Anda di halaman 1dari 5

AGRESI DI GENTING SAKARAT

HOSPITAL HADASSAH EIN-KEREM, di tengah Baitul Maqdis itu lenjum disimbah


hujan pagi. Lebatnya masih belum sidang-sidang. Dingin bagai terkepung dek kelambu
hitam di perabung langit. Sejuknya di luar mencucuk, tetapi hangat di dalam wad ICU itu
dirasakannya membahang bagai dicelur dalam ketuhar. Terasa skala Celsiusnya pada
takat suhu didih. Bagai luluh setiap inci kulit tubuhnya yang berselirat dengan wayar
penyambung sisa nyawa pelbagai warna itu. Melihat segala macam alat sokongan itu dia
jadi mual. Seakan lambakan makhluk berbisa sedang berpesta menyedut serakah
darahnya.

Ah, celaka! Tolong, jangan, aduh, sakit! jeritnya jahar menghamun lagi. Malangnya,
suara itu tiada bersambut. Apakah disebabkan ia tenggelam dek hingar-bingar jerit-perit
mesin penyambung hayat dan perakam rima jantung itu, atau kerana lidahnya memendek
tertarik ke dalam menyebabkan jerit suaranya itu terkanjal di lohong tenggorok. Dia tidak
tahu. Yang dia tahu, 99 hari lalu dia gering. Koma di genting sakarat. Benang nazak
tegang memegang kepala nyawa. Ke kiri, ke kanan sedang berdenting menanti saat putus.

Hari yang ke-100 ini, dia menyumpah lagi dengan zikir carut dan ratib karut. Apa
tidaknya, sebentar nanti, pastilah satu persatu tangan-tangan para doktor yang kononnya
pakar itu mahu merobek seluruh jasadnya; Tempurung kepalanya mahu digerudi. Segala
urat dan saraf otaknya yang beku salur darahnya bakal dicerobohi. Gendut perutnya yang
menumpang 1001 jenis penyakit itu kata mereka, mahu dibedah dek sistem cernanya
yang sudah pecah. Dan dia; lelaki yang usianya hampir seabad itu pucat kekuningan
menanti. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana jantungnya nanti juga akan lembik
denyutnya menahan bisa ditukangi oleh tangan-tangan lelaki berbaju putih itu.

Di sisinya pagi itu, sudah tercongok kelibat Dr. Jose Cohen, yang pertama lahap mahu
memulakan tugas. Wajah lelaki itu sangat berbeza daripada hari-hari yang biasa pernah
dilihatnya. Langsung mendung bagai awan kelam yang berarak di luar ketika itu. Tanpa
izinnya, lelaki tua itu cekatan membotakkan kepalanya lalu menggergaji tempurung
kepalanya dengan mesin pemotong tulang. Otaknya bergegar. Telinganya berdesing.
Sakit dan perit tidak mampu diungkap merengsa setiap salur-salir inderanya. Semacam
ada jarum-jarum menikam menusuk ngilu. Celaka yang menimpanya saat itu dibalas
dengan muntahan amarah tetapi hairan bin ajaib, entah mengapa suara makinya bagai
tidak terdengar ke andas telinga lelaki asing itu.
Eh, si bedebah itu tidak tahukah kepala siapa yang digomolnya? Ini kepala Perdana
Menteri Israel. Hormatlah sikit! rengusnya menyumpah. Mana sopan santun, budi bahasa
buat seorang pemimpin terulung. Kerja bak melayan tunggul mati! muntahnya lagi. Dia
memandang jengkel ke tubuh pakar bedah itu. Bunyi bingit dan silau cahaya daripada
mesin pengimbas tomografi berkomputer itu mendekam pula ke telinganya. Gegar dan
gegau lagi otaknya menambah pula rasa pedih, ngilu dan sakit yang bercampur-campur
teramu lumat. Dan dia kembali menyeranah dalam minda yang terpenjara itu.

Cukup, cukup! Dijeritnya lagi sambil menyeringai kesakitan. Apa, tak tahukah yang
digomol ini kepala bekas seorang jeneral? hamunnya lagi dalam hati. Tanpa kepala ini,
Israel tidak akan menang mudah menghadapi tentangan negara Arab sepanjang lebih
setengah abad yang lalu. Berterima kasihlah kepada kepala ini. Kepala inilah yang
menyambung makar Conspiracy Of Praise agar putar belit prasasti Holocaust ketika
zaman gelap Hitler dahulu menyadur simpati dunia sambung-menyambung hingga kini.
Padahal mereka ditipu bodoh-bodoh! Kepala inilah yang memastikan lirik lagu kehebatan
bangsa Yahudi terus didendangkan sedangkan, kehebatan itu sengaja diada-adakan!

Dia tiba-tiba tersengih kelucuan. Tanpa kepala berdahi sulah ini, propaganda itu pasti
tidak akan membantu rancangan bangsa Yahudi untuk menewaskan pihak musuh dan
seterusnya menakluki dunia! Inilah Survival of The Fittest namanya. Kepala inilah yang
akan memastikan, yang hebat sahaja terus beroperasi demi survival bangsa Yahudi. Hei,
penghinaan terhadap kepala ini samalah seperti menghina kepala Albert Einstein, Karl
Marx, Sigmund Freud, Z Harold Laski yang menjadi rujukan sejagat itu! Kepala inilah
yang membina bangsa Israel ini umpama besi waja, semakin kuat ia diketuk, semakin
hebat ia menjadi, rungutnya panjang lebar. Hatinya jelas tercabar.

Ah, bedebah! Haram jadah, tolong, jangan doktor! Dia menyumpah lagi. Berkerut
keningnya kehairanan melihat wajah hitam Dr. Shlomo Mor-Yosef Lu yang ternyata
berbeza sekali seperti yang dia kenal. Dia menjerit melihat tangan hitam Pengarah
Hospital Hadassah Ein-Kerem itu menyiat kasar kulit perutnya yang membuyur itu.
Apakah benar-benar saluran pencernaannya rosak teruk atau ada konspirasi yang sengaja
mahu menjahanamkan tubuhnya, pertanyaan itu mula merasuk urat fikirnya.

Tiba-tiba dia terkejang di atas ranjang itu. Walang terus menumpang di wajah pucatnya.
Arus takut berpusar kalut lalu melambung ombak bimbang tinggi mencecah graf pucat.
Dia bimbang, andainya perut yang memboyot itu tiba-tiba memuntahkan najis dan air
likat berperisa dosa durjana yang telah terpendam diam di dasar perutnya itu. Lumpur
nanah membelakangkan amanah dan dosa si penjarah yang memanggang manusia
teraniaya di atas bara kezaliman bagai terpalit hangit ke lohong hidungnya.

Dia khuatir, tembelangnya, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal;
merampas permukiman, membunuh yang tak sehaluan akan diketahui orang. Busuk perut
inilah yang menjadikan si lelaki jadi duda, wanita pula jadi janda dan anak-anak hilang
ibu bapa. Darah hanyir yang pernah ditogok rakus di sungai Shabra dan Shatila tiba-tiba
membayang di kepala, kembang di tekaknya. Apakah nanti lasykar-lasykar Phalangist
Kristian; tukang-tukang sembelih upahan yang pernah dibekalkan senjata itu dahulu,
membuka pasung rahsia dan menjadi saksi kedajalannya selama ini.

Sekonyong-konyong perutnya tiba-tiba sebu, sakit datang memulas-mulas melihat pisau


pemotong itu. Tetapi yang menambah kehairanannya, pisau itu ialah pisau pemotong
jantung! Eh, apa dosa jantungnya? Tolong, jangan, tidak! Olmert tolong! jeritnya panjang
memanggil-manggil nama rakan baiknya itu. Menyedari suaranya tidak berupaya
menghalang usaha itu, dia cuba menggerakkan tangannya. Tetapi tangan itu bagai
terbekam di atas katil. Tenaganya sifar. Langsung tidak terangkat. Tiada gerak dan
geramnya memuncak.
Tolonglah, jangan dirodok lagi jantung ini. Kasihanilah jantung tua ini. Dia cuba merayu.
Jantung inilah yang mengepam darah perjuangan demi kesinambungan bangsa Yahudi!
Tanpa jantung ini bagaimana Parti Kadima akan maju ke hadapan! Dia tiba-tiba terdiam
kemudian ketawa pahit memikirkan kemungkinan Ehud Olmert sengaja berkonspirasi
mahu menikam tubuhnya dari belakang.

Hei, dia belum hilang upaya lagilah. Kalian tidak baca undang-undang? Belum 100 hari
pun berpijak di sini. Dia cuba memujuk dalam marahnya itu. Dia tahu, bukan kali
pertama dia diserang strok semacam ini. Ah, dengan segala pembedahan ini dia akan
kembali pulih seperti sedia kala. Dia akan kembali memerintah. Dan Parti Kadima yang
baharu setahun jagung itu, kelak akan menguasai pilihan raya. Andai hari ini dia pulih,
hari ini juga dia akan kembali memerintah. Ehud Olmert tak akan selamanya memangku.
Yang pasti Olmert tidak akan menjadi Perdana Menteri! Bukankah itu janji dan ramalan
Dr. Felix Umansky! Pakar bedah saraf dari Argentina itu. Apa mereka tidak dengar, dia
akan sembuh sepenuhnya. Bukankah dengan mengurangkan pemberian ubat anestetik itu
akan menyedarkannya kembali daripada koma!

Tanpanya nanti, siapa yang akan menguruskan penetapan sempadan akhir bagi Israel.
Bukankah itu ikhtiarnya, demi memastikan majoriti penduduk Yahudi terus
mendiaminya! Inilah strategi namanya. Kita harus berkorban. Tiada ruginya dikurangkan
jumlah penempatan di Tebing Barat dan membenarkan Palestin memiliki negara
berdaulat. Ah, teorinya mudah, apabila sempadan dikawal oleh mereka dan kawasan yang
dipulangkan kepada Palestin pasti akan terbahagi dua atau tiga. Kemudian, mudahlah kita
kawal aktiviti mereka. Dengan sedikit helah itu, kita akan menerima pulangan lebih
besar. Bijakkan? Manakala penetapan sempadan terakhir itu pula akan menjadi langkah
awal operasi penindasan, sebagai permulaan kepada operasi penjarahan secara besar-
besaran! Nasib mereka akan di tentukan oleh tangannya nanti. Dia memasang tekad itu
bulat sambil menyeringai kesakitan yang tidak tertahan-tahan itu.
Hujan di luar masih lebat. Sekali-skala berdentum guruh memercik silau kilat di muka
jendela. Dia melihat ketiga-tiga doktor pakar itu masih di situ. Seakan sedang merencana
sesuatu. Dr. Felix Umansky tiba-tiba menghantar senyum ke wajah rakan-rakannya itu.
Senyumannya itu sangat sumbing di matanya. Mereka berbalas-balas senyuman dengan
anggukan kecil sambil menunjukkan isyarat jam di tangannya.

Dia melihat di tangan lelaki itu sudah tersedia jarum suntikan berisi cecair hijau. Sebaik
cecair itu masuk ke setiap urat dan sarafnya, dia menggigil. Agresi itu meranjang kaku ke
setiap maya ruang jasadnya. Kesemutan mula menyengat di hujung kaki merebak ke
seluruh jasadnya sedikit demi sedikit. Senyar pula merengsa setiap sendi tulang.
Inderanya gagal berfungsi perlahan dan lumpuh. Darah menggelegak di uncang jantung
bagai disentap berkocak-kocak. Dan tekaknya mengelupas kepanasan. Dia benar-benar
dahaga. Peluh bukan sahaja mereneh di dahi luasnya malah lenjum menyerap sut
hospitalnya itu. Kepedihan sakarat menghunjam pada nyawa itu sendiri sehingga
merasuk ke dalam seluruh bahagiannya; ke seluruh nadi, saraf, ruas, rambut, kulit dan
dari hujung kepala hingga telapak kaki.

Kerut di anjung wajah, terakam kedut seribu yang melambangkan jumlah kesakitan dan
ketakutan yang jitu. Suaranya melaung-laung kesakitan. Kekuatan yang tersisa saat nazak
itu tidak mampu memberi isyarat segala keperitan yang terpanggang. Suara jeritnya
tersendat lagi dalam tenggorok dan dadanya. Kuku jari-jarinya memucat, lalu seluruh
organ tubuhnya tidak berfungsi lagi secara perlahan. Jerih hela nafasnya turun naik, turun
naik cuba mengepam rentak lega. Serasa batu yang maha besar menghentak hempap
dadanya. Jantungnya seakan gugur dan motor yang menggerakkan nafasnya seakan
kehilangan kuasa. Tersekat-sekat. Hati dan paru-parunya terasa bagai dijepit rusuk
menyilang. Kulit dada yang menggelambir itu berombak ganas memercik air perit di
tubir mata. Lendir dan air busuk berciciran di kangkangan. Dalam udara yang
dirasakannya menipis itu, dia mengeruh seperti lembu terputus urat merihnya.

Matanya terbelalak mendongak ke langit-langit wad yang tiba-tiba silingnya itu terkoyak
bagaikan sebuah pintu besar. Dalam keperitan itu dia melihat di dalamnya berpusar awan
zulmat. Guruh berdentum penuh, langit likat mencorakkan kelam kabut. Dia terpegun
memerhati guruh geruh alam yang berserakan ekor cahayanya melibas. Ketika cahaya
datang menyilau dan sekelip kelopak mata menampan, sesaat itu dia jadi ringan serta
merta dan tersedut ke dalam pusar awan-gemawan. Langit yang menakung dasar zulmat
itu seperti kuburan, bersedia dengan rahap dan lahad yang gemuruh langitnya berbalam-
balam, morat-marit.

Sempat dia memandang ke bawah melihat sekujur tubuhnya terus kaku tidak bernyawa.
Bukankah tubuh itu miliknya? Dari mana datangnya tubuh ini sebenarnya? Apakah dia
itu aku. Aku itu dia? Apakah suara ini datang dari yang berjasad itu atau suara roh yang
tercabut daripada umbutnya? Kalau roh, mengapa dia masih lagi merasai kesakitannya.
Apakah ini konspirasi tuhan setelah 78 tahun nyawanya digadaikan demi kesinambungan
Israel Raya yang Jerusalemnya sudah pun menjadi kiblatnya. Dia bukan tewas di pentas
tempur tetapi tersungkur rebah terkejur!

Sekonyong-konyong wad eksklusif itu dihingari jerit mesin penyambung hayat dan
perakam rima jantung bertali arus. Monitor elektrokardiograf hanya mempamerkan satu
jalan lurus dan satu bunyi yang tiada berpenghujung. Dia melihat Dr. Shlomo, Dr. Felix
Umansky dan Dr. Jose Cohen langsung tiada gelabah terpercik ke wajah. Rawatan
kecemasan pemulihan jantung dan pernafasan resusitasi kardiopulmonari sepatutnya
segera diberikan. Tetapi tiada aksi, tiada tindakan kecemasan diberikan. Rawatan
pernafasan dari mulut ke mulut dan dari mulut ke hidung buat menghantar oksigen ke
paru-paru patut diberikan. Juga tiada siapa yang mempedulikan. Teknik pemampatan
jantung tiada juga diberikan. Denyut nadi dicari di bahagian leher. Doktor separuh usia
itu hanya menggeleng-geleng kepala tersenyum kepuasan. Terbetik di hatinya dua
perkataan yang pernah disebut Hitler saat agresi makhluk itu. Oh, Tuhan! Oh,
Tuhannnnnn!

Tetapi saat itu tiada siapa yang boleh melawan kehendak takdir sesudah ia tersurat. Dia
melihat Dr. Shlomo dan Dr. Jose Cohen itu bertukar wajah hodoh, bengis dan kehitaman.
Di pinggang mereka tersisip besi kawi merah menyala. Terbias bahangnya meluruhkan
kulit mukanya. Sepantas kilat Kedua-dua makhluk hitam itu menangkap rohnya yang
terperangkap dalam pusar langit kelabu itu. Dia melihat Dr. Felix Umansky bersama-
sama sepasang sayap putih hilang daripada pandangan.
Di luar, hospital Hadassah Ein-Kerem, hujan semakin lebat. Zulmat yang mendingin di
luar menjemput galak petir dan guruh silang-menyilang membelah alam. Setiap kali kilat
mengakar, guruh berdentum-dentam menyambar. Setiap kali kilat menyambar ada
makhluk-Nya yang mendengar jerit Munkar; Ma Rabbuka …! Dan di hujung dialog
sukar itu Nakir menghentam geram besi kawinya. Dan guruh-gemuruh menderam
panjang.

Cerpen ini tersiar dalam majalah TUNAS CIPTA Jun 2006

Anda mungkin juga menyukai