Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikumwarahmatuallahiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Saudara pengerusi, kombinasi kehakiman yang arif lagi bijaksana, hadirin dan

hadirat yang saya muliakan.

Dalam hidup saya dan anda semua, banyak perkara yang boleh kita pilih kecuali 1

perkara iaitu asal usul kita. Kerana disinilah kita bermula, kita menumpahkan taat

setia dan semuanya tentang pengorbanan kepada keluarga. Maka hari ini, saya

mengajak anda semua, untuk sama-sama mula percaya betapa, ‘keluarga bahagia,

masyarakat sejahtera’.

Saudara dan saudari,

Keluarga bahagia ialah apabila ibu, ayah dan adik beradik hidup dalam

keadaan penuh ceria, bersulamkan rasa kasih dan sayang. Masyarakat sejahtera

pula, merujuk kepada komuniti manusia yang sihat fikirannya, erat ukhuwwahnya

dan matang tindakannya. Tuntasnya, keluarga bahagia masyarakat sejahtera

berkehendakkan kita untuk mentafsir daripada hati kepada hati tentang harga

yang dimiliki oleh keluarga dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Saudara dan saudari,

Sudah sekian lama kita didendangkan dengan pelbagai konsep keluarga

bahagia. Keluarga sakinah, baiti jannati, rumahku syurgaku, syurga di telapak kaki

ibu! Namakan apa sahaja konsep keluarga bahagia. Saya pasti, kita semua sudah

mendengarnya. Namun persoalannya, berapa ramai daripada kita yang benar-

benar faham dan menterjemahkannya dalam kehidupan? Jika benar kita

memahaminya, mengapa setiap 15 minit, satu pasangan Islam bercerai di

Malaysia! Jika benar kita memahaminya, mengapa setiap 5 hari, seorang bayi kecil

dibuang tanpa rasa berdosa! Dan, jika benar kita memahaminya, mengapa setiap

hari, 2 orang remaja kita lari dari rumah? Semua perkara ini berlaku kerana kita

tidak pernah faham tentang apa yang kita dengar, tentang apa yang kita
ungkapkan. Sesungguhnya, falsafah di sebalik nama dan ungkapan keluarga, bukan

hanya tentang menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Bukan juga soal

menambah zuriat semata-mata. Tetapi, lebih daripada itu. Keluarga bahagia

adalah soal kebergantungan setiap entitinya.

Saudara dan saudari,

Agama mengajar kita betapa baik buruknya seseorang manusia dan bangsa

adalah bergantung kepada warna hatinya. Dan warna hati ini, ditentukan menerusi

didikan ibu bapa dan keluarganya. Maka, lakarkanlah dengan nilai murni, corakkan

dengan budi pekerti, dan warnakan dengan sahsiah terpuji. Kemuliaan hati ini,

mungkin tidak boleh kita baca, tetapi boleh kita rasa dengan jiwa. Waktu kita

dilahirkan, ibu berdepan kesakitan tiada tandingan. Namun, semua rasa sakit,

perit dan derita itu bukan apa-apa. Kerana saat menatap wajah kita, di situ ibu

jumpa makna bahagia. Saat melihat kita membesar dengan

sempurna, hasil penat lelahnya bekerja. Itulah erti bahagia untuk ayah. Dan bagi

adik beradik, hidup tidak akan lengkap kalau tidak bertengkar dan bertikam lidah.

Kerana di situlah kita belajar beralah, kita mengenal sucinya sebuah hubungan

darah.

Dunia juga telah membuktikan, Hellen Keller yang dilahirkan pekak, buta

dan bisu, Michael Oher yang berketurunan Afrika, seorang kanak-kanak disleksia.

Mereka semua membesar dan menjadi inspirasi, dengan pengorbanan keluarga

yang berhati suci, yang menerima mereka seadanya. Di sebalik warna kulit yang

berbeza, di sebalik jasad yang tidak sempurna, rasa syukur dan ikhlas sebuah

keluarga, membawa mereka semua merasa erti bahagia. Kisah ini kisah mereka.

Bagaimana dengan kita? Ramai yang menikmati hidup di rumah besar tapi yang

mereka rasa hanya kosong, dan ramai yang hidup di rumah kecil, tapi mereka

temui syurga di dalamnya.. Ingatlah, menikmati sebuah kebahagiaan tidaklah

begitu mahal, kerana harganya cumalah kasih sayang, masa bersama dan kesudian

berkongsi rasa.
Saudara dan saudari,

Tuhan merakamkan kisah keluarga Imran dalam kitab suci Al-Quran.

Kenapa?

Kerana.. keluarga Imran adalah keluarga contoh yang merasa risau akan zuriat

mereka. Bukan risau soal makan, minum dan tempat berteduh. Bukan juga soal

pakaian dan hiburan. Tetapi keluarga Imran risaukan nasib zuriatnya, andai

mereka gagal dibentuk menjadi sebenar-benar insan. Dalam kitab sejarah Ennels,

kisah masyarakat Rom Purba telah dinukilkan. Pada tahun ke-100, hidup atau mati

seorang anak kecil, bergantung kepada belas ihsan seorang ayah. Bagi wanita

berada, yang mereka dahulukan adalah kemewahan, dan anak-anak diserahkan

pada hamba yang paling hina. Waktu itu rasa hormat pada orang tua, juga telah

mati. Sebuah kerajaan akhirnya rebah. Lalu yang runtuh, yang rosak itu apa?

Istitusi keluarga, Yang lebur, yang hancur yang terkubur itu apa? Sahsiah

rakyatnya, Dan yang goyah, yang parah, yang rebah dan musnah itu apa? Sebuah

empayar dan negara. Betapa keluarga bukan hanya soal pengorbanan kita sesama

saudara, tetapi soal tanggungjawab kita, untuk membina sebuah masyarakat, dan

negara yang sejahtera. Maka sama-samalah kita mencari makna bahagia kerana

jelaslah, hanya keluarga sakinah menjadi penentu kesejahteraan ummah.

Sebelum mengakhiri pidato ini,

Buat umi, ayah dan keluarga.

Rumah kita tidak besar, tapi itulah syurga saya. Wang kita tidak banyak, tapi

saya temui makna cinta. Dan harta kita tak seberapa, tapi saya rasa nikmat kasih

dan mesra. Hari ini, saya menjadi diri saya dan saya merasa nikmat bahagia.

Terima kasih umi, terima kasih ayah dan terima kasih keluarga.

Sekian.

Anda mungkin juga menyukai