Anda di halaman 1dari 2

Tajuk Cerita : ‘Kisah Batu Belah Batu Bertangkup’

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa yang setia, guru-guru dan rakan-rakan yang saya hormati sekalian. Selamat
pagi dan salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan
sebuah cerita yang bertajuk,‘Kisah Batu Belah Batu Bertangkup’.

Pada zaman dahulu kala, ada sepasang suami isteri yang bernama Pak Melur dan Mak
Tanjung yang bekerja sebagai petani di sebuah kampung. Mereka mempunyai dua orang anak
iaitu Melur dan Pekan. Pada suatu hari,Pak Melur jatuh sakit dan meninggal dunia.
Walaupun sedih, Mak Tanjung masih tabah menjaga kedua-dua anaknya yang masih kecil
itu.

Pada suatu hari, Mak Tanjung berasa teringin untuk memakan telur ikan tembakul.
Maka, dia pun pergi ke sungai berhampiran untuk mencari ikan tembakul. Dia bernasib
baik kerana berjaya menangguk seekor ikan tembakul. Dengan perasaan yang
gembira dia membawa ikan itu pulang ke rumah dan berpesan kepada Melur supaya
memasak gulai. “Melur, Pekan, kamu makanlah ikan itu, tetapi tinggalkan
telurnya sedikit untuk ibu, ya,” pesan Mak Tanjung.

Kedua-duanya pun mengangguk. Lalu Mak Tanjung pun keluar ke hutan untuk
mencari sedikit ulam sementara Melur memasak di dapur. Semasa di dalam hutan, Mak
Tanjung terlihat seketul batu belah yang sangat mengerikan. Dia teringat cerita-cerita orang
tua yang mengatakan bahawa batu belah itu batu berpuaka. Ia akan terbuka jika lapar dan
akan bertangkup semula setelah mendapat mangsanya. Dalam diam-diam Mak Tanjung
berfikir di dalam hatinya, “Siapakah pula yang akan menjadi mangsanya nanti?”

Di rumah pula, Melur sudah siap memasak gulai. Pekan berasa lapar lalu Melur
memberinya sedikit telur ikan. Pekan makan dengan gelojoh dan setelah habis,
dia meminta lagi. Pekan menghentakkan kakinya ke lantai kerana mahukan telur
ikan yang separuh lagi. Melur berasa kasihan lalu memberinya bahagian telur yang
disimpan untuk ibunya.
Selepas seketika, Mak Tanjung pun pulang ke rumah sambil teringatakan telur
tembakul yang akan dimakannya nanti. Namun, apabila ditanya tentang telur ikan
tembakul itu, Melur mengatakan bahawa Pekan telah memakan semuanya. Mak
Tanjung yang berasa terkilan itu berkata sambil menangis teresak-esak, “Sampainya hati
kamu berdua.”

Mak Tanjung yang merajuk dan makan hati itu terus melarikan diri dan masuk ke
dalam hutan. Melur dan Pekan mengejar ibu mereka sambil meraung-raung, “Ibu,
janganlah pergi! Kasihanilah kami berdua!” Si ibu itu tidak mahu mendengar kata-kata
anaknya dan terus berlari sehingga tiba di hadapan batu belah yang sedang membuka
mulutnya dengan luas. Dengan sedihnya Mak Tanjung berkata, ”Batu Belah Batu
Bertangkup,makanlah aku. Anak-anak aku tidak sayangkan aku lagi. Makanlah
aku!”

Mak Tanjung pun melompat masuk ke dalamnya. Dengan cepatnya ia bertangkup


kembali dengan meninggalkan kesan darah di tepi mulutnya itu. Apabila Melur dan Pekan
tiba di situ, ibu mereka sudah tiada lagi. Mereka meraung-raung dan menangis lalu
tertidur di situ. Kemudian, seorang nenek kebayan terjumpa mereka berdua. Dia
berasa kasihan lalu menjaga mereka. Selepas beberapa tahun, Melur membesar
menjadi gadis yang jelita, manakala Pekan telah menjadi seorang pemuda yang tampan
dan berani.

Hadirin sekalian, daripada ‘Kisah Batu Belah Batu Bertangkup’ yang telah saya
ceritakan tadi, pengajaran yang boleh kita perolehi berdasarkan cerita ini ialah yang pertama,
sebagai anak, kita hendaklah menghormati ibu bapa kerana merekalah yang telah
melahirkan dan mendidik kita sejak dari kecil lagi dan menunjukkan rasa kasih sayang
antara adik-beradik. Selain itu, kita hendaklah meminta izin dan kebenaran terlebih
dahulu sebelum mengambil
hak orang lain.

Sekian sahaja daripada saya, sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai