Anda di halaman 1dari 9

1

Masjid Pusat Perkembangan Tamadun Islam

Nor Hayati Fatmi Talib


Bani Hidayat Mohd Shafie
Ab.Halim Tamuri
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia
email: yati_6709@yahoo.com

ABSTRAK

Masjid adalah binaan pertama yang didirikan oleh Rasulullah saw di Madinah dalam peristiwa
hijrah, masjid merupakan syiar Islam, tempat melakukan peribadatan, tempat membina
keyakinan, tempat aktiviti ekonomi, berpolitik, pendidikan dan pembangunan masyarakat,
menghubungkan manusia dengan Allah swt, sesama manusia dan alam sekitar bagi kesejahteraan
hidup di dunia dan di akhirat berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Kertas kerja ini akan
menyentuh kedudukan masjid dalam sejarah perkembangan Islam, fungsi dan peranan masjid di
dalam Islam, bagaimana masjid sebagai pusat pelbagai kegiatan masyarakat dan negara sekali
gus membawa kepada pembangunan modal insan dan perkembangan Tamadun Islam. Kertas
kerja ini juga akan menyentuh tentang realiti fungsi masjid masa kini di Malaysia.

PENDAHULUAN

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Tempat yang paling dikasihi oleh Allah di
sesuatu negeri atau qariah itu ialah masjid-masjidnya” (Amaluddin, 1979). Allah swt juga telah
berfirman dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanyalah yang memakmurkan
masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap
mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain Allah, maka
merekalah orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.
Ini menunjukkan gambaran masjid sebagai institusi penting di dalam Islam.

Analisis yang mendalam terhadap sirah Rasulullah SAW akan membawa seseorang
kepada hakikat bahawa pembinaan generasi unggul telah mula dilakukan oleh Rasulullah sejak
baginda diutuskan menjadi Rasul. Malah di tangan bagindalah masyarakat Arab mula melalui
proses transformasi sosial dan kebudayaan. Maka kita dapat katakan kejayaan umat Islam adalah
bertunjangkan asas-asas yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah yang aktivitinya
berpusat di masjid. Catatan sejarah menunjukkan bahawa antara perkara terawal yang dilakukan
oleh Rasulullah saw semasa peristiwa hijrah adalah baginda Rasulullah saw membangunkan
institusi masjid. Rumah baginda sendiri berdekatan dengan masjid dan baginda menguruskan dan
melaksanakan banyak perkara di masjid. Ini menunjukkan bahawa masjid adalah satu institusi
penting di dalam Islam.

MASJID DI DALAM AL-QURAN DAN HADIS

Masjid berasal dari perkataan Arab ‘bermaksud ‘tempat bersujud’ diambil dari akar kata ‘sajada’
yang bermakna ‘meletakkan dahi ke bumi’ atau ‘bersujud’(Ibnu Manzur 1993). Dalam Kamus
Dewan, masjid diberikan erti sebagai ‘bangunan khas tempat umat Islam melakukan sembahyang
Jumaat dan ibadat-ibadat lain’ (Kamus Dewan Edisi 3 2000).
2

Dalam al-Qur’an al-Karim, banyak ayat-ayat yang menyentuh dan mengatakan tentang
masjid iaitu sekurang-kurangnya 46 tempat di dalam al-Quran. Ada di antara ayat berkenaan yang
menyebutkan masjid secara khas seperti Masjid al-Haram, Masjid al-Aqsa dan ada juga perkataan
masjid yang bermaksud masjid secara umum. Selain daripada perkataan itu, terdapat juga
beberapa perkataan yang seerti dengan masjid seperti perkataan ‘al-bait’ dan ‘ash-shaf’.

Muhammad ad-Daudi (1986) telah membahagikan ayat-ayat al-Qur’an yang mengandungi


erti masjid kepada tujuh bahagian seperti berikut: (1) Masjid yang disebutkan sebagai al-Haram
sebanyak 15 ayat; (2) Masjid yang dimaksudkan sebagai al-Aqsa sebanyak satu ayat; (3) Masjid
yang bukan dimaksudkan sebagai al-Haram dan bukan al-Aqsa sebanyak enam ayat; (4) Ash-Shaf
yang dimaksudkan sebagai masjid sebanyak satu ayat; (5) Masjid yang disebutkan dalam bentuk
jamak atau banyak iaitu masâjid sebanyak enam ayat; (6) Al-Bait yang dimaksudkan sebagai
sebuah masjid sebanyak 15 ayat; dan (7) Al-Buyût yang dimaksudkan sebagai masjid-
masjid(banyak) sebanyak dua ayat.

Perkataan masjid yang disebut dalam hadis juga mempunyai jumlah yang sangat banyak.
Kalau dikumpulkan hadis yang merujuk kepada kata ‘masjid’ daripada kitab hadis yang sembilan
iaitu Shahîh al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, an-Nasa’i, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad, Malik dan
ad-Darimi, ternyata perkataan masjid mencapai kepada jumlah 1,686 dalam hadis-hadis tersebut.
Daripada jumlah itu 292 terdapat dalam Shahîh al-Bukhari dan 1890 dalam Shahîh Muslim.
Perkataan masjid dalam kitab-kitab hadis terdapat merata pada hampir keseluruhan bab, terutama
yang bersangkutan dengan bab-bab ibadat seperti sembahyang, thahârah dan wudhu. Selain itu
masjid juga banyak dikaitkan dengan iman, jihad, peperangan, adab dan tentunya, bab yang
memperkatakan masjid secara khas.

KEDUDUKAN MASJID DALAM SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM

Menurut Roslan (2008), jumlah yang banyak ini membayangkan kepentingan masjid di dalam
menjana masyarakat yang mempunyai tahap ketakwaan yang jitu. Justeru, perkembangan Islam
dan pembangunan masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada masjid. Ini juga menunjukkan
bahawa masjid adalah institusi yang sangat signifikan dalam perkembangan dan kemajuan di
dalam Islam baik dari segi kerohanian mahupun kebendaan. Menurut Nik Mohd Rosdi (2007),
masjid adalah nadi pembangunan masyarakat Islam dari aspek duniawi dan ukhrawi. Masjid yang
berfungsi dengan baik mampu membangunkan seluruh potensi keinsanan para jemaah nya dengan
sempurna meliputi aspek rohani, akal, jiwa dan jasmani.

Antara tiga masjid utama yang dimuliakan di dalam Islam adalah Masjid al-Haram di
Mekah yang merupakan tempat terdapatnya Kaabah yang merupakan kiblat umat Islam, diikuti
dengan masjid an-Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Al-Quds, Jerusalam di Palestin.
Masjid paling besar di dunia ketika ini adalah Masjid Shah Faisal di Islamabad, Pakistan seluas
46.87 ekar, menara masjid tertinggi di dunia ketika ini adalah menara Masjid Sultan Hassan II di
Casablanca di Maghribi iaitu setinggi 210 meter. Kubah masjid terbesar di dunia pula adalah
kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, Malaysia iaitu 52
meter diameter dan 350 meter tinggi.

Sejarah Masjid al-Haram di Mekah bermula semenjak nabi Adam a.s lagi, di dalamnya
terdapat Kaabah yang merupakan kiblat umat Islam di seluruh dunia dalam menunaikan ibadat
solat, tempat menunaikan ibadat haji, iktikaf dan menunaikan ibadat di dalamnya mendapat
ganjaran pahala yang berlipat kali ganda berbanding masjid-masjid lain di seluruh dunia. Terdapat
3

beberapa tempat yang istimewa dan mulia seperti Maqam Ibrahim, Hajaral Aswad, Telaga Zam
Zam, bukit Safa dan Marwah, Hijr Ismail, Rukun Yamani dan Multazam di situ.

Masjidil haram telah menjadi tempat peribadatan semenjak nabi Adam a.s. Firman Allah
swt dalam surah Maryam ayat 58 yang bermaksud: “Mereka itu adalah orang-orang yang telah
diberi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi daripada keturunan Adam dan daripada orang-orang
yang kami angkat bersama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israil, dan daripada orang-
orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah
Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan
menangis”. Bersujud di sini adalah di Baitullah di Mekah sebagaimana Firman Allah swt dalam
surah al-Imran ayat 96 yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk
(tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang berada di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan
menjadi petunjuk bagi semua manusia”.

Masjid al-Aqsa pula adalah masjid kedua yang dibina di muka bumi setelah Masjid al-
Haram, mula-mula sekali didirikan oleh nabi Allah Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s. Di masjid
ini berlaku beberapa peristiwa penting dalam sejarah para rasul dan nabi serta orang-orang salih
sejak Nabi Adam a.s. nabi Adam a.s dan nabi-nabi lain pernah mengerjakan ibadat sembahyang
di masjid ini. Di sinilah juga Sayidatuna Maryam ‘Alaihassalam mendirikan mihrabnya dan
tempat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diisrâ’kan dari Masjid al-Haram lalu
mengerjakan sembahyang dan dimi‘râjkan ke langit (Ibnu Khaldun 1992).

Masjid Nabawi di Madinah adalah masjid kedua yang dibangunkan oleh Rasulullah
selepas masjid Quba, mengikut sejarah masjid ini dibina di tempat unta tunggangan Rasulullah
berhenti semasa peristiwa hijrah, satu kawasan tempat menjemur buah kurma yang dibeli daripada
dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhail. Masjid yang dimakmurkan oleh Rasulullah dalam
kegiatan keagamaan, muamalat, politik, penghakiman dan sebagainya. Keluasan masjid Nabawi
kini hampir mencapai 100.000 meter persegi, ditambah dengan lantai atas yang mencapai luas
67.000 meter persegi dan pelataran masjid yang dapat digunakan untuk salat seluas 135.000 meter
persegi. Masjid Nabawi kini dapat menampung kira-kira 535.000 jemaah serentak dalam satu-satu
masa. Antara masjid yang penting dalam sejarah Islam juga adalah Masjid Quba iaitu masjid yang
pertama dibina dan Rasullulah SAW dalam bentuk yang mudah dan sederhana. Dindingnya dibina
daripada batu bata, lantainya daripada anak-anak batu, mimbar nya daripada batang pokok,
sebahagian bangunan masjid beratap dan sebahagian yang lain dibiarkan terdedah (Ismail 2010).

FUNGSI DAN PERANAN MASJID DI DALAM ISLAM

Firman Allah swt dalam surah al-Jin ayat 18 yang bermaksud: “Dan bahawa
sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata, maka janganlah kamu
seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah”. Ayat ini menunjukkan bahawa masjid adalah
tempat untuk beribadat, ibadat pula menurut Islam bukanlah hanya dengan mengerjakan solat
semata-mata tetapi mencakupi ruang lingkup yang luas, ada ibadat khusus dan ada ibadat umum
sebagaimana firman Allah swt dalam surah an-Nur ayat 36-37 yang bermaksud: “Nur hidayat
petunjuk bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid tempat ibadat yang diperintahkan
oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingatkan nama Allah padanya, di situ juga
dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang
kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta
mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, mereka takut hari (kiamat)
yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan”.
4

Menurut Muhammad Uthman El-Muhammady (1997), masjid merupakan bangunan suci


dan penting dalam ajaran dan sejarah Islam, perjalanan Isra’ dan Mi’raj bermula dari Masjidil
Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan ke Masjid Baitul al-Makmur di Langit
seterusnya kembali semula ke Masjidil Haram di Makkah. Pembinaan masjid di Madinah juga
antara perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah saw setibanya di Madinah dalam peristiwa
hijrah bagi tujuan ibadah, muamalat, pendidikan dan sebagainya. Ini diikuti oleh para sahabat
yang membina beberapa buah masjid selepas membuka negeri-negeri baru.

Pusat Kegiatan Masyarakat

Menurut Shaikh Ali (2001), Islam tidak mengehadkan risalah masjid hanya untuk menunaikan
lima waktu sahaja, malahan Rasulullah saw mahukan masjid memainkan peranan yang positif dan
dinamik di atas suatu matlamat yang suci iaitu memberi khidmat kepada masyarakat Islam sejagat.
Menurut Muhammad Uthman El-Muhammady (1997), Masjidil Haram dan Masjid Madinah telah
berkembang menjadi pusat pengajian Islam bermula dengan pengajian tentang al-Quran, as-
Sunnah dan hukum hakam, ia berkembang kepada pengajian bahasa Arab, Nahu dan sebagainya.
Semasa zaman al-Ma’mun, masjid lebih bersifat sebagai maktab-maktab pengajian undang-
undang, terdapat himpunan kitab di dalam masjid dan kemudiannya wujud perpustakaan. Firman
Allah swt yang bermaksud: “Hanya orang yang mengimarahkan masjid-masjid itu ialah orang
yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat”. (surah at-Taubah, 9 : 18)

Lokman Ab. Rahman (2000), berpendapat bahawa institusi masjid haruslah dijadikan
sebagai pusat ilmu pengetahuan. Di dalamnya ada peranan sebagai pusat percambahan ilmu di
mana masjid mesti lengkap dengan bahan bacaan samada berkaitan dengan ibadah, muamalah,
sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Masjid juga berperanan sebagai pusat percambahan
fikiran melalui dialog, ceramah, seminar dan sebagainya, ianya juga pusat belajar al-Quran dan
tafsirannya (Ulum al-Quran) yang bukan hanya untuk golongan kanak-kanak, juga sebagai pusat
maklumat dengan kemudahan rujukan komputer berinternet, VCD dan sebagainya. Menurut
beliau lagi, masjid juga berperanan sebagai pusat pendidikan dari segi pengisian jiwa, pengukuhan
iman dan taqwa, santapan rohani, bimbingan penghayatan Islam, Tadika, pusat disiplin dan
dakwah selain daripada pusat ekonomi dan sosial.

Pusat Pembangunan Modal Insan

Aktiviti pembangunan modal insan ini semenjak zaman Rasulullah saw banyak tertumpu di
masjid-masjid. Pembangunan modal insan mempunyai perkaitan langsung dengan pembinaan
tamadun. Manusia yang baik terbina dengan kepercayaan yang betul (Aqidah), ini dapat dilihat
melalui sirah dengan misi transformatif berasaskan aqidah membebaskan manusia dari belenggu
kepercayaan yang tidak benar yang mengikat dan menahan daripada kemajuan dan ketamadunan.
Rasulullah memfokuskan dan memberikan keutamaan pembinaan generasi yang unggul
berbanding dengan pembangunan infrastruktur. Generasi yang unggul berteraskan akidah yang
benar akan mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuklah aspek pembangunan
kebendaan.

Generasi unggul yang dibina oleh Rasulullah saw mempunyai kehebatan mental, fizikal
dan rohani yang mampu menggalas tanggungjawab pembangunan tamadun Islam. Hasilnya
tertegak sebuah negara Islam yang kukuh dan makmur, diketuai oleh Rasulullah saw sendiri.
Kesan yang sama dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin sehingga berjaya
meluaskan empayar Islam dan melaksanakan banyak agenda penting pembangunan negara.
5

Contohnya menurut Syed Omar (1998), Khalifah Umar al-Khattab telah melaksanakan agenda
pembangunan negara Islam antaranya: (i) reformasi dan pembangunan sistem pentadbiran negara;
(ii) reformasi dan pembangunan dalam sistem ekonomi; (iii) pembangunan sektor pertanian; (iv)
reformasi dan pembangunan sistem politik; (v) reformasi dalam ketenteraan; dan (vi) reformasi
dan pembangunan sistem pendidikan.

“Dunia ini dibangunkan di atas empat tiang utama: keilmuan para sarjana, keadilan para
pemimpin, doa orang-orang Soleh dan keberanian para pahlawan (Hitti 1970)”. Membangunkan
modal insan bolehlah diibaratkan sebagai menyediakan tapak asas kepada sesuatu binaan, yang
darinya pula dibina kerangka yang menjalar ke segenap ruang, kerangka-kerangka ini seterusnya
boleh berfungsi dengan pelbagai kegunaan mengikut apa yang dihajati oleh manusia atau lebih
tepat lagi, memenuhi kemaslahatan ummah (Ajmain et al 2010). Menurut mereka lagi, bagi
menghasilkan modal insan yang dinamik, bermula dengan proses pengisian minda dengan ilmu
pengetahuan di samping penghayatan akhlak, ia akan menjadi aset berharga, tahu untuk
memobilisasi sumber pengeluaran yang terhad untuk dimaksimumkan dalam bentuk produk atau
perkhidmatan, berintegriti, menggunakan sumber alam dengan sewajarnya, melaksanakan tugasan
dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Pusat Perkembangan Tamadun Islam

Pembangunan modal Islam yang digarap oleh Rasulullah saw telah mengetengahkan konsep
bahawa pembangunan tamadun perlu didahului dengan pembangunan manusia. Sumber manusia
perlu dibentuk bukan sahaja dari segi pengetahuan dan kemahiran yang tinggi tetapi juga dibentuk
dengan keupayaan untuk bertanggungjawab, beramanah dan bertakwa. Elemen inilah yang tiada
dalam pemikiran barat yang menganggap pembangunan manusia adalah membina manusia
dengan melihat kepada elemen kebendaan dan ekonomi semata-mata. Manusia perlu mengetahui
hakikat diri yang merupakan hamba dan khalifah Allah swt, manusia bukan sahaja
bertanggungjawab terhadap sesama manusia, manusia juga bertanggungjawab terhadap alam dan
terhadap tuhan yang maha pencipta.

Ibnu Khaldun (2004) juga telah memberikan penekanan kepada pembangunan manusia
yang menyeluruh dan seimbang, pembangunan mesti berteraskan agama, sekiranya pembangunan
tidak berteraskan agama, pembangunan tersebut akan membawa manfaat di dunia sahaja dan
sebaliknya jika pembangunan berteraskan agama akan membawa kesejahteraan di dunia dan di
akhirat. Firman Allah swt dalam surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud: “Sekiranya penduduk
sesuatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan membuka kepada mereka (pintu-
pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi”.

Perkembangan Tamadun Islam bermula dengan perkembangan ilmu. Institusi masjid telah
memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu semenjak zaman Rasulullah saw lagi
hingga kini. Di awal penyebaran dakwah Islamiyyah, Rasulullah telah menggunakan rumah para
sahabat seperti rumah Arqam Bin Abi al-Arqam untuk memberikan pendidikan (Ghazali
Darussalam 2001). Pendidikan di masjid terus berkembang ketika Rasulullah di Madinah selepas
peristiwa hijrah (Ahmad Mohd Salleh 2003). Menurut Muhammad (2007), fungsi masjid ketika
zaman Rasulullah saw merupakan tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam, masjid juga
dijadikan tumpuan dan pusat bagi sebarang aktiviti penyelesaian masalah individu dan
masyarakat. Walaupun masjid ketika itu serba sederhana dari segi prasarana, Rasulullah saw telah
menjadikan masjid sebagai tempat menerima dan berjumpa dengan duta-duta asing, menjadikan
masjid sebagai tempat pemimpin-pemimpin Islam bersidang dalam masa yang sama digunakan
sebagai madrasah dan tempat pengajian untuk menuntut ilmu tentang Islam.
6

Masjid sebagai pusat pendidikan dapat dilihat melalui hadis Rasulullah saw yang
diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berkumpul lah
kalian kerana aku akan mengajar kepada kamu semua 1/3 daripada al-Quran. Maka mereka
berkumpul di Masjid. Tidak lama kemudian Rasulullah pun keluar dan melafazkan surah al-
Ikhlas”. Masjid sebagai pusat perayaan atau aktiviti sosial dapat dilihat melalui hadis yang
diriwayatkan oleh Aisyah yang bermaksud: “beberapa orang pahlawan dari Abisinia telah datang
ke masjid pada suatu hari raya dan mereka mempamerkan seni mempertahan diri. Rasulullah
menjemput saya menyaksikan perlawanan tersebut. Saya meletakkan kepala saya pada bahu
baginda dan melihat pameran seni mempertahankan diri itu sehingga saya puas lalu
memalingkan pandangan saya”

Masjid juga merupakan tempat interaksi sosial, Muslim meriwayatkan bahawa Jabir bin
Samura telah berkata yang bermaksud: Rasulullah Seringkali duduk di tempat baginda
mengerjakan solat subuh sehingga matahari naik, baginda akan berdiri di situ sambil para sahabat
lain berbual menceritakan keadaan masing-masing pada waktu jahiliah dahulu dan mereka akan
tertawa mendengar gelagat lucu. Rasulullah pun sama-sama mendengar tetapi baginda hanya
tersenyum sahaja.

Masjid juga dijadikan tempat untuk menjalankan kegiatan ekonomi. Riwayat Jabir bin
Abdullah: “Saya pergi bertemu Rasulullah semasa baginda berada di masjid. Selepas baginda
menyuruh saya mengerjakan solat dua rakaat, baginda membayar hutangnya kepada ku dan
memberi lebihan wang sedikit kepada ku” (Riwayat Muslim). Selain daripada itu masjid juga
dijadikan sebagai tempat penghakiman. Riwayat daripada Abu Huraira: Seorang muslim datang
berjumpa Nabi sewaktu baginda berada di masjid. Lelaki itu memberi pengakuan yang dia berzina
dengan seorang wanita. Rasulullah berpaling sebanyak empat kali seraya berkata, “adakah abda
tidak siuman”? Lelaki itu menjawab ‘tidak’. Nabi bertanya lagi, “sudah kah kamu berumah
tangga”? Dia mengiyakan soalan nabi. Rasulullah mengarahkan para sahabat merejam nya dengan
batu. Mereka merejamkan di masjid.

REALITI FUNGSI MASJID DI MALAYSIA KINI

Di Malaysia, pembahagian tempat beribadat dibahagikan kepada beberapa pecahan iaitu Masjid
Negara, Masjid Negeri, Masjid Daerah, Masjid Qariah dan Surau. Pembinaan masjid di Malaysia
semakin banyak dan bangunannya juga bertambah cantik dan bermutu. Terdapat masjid yang
mewah dan meriah serta makmur, ada yang masjid kepada terlalu mewah tetapi sunyi dan ada
yang daif bangunannya tetapi aktif dengan kegiatan-kegiatannya dan ada juga yang kecil terpencil
serta lemah pula kegiatannya. (Masbah 2000). Menurut Abd. Ghafar Don dan Kamaruzaman
Yusof (1999, Imej masjid dilihat tidak dinamik dan ceria kerana aspek keceriaan fizikal masjid
kurang diambil berat termasuklah melibatkan landskap dan kebersihan. Masalahnya sejauh
manakah masjid-masjid itu digunakan sesuai dengan fungsi dan ketentuan masjid sebagai tempat
ibadah, tempat belajar, tempat berdakwah, pusat sumber ilmu dan sebagainya.

Menurut Mokhtar (2003), Institusi masjid di Malaysia tidak berfungsi dengan sebaik
mungkin bagi pemangkin perkembangan umat Islam di Malaysia. Menurut Abdullah (2009),
masjid juga dikatakan menghadapi masalah kerana pihak pengurusan dan kepimpinan masjid
tidak mempunyai kemampuan untuk menerajui setiap aktiviti yang masjid perlu anjurkan agar
dapat memenuhi keperluan umat Islam di negara ini, beliau juga mencadangkan jawatan
pengurusan dan kepimpinan masjid patut ditawarkan kepada ahli-ahli masjid yang mempunyai
7

kelayakan akademik yang sewajarnya. Wan Mohamad (2008) pula berpendapat, para pengurus
dan pemimpin masjid mesti dilengkapkan dengan kemahiran mengurus dan memimpin yang
secukupnya bagi membolehkan mereka menganjurkan aktiviti-aktiviti komuniti seperti aktiviti
berbentuk pendidikan dan ekonomi.

Terdapat banyak juga kajian tentang masjid dilakukan di Malaysia, antaranya kajian
Akmariah dan Mohd Aderi (2010) berkaitan fungsi dan aplikasi institusi masjid ke arah
peningkatan kualiti komuniti yang dijalankan secara tinjauan di Masjid Kolej Matrikulasi Johor,
kajian ini mendapati warga kolej Matrikulasi Johor berminat untuk ke masjid kerana kepelbagaian
aktiviti dan program masjid yang diadakan. Kajian Abdul Aziz, Abdul Rashid & Abdul Muin
(2002) pula mendapati penglibatan masyarakat Islam Malaysia di dalam aktiviti-aktiviti yang
dianjurkan oleh masjid adalah rendah. Manakala kajian Roslan (2003) pula mengemukakan
dapatan bahawa terdapat masjid yang sangat aktif dan berfungsi sepenuhnya dengan pelbagai
aktiviti dan pengisian tetapi hanya melibatkan golongan pesara dan warga emas di Wilayah
Persekutuan (Roslan 2003).

Dari sudut undang-undang berkaitan dengan masjid di Malaysia, Perlembagaan


Persekutuan Malaysia memberi kuasa mengenai hal ehwal masjid kepada negeri-negeri di
Malaysia melalui peruntukan Jadual Kesembilan Senarai 2 – Senarai negeri iaitu: “kecuali negeri-
negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, hukum syarak dan undang-undang diri
dan keluarga bagi yang menganut agama Islam, termasuklah….. masjid atau mana-mana tempat
sembahyang awam untuk orang Islam…”. Atas peruntukan ini, negeri-negeri di Malaysia
memperuntukkan undang-undang mengurus dan mentadbir hal ehwal agama Islam termasuklah
masjid di bawah tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri. Contohnya di Selangor: Undang-
undang berkaitan kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah; di Kedah: undang-
undang berkaitan perlantikan jawatankuasa Masjid atau Kariah; di Johor: Kaedah-kaedah masjid
dan surau; di Pahang: Kaedah-kaedah masjid; di Perak: Peraturan jawatankuasa masjid; di Perlis;
Peraturan Jawatankuasa Kariah dan sebagainya.

Masjid di Malaysia mempunyai undang-undang tertentu yang diperuntukkan dan ada


pihak tertentu yang diberikan tanggungjawab dalam menguruskannya. Sekiranya masjid di
Malaysia ingin berfungsi sebagai sebuah institusi yang bersepadu dan menyeluruh, penulis
mencadangkan agar pihak yang bertanggungjawab meneliti pengurusan masjid sepanjang
perjalanan sirah Rasulullah saw, para sahabat Rasulullah saw, para tabiin di samping dalam masa
yang sama mengenal pasti langkah-langkah perancangan strategik, membuat analisis ‘SWOT’,
membuat penilaian dari masa ke masa dan membuat penambahbaikan yang sepatutnya di samping
mengambil contoh-contoh pengurusan masjid yang efektif sebagai penandaarasan dalam masa
yang sama mengimbau sejarah pengurusan masjid di dalam sirah Islamiyyah.

PENUTUP

Masjid merupakan tempat yang istimewa sepanjang perjalanan sejarah dunia bermula dari zaman
nabi Adam a.s sehingga kini. Masjid mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri yang perlu
diketengahkan dan dikembalikan kegemilangannya. Masjid telah dibuktikan melalui sejarah
mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan kerohanian dan kebendaan masyarakat.
Sekiranya masyarakat hari ini memiliki aspek-aspek fizikal dan material dengan berpaksikan
tauhid dicernakan lagi dengan acuan masjid, masyarakat tersebut akan berupaya mengalas cabaran
masa kini dan akan datang. Pembangunan yang terhasil membawa kebaikan kepada individu dan
8

masyakat semasa dan akan datang, beroleh kesejahteraan juga dalam kehidupan di dunia dan
sejahtera dalam kehidupan di akhirat.

RUJUKAN

Al-Quranul Karim
Abdul Aziz Harijin, Abdul Rashid Said Asghar & Abdul Muin Abdul Rahman. 2002. Pengurusan
masjid negeri Perlis: satu tinjauan. Perlis: Biro Penyelidikan dan Perundingan UiTM.
Abdul Ghafar Don dan Kamaruzaman Yusof (1999). Peranan Masjid dalam Menjana
Kebangkitan Gerakan Islam dalam Kepimpinan Dakwah dan Politik Islam. Bangi :
Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Islam. UKM
Abdullah Abdul Ghani. 2009. Penjanaan dan pengurusan kewangan masjid. Prosiding Seminar
Pengurusan Masjid Peringkat Asean 2009. EDC Hotel: Sintok, Kedah.
Adanan Basar. Masjid: Sejarah dan Peranannya. Universiti Berunei Darul Salam
Ahmad Mohd Salleh. 2003. Pendidikan Islam: falsafah, sejarah dan kaedah pengajaran
pembelajaran. Shah Alam; Fajhar Bakti Sdn. Bhd.
Ajmain@ Jimaain Safar, Ab. Halim Tamuri & Mohd Aderi Che Noh. 2010. Prosiding Seminar
Kebangsaan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Masjid. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Akmariah Mamat & Mohd Aderi Che Noh. 2010. Fungsi dan aplikasi institusi masjid ke arah
peningkatan kualiti komuniti: tinjauan di Masjid Kolej Matrikulasi Johor. Prosiding
Seminar Kebangsaan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Masjid. Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Amaluddin Darus. 1979. Kembali ke Masjid. Kuala Lumpur: Abd Enterprise
Ghazali Darussalam. 2001. Pedagogi Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Hitti, P. K. 1970. History of the Arabs. Cetakan ke-10. London: Macmillan.
Ibn Khaldun. Abdur-Rahman Ibn Muhammad. 1992. Muqaddimah Ibn Khaldun. Beirut: Dar al-
Jail.
Ibn Khaldun, Abd al-Rahman. 2004. Al-Muqaddimah. Beirut: Dar al-Fikr.
Ibnu Manzhur, Abu al-Fadhl Jamaluddin Muhammad bin Mukram. 1993. Lisân al-Lisân Tahdzîb
Lisân al-‘Arab, Beirut, Dar al-Kitab al-Alamiyyah, cetakan 1, jilid1, ms. 577.
Ismail Muhammad. 2010. Masjid sebagai pemangkin perbandaran dan pembangunan ummah.
Prosiding Wacana Ilmu 2010: Perbandaran Islam Sebagai Pemangkin Perancangan dan
Pembangunan Ummah. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kamus Dewan, Edisi Ketiga. 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. ms. 864.
Lokman Ab. Rahman. 2000. Imarah Masjid masa Kini. Melaka : Percetakan Surya Sdn. Bhd.
Masbah Mohd. Salleh.2000. Perancangan Strategi Teknologi Maklumat untuk Masjid. Tesis
Sarjana Teknologi Maklumat. Universiti Kebangsaan Malaysia
Mokhtar Shafi’i. 2003. Status imam di Malaysia. Dlm. Norrodzoh Siren & Yusmini Yusoff (Eds.).
Membangun Institusi Masjid. Selangor: Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan,
APIUM.
Muhammad ad-Daudi. 1986. al-Masjid fi al-Kitâb wa as-Sunnah wa Aqwâl al-‘ulamâ’, al
Manshûrah: Dar al-Wafâ’ li at-Thiba‘ah wa an-Nasyr.
Muhammad Syafii Antonio. 2007. Muhammad saw: super leader super manager. Jakarta: ProLM
Centre & Tazkia Multimedia.
Muhammad Uthman El-Muhammady. 1997. Institusi Masjid yang Bersifat Futuristik. Dlm.
Muhd. Fadli Ismail. 2003. Peranan Masjid. Kuala Lumpur : Darul Nu’man.
9

Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad. 2007. Masjid sebagai pencetus kecemerlangan ilmu dan pendidikan
keluarga. Dlm. Abd. Hamid Othman (pnyt). Islam hadhari: kekuatan masjid dalam
menjana masyarakat gemilang. Hlmn 237-271. Putrajaya: Yayasan Islam Hadhari.
Roslan Mohamed. 2003. Memperkasa masjid sebagai institusi pembangunan insan. Prosiding
Seminar Kebangsaan Pengurusan Masjid 2004. Universiti Utara Malaysia.
Roslan Mohamed. 2008. Masjid sebagai Medan Pembangunan Insan. Dlm. Jurnal YADIM. Bil
10 Januari – Disember 2008. Kuala Lumpur : YADIM
Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 2003, Peranan Masjid dalam Islam. Kuala Lumpur: YADIM.
Syed Omar Syed Agil. 1998. Umar b. al-Khattab: A Model for Leaders and Managers. Dlm.
Syed Othman Alhabshi et al. (pnyt.). Islamic Management for Excellence. Kuala
Lumpur: Inmind.
Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. 2008. Pendekatan baru dalam pengimarahan masjid. Kertas
kerja dibentangkan di Multaqa Imam-imam Masjid Seluruh Negara 2008.

Anda mungkin juga menyukai