Anda di halaman 1dari 6

NAMA : NUR HUSNA AFIQA BINTI MOHAMAD

NO MATRIK : A170336

Strok : Adakah Terapi Carakerja Membantu?

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah contoh gambaran kepayahan dan

cabaran yang terpaksa dilalui oleh individu yang diserang strok, bagi meneruskan kehidupan

mereka. Hal ini kerana , kehilangan keupayaan disebabkan oleh strok mengakibatkan individu-

individu ini tidak boleh atau mampu untuk melakukan aktiviti kehidupan harian, termasuklah

dalam menguruskan diri sendiri. Oleh hal yang demikian, rawatan dan terapi pemulihan mestilah

dilaksanakan kepada pesakit-pesakit strok.

Strok atau kadangkala dipanggil, angin ahmar berlaku disebabkan oleh terhalangnya

saluran darah yang membawa bekalan oksigen dan nutrien kepada bahagian otak ataupun apabila

saluran darah di dalam otak pecah. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kerosakan kepada

sebahagian daripada tisu otak kerana kekurangan bekalan oksigen. Ini boleh mengakibatkan tisu

otak tersebut mati lalu menghilangkan kefungsian otak kepada manusia seterusnya memberi kesan

langsung kepada aktiviti harian.

Antara gejala atau tanda yang menunjukkan seseorang itu mengalami strok adalah pengsan,

tidak sedarkan diri , rasa semut-semut dan lemah secara tiba-tiba pada sebahagian anggota badan,

sakit kepala yang kuat tanpa sebab tertentu, penglihatan yang kabur secara tiba-tiba dan juga sukar

berjalan, pening atau hilang imbangan dan koordinasi secara mengejut. Jika tidak mendapatkan

rawatan secara segera setelah mengalami strok, kecacatan kekal boleh terjadi kepada pesakit.

Malah, strok juga telah dikategorikan sebagai penyebab kedua utama kematian di seluruh dunia
oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan kadar kematian tahunan sebanyak 5.5 juta orang

dan dilaporkan sebagai punca kematian nombor tiga di Malaysia.

Bukan itu sahaja, strok juga mengakibatkan 50% pesakitnya yang terselamat mempunyai

komplikasi seperti kecacatan yang kekal ataupun kehilangan beberapa keupayaan untuk

menguruskan diri, bekerja, berfikir, berjalan, makan, menelan, bercakap dan bertutur. Oleh itu,

pesakit strok mestilah menjalani sesi rawatan pemulihan yang bersesuaian dengan komplikasi

strok yang mereka hadapi bagi meningkatkan kualiti dan fungsi kehidupan seharian pesakit.

Peranan Ahli Terapi Carakerja

Terapi pemulihan strok atau rehabilitasi strok adalah bersifat komprehensif dan meliputi

kepelbagaian disiplin (multidisciplinary). Melalui terapi pemulihan dan rawatan neurologi, pesakit

strok akan dibantu kembali ke tahap fungsi fizikal tertinggi yang mampu dicapainya. Terapi

pemulihan pula merangkumi khidmat pelbagai kepakaran, termasuk pakar terapi pertuturan,

fizikal, cara kerja dan rekreasi serta aktiviti berkumpulan. Terapi carakerja merupakan salah satu

rawatan pemulihan untuk membantu pesakit mencapai, mengekalkan dan meningkatkan tahap

kefungsian dan keberdikarian yang optimum dalam kehidupan seharian, pekerjaan, bermain atau

rekreasi yang merangkumi aspek fizikal, mental, sosial dan kerohanian yang akhirnya

membolehkan mereka untuk berupaya kembali kepada komuniti.

Ahli terapi carakerja memainkan peranan yang penting dalam membantu pesakit strok

untuk sembuh seperti sedia kala. Ini telah dibuktikan oleh kajian oleh Legg et al. pada tahun 2017

di mana intervensi oleh ahli terapi carakerja untuk pesakit strok boleh memperbaiki kemampuan

mereka untuk menjalankan aktiviti harian dan menghentikan kemerosotan kemampuan mereka.

Tempoh masa untuk proses pemulihan daripada strok adalah bergantung kepada pelbagai jenis
faktor. Antaranya adalah faktor daripada keadaan strok itu sendiri seperti ukuran, saiz dan lokasi

strok itu berlaku manakala untuk faktor pesakit adalah meliputi faktor usia dan keadaan kesihatan

keseluruhan pesakit sebelum mengalami strok. Akan tetapi, 90 hari pertama setelah diserang strok

adalah merupakan masa yang kritikal ataupun tempoh keemasan untuk pemulihan pesakit strok.

Dalam tempoh ini juga, ahli terapi cara kerja akan menggunakan pelbagai aktiviti ataupun

pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan pesakit yang bertujuan sebagai rawatan pemulihan.

Pada mulanya, ahli terapi carakerja akan menjalankan penilaian awal terlebih dahulu untuk

menilai tahap kefungsian dalam hidupan seharian setiap pesakit strok secara komprehensif serta

menilai tahap kognitif, kemudian berbincang setiap aspek yang diperlukan bagi membantu mereka.

Mengikut kepada tahap kefungsian yang berlainan, pelbagai kemahiran yang meliputi aktiviti

kehidupan seharian dan aktiviti domestik seperti kebersihan diri, cucian pakaian (dobi), asas

pengurusan kewangan dan penjagaan diri akan diterapkan dalam program pemulihan terapi

carakerja untuk setiap pesakit mengikut keperluan masing-masing. Peranan utama program

rehabilitasi ini adalah untuk memastikan pesakit mendapatkan kembali kemahiran asas dalam

pengurusan diri sendiri dan seterusnya dapat menjalani rutin harian secara normal.

Selepas itu, barulah ditetapkan objektif dan menyasarkan apa yang ingin dicapai dalam sesi

terapi carakerja itu. Intervensi yang dirancang akan dibuat mengikut kesesuaian pesakit, termasuk

mengambil kira tahap kesihatan dan komplikasi yang mungkin berlaku. Mereka akan

mencadangkan modifikasi kepada aktiviti dan persekitaran yang membantu pesakit untuk

menjalani aktiviti harian di rumah, tempat kerja dan di kawasan komuniti. Proses penilaian

terhadap keadaan pesakit adalah berterusan sepanjang mereka menjalani rawatan pemulihan demi

mencapai matlamat jangka pendek dan panjang yang telah dibincangkan bersama-sama pesakit,

dengan mengambil kira gaya hidup dan persekitaran tempat tinggal pesakit.
Simulasi aktiviti pekerjaan

Ahli terapi carakerja membantu pesakit strok untuk menjalankan aktiviti kehidupan

seharian mereka secara berdikari. Antara aktiviti kehidupan seharian yang penting adalah termasuk

makan, minum, bergerak, pergi ke tandas, kebersihan diri, serta memakai dan menanggalkan

pakaian. Apabila terkena serangan strok, ianya akan mengubah dan mengurangkan fungsi

bahagian tubuh seseorang dan akan mengakibatkan kemampuannya untuk menjalankan aktiviti

kehidupan seharian terjejas. Selain daripada itu, ahli terapi carakerja juga berperanan untuk

membantu pesakit kembali bekerja dan memandu kenderaan semula. Pesakit akan dilatih untuk

memandu semula melalui simulasi pemanduan dengan bantuan teknologi terkini yang dijalankan

semasa sesi terapi. Beberapa penilaian kognitif dan fizikal akan dijalankan bagi melihat tahap

keupayaan dan kesediaan pesakit strok untuk kembali memandu semula.


Simulasi Pemanduan di PERKESO, MELAKA

Proses rehabilitasi terapi carakerja turut membabitkan bukan sahaja pesakit, malah ahli

keluarga terdekat. Hal ini kerana, hasil pemulihan yang baik adalah berkait rapat dengan motivasi

pesakit dan sokongan yang tinggi daripada ahli keluarga. Malah, ahli terapi cara kerja boleh juga

mengajar ahli keluarga pesakit untuk memantau pesakit menjalani terapi pemulihan di rumah dan

juga mencadangkan kepada mereka untuk melakukan sedikit pengubahsuaian atau penyesuaian di

dalam rumah untuk memudahkan keadaan pesakit strok melakukan aktiviti harian mereka. Hal ini

akan dapat mengurangkan risiko untuk tercedera dan meningkatkan tahap keberdikarian pesakit

untuk menjalankan aktiviti seharian. Dengan ini proses pemulihan pesakit akan menjadi lebih

cepat dan mudah disebabkan oleh bantuan daripada ahli keluarga pesakit.

Di Manakah Pesakit Boleh Dapatkan Servis Terapi Carakerja?

Servis terapi carakerja boleh didapati di hospital-hospital kerajaan, klinik kesihatan,

PERKESO, pusat dalam komuniti, badan bukan kerajaan seperti hospital swasta, klinik-klinik

rehabilitasi dan lain-lain dan juga di sektor industri. Pesakit boleh dirujuk kepada servis ini melalui
cadangan daripada doktor yang merawat mereka dan juga datang sendiri ke tempat-tempat yang

disebutkan di atas.

Melihat kepada pentingnya peranan terapi pemulihan carakerja kepada pesakit strok untuk

menjalani aktiviti harian, masyarakat seharusnya diberikan pendedahan berkaitan servis terapi

carakerja ini supaya pesakit-pesakit yang kehidupan mereka yang terganggu selepas menghidapi

strok mendapat peluang kedua untuk kembali pulih sediakala. Malah kualiti kehidupan mereka

akan bertambah dengan lebih baik disebabkan mereka boleh kembali melakukan aktiviti harian

mereka sama seperti sebelum mereka menghidapi strok. Oleh itu, pemulihan pesakit strok dengan

terapi cara kerja ternyata memberikan banyak manfaat kepada mereka.

Rujukan
1. Govender, P. & Kalra, L. 2007. Benefits of Occupational Therapy in Stroke
Rehabilitation. Expert Rev Neurother 7(8): 1013-1019.
2. Legg, L. A., Lewis, S. R., Schofield-Robinson, O. J., Drummond, A. & Langhorne, P.
2017. Occupational Therapy for Adults with Problems in Activities of Daily Living after
Stroke. The Cochrane database of systematic reviews 7(7): Cd003585.
3. Hashim, A. 2019. Pemulihan Pesakit Strok. PORTAL MyHEALTH. Retrieved July 5,
2022, from http://www.myhealth.gov.my/pemulihan-pesakit-strok/
4. Abdul Kutoos, J. 2019. Apa Itu Pemulihan Carakerja? PORTAL MyHEALTH. Retrieved
July 5, 2022, from http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-pemulihan-carakerja/
5. Azryl Rosli, F. 2021. Terapi pertuturan pesakit strok. Berita Harian. Retrieved July 5,
2022, from https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-
lain/2021/01/774146/terapi-pertuturan-pesakit-strok.

Anda mungkin juga menyukai