Anda di halaman 1dari 5

KEBERKESANAN PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN ORGANISASI

PENDIDIKAN DI MALAYSIA

4.0 Guru Sebagai Agen Penyampai Bagi Kecemerlangan Pendidikan

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, daripada carta piramid Organisasi dan Peringkat
Pengurusan Pendidikan Malaysia, dapat dilihat Menteri atau Ketua Pengarah Pendidikan
Malaysia memainkan peranan sebagai kuasa eksekutif dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Tugas utama kuasa eksekutif ini selain selaku pentadbiran pusat sistem pendidikan, ia juga
bertanggungjawab membuat keputusan dan dasar mengenai sistem pendidikan negara serta
menentukan peruntukan bajet bagi institusi pendidikan. Selepas kuasa menteri, hierarki ini
turun kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri. Jabatan Pelajaran Negeri, berperanan dalam
menguruskan pengagihan dan penempatan guru, perjawatan guru dan staf, pembangunan
prasarana dan merancang program pendidikan.
Seterusnya daripada JP Negeri turun pula kepada Pegawai Pendidikan Daerah.
Pegawai di peringkat daerah bertanggungjawab mengagihkan guru-guru sekolah di peringkat
daerah. Menyelia pelaksanaan aktiviti akademik dan pengajaran dan aktiviti kokurikulum.
Setelah itu barulah sampai kepada hierarki peringkat Pengetua atau Guru Besar. Pengetua
atau Guru Besar di sekolah bertindak sebagai pengurus di sekolah, dalam hal-hal akademik
dan pembangunan kemanusiaan. Akhir sekali barulah sampai kepada guru-guru yang
berperanan sebagai agen pelaksanaan. Guru-guru sekolah terlibat dalam pengurusan
akademik, pelajar, bahan, bilik darjah dan juga pengurusan kokurikulum. Sebagai individu
yang berhubung terus dengan para pelajar maka gurulah yang memainkan peranan besar
dalam merealisasikan matlamat pendidikan demi melahirkan modal insan untuk
pembangunan negara.

Me
nte Eksekutif
ri/
KP
PM Pengurusan
Pengarah JPN

Pegawai Pendidikan Penyeliaan


Daerah

Pengetua / Guru Besar Teknikal

Guru-guru Pelaksanaan

Organisasi dan Peringkat Pengurusan Pendidikan di Malaysia


4.1 Peranan guru

Setelah mengetahui peringkat pengurusan pendidikan di Malaysia, bahagian ini akan


memberi fokus utama kepada peranan guru sebagai agen pelaksana bagi kecemerlangan
pendidikan. Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh.
(Syed Ismail Bin Syed Mustapa. Ahmad Subki Bin Miskon: Julai 2010) Menurut kamus
Online Merriam-Webster pula guru didefinasikan sebagai seorang yang mengajar. Sinonim-
sinonim yang disenaraikan bagi perkataan guru termasuklah ‘pendidik’, ‘instruktur’, ‘ahli
pedagogi’,’jurulatih’,’pensyarah’ dan ‘tutor’. Manakala dalam Akta Pendidikan 1996
menyatakan guru ‘seseorang yang mengajar murid di sesuatu institusi pendidikan, atau
menyediakan atau mengeluarkan bahan pelajaran atau memeriksa jawapan yang
dikembalikan di, bagi atau melalui pusat pendidikan jarak jauh, dan termasuklah guru besar
atau pengetua.
Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran para guru
terhadap tanggungjawab mereka sebagai pendidik. Mereka perlu melengkapkan diri dari segi
ilmu pengetahuan, dan keluhuran budi pekerti yang tidak boleh dipisahkan sebaliknya boleh
menjadi contoh yang berkesan. Dari segi tanggungjawab untuk menjadi pendidik, seorang
guru perlu sentiasa bersemangat tinggi dan berpekerti mulia, berpandangan progresif dan
saintifik. Yang dimaksudkan di sini ialah guru sentiasa berfikiran positif, proaktif, inovatif
dan motivatif. Mereka haruslah mempunyai minda yang kehadapan dan sentiasa berusaha
mengembangkan ilmunya. Di peringkat perkhidmatan pula guru harus bersedia menjunjung
aspirasi negara dan menyanjung warisan budaya negara., Guru perlu memberi peluang
kepada setiap pelajar untuk berkembang mengikut kemampuan mereka, selari dengan
falsafah pendidikan kebangsaan. Akhir sekali guru juga harus berupaya memelihara suatu
masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

4.1.1 Il mu Pengetahuan
Guru sebagai insan pendidik sentiasa ingin melihat kecemerlangan pelajar- pelajar mereka.
Oleh itu untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar, guru perlu terlebih
dahulu memiliki ilmu pengetahuan yang luas dari segi teknik pengajaran dan pembelajaran.
Setiap insan yang bergelar guru mestilah mempelajari ilmu tentang pedagogi umum dan juga
pedagogi kandungan subjek. Daripada wikipedia, Ensiklopedia bebas pedagogi bermaksud
kajian mengenai pengajaran khususnya pengajaran dan pendidikan formal. Dengan kata
mudah, pedagogi adalah sains atau seni mengenai cara mengajar di sekolah. Sebagai satu
bidang kajian yang luas, pedagogi melibatkan kajian mengenai proses pengajaran dan
pembelajaran, pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan juga interaksi di antara pelajar
dan guru. Secara amnya, cabang ilmu ini penting bagi membolehkan para guru
menyampaikan pembelajaran di dalam kelas dengan kaedah yang betul dan pendekatan
sesuai yang boleh diterima oleh pelajar-pelajar.
Sebagai guru yang mengajar mata pelajaran, mereka perlu menguasai kurikulum
kebangsaan yang menjadi teras panduan dan rujukan dari segi matlamat, objektif dan
kandungan. Guru boleh meningkatkan penguasaan kurikulum dan kandungan subjek bukan
hanya bergantung kepada buku teks semata-mata tetapi perlulah meneroka buku-buku
rujukan yang banyak terdapat di pasaran. Bagi menambah nilai seorang guru mereka perlu
meningkatkan ilmu melalui pembacaan bahan-bahan ilmiah yang segar. Selain itu mengikuti
seminar tentang isu yang berkaitan ataupun penemuan terkini tentang suatu teori yang
berkaitan dengan subjek. Guru yang berpengetahuan luas biasanya telah mengkaji daripada
pelbagai jenis sumber. Mereka memiliki maklumat yang jelas yang boleh disampaikan
kepada pelajar dan sebenarnya dapat memberi penekanan fakta-fakta penting untuk mudah
difahami oleh pelajar-pelajar. Ini penting kerana sebagai guru mereka perlu dilihat berilmu
pengetahuan luas agar dapat menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar, rakan sejawat, bahkan
pihak lain yang memerlukan khidmat kepakarannya.
Jika dilihat peranan guru itu sendiri, banyak masa mereka di sekolah mereka perlu
berhadapan dengan pelajar-pelajar. Ilmu pengetahuan tentang kanak-kanak atau reaksi pelajar
amat penting kepada guru dalam mengenalpasti tindakan atau isyarat yang ingin
disampaikan. Guru-guru harus bijak melayan kerenah murid yang pelbagai atau menangani
sesuatu masalah yang melibatkan pelajar. Perubahan zaman teknologi moden kini turut
mengubah perilaku dan tahap kepintaran anak-anak pada masa kini. Mereka lebih terdedah
kepada kemudahan teknologi sedia ada yang dapat mengakses pelbagai maklumat yang
dikehendaki. Pada tahap usia yang cergas pelajar-pelajar selalunya mempunyai perasaan
inquiry atau sifat ingin tahu yang tinggi. Oleh itu persediaan sebagai seorang yang dewasa
yang akan membimbing anak-anak remaja perlu ada dalam diri seorang guru. Ini kerana
pelajar-pelajar akan lebih menghormati guru yang banyak berkongsi ilmu dan nasihat yang
berguna untuk mereka. Dengan cara ini hubungan guru dan pelajar akan lebih erat bagi
menjamin kecemerlangan dalam pendidikan.
4.1.2 Kemahiran
Kemahiran diterjemahkan sebagai kemampuan untuk mencapai dengan jayanya sesuatu yang
mana memerlukan pengetahuan yang khusus atau kebolehan atau kecekapan. Kemahiran
ikhtisas merangkumi kemahiran menggunakan bahan pelajaran dengan tujuan meningkatkan
kualiti pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran yang paling penting perlu ada pada seorang
guru ialah kemahiran komunikasi. Dalam kemahiran komunikasi pula boleh dipecahkan
kepada dua iaitu komunikasi interpersonal dan intrapersonal. Kemahiran interpersonal
merujuk sebagai kemampuan untuk berinteraksi dengan orang lain dengan memahami
mereka. Terdapat enam kategori kemahiran interpersonal iaitu keupayaan untuk menerima
perasaan dan idea, bertanya soalan, menyampaikan maklumat dan petunjuk dan juga
kemahiran melanjutkan komunikasi.
Kebolehan komunikasi yang baik bagi seorang guru termasuklah bersuara lantang,
menggunakan bahasa yang halus, tetapi dengan sebutan yang jelas serta intonasi yang betul.
Guru perlu boleh memberi arahan dengan tepat dan ayat-ayat yang gramatis dan diselitkan
dengan unsur-unsur humor. Ciri-ciri guru sebegini dapat menghidupkan suasana
pembelajaran yang menyeronokkan dan murid tidak merasa bosan sepanjang kelas
berlangsung. Kemahiran komunikasi bukan sahaja perlu antara guru dengan murid, tetapi
juga antara ibu bapa murid dan masyarakat. Guru disarankan agar mewujudkan hubungan
yang erat dengan ibu bapa murid. Perhubungan yang baik antara guru-guru dan ibu bapa akan
menyebabkan murid-murid berasa diri mereka diawasi. Oleh itu secara tidak langsung ia
dapat meningkatkan prestasi pelajaran murid-murid serta mengurangkan masalah disiplin
dalam kalangan murid sekolah.
Dalam zaman serba moden dengan teknologi terkini, medium pengajaran dan
pembelajaran telah dipertingkatkan melalui penggunaan komputer. Diperingkat menengah
kini pelajar sudah diajar subjek ICT atau akronimnya Information and Computer Technology.
Untuk itu guru perlu mengetahui kemahiran teknologi ini dengan lebih baik bukan sahaja
untuk tujuan kaedah pengajaran dan pembelajaran malahan sebagai rujukan supaya pelajar-
pelajar mendapat penerangan yang tepat tentang ciptaan dan inovasi masa kini. Maklumat
yang jelas tentang isu-isu semasa teknologi secara tidak langsung boleh mendorong minat
pelajar ke arah penguasaan teknologi moden dan juga dapat memupuk daya inovatif dan
kreatif dalam diri murid-murid.
Guru juga haruslah memiliki kemahiran profesional dari segi pengurusan masa.
Dalam era globalisasi kini profesion keguruan tidak ketinggalan menerima tempias lambakan
peranan asalnya. Peranan guru sekarang bukan lagi tradisionalnya sebagai pendidik atau
pengajar semata-mata. Malah skop tugas guru hari ini telah meluas dengan kerja-kerja
‘perkeranian’ seperti membuat kertas kerja, program-program di luar sekolah dan penyertaan
dalam kokurikulum dan sukan. Bebanan kerja yang semakin meningkat telah menyebabkan
isu guru pembantu dicadangkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
Malaysia (NUTP) bagi meringankan beban kerja guru. Walau bagaimanapun sebagai
pendidik yang berdedikasi dalam tugas-tugas mengajar, guru kini harus bijak menguruskan
masa dan meletakkan perkara terpenting dan segera untuk diberi keutamaan. Tugas mendidik
murid-murid tetap menjadi matlamat utama bagi warga guru.
Di samping pengurusan masa yang baik, guru juga bertindak menguruskan kelas atau
bilik darjah. Guru perlu bijak dalam mengawal disiplin pelajar serta keceriaan murid dan
kelas. Guru perlu sentiasa mengamalkan ketepatan masa, memastikan suasana kelas ceria dan
bersih sesuai untuk suasana pembelajaran yang kondusif. Dengan itu murid akan sentiasa
memberi tumpuan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

4.1.3 Nilai
Seandainya sistem pendidikan yang sedia ada adalah terbaik, namun tanpa didokong oleh
individu yang mementingkan nilai-nilai murni maka sukar untuk kita menghasilkan pelajar
cemerlang yang cemerlang dalam aspek akademik dan sahsiah dirinya. Seorang guru perlu
mengamalkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatannya. Salah satunya berpekerti mulia.
Guru ini akan meletakkan kepentingan kepada orang lain seperti murid, ibu bapa dan
masyarakat melebihi diri sendiri. Seorang guru haruslah memberi keutamaan dan memastikan
setiap murid diberi peluang untuk mengembangkan potensi diri secara menyeluruh dan
bersepadu merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani sesuai dengan yang
terkandung di dalam falsafah pendidikan kebangsaan.
Seperti yang telah dibicarakan sebelum ini, guru perlu berpandangan progresif dan
saintifik. Guru hendaklah sentiasa berfikiran positif, proaktif, inovatif dan motivatif. Contoh
yang mudah ialah guru ini sentiasa bersemangat dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Guru yang bersemangat tinggi sentiasa teruja dan ghairah untuk bertemu murid-murid.
Mereka akan melengkapkan diri tentang persediaan yang perlu sebelum memasuki kelas,
contohnya membuat rancangan pengajaran sebelum kelas bermula. Merancang aktiviti di
dalam kelas dan menggunakan masa yang ada secara optimum. Menggunakan kaedah
pembelajaran yang sesuai dengan tahap pencapaian murid-murid. Guru yang komited pada
tugasnya akan dapat dirasai oleh murid-murid apabila mereka dapat merasakan bahawa guru
tersebut benar-benar ingin membantu mereka dalam pelajaran. Secara tidak langsung murid
turut bersemangat untuk belajar dan cemerlang dalam peperiksaannya.
Sumbangan guru juga amat besar dalam konteks melahirkan masyarakat yang bersatu
padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Di peringkat sekolah lagi pelajar di tekankan
aspek keharmonian dalam masyarakat majmuk yang perlu kita kekalkan. Memastikan murid-
murid pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain. Murid-murid juga perlu diberi
peluang untuk membuat keputusan supaya dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Guru
turut berperanan menekankan aspek inovatif, kreatif, analitikal, kritikal, holistik dan
bersepadu untuk melahirkan pelajar yang berfikiran secara progresif dan saintifik. Guru perlu
menekankan semangat inkuiri dan kaedah dapatan bagi memupuk sifat gemar menyiasat dan
mereka cipta dalam diri murid-murid. Sebagai insan pendidik, guru turut bertanggungjawab
memastikan keharmonian, keselamatan dan keamanan menerusi penerapan nilai etika dan
peraturan yang mesti dipatuhi oleh murid agar dapat membentuk masyarakat yang cemerlang.

4.2 Kesimpulan
Daripada perbincangan tadi jelaslah seorang guru yang unggul dan profesional perlu
mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori dan kaya dengan ilmu pengetahuan. Guru perlu
mempamerkan akhlak yang baik seperti bertatasusila dalam kerja, sentiasa meningkatkan
kualiti hasil pengajaran, menjaga keterampilan, berperibadi mulia, dan berwawasan. Guru
perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar supaya pelajarnya bukan sahaja
cemerlang dalam pendidikan malah berpesonaliti sihat, serba boleh dan berdaya saing apabila
tamat dari persekolahan.

Rujukan
1.Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Choong Lean Keow(PhD), Kumpulan Budiman Sdn
Bhd, U.G Press Sdn Bhd, 2008
2. Sekolah dan Masyarakat, Amir Hasan Dawi, Prospecta Printers Sdn Bhd, 2009
3. Kamus Dewan Edisi Keempat,
4. Bridges Not Walls, John Stewart, Mc Graw Hill, 2012
5. The Inspired Teacher, Carol Frederick Steele, Association for Supervision and Curriculum
Development, 2009

Anda mungkin juga menyukai