Anda di halaman 1dari 17

PENGHARGAAN

Titipan penghargaan ini kami tujukan kepada keluarga kami kerana mereka sentiasa
menitipkan doa-doa untuk keberkatan kami di sini. Mereka juga banyak menyokong kami
dari segenap segi rohani dan sokongan moral untuk menghasilkan tugasan yang bermutu ini.
Tidak lupa juga kepada Pengurus Kursus JKA 101/4 - Pengantar Antropologi Dan
Sosiologi, Puan Soijah Likin kerana sudi menunjuk ajar kami waima mengganggu masa
rehatnya. Beliau juga telah memberikan masa dan bantuan yang secukupnya untuk
menyiapkan tugasan ini. Moga dengan jasa baiknya akan diganjari dengan kurniaan daripada
Allah SWT yang tidak ternilai harganya.
Kami juga ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada Pengerusi
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Cawangan Pengkalan Kubur, Encik Mohd
Nor bin Yaacob kerana memberikan kerjasama yang sangat baik dalam proses wawancara
dan pengumpulan maklumat. Juga, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada teman-teman
yang sanggup berkongsi ilmu, maklumat, dan segala bentuk bantuan yang kami dambakan
khususnya dalam menghasilkan tugasan ini. Ketahuilah segala macam bantuan yang anda
salurkan amat kami hargai.
Sebelum menutup bicara, kami ingin menyampaikan sekalung terima kasih kepada
sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembikinan tugasan ini secara langsung ataupun tidak.
Kesudian anda amat kami hargai.
Sekian, terima kasih.

1
ISI KANDUNGAN

Penghargaan 1

Bab 1 Pendahuluan
Pengenalan 3
Latar belakang tokoh 4

Bab 2 Perbincangan
Sejarah silat Melayu 5
Silat Gayong di Malaysia 6
Ciri-ciri pakaian 9
Senjata khas 11
Seni senjata Gayong 12
Amalan dan adat istiadat 12
Penggunaan bengkung dan maknanya 15
Pantang larang 16

Bab 3 Kesimpulan 17

Rujukan 17

2
BAB 1
PENDAHULUAN

PENGENALAN
Silat Seni Gayong adalah salah satu daripada pelbagai aliran seni silat yang terdapat di
Malaysia. Seni silat ialah ilmu pengetahuan dan amalan untuk mempertahankan diri dari
kecederaan fizikal apabila diserang, sama ada melibatkan penggunaan senjata atau tanpa
senjata. Ia merupakan satu kebudayaan yang sinonim dengan masyarakat Melayu dan
melambangkan identiti orang Melayu sendiri, baik dari segi pemakaian, adat istiadat, gerak
langkah dan senjata. Malah seni silat merupakan warisan kebanggaan orang Melayu.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, silat didefinisikan sebagai sejenis seni atau
kepandaian berjuang dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan
diri. Terdapat elemen seni, pertahanan diri dan spiritual dalam amalan silat.
Perkataan Gayong dikatakan berasal dari nama seorang hulubalang Melayu yang
berpegang teguh pada amanah dan perintah Allah. Beliau telah mengasaskan silat seni
Gayong yang seterusnya telah disebarkan oleh tujuh beradik di seluruh tanah besar Melayu.
Mereka bernama Daing Jalak, Daing Merawak, Daing Celak, Daing Mempawah, Daing
Pelonggi, Daing Telani, dan Daing Kuning. Daripada Daing Kuning, silat seni Gayong ini
telah diwariskan kepada Long Che Ngah dan kemudian diwarisi oleh Daing Uda Muhamad
Hashim. Silat Seni Gayong ini telah ditubuhkan pada tahun 1938, hasil usaha Dato' Daeng
Uda Mohammad Hashim serta anak-anaknya iaitu Daeng Meor Abd Aziz dan Daeng Meor
Abd Rahman (Mahaguru Dato' Meor Abd Rahman) yang berpusat di Ayer Kuning, Taiping,
Perak.
Di zaman sekarang, silat telah dijadikan sebagai aktiviti sukan yang telah
dipertandingkan atas nama silat olahraga. Pada umumnya, ianya adalah merupakan salah satu
cabang olahraga dan bela diri. Silat juga merupakan rangkaian dari gerakan-gerakan badan
menurut sistem dan kaedah tertentu sebagai salah satu cara terbaik untuk memelihara
kesihatan jasmani.
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan telah memperkasakan silat
sebagai salah satu subjek untuk aktiviti kokurikulum dengan menubuhkan 5000 kelab seni
silat di sekolah seluruh negara dan di universiti sebagai subjek pilihan. Langkah ini diyakini
akan memberi impak kepada pembangunan sahsiah selain melahirkan pelajar berilmu
pengetahuan tinggi serta memiliki keperibadian bersemangat kental.
Pada tahun 2019, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah memberikan pengiktirafan kepada silat sebagai
warisan tidak ketara. Melalui pengiktirafan tersebut diharap dapat membantu
mempromosikan kehalusan seni persilatan Melayu kepada dunia.

3
LATAR BELAKANG TOKOH

Encik Mohd Nor bin Yaacob merupakan Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong
Malaysia (PSSGM) Cawangan Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan. Beliau berusia 53 tahun
berasal dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubur, Tumpat. Pada tahun 1984. beliau yang ketika
itu berusia 16 tahun mula belajar ilmu persilatan semasa belajar di Sekolah Menengah
Tumpat. Dengan pengalaman di dalam ilmu persilatan yang sudah hampir menjangkau 37
tahun, beliau telah melahirkan ramai pesilat yang kini turut menjadi pendidik untuk generasi
seterusnya. Beliau memiliki gelanggang silat sendiri di kampungnya di Pengkalan Kubur,
Tumpat. Selain itu, beliau bersama anak-anak buahnya bergerak aktif menyebarkan ilmu
persilatan melalui program-program kokurikulum di sekolah-sekolah sekitar Tumpat,
Kelantan. Beliau berhasrat untuk terus menyebarkan ilmu persilatan kepada generasi-generasi
baru supaya dapat mendidik disiplin dan sahsiah mereka. Beliau juga mengimpikan agar ilmu
persilatan terus diiktiraf di mata dunia dan menjadi identiti kebanggaan bangsa Melayu.

4
BAB 2
PERBINCANGAN

SEJARAH SILAT MELAYU


Seni mempertahankan diri Silat atau dikenali juga sebagai Pencak Silat adalah merupakan
salah satu seni mempertahankan diri bangsa Melayu atau Nusantara yang mana ianya telah
diamalkan semenjak berkurun lalu. Ilmu salasilah seni silat ini tidak dapat dihuraikan secara
terperinci tentang usia sebenarnya. Terdapat pihak termasuklah pengamal-pengamal seni
mempertahankan diri di Malaysia, Brunei, Thailand, Indonesia dan Filipina yang
mengganggarkan usia seni ini sudah beratus-ratus tahun serta telah diperturunkan dari
generasi ke generasi.
Gelaran yang diberikan kepada mereka yang belajar silat adalah pesilat manakala
pengajar atau guru silat digelar sebagai jurulatih. Guru Utama pula adalah gelaran untuk
seseorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan. Namun, pada masa kini kebanyakan guru
silat menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran ‘maha’ ini hanya berhak
digunakan untuk Allah. Hal ini adalah sangat menepati perawakan guru silat yang
kebiasaannya suka merendah diri dan menyembunyikan kemahiran mereka. Pengajar pula
adalah dari kalangan pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat. Mereka
ini mempunyai kemahiran yang tinggi serta ada diantara mereka yang telah mewarisi
beberapa aliran yang telah hilang. Mereka ini sangat dihormati dan digelar sebagai Guru Tua.
Bagi pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi pula digelar sebagai pendekar.
Sejak abad ke-7 Masihi, silat ini telah tersebar ke sepanjang Nusantara Melayu.
Namun, asal-usulnya masih lagi tidak dapat dipastikan walaupun seni silat ini telah diakui
sebagai seni melayu asli. Mereka yang mengamalkan silat ini adalah dari kalangan orang
melayu yang telah menetap di bandar-bandar pantai Pulau Sumatera dan Semenanjung
Melayu, dari Acheh di utara ke Kelantan, Kedah serta Kepulauan Riau di selatan. Jalinan
hubungan dengan kumpulan suku kaum lain di bandar-bandar pantai turut mempengaruhi
bentuk silat. Hal ini kerana terdapat bukti yang menunjukkan budaya India dan China telah
mempengaruhi gaya seni mempertahankan diri itu.
Pada abad ke-14, Islam telah disebarkan sepanjang nusantara dan ianya diajar
disamping silat. Bukan itu sahaja, silat ini kemudiannya telah menjadi suatu latihan rohaniah.
Apabila silat tersebar sepanjang Semenanjung Melayu, Bali, Sulawesi, Jawa dan Borneo iaitu
sewaktu empayar Kesultanan Melaka, silat ini telahpun diperhaluskan ciri keistimewaannya.
Pada ketika itu, orang melayu terutamanya di Semenanjung Tanah Melayu mengganggap
cerita lagenda Hang Tuah sebagai Bapa Silat.
Ketika era pasca penjajahan, nama silat telah dijulang tinggi dek kerana jasa-jasa
pendekar yang telah memimpin perjuangan serta berkorban nyawa untuk kemerdekaan.
Bahkan di Malaysia, silat ini telah diiktiraf sebagai seni bela diri rasmi Malaysia dan ianya
telah diwartakan dibawah Akta Warisan Negara sewaktu Konvensyen Silat yang telah
dianjurkan pada 3 Disember 2006 hingga 4 Disember 2006.

5
SILAT GAYONG DI MALAYSIA
Silat Seni Gayong adalah salah satu seni silat yang paling terkenal di negara kita. Pengasas
Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) adalah Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda
Mohd Hashim. Beliau telah dilahirkan pada tanggal 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden
yang terletak di bandar Taiping, Perak. Beliau adalah berketurunan Bugis dan mempunyai
pertalian dengan Panglima Hitam dalam sejarah negeri Perak.

Dato Meor Abdul Rahman semasa muda

Panglima Hitam adalah gelaran kepada jawatan yang dipegang oleh individu yang
telah diamanahkan tugas tersebut. Mereka ini dikatakan sangat hebat dalam ilmu persilatan
sehingga diberi tugas khas sebagai pengawal peribadi sultan. Setiap sultan mempunyai
Panglima Hitam masing-masing bermula sejak dari abad ke-18 lagi. Tengku Daeng Kuning
adalah antara Panglima Hitam yang terkenal dari Perak. Beliau adalah merupakan anak
kepada Raja Bugis dari Makasar, Sulawesi yang mana beliau telah sampai ke Tanah Melayu
pada tahun 1813. Dato’ Meor Abdul Rahman ini merupakan cucu kepada Tengku Daeng
Kuning.
Nama ibu Dato’ Meor Abdul Rahman ialah Syarifah Aluyah binti Syed Zainal Al-
Attas. Nama bapanya pula ialah Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah. Daeng Che Ngah
inilah pemilik nama sebenar kepada Panglima Hitam Tengku Daeng Kuning. Dato’ Meor
Abdul Rahman sebenarnya mempunyai dua orang lagi adik-beradik seibu dan sebapa iaitu
Meor Abdul Aziz dan juga Siti Saadiah. Bukan itu sahaja, beliau juga turut mempunyai tiga
saudara perempuan seibu dari perkahwinan ibunya yang terdahulu.
6
Ketika beliau meningkat remaja, keluarganya telah berpindah ke Kampung Pokok
Asam yang terletak di Taiping, Perak. Beliau juga telah mendapat pendidikan awal di
Sekolah Melayu Taiping dan peringkat menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh
Trade School dan seterusnya meneruskan pengajian di Technical School di Ipoh sehingga
tahun 1936. Pada mulanya, Dato’ Meor Abdul Rahman menuntut ilmu persilatan dengan
datuknya di sebelah ibu iaitu Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas sewaktu berusia 12 tahun.
Datuknya juga dikenali dengan nama Tuk Jenai iaitu seorang hulubalang negeri Pahang yang
tersohor.
Tuk Jenai bersama-sama Allahyarham Mat Kilau, Tok Gajah, Dato’ Bahaman dan
beberapa lagi panglima yang terkenal dalam sejarah telah berjuang menentang penjajahan
Inggeris. Beliau kemudiannya telah berpindah ke Taiping dan telah menghabiskan sisa
hidupnya bersama keluarga di sana. Dato’ Meor Abdul Rahman telah menerima latihan
intensif setiap hari tidak kira siang dan malam. Disebabkan itu, beliau cuma mengambil masa
hanya beberapa bulan sahaja untuk khatam ilmu persilatan dengan datuknya.
Ketika usianya 19 tahun, beliau telah dipanggil untuk menunjukkan kebolehannya
dalam bersilat di hadapan Paduka Seri Sultan Perak ke-30 iaitu Almarhum Sultan Alang
Iskandar di Istana Bukit Chandan. Sultan Alang Iskandar sangat berpuas hati dengan
persembahan dan kegagahan yang ditonjolkan oleh Dato’ Meor Abdul Rahman sehingga
dianugerahkan gelaran Panglima Sendo Perak. Bukan itu sahaja, Sultan juga telah
menjadikan Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai anak angkat. Beliau pernah tinggal di istana
sehingga Sultan Perak ke-30 itu mangkat pada tahun1938.

7
Selepas itu, beliau berhijrah ke selatan dan telah menjadi anak Melayu pertama yang
ditugaskan sebagai jurulatih seni mempertahankan diri Signal Corps di bawah pemerintahan
Lt. Kol. Pope di Gullman Barrack, Singapura. Semasa tentera Jepun telah menyerang
Singapura pada tahun 1941, beliau telah berundur ke Pulau Sudong. Buat pertama kalinya
disinilah Silat Seni Gayong telah diperkenalkan kepada sekumpulan tujuh orang belia iaitu
pada tanggal 17 Februari 1942. Beliau juga telah membuktikan kepintaran dan keberaniannya
dalam memperdaya dan menewaskan tentera Jepun serta melindungi penduduk setempat.
Disebabkan kegigihan beliau ini, pengaruh Seni Silat Gayong mula berkembang ke
pulau-pulau Indonesia, Singapura dan juga Semenanjung Tanah Melayu. Atas jasa
cemerlangnya semasa bertugas sebagai anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura
dengan menentang pendudukan Jepun di Singapura dan Malaya, beliau telah dikurniakan
pingat King George V oleh Ratu Elizabeth. Tidak hanya terhenti disitu, malah beliau terus
gigih untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura
sejak 1948. Apabila beliau telah bersara dari pasukan polis, beliau telah pun menubuhkan
Seni Gayong School di Woodland, Singapura pada 3 Disember 1960.
Pengasas UMNO dan penentang Malayan Union iaitu Allahyarham Dato’ Onn bin
Jaafar juga telah menjadi ahli Silat Seni Gayong. Disebabkan sambutan yang begitu
menggalakkan, beliau telah mencadangkan agar ianya didaftarkan. Atas hasil dan usaha
beliau bersama dengan Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri, akhirnya seni silat ini telah
berjaya didaftarkan di Johor Bahru pada 22 Oktober 1963 atas nama Pertubuhan Silat Seni
Gayong Malaysia (PSSGM). Ini merupakan pertubuhan silat yang pertama telah didaftarkan
dan merupakan perguruan silat terbesar negara. Silat Seni Gayong ini terus berkembang pesat
di Semenanjung Malaysia dan usaha serta pengorbanan Dato’ Meor Abdul Rahman telah pun
diiktiraf oleh Paduka Seri Sultan Perak, Duli Maha Mulia Almarhum Sultan Idris dengan
mengurniakan pingat Darjah Paduka Cula Si Manja Kini (DPCM) kepada beliau yang mana
membawa gelaran Dato’.
Pada tanggal 23 Jun 1991, ketika usia Dato’ Meor Abdul Rahman 76 tahun, beliau
telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu berada di pangkuan anak
kesayangannya, Puan Siti Fadzilah di Hospital Pakar Ipoh, Perak.

8
CIRI-CIRI PAKAIAN

Pakaian 1 : Dikenakan ketika majlis rasmi di istana jika dikehendaki berpakaian adat. Majlis
dihadiri oleh sultan/raja atau kerabat sultan/raja dengan berpakaian adat. Majlis dihadiri oleh
pegawai pembesar adat Silat Seni Gayong yang lengkap berpakaian. Adat di majlis
penyampaian sandang dan bengkong.
Kelengkapan lelaki:
1. Tanjak songket berbenang emas.
2. Baju kebangsaan hitam berleher cekak musang lima butang.
3. Seluar hitam.
4. Pendeng songket berbenang emas.
5. Kain samping songket berbenang emas.
6. Kasut hitam.
7. Keris.
8. Sandang.

9
Kelangkapan wanita:
1. Tudung(selendang) hitam kosong atau bercorak.
2. Baju kebangsaan (kurung / kebaya labuh) hitam atau bercorak.
3. Kain hitam kosong atau bercorak.
4. Kasut hitam.
5. Sandang.

Pakaian 2 : Dikenakan pada ketika majlis rasmi seperti makan malam, mesyuarat agong atau
jamuan ringan. Majlis yang dihadiri oleh sultan/raja atau kerabat sultan/raja yang tidak
berpakaian adat. Majlis yang dihadiri oleh pegawai pembesar adat silat seni gayong tidak
berpakaian adat lengkap.
Kelengkapan lelaki:
1. Songkok hitam.
2. Baju kebangsaan hitam berleher cekak musang lima butang.
3. Seluar hitam.
4. Pendeng songket benang emas.
5. Kain sampung songket berbenang emas.
6. Kasut hitam.
Kelengkapan
wanita:
1. Tudung(selendang) hitam kosong atau bercorak.
2. Baju kebangsaan (kurung/kebaya labuh) hitam atau bercorak.
3. Kain hitam kosong atau bercorak.
4. Kasut hitam.

Pakaian 3 : Dikenakan pada majlis rasmi seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan kursus.
Kelengkapan lelaki:
1. Baju korporat lengan pendek.
2. Seluar hitam.
3. Kasut hitam.
Kelengkapan wanita:
1. Tudung.
2. Baju korporat labuh berlengan panjang.
3. Seluar atau kain.
4. Kasut hitam.

10
Pakaian 4a : Dikenakan sebagai pakaian di medan pesilat iaitu di gelanggang latihan.
Kelengkapan lelaki:
1. Tengkolok hitam.
2. Baju kurung hitam lengan panjang ¾ (teluk belanga / potongan V / perahu bugis)
berlencana di dada kiri.
3. Seluar gitam ¾ labuh (paras betis).
4. Berbengkung (tali pinggang).
Kelengkapan wanita:
1. Tudung/tengkolok hitam.
2. Baju kurung hitam labuh lengan panjnag berlencana di dada kiri.
3. Seluar panjang hitam labuh.
4. Samping hitam.
5. Berbengkung.

Pakaian 4b : Dikenakan sebagai pakaian medan gurulatih di gelanggang latihan.


Kelengkapan lelaki:
1. Tengkolok hitam.
2. Baju kurung hitam lengan panjang ¾ (teluk belanga / potongan V / perahu bugis)
berlencana di dada kiri.
3. Seluar hitam ¾ labuh (paras betis).
4. Sandang (khalifah muda / khalifah /khalifah kanan / panglima hitam).
5. Berbengkung (tali pinggang).
Kelengkapan wanita:
1. Tudung/tengkolok hitam.
2. Baju kurung hitam labuh lengan panjnag berlencana di dada kiri.
3. Seluar panjang hitam labuh.
4. Samping hitam.
5. Sandang (seri kandi muda / seri kandi / seri kandi kanan).
6. Berbengkung (tali pinggang).

SENJATA KHAS
Ilmu seni senjata di dalam Silat Seni Gayong mendedahkan kepada pesilat tentang rahsia
segala permainan senjata di alam Melayu seperti:
1. Pisau 9. buku lima
2. Parang 10. lembing
3. Golok 11. tongkat
4. Kelewang 12. cota
5. Kerambit 13. Mayang gesit
6. Tekpi 14. Sundang lipas
7. Kapak 15. Tumbuk lada
8. Keris

11
SENI SENJATA GAYONG
Seni senjata gayong ini merupakan peringkat dimana murid gayong didedahkan dengan
permainan dan selok belok senjata di alam Melayu. Seni senjata gayong ini terbahagi kepada
dua jenis seni utama iaitu Seni Keris dan Seni Simbat.
Pelajaran Seni Keris menggunakan senjata tikam seperti keris dan pisau. Murid
gayong diajar menggunakan senjata ini dan juga kaedah untuk menghadapinya. Berikut
adalah teknik seni yang terdapat didalam seni keris ini adalah seperti tikaman anak sungai,
rembat keli, rembat relang, pasak jantan, radak sula, dan radak benih. Dalam Pelajaran ini ia
mengandungi seni keris iaitu keris satu dan keris dua sebanyak 49 tikaman, seni pisau pula
adalah seni kuncian serangan maut dan pentas iaitu pisau satu dan pisau dua.
Pelajaran Seni Simbat ini pula adalah menggunakan senjata belantan dan ia merupakan
asas kepada permainan pedang, parang panjang, kapak, tekpi, lembing dan sundang lipas.
Antara teknik yang terdapat di dalam seni ini seperti Rembat Renchong, Libas Tanduk,
Renchong Rembat, Nandung Libas, Libas Nandung, Tikaman Anak Sungai, Sauk, Tikaman
Sula, Tikaman Rembat, Tikaman Lurus, Tikaman Hentak dan Tikaman Rejam. Mengandungi
pelajaran Seni Simbat / Tongkat (kunci dan permainan), Seni Simbat Suk / Cota (kunci dan
permainan), Seni Tombak / Lembing (kunci dan permainan), Seni Tongkat Panjang /
Tembung (kunci dan permainan), Seni Parang Panjang (kunci dan permainan - Parang Satu
dan Parang Dua), Seni Parang-Tekpi, Seni Tombak-Tekpi dan Seni Anak Tombak (kunci dan
permainan).

AMALAN DAN ADAT ISTIADAT SENI GAYONG

Amalan atau acara adat istiadat ini yang lazimnya dianjurkan dalam kegiatan Silat Seni
Gayong adalah Perlimau Tapak/Perlimau Seni, Pemakaian Pakaian iaitu untuk latihan dan
acara rasmi, Khatam Keris, Khatam Lembing,Penyampaian Sandang, Bergelanggang iaitu
adat membuka atau menutup latihan di gelanggang, Mengambil tapak dan Angkat Hormat
kepada Guru atau Pemimpin. Setiap aktiviti ini mempunyai kaedah dan caranya tersendiri,
ada diantaranya melibatkan cara gaya pakaian, warna kain, alat dan perkakasan, tutur kata,
bacaan doa dan surah-surah pilihan Al-Quran, lafaz akad dan ikrar. Setiap perlakuan serta
bahan atau alatan yang digunakan adalah mempunyai sebab yang perlu difahami oleh setiap
pesilat dan juga gurulatih. Penghayatan dan juga pemahaman kepada acara adat istiadat ini
akan melakarkan rupa bentuk pengamal Silat Seni Gayong sekiranya para jurulatih
melaksanakannya dengan teratur, bertanggungjawab dan berterusan.

I. Mandi Perlimau Sintuk Tapak


Perlimau Sintuk Tapak adalah di mana pelatih cuma dibenarkan mempelajari ilmu Seni silat
Gayong sehinggalah ke pelajaran Tapak Gayong sahaja.

12
II. Mandi Perlimau Sintuk Seni
Perlimau Sintuk Seni ini merupakan peringkat di mana penuntutan ilmu untuk ke peringkat
yang lebih tinggi. Malah, pelatih juga akan memperolehi perbezaan dalam penuntutan ilmu
yang mana dibenarkan mempelajari ilmu Seni silat Gayong setinggi mana yang mereka
mampu, termasuklah bermain apa saja senjata serta ilmu kebatinan tertakluk syarat-syarat
tertentu. Dalam menjalankan upacara ini, pelatih dikehendaki untuk bersih daripada hadas
kecil dan besar(berwuduk).

III. Adat Menghadap Bertapak


Menghadap bertapak dilakukan semasa:
1. Penerimaan penabalan
2. Memohon izin bergelanggang
3. Memberi hormat kepada majlis

IV. Adat Membuka dan Menutup Gelanggang


Latihan akan dimulakan dengan adat membuka gelanggang serta diakhiri dengan adat
penutupan gelanggang. Upacara ini disempurnakan dengan membaca ayat-ayat berikut:
1. Surah Al-Fatihah (1 kali)
2. Surah Al-Ikhlas (11 kali)
3. Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. (3 kali)
4. Berdoa semoga dijauhkan segala bahaya dan niat khianat iblis, jin, manusia dan
binatang serta memohon diberkati pelajaran yang dituntut.
5. Doa kesyukuran kerana latihan ditamatkan dengan baik daripada mula hingga akhir
dan semoga mendapat keredhaan serta rahmat Allah s.w.t.
6. Jika ada berkat doa dan bacaan-bacaan yang dibacakan, ianya dihadiahkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w., sekelian Rasulullah, nabi-nabi, wali-wali, al-marhum Dato'
Mahaguru serta zuriatnya, kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat murid Gayong dan
seluruh murid serta ahli Gayong yang telah meninggal dunia sama ada baru atau lama.

V. Adab Dalam Gelanggang


Antara perkara yang harus dipatuhi murid semasa berada di dalam gelanggang:
1. Tidak meludah
2. Tidak memakai alas kaki
3. Tidak bergurau senda
4. Meminta izin daripada Imam Gelanggang jika ingin keluar daripada gelanggang atau
ingin bertemu seseorang di luar gelanggang
5. Menghormati rakan-rakan dalam Latihan
6. Tidak makan atau minum

13
Bengkung, sandang dan tengkolok perlu ditanggalkan serta disimpan di tempat yang elok
ketika menikmati santapan dan makanan.

VI. Khatam/Tamat Pelajaran Permainan Seni Keris


Keris dikatakan mempunyai keistimewaan dalam sejarah Melayu kerana ia adalah lambang
kekuatan dan kependekaran pahlawan-pahlawan Melayu zaman silam. Misalnya Hang Tuah
lima bersaudara. Permainan keris ini mempunyai rahsia serta nilai seni yang sangat halus dan
tersendiri malah ianya tidak sama seperti senjata-senjata lain. Bukan itu sahaja, permainan
senjata keris juga amat berbahaya dan sangat susah untuk mengendalikan lawan yang hebat
bermain keris.
Upacara perkhataman seni keris dilakukan di laut (di tepi pantai). Perkhataman di laut
ini adalah merupakan salah satu adat istiadat Seni Gayong dan ia juga merupakan dugaan
serta cubaan terakhir kepada murid-murid Gayong setelah mereka telah tamat latihan
menggunakan senjata tikam seperti keris.

VII. Mandi Minyak


Mandi minyak ini bukan suatu amalan kebatinan untuk mereka menjadi kebal seperti mana
yang telah digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak sehingga menyebabkan seni silat sering
disalah tafsirkan. Mandi minyak ini sebenarnya adalah merupakan satu amalan tradisi
masyarakat Melayu yang bertujuan untuk pengubatan serta menyihatkan badan. Ketika
upacara ini dilaksanakan, ahli-ahli gayong hanya menyepuh minyak panas di dalam kawah
dan seterusnya diurut ke seluruh badan. Amalan mandi minyak ini dikatakan mampu
memberikan suatu daya tahan kepada kepanasan dan bisa.
Upacara mandi minyak akan dimulai dengan adat buka gelanggang terlebih dahulu.
Mandi minyak akan dikawal oleh guru-guru tua dan ianya dimulai daripada kelapa dibelah.
Kesemua kerja-kerja membelah kelapa, mengopek kelapa serta memasak minyak kelapa adalah
dilakukan sepenuhnya oleh mereka. Ketika itu, mereka perlu berkeadaan suci dari hadas
besar atau kecil serta telah bersembahyang sunat sebelum melaksanakan tugas-tugas tersebut.
Sewaktu kerja-kerja memasak dijalankan, gurulatih-gurulatih serta ahli-ahli gayong
yang terlibat akan membaca surah Al-Ikhlas secara berterusan sehinggalah upacara ini selesai
sepenuhnya. Ini adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah agar peseni silat dapat diasuh
serta dibaja dengan didikan Al-Quran dan akhirnya melahirkan peseni silat Gayong yang
berpegang teguh pada Al-Quran dan juga Islam.

14
PENGGUNAAN BENGKUNG DAN MAKNA

Bagi menyebarkan serta memperluaskan seni silat pusaka gayong kepada masyarakat
setempat dan seluruh dunia, siri-siri ilmu perlulah lengkap dan boleh dibezakan melalui
pemakaian bengkung. Setiap bengkung yang dipakai merupakan petunjuk kepada pencapaian
jenis-jenis kemahiran.

Bengkung dewasa dan bengkung kanak-kanak

Bengkung berwarna hitam bercula 7 adalah tahap ilmu dalam seni bela diri yang
tertinggi, yang disebut Bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Tingkatan Tujuh (HPC VII).
Pada zaman dahulu, pesilat mempercayai terdapat kuasa yang dibawa oleh bengkung iaitu
Pelangi Agong Mahkota dimana pemegang bengkung ini adalah empunya silat, mahaguru
ataupun zuriat keturunan darahnya sahaja, dan sangat berkuasa untuk mentadbir silat ini
mengikut kehendaknya.
Terdapat lima warna dalam susunan tali pinggang atau bengkung Seni Silat Pusaka
Gayong iaitu, tali pinggang hitam mulus, tali pinggang awan putih, tali pingang pelangi hijau,
tali pinggang pelangi merah dan tali pinggang pelangi kuning. Tali pinggang pelangi merah
terbahagi kepada tiga kategori iaitu pelangi merah cula I, pelangi merah cula II dan pelangi
merah cula III. Tali pinggang pelangi kuning pula terbahagi kepada lima kategori iaitu
pelangi kuning cula I, pelangi kuning cula II, pelangi kuning cula III, pelangi kuning cula IV
dan pelangi kuning cula V. Selain itu juga terdapat tujuh kategori bagi tali pinggang pelangi
hitam iaitu pelangi hitam cula I, pelangi hitam cula II, pelangi hitam cula III, harimau pelangi
hitam cula IV, harimau pelangi hitam cula V, harimau pelangi hitam cula VI, dan harimau
pelangi hitam cula sakti VI.
Terdapat perbezaan bengkung pelatih dengan bengkung jurulatih atau guru. Bengkung
kejurulatihan akan diberi kepada ahli gayong yang telah mengikuti kursus kejurulatihan serta
layak untuk melatih ahli-ahli gayong yang lain. Tanda kejurulatihan ini dapat dilihat dengan
tanda merah panjang pada bengkung. Misalnya terdapat tanda calit kejurulatihan pada
bengkung pelangi kuning cula V dan bengkung pelangi hitam cula sakti VI.
Terdapat juga bengkung kategori kanak-kanak iaitu hitam mulus, awan putih cula
hijau, awan putih cula merah, awan putih cula kuning dan awan putih cula hitam yang boleh
membezakan tahap-tahap pelajaran kanak-kanak tersebut. setelah kanak-kanak tersebut telah
mempelajari pelajaran buah combat, kunci mati dan pentas maka dia boleh dianugerahkan
bengkung pelangi hijau.

15
PANTANG LARANG

Tiada pantang larang yang khusus dalam amalan seni bela diri Silat Pusaka Gayong. Apa
yang dijadikan pegangan dalam etika seni bela diri Silat Pusaka Gayong adalah setiap ahli
perlu mentaati segala perintah Allah SWT serta menghindari dan menjauhi segala larangan-
Nya.
Fokus utama seni bela diri Silat Pusaka Gayong ialah kepada membicarakan tentang
kaedah pembentukan akhlak terpuji. Ianya dipupuk dalam nilai keperibadian yang teramat
tinggi dari segi kualiti serta mencapai objektif yang sentiasa bergerak mengikut pedoman
yang diberikan. Matlamat baik ini wujud dalam adat istiadat, peristiwa sejarah, amanat dan
pelajaran seni Silat Gayong. Falsafah beretika dalam seni silat pusaka gayong berkaitan
dengan pelajaran dan pendidikan yang bertunjangkan ajaran Islam supaya ajaran ini akan
menjadi sumber inspirasi, motivasi serta pengawasan untuk membina diri dengan nilai-nilai
yang luhur sebagaimana ianya boleh diterima oleh semua agama dan masyarakat setempat
yang waras.
Nilai-nilai luhur daripada seni silat gayong yang meliputi dari segi mental, spiritual,
Teknik bela diri dan kesenian. Aspek mental pengamal seni bela diri pusaka gayong
seharusnya hendaklah beriman kepada Allah S.W.T dan rukun-rukun iman yang lain. Selain
itu juga, ahli- ahli haruslah sentiasa menghormati sesama insan terutamanya yang lebih tua
dan berilmu, memiliki sifat kecintaan untuk membantu sesama insan lain dan berterusan
untuk meningkatkan kualiti diri, konsisten dan istiqamah dalam perjuangan dan kerja-kerja
kebajikan yang dilakukan.
Dari segi aspek bela diri adalah tinggi dan berani menegakkan kebenaran dan keadilan
serta jujur dan amanah dalam membanteras segala kepalsuan, penyelewengan dan juga
kemunafikan. Seseorang pengamal juga perlu tabah menghadapi cubaan dan godaan. Dari
segi aspek kesenian seharusnya mencintai seni budaya dan menghargai karya-karya yang
indah serta memiliki keperibadian yang kukuh dan berbudaya. Aspek kesenian juga perlu
memperhalusi serta menjiwai segala apa yang dilakukan, selain itu memiliki daya kreativiti
yang tinggi dan inovatif.

16
BAB 3
KESIMPULAN

Silat merupakan warisan kebudayaan masyarakat Melayu yang sepatutnya dijaga dan
dipelihara sebagai satu kebanggaan bangsa. Warisan ini merupakan suatu khazanah yang
berharga kerana mampu mendidik pengamalnya menjauhi maksiat dan taat beribadah kepada
Allah SWT. Oleh itu, diharapkan agar Silat Seni Gayong ini akan terus dipertahankan agar
ianya tidak ditelan arus modenasi dan globalisasi. Setiap anak Melayu harus memainkan
peranan masing-masing dalam usaha mengekalkan Silat Seni Gayong sebagai salah satu seni
mempertahankan diri yang terunggul di mata dunia.

RUJUKAN

Anuar, A. W. (1989). Silat Olahraga, The Art, Techniques and Regulations. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Ku Ahmad, K. M., & Wong, K. K. (1978). Silat Melayu The Malay Art of Attack and
Defence. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Zainal Abidin, S. A., & Nigel, S. (2006). Silat Tua The Malay Dance of Life. Kuala Lumpur:
Azlan Ghanie (M) Sdn Bhd.
Aziz D. (1992). Silat: Perancangan dan Pembangunan. Dewan Budaya, 14(6) 41-42.

Abdul R.I. (2008). Seni Silat Melayu: Sejarah Perkembangan dan Budaya. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul A. (1975). Seni Silat di Zaman Kemajuan: di Mana Tempatnya. Dewan Masyarakat,
15(10) 5-8.

Amruddin B. (Ed.). (1998). Silat Cekak Hanafi Peneraju Warisan Mutlak. Kuala Lumpur:
Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi Malaysia.

http://www.gayong.com.my/index.php/sejarahgayong
http://pesaka.my/index.php/sejarah-penubuhan/

https://writerdruid.wordpress.com/2009/10/27/sejarah-silat-melayu/

http://www.gayong.com.my/

17

Anda mungkin juga menyukai