mereka sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili bahagian
terbesar daripada keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh dengan
golongan yang pada pandangan mereka adalah terpelajar.
 
Kedua, golongan yang mendapat pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya.
Rata-rata golongan ini dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat
pendidikan daripada sistem pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka
mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat.
 
Kelemahan golongan ini berpunca daripada kejahilan mereka mengenai Islam sebagai
ad-Din. Berpunca daripada golongan inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam
tiada hubungan dengan hukum-hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan
kehidupan zaman moden, sesetengah ajaran Islam payah dan sukar hendak
dilaksanakan dan sebagainya.
 
Bagi golongan yang faham Islam pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem
hidup yang sempurna dan menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang
berusaha melaksanakannya dalam kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada
setiap zaman dan tempat kerana ia milik Allah Yang Maha Mengetahui.
 
Umat Islam juga sentiasa menghadapi cabaran daripada musuh. Musuh umat Islam
adalah daripada kalangan yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga
daripada kalangan manusia.
 
Daripada kalangan manusia, Allah menegaskan dalam firman-Nya: Orang-orang
Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu sehingga kamu mengikuti millah
mereka. (Surah al-Baqarah: 126).
 
Bertitik tolak daripada sikap tidak senang dengan umat Islam inilah, mereka
melakukan pelbagai usaha untuk merosak dan menghancurkan umat Islam. Sejarah
menyaksikan pertentangan kedua-dua pihak ini mencetuskan peristiwa, tragedi dan
kejadian pahit manis di kalangan umat Islam.
 
Sasaran utama mereka adalah akidah umat Islam, al-Quran, hadis, Rasulullah dan
hukum Islam. Oleh itu pelbagai pendekatan digunakan, bermula daripada
pertentangan bersenjata yang tergambar melalui beberapa siri Perang Salib yang silih
berganti, namun mereka tidak berjaya menghapuskan umat Islam.
 
Kaedah baru dicari selepas cara pertama kurang berhasil. Bermulalah era serangan
pemikiran. Ternyata cara ini sedikit sebanyak berjaya memerangkap umat Islam.
Mereka berselindung di sebalik pelbagai wadah, institusi penyelidikan dan badan yang
mereka bentuk untuk menjadi boneka mereka.
 
Musuh Islam juga mengeksport pelbagai pemikiran dan ideologi kepada umat Islam.
Serangan ini berterusan walaupun negara umat Islam dapat membebaskan diri
daripada cengkaman penjajahan fizikal tetapi masih dijajah di segi pemikiran.
 
Yahudi dan Nasrani menggunakan pelbagai saluran bagi mencapai hasrat mereka
termasuk media, pakej bantuan dan kebajikan yang berselindung di sebalik pelbagai
tabung dan dana, misi kemanusiaan dan seumpamanya. Tujuan utama mereka untuk
menghancurkan Islam ke akar umbinya.
 
Selain itu, umat Islam turut menghadapi bebarapa cabaran dalaman. Antaranya
masalah kemiskinan, krisis nilai dan jati diri, pertentangan sesama sendiri dan
kegagalan institusi ulama memainkan peranan sebagai pewaris nabi yang menjadi
pemandu ummah.
 
Faktor ini cukup untuk menjadikan umat Islam sebagai golongan lemah dan terkial-
kial untuk meneruskan survival diri dan ummah. Kalau tidak kerana jaminan Allah
yang akan tetap membela dan melindungi mereka yang beriman, sudah tentu perkara
yang lebih teruk akan dihadapi umat Islam.
 
Setelah mengenali secara umum beberapa cabaran umat Islam, kita dapat mengenal
pasti faktor yang menghalang umat daripada bangkit semula mengambil tempatnya
sebagai guru dan pemimpin dunia. Adalah menjadi tanggungjawab kita yang prihatin
dan peka dengan masa depan umat untuk melakukan muhasabah dan belajar
daripada sejarah lampau untuk membolehkan kita menyusun langkah teratur dalam
menuju masa depan yang gemilang.
 
Kita perlu menoleh ke belakang untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada
generasi lalu dan melihat ke hadapan dengan perancangan teratur bagi membolehkan
umat Islam terus melangkah dengan yakin dan bertawakal kepada Allah. Imam Malik
r.a. berkata: “Tidak akan baik golongan yang terakhir darpada umat ini kecuali dengan
apa yang sudah baik umatnya yang terdahulu.”
 

Anda mungkin juga menyukai