Anda di halaman 1dari 2

PRINSIP SWIFT

SWIFT merupakan akronim kepada 5 nilai yang merujuk kepada “speed”, “world class
knowledge”, “inspirational”, “flexible” dan “technology-based”. Prinsip SWIFT telah
diperkenalkan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara dalam
Majlis Amanat KSN Tahun 2022.
SPEED
“Speed” didefinisikan sebagai tindakan atau proses kerja yang lebih pantas dan betul dalam
tugasan harian penjawat awam. Konsep Speed memerlukan semua penjawat awam bertindak
dan membuat keputusan dengan pantas dalam sesuatu urusan demi merealisasikan aspirasi
kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat. Sumber
yang terhad serta masalah birokrasi tidak harus menjadi halangan untuk kerajaan bertindak
pantas. Speed dalam membuat sesuatu keputusan dan pelaksanaan keputusan tersebut akan
memperlihatkan kepada rakyat bahawa pelaksanaan sesuatu kerja adalah effisen dan berkesan
seperti yang diinginkan oleh pemegang taruh.
WORLD-CLASS KNOWLEDGE
Dalam konteks global, world class knowledge boleh membawa pengertian sebagai pengetahuan
dan kemahiran kompetensi global (global competency skills) dan berkemampuan untuk
bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Sebagai permulaan untuk mencapai tahap ini,
beberapa amalan terbaik dari negara luar boleh dijadikan penanda aras terhadap output yang
dihasilkan. Kaedah perbandingan ini secara tidak langsung sentiasa menjadikan penjawat awam
peka dengan perubahan persekitaran di peringkat antarabangsa mahupun serantau.
Pembelajaran berterusan dan pembelajaran dari kesilapan (lesson learnt) akan mengangkat
pengetahuan serta pengalaman ke tahap yang lebih baik.
INSPIRATIONAL
Memberikan inspirasi merupakan proses gabungjalin dua pihak. Iaitu pemimpin organisasi perlu
memberikan inspirasi kepada anggota yang dipimpin agar dapat mengekalkan motivasi mereka
di tempat kerja. Manakala yang dipimpin harus mengikuti contoh tauladan yang diberikan oleh
pimpinan sebagai contoh ikutan yang baik. Aspirasi atau cita cita untuk mencapai sesuatu tahap
yang lebih baik akan menjadi realiti apabila kedua pihak berperanan seperti yang digariskan
disamping didokong dengan keazaman diri yang kukuh.
FLEXIBLE
Flexible merujuk kepada anggota perkhidmatan awam tidak terlalu rigid terhadap peraturan
dan dasar semasa dalam menyampaikan perkhidmatan. Cabaran utama flexible adalah mereka
yang telah terlalu selesa dengan status qou semasa dan enggan berganjak untuk melakukan
sesuatu perkara baharu yang lebih objektif. Menyedari perubahan pantas teknologi masakini,
perubahan cara melaksanakan sesuatu urusan juga harus selari dengan cabaran-cabaran
semasa yang mengubah keperluan dan keutamaan rakyat. Peraturan dan tatacara sesuatu
tugas perlu sentiasa bersifat dinamik dan boleh ditambahbaik seiring dengan perubahan yang
berlaku. Malah pihak Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk flexible dan membuat
perubahan mendahului keperluan rakyat.
TECH-BASED
Penggunaan teknologi amat kritikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dapat
dilaksanakan dengan pantas dan tuntas. Nilai Tech Based merupakan aspirasi kerajaan untuk
meletakkan asas penggunaan teknologi moden secara meluas dan komprehensif dalam
memacu perubahan sistem penyampaian. Tech-based dilihat sebagai satu pemboleh daya
strategik (strategic enabler) sesebuah organisasi awam mahupun negara bagi meningkatkan
kualiti hidup pelanggan/rakyat, prestasi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus dan
cekap serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini kerana teknologi berupaya
menghasilkan inovasi dan peluang yang banyak di samping memudahcara perkhidmatan yang
ditawarkan. Prasyarat penting untuk merealisasikan prinsip ini adalah untuk mewujudkan
ekosistem berasaskan teknologi yang lestari disamping minda yang bersedia untuk beradaptasi.
Tech Based akan meningkatkan produktiviti sektor awam dalam memenuhi ekpektasi rakyat
seiring dengan perkembangan teknologi semasa sekali gus mempertingkatkan akauntabiliti dan
ketelusan dalam kerajaan.

Anda mungkin juga menyukai