Anda di halaman 1dari 5

Formula Termodinamik (Obasiah Haji Usman)

Sinopsis Keseluruhan

       Cerita Formula Termodinamik digambarkan dengan latar kampung yang dikelilingi sawah. Amir dan Asma
mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usama,
Adnin dan Zaid. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajarannya di maktab perguruan
manakala Amir dan Usama ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika
Amir dan Usamah menghabiskan cuti semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan
rumah Asma. Amir dan Usama telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya berfungsi
sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah. Amir menggunakan formula Termodinamik bagi
memprogramkan mesin rumput terpakai dan projek ini dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua
Hukum Popular bagi memastikan kejayaan. Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2
dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Aswan bercadang untuk mencipta model
yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di
hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Namun begitu, semua nota telah hilang dan perkara
tentang Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Amir sangat risau akan kehilangan
Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan tiba-tiba sahaja storan formulanya hilang. Selain itu, Amir
terkejut juga apabila didapati pencerobohan berlaku pada data syarikat ayahnya. Amir cuba menerangkan
perkara yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepunyaan ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk.
Amir telah mengatur strategi untuk menangkap penjenayah. Akhirnya Aswan telah meminta maaf kepada Amir
dan Usama kerana dialah yang mencuri Formula Termodinamik tersebut. Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir
dan Usama telah memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi
melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sinopsis

Bab 1

Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu bermain di sawah
bersama-sama Usamah, Adnin dan Zaid. Asma adalah dua pupu Amir dan Usamah. Asma anak kacukan Dusun
dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajaran di maktab perguruan manakala Amir dan Usamah ke Politeknik.
Usamah di Perak dan Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti
semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma. Amir mula berasa ada
perasaan indah yang terbit di hatinya terhadap Asma tetapi Asma pula seperti menyimpan cerita yang sukar
diungkapkan. Dalam masa yang sama Amir dan Usamah telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin
rumput supaya berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah.  Amir menggunakan formula
Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput yang terpakai dan dibantu oleh Profesor Othman dengan
Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan projek tersebut. 

Bab 2

Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1, Aswan berasa kurang senang dan
ingin menyaingi mereka. Dia juga mahu menebus kekecewaannya ketika di Politeknik dulu walaupun dia tahu
dia tidak sehebat Amir dan Usamah. Dia mahu membuktikan yang dia tidak lemah, dia bijak dan handal serta
mampu menyaingi Amir dan Usamah. Aswan bertekad akan menentang Amir dan Usamah. Dia tidak akan
membiarkan kedua-dua sepupu itu menempa nama di Kampung Warisan. Aswan menyuarakan hasrat tersebut
kepada kawan-kawan baiknya, Fikri dan Majibon. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama,
menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan di hujung
pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Fikri dan Majibon agak kurang senang dengan hasrat dan tujuan
Aswan yang ingin menyaingi Amir dan Usamah sehingga berlaku sedikit percanggahan prinsip di antara mereka
dengan Aswan.  Bagi Fikri dan Majibon persaingan biarlah sihat dan tidak bermusuhan.  Namun begitu, Fikri
dan Majibon tidak sampai hati untuk menghampakan Aswan.  Projek tersebut akan dijalankan dengan bantuan
Fikri dan Majibon namun yang menjadi masalah ialah mereka tidak mempunyai formula. Fikri dan Majibon
tidak pernah belajar bidang kejuruteraan, hanya Aswan seorang pernah belajar teori kejuruteraan waktu di
Politeknik.  Namun begitu, semua nota-notanya telah hilang dan banyak perkara tentang Formula Dua Hukum
Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Walaupun dengan sedikit pengetahuan,  Aswan tetap yakin mampu
menyaingi Amir dan Usamah kerana dia tidak mahu meminta bantu daripada Amir, Usamah dan Profesor
Othman seperti yang disarankan oleh Fikri dan Majibon.

Bab 3

Amir dan Usamah bertungkus lumus membuat pengubahsuaian bagi memastikan  projek mesin 2 dalam 1
mereka berjalan lancar. Mesin tersebut menggunakan kuasa 6 kw, kincir angin model SAMA, iaitu singkatan
Sabah, Malaysia.  Mana-mana komponen yang tidak boleh dibuat sendiri kerana kekurangan kelengkapan
seperti membentuk mata pisau cangkul dihantar ke kedai besi untuk dibentuk.  Aswan, Fikri dan Majibon telah
datang melihat projek mesin 2 dalam 1 yang diusahakan oleh pasangan sepupu itu.  Fikri dan Majibon sangat
berminat dengan projek tersebut.  Mereka telah diberi penerangan terperinci tentang proses pengubahsuaian dan
pengendalian mesin 2 dalam 1 oleh Amir , penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Am. Aswan lebih
berminat melihat bilik operasi.

Bab 4

Setelah kerja-kerja pengubahsuaian mesin 2 dalam 1 siap, Zaid dan Adnin mengajak Amir dan Usamah pergi
memancing di sawah untuk menenangkan fikiran.  Semasa memancing itulah Zaid dan Adnin telah bercerita
tentang kecurian baja subsidi orang  Kampung Warisan dari stor dewan.  Zaid yakin bahawa Aswan dan rakan-
rakannya yang telah mencuri baja tersebut.

Bab 5

Aswan sangat gembira kerana telah berjaya memperoleh formula yang diperlukan untuk melaksanakan projek
impiannya, mencipta mesin menanam padi.  Mesin ini  amat relevan untuk masa depan yang dapat
mengurangkan risiko generasi menjadi bongkok. Lakaran grafik yang telah disediakan oleh Aswan diperlihatkan
kepada Fikri dan Majibon.  Aswan secara terperinci menerangkan cara projek itu akan dimulakan sehinggalah
ke peringkat operasi.

Bab 6

Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.  Tiba-tiba sahaja storan data
formulanya hilang. Dia berasa kesal kerana cuai dan tidak menyimpan storan dengan baik. Bertahun-tahun dia
mengumpul data untuk menyiapkan formula tersebut dan dibantu oleh Profesor Othman.  Dia tidak tahu orang
yang telah menceroboh masuk ke bilik operasi mereka. Bukan mudah untuk dia mengingati  formula tersebut. 
Amir risau tidak dapat menunaikan janjinya kepada nenek  untuk membajak tapak semaian dengan mesin 2
dalam 1 tersebut. 

Bab 7

Amir dan Usamah pulang ke Putatan.  Sampai sahaja di rumahnya, Amir terus ke pejabat persendirian ayahnya
untuk mencari Formula Termodinamik dan melayari data Syarikat Bahagia.  Amir amat terkejut mendapati ada
pencerobohan sedang berlaku pada data syarikat ayahnya.  Amir dan Usamah berusaha untuk menyekat
pencerobohan tersebut dengan menerbit kod baru Adang Keselamatan Rahsia. 
Bab 8

Intan, ibu Amir amat terkejut apabila diberitahu oleh Amir tentang pencerobohan data Syarikat Bahagia.  Tetapi
Amir tidak berpeluang untuk menceritakan peristiwa itu kepada ayahnya kerana dia berada di Manila atas
urusan perniagaan.  Amir dan Usamah pulang semula ke Kampung Warisan.  Mereka sangat gembira melihat
Asma, Zaid dan Adnin sedang menolong neneknya di tapak semaian.  Adnin sedang menolak mesin 2 dalam 1
untuk menyediakan tapak semaian. Neneknya tersenyum bangga.  Amir mewarisi kepintaran anaknya, Damit.

Bab 9

Amir bangga melihat semangat bergotong royong masih menjadi amalan penduduk Kampung Warisan.  Ramai
penduduk kampung datang menolong menanam padi di sawah neneknya.  Usamah bersungut tentang mesin
ciptaan Aswan yang belum disiapkan lagi, jika tidak bolehlah digunakan oleh orang kampung pada musim
menanam kali ini.  Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suasana hingar bingar.  Amir dan Usamah terperanjat
melihat nenek jatuh ke dalam air paya.  Pak Cik Suib, ayah Asma mengangkat nenek ke batas sawah. Nenek
tidak bersuara.  Amir dan Usamah berusaha memberi pertolongan kepada nenek.  Setelah sedar nenek dibawa
pulang ke rumah.  Atas desakan Asma nenek kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan
lanjut.

Bab 10

Nenek menjalani pembedahan kecil pada buku lalinya untuk memastikan tidak ada pendarahan dan bagi
mengelakkan jangkitan kuman ke anggota lain. Semua ahli keluarga Amir, ayah, ibu dan adik-adiknya serta
Usamah turut berada di hospital menemani nenek.  Nenek sangat terharu dengan layanan dan kasih sayang
daripada anak cucunya.

Bab 11

Aswan tidak lagi memberi fokus kepada projek mesin menanam padinya tetapi banyak masanya dihabiskan di
hadapan komputer.  Dia tidak berpuas hati selagi pencariannya belum berhasil.  Aswan mencuba meramal
beberapa nombor digital sehinggalah dapat ditembusi.  Maklumat yang ditemui beberapa hari lalu muncul
semula.  Pengaliran data itu tidak dapat disekat lagi.  Aswan terpukau melihat jumlah aset syarikat tersebut.  Dia
sangat teruja dan memperlihatkan data tersebut kepada Fikri dan Majibon.  Aswan bercadang memindahkan
wang sejumlah RM1.3 juta itu ke dalam akaunnya.   Majibon membantah keras hasrat Aswan itu atas prinsip
agama melarang mengambil hak orang lain.  Aswan kemudiannya bercadang untuk mengambil RM10,000.00
sahaja sebagai modal menjalankan projek mereka.  Fikri pula menentang hasrat Aswan dan mengingatkan
mereka perlu berpegang teguh pada etika kerja serta bersaing secara sihat. Dalam masa yang sama, Amir dapat
mengesan pencerobohan dan data syarikat ayahnya dibocori lagi. Usamah berusaha keras mengesan kebocoran
data tersebut dan cuba menyekatnya.  Akhirnya mereka bersepakat untuk  menyiasat perkara tersebut.

Bab 12

Amir cuba menerangkan peristiwa yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepada ayahnya tetapi gagal kerana
ayahnya terlalu sibuk. Intan, ibu Amir telah menceritakan pencerobohan dan kebocoran maklumat syarikat
mereka.  Pada masa yang sama Amir dan Usamah telah kembali semula ke Kampung Warisan. Nenek mereka
telah beransur sihat dan akan keluar dari hospital.  Amir berasa bangga melihat mesin 2 dalam 1 ciptaan mereka
digunakan oleh bapa Zaid dan orang-orang kampung untuk membajak tanah. Hasil ciptaan mereka telah dapat
berbakti kepada orang kampung. Zaid dan Adnin pula telah melaporkan peristiwa yang telah dapat menjejak
penjenayah  Kampung Warisan yang menyimpan barang-barang curi di sebuah pondok tidak jauh dari
pangkalan. Amir telah mengatur strategi untuk memerangkap penjenayah itu.
Bab 13

Dua hari membuat persiapan dan mengatur strategi,  Amir dan rakan-rakannya bergerak selepas Isyak menuju
ke pondok yang dinyatakan oleh Zaid.  Setengah jam perjalanan mereka sampai di pangkalan.  Dari situ mereka
bergerak ke sebuah pondok dan bersembunyi  di tempat yang sukar dikesan oleh penjenayah. Dari situ mereka
mengatur strategi untuk memerangkap penjenanyah tersebut. Akhirnya Lahop dan Oyong pemuda Kampung
Warisan yang diupah menjaga pondok tersebut dapat diberkas dan dihantar ke balai polis.  Amir menemui CD
yang menyimpan seribu rahsia yang sukar ditafsir.

Bab 14

Semalaman Amir tidak dapat tidur memikirkan CD yang ditemukan semasa operasi penangkapan dua orang
pemuda di pondok berhampiran dengan pangkalan.  Amir dan Usamah berasa kehilangan Formula
Termodinamik ada kaitan dengan CD tersebut.  Tiba-tiba ada e-mel masuk.  Orang yang tidak dikenali
menghantar mesej meminta maaf.  Mereka kehairanan dan mengesyaki itulah orang yang telah mencuri formula
mereka. Mereka cuba bertanya tentang penghantar e-mel itu tetapi tiada jawapan.  Kemudian Zaid datang
membawa berita bahawa Asma akan berkahwin.  Adnin pula menyusul dalam keadaan basah kuyup dan
mengajak mereka membantu memindahkan orang kampung kerana air telah naik melepasi satu meter.

Bab 15

Aswan , Fikri dan Majibon dibawa arus deras.  Mereka hanya berpaut pada sebatang kayu untuk menyelamatkan
diri.  Aswan rasa menyesal tidak mendengar nasihat ibunya supaya tidak menghadiri majlis sambutan Krismas
di rumah Majibon kerana cuaca buruk.  Dia juga mulai sedar mungkin itu adalah balasan Allah terhadap dosa-
dosa yang telah dilakukannya.  Dalam suasana gelap malam mereka bertiga terus berpaut pada sebatang kayu
sehinggalah diselamatkan oleh Amir dan rakan-rakannya.  Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan
Usamah serta mengaku dialah yang mencuri Formula Termodinamik dan penghantar e-mel. 

Bab 16

Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usamah telah  membolehkan mereka memenangi Anugerah Saintis
Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.   Pada hari
keberangkatan, semua ahli keluarga berada di lapangan terbang.  Aswan, Fikri dan Majibon turut sama.  Asma
datang mengucapkan tahniah kepada mereka berdua dengan menghulurkan sejambak mawar putih buat Usamah
dan mawar merah buat Amir.

Anda mungkin juga menyukai