Anda di halaman 1dari 2

Batu Belah Batu Bertangkup

Mak Tanjung tinggal bersama anaknya Melur dan Pekan di kaki Bukit Berapit. Sejak suaminya
meninggal dunia, Mak Tanjung menjadi muram dan pendiam. Dia asyik bersedih hati. Kerjanya
mencari akar kayu untuk dibuat ubat juga diabaikan.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai
untuk menangguknya. Bukan main suka hatinya apabila dapat menangguk seekor ikan
tembakul.

Sampai di rumah, Mak Tanjung terus menyiang ikan itu. Dia pun memberikan kepada Melur
untuk digulai. “Masaklah ikan dan telur tembakul ini. Emak ingin makan telurnya,” kata Mak
Tanjung.

Kemudian dia keluar mencari akar kayu. Selepas siap memasak gulai itu, Melur pun
mengasingkan separuh telur tembakul. Diletaknya di atas para. Pekan makan gelojoh sekali.
Apabila habis dia minta lagi.

Tidak lama kemudian Mak Tanjung pulang. Dia mahu makan.

“Mana telur tembakul?” tanya ibu Melur.

“Sudah habis, emak. Pekan makan semuanya,” jawab Melur perlahan.

“Sampai hati kamu berdua,” kata Mak Tanjung kecil hati.

Sedih benar hatinya kerana anak-anak sampai terlupa kepadanya. Mak Tanjung merajuk lalu
pergi ke dalam hutan.

Di hutan ada batu belah. Batu itu berpuaka. Kalau dia lapar dia akan terbelah. Kalau sudah
dapat mangsa dia akan bertangkup.

Mak Tanjung melangkah laju ke arah batu berpuaka itu. Melur dan Pekan mengejar dari
belakang. Kedua-dua orang anaknya itu berteriak sambil menangis. Melur dan Pekan mahu ibu
mereka pulang.
“Groomm… grooommm…” Batu belah bersuara.
Melur dan Pekan berlari sekuat hati. Namun, apabila sampai di batu berpuaka itu, ia sudah
tertangkup. Bayangan ibu mereka sudah tiada.
Esok paginya Nenek Kebayan jumpa Melur dan Pekan yang masih tidur. Mereka tertidur di
depan batu belah setelah letih menangis. Ibu mereka tidak akan pulang lagi.
Sejak hari itu, Melur dan Pekan tinggal bersama Nenek Kebayan. Melur berjanji pada suatu hari
nanti dia mesti hapuskan batu belah yang berpuaka itu. Dia dan adiknya terlalu rawan kerana
ibu mereka mati di situ.
Masa berlalu. Melur menjadi gadis rupawan. Parasnya cantik dan menawan. Pekan pula gagah
dan tampan.
Pada suatu hari, Raja Indera Sakti mengadakan temasya menyabung ayam. Diam-diam Pekan
membawa ayamnya Jalak ke temasya itu. Pekan tidak memberi tahu Melur atau Nenek
Kebayan.
“Hai orang muda, apa yang hendak kamu pertaruhkan?” tanya raja.

“Jika kalah, patik akan bekerja untuk tuanku, Jika menang patik hanya mahu hadiah sepasang
pakaian,” jawab Pekan.

Baginda tersenyum tanda setuju. Jalak pun bersabunglah dengan ayam raja. Tidak diduga,
Jalak menang apabila tajinya mencederakan ayam raja.

Pekan gembira. Dia akan dapat hadiah daripada Raja Indera Sakti. Tiba-tiba kakaknya, Melur
merah kerana marah.
“Pekan, kau pulang sekarang. Jangan berani hendak mengambil hadiah selepas ayam itu
cedera oleh taji Si Jalak!” kata Melur.
Raja Indera Sakti mendengar kata-kata Melur itu. Baginda melihat wajah Melur yang cantik
rupawan. Petang itu satu rombongan dari istana datang ke rumah 
nenek. Mereka membawa cincin pinangan daripada raja.
Melur menerima pinangan baginda Raja Indera Sakti.
Tujuh hari sebelum hari perkahwinan antara Melur dengan baginda raja, satu rombongan pergi
ke Bukit Berapit. Mereka membawa peluru dan meriam. Mereka membedil batu belah.
Pada hari itu juga baginda mengumumkan temasya menyabung ayam mesti dihentikan.
Semenjak hari itu batu belah tidak mengaum lagi dan gelanggang sabung ayam pun tinggal
lengang.

Anda mungkin juga menyukai