Anda di halaman 1dari 4

EPPD 1023:

MAKROEKONOMI

ISU MASALAH EKONOMI:

KESEDIAAN MALAYSIA MENGHADAPI INFLASI


a) KESAN KEJATUHAN HARGA MINYAK DUNIA LEBIH 50 PERATUS

Punca penurunan harga minyak mentah dunia

Secara dasarnya, penurunan harga minyak dikaitkan dengan lebihan penawaran (oversupply) minyak
dipandu oleh pengeluaran minyak ‘oil shale’ oleh Amerika Syarikat. Hari ini, jumlah pengeluaran
minyak US telah mencecah 9 juta tong sehari dan jumlah ini dijangka mencecah 10 juta tong sehari
pada tahun hadapan. Menurut laporan Federal Reserve (Bank Pusat US), peningkatan jumlah
pengeluaran ini akan terus berlaku dalam jangka masa 2 tahun dari sekarang.
Andai lebihan penawaran berterusan, paras terendah harga minyak mentah dunia mungkin akan
direkodkan tidak lama lagi. Namun, untuk meramalkan harga terendah komiditi tersebut bukanlah
suatu kerja yang mudah. Sebahagiananalyst menjangkakan kemungkinan harga akan terus jatuh
sehingga paras USD 40 hingga USD 60 per tong.
Untuk menangani masalah lebihan penawaran minyak mentah ini, antara initiatif yang boleh diambil
adalah dengan mengurangkan jumlah pengeluaran minyak mentah semasa. Justeru, OPEC yang
membekalkan 30% daripada keseluruhan minyak mentah dunia telah bersidang baru-baru ini untuk
membincangkan langkah yang perlu diambil bagi menstabilkan harga minyak global. Hasil
perbincangan tersebut, OPEC telah bersepakat untuk tidak mengurangkan pengeluaran minyak
mentah.

Keputusan OPEC ini mungkin agak memeranjatkan kerana umum sedia maklum bahawa pendapatan
kebanyakan negara anggota OPEC bergantung kepada hasil jualan minyak mentah. Harga minyak
rendah bererti pendapatan negara juga menjadi rendah. OPEC berpendapat jika mereka
mengurangkan pengeluaran minyak mentah semasa, jurang pengeluaran tersebut akan diisi oleh
negara pengeluar minyak bukan OPEC seperti Iran. Oleh itu OPEC berpendirian langkah mengkaji
semula jumlah pengeluaran minyak tidak akan berjaya kerana akhirnya lebihan penawaran akan
terus berlaku.

Namun, keputusan OPEC dilihat lebih dipengaruhi oleh faktor geopolitik dunia. Di sebalik tindakan
mereka sebenarnya adalah untuk menekan negara-negara pengeluar minyak yang tidak senada
dengan Amerika Syarikat seperti Iran dan Rusia. Seperti yang kita sedia maklum, Iran setelah sekian
lama menjadi sasaran Amerika Syarikat kerana dikaitkan dengan pembangunan senjata nuklear.
Rusia pula dilihat Amerika Syarikat sebagai sebuah negara bekas Soviet yang terus mengancam
Amerika Syarikat terutamanya dalam usaha meluaskan pengaruh di Asia. Pelbagai usaha telah
dilakukan Amerika Syarikat dan negara sekutunya untuk mengekang Rusia seperti mewujudkan
suasana tegang antara Ukraine-Rusia dan mengaitkan Rusia dengan insiden MH 17 baru-baru ini.

Sekatan ekonomi antarabangsa yang dikenakan  kepada Iran dan Rusia menyebabkan aktiviti
ekonomi mereka terbantut dan mereka terpaksa bergantung kepada hasil jualan minyak mentah.
Kejatuhan harga minyak global akan mengurangkan hasil pendapatan Iran dan Rusia dan akan
memberi kesan besar terutamanya kepada rancangan pembangunan di kedua-dua negara.
Kejatuhan harga minyak mentah sudah tentu akan memberi implikasi yang amat besar kepada Rusia.
Ini sedikit sebanyak memberi petunjuk kepada keputusan OPEC yang merelakan harga minyak global
untuk terus jatuh. Tidak dapat dinafikan kemungkinan besar keputusan OPEC adalah dipengaruhi
oleh desakan Amerika Syarikat melalui sekutunya di dalam OPEC.

Selain daripada itu, kejatuhan harga minyak global sebenarnya memberi keuntungan kepada Amerika
Syarikat. Negara kapitalis ini tidak pernah lekang dengan krisis ekonomi dan kewangan yang sering
menghantui mereka. Harga minyak yang rendah dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi
Amerika Syarikat. Harga minyak yang rendah akan menyumbang kepada penurunan kos operasi
contohnya, kos pengangkutan dapat dikurangkan lantaran harga bahan api yang lebih murah. Rakyat
juga berpeluang untuk bercuti di dalam negara dengan memandu sendiri kenderaan dan ini bakal
menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan. Banyak lagi kelebihan yang dinikmati oleh
Amerika Syarikat diatas kejatuhan harga minyak ini. Oleh itu, pada masa ini mereka tidak dilihat
bersungguh-sungguh untuk membantu menstabilkan harga minyak dunia, malah mengambil
kesempatan dengan meningkatkan pengeluaran minyak tempatan.

Implikasi ke atas Malaysia


Harga minyak yang rendah semestinya memberi sedikit kelegaan kepada rakyat Malaysia. Harga
terkini petrol yang dijual masih sedikit murah berbanding harga terakhir petrol bersubsidi disebabkan
refleksi daripada trend kejatuhan harga minyak global pada hari ini.

Ketika kita sebagai rakyat mengharapkan harga minyak untuk terus menurun agar kita dapat
menikmati petrol dengan harga yang lebih murah, kita sebenarnya lupa bahawa kejatuhan ini bakal
memberi impak yang besar kepada negara. Petronas yang merupakan antara penyumbang terbesar
kepada bajet negara terpaksa mengurangkan sumbangan kepada Malaysia pada masa hadapan
disebabkan kemungkinan penyusutan perolehan mereka. Untuk makluman semua, Petronas telah
menyumbangkan RM732 bilion kepada negara sejak tahun 1974 sehingga 2012. Pada tahun ini
sahaja, sebanyak RM 68 bilion telah disumbangkan Petronas kepada negara. Menurut Ketua
Pegawai Eksekutifnya, Petronas mungkin menyumbang hanya RM 43 bilion pada tahun hadapan
sekiranya harga minyak mentah dunia berada pada paras bawah USD 75 per tong minyak seperti
yang dilaporkan CEOnya baru-baru ini. Beliau menyifatkan setiap penurunan USD 1 per tong minyak,
Petronas akan kehilangan RM 1 bilion.
Apabila kerajaan dapat menjimatkan RM 20 bilion hasil daripada penghapusan subsidi petrol, kini
kerajaan berdepan pula dengan kemungkinan hilangnya RM 25 bilion sumbangan Petronas. Analisis
mudah ke atas dua figure di atas menunjukkan Malaysia berkemungkinan hilang RM 5 bilion dan ini
adalah satu jumlah yang bukan sedikit terutamanya ketika pembangunan negara sedang giat
dijalankan dalam mencapai status negara maju. Secara pastinya, rakyat akan terasa tempias
sekiranya bajet negara terjejas disebabkan kejatuhan harga minyak dunia dan kemungkinan
kegagalan kerajaan untuk mengisi lopong yang ditinggalkan Petronas. Oleh itu, kerajaan perlu
mencari initiatif lain untuk meningkatkan hasil negara di samping mengamalkan perbelanjaan
berhemah dalam mengurus tadbir negara.
Langkah langkah yang diambil untuk menghadapi krisis ekonomi

GST Tingkatkan Hasil Negara, Perluas Kebajikan Rakyat

Keputusan kerajaan untuk melaksana sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai April 2015 masih
hangat diperdebatkan. Masalah utama ialah sikap sesetengah pihak yang tidak henti-henti mempolitikkan GST.
Walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui GST adalah sistem percukaian yang baik
dan adil, namun pembangkang masih mahu “mengilas” dengan tohmahan tidak berasas dengan mengatakan
GST akan membebankan rakyat dan meningkatkan inflasi. Hakikatnya, pembangkang cuba membentuk persepsi
negatif rakyat terhadap GST demi kepentingan politik mereka. Justeru, rakyat mesti bersikap rasional dengan
bersedia mendengar penjelasan kerajaan berkenaan GST.

Secara globalnya GST bukanlah sistem cukai yang baharu. Pelaksanaannya sudah pun bermula di Perancis pada
awal tahun 1950an. Kini lebih daripada 160 buah negara sudah melaksanakannya. Indonesia merupakan negara
dalam rantau ASEAN yang mula-mula melaksanakan GST. Hanya tinggal Malaysia, Brunei Darussalam dan
Nyanmar sahaja yang belum melaksanakannya. Singapura yang sudah melaksanakan GST sudah pun merasai
impak positifnya. Malah, Indonesia dan Vietnam yang melaksanakan GST menunjukkan pertumbuhan ekonomi
yang sejak kebelakangan ini mengatasi kita.

Pada asasnya, Pelaksanaan GST merupakan langkah dalam dasar fiskal kerajaan bagi memperluas dan
mempertingkatkan lagi sumber pendapatan negara. Buat sekian lama hasil negara hanya bergantung pada cukai
pendapatan individu dan korporat serta dividen petroleum oleh PETRONAS. Hanya kira-kira dua juta orang
sahaja yang membayar cukai pendapatan, manakala hasil petroleum pula semakin berkurangan.

Justeru, GST sebagai satu bentuk cukai kepenggunaan akan berupaya meningkatkan hasil atau pendapatan
kerajaan. Peningkatan hasil kerajaan nanti bukan sahaja dapat digunakan untuk tujuan pembangunan tetapi
kerajaan akan dapat membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah.

GST akan membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu. Ini penting
untuk menggalakkan pelaburan. Pelaburan yang banyak dan pelbagai akan membantu mewujudkan peluang
pekerjaan, mengekalkan bakat serta menjadikan negara lebih berdaya saing. Ini bermakna, GST akan membantu
negara mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Dalam konteks serantau, pelaksanaan GST akan memudahkan penyeragaman sistem percukaian dalam kalangan
negara anggota ASEAN yang akan membentuk kesatuan ekonomi yang dinamakan Komuniti Ekonomi ASEAN
(AEC) menjelang tahun 2015. AEC bakal menyediakan pasaran terbuka yang membolehkan dagangan,
pelaburan, modal dan tenaga kerja bergerak dengan bebas dalam kalangan negara anggota ASEAN.

GST adalah lebih cekap, telus dan adil kerana ia dapat memastikan setiap individu akan membayar cukai
kepenggunaan pada barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST. Semua orang akan menyumbang melalui
GST mengikut kemampuan berbelanja mereka. Di bawah cukai sedia ada, iaitu cukai jualan dan cukai
perkhidmatan (SST), pengguna dibebankan dengan cukai bertindih (double taxation) menyebabkan pengguna
terpaksa membayar harga yang lebih mahal.

Di bawah SST cukai jualan dikenakan pada kadar 5 hingga 10 peratus, manakala cukai perkhidmatan pada kadar
enam peratus. Di bawah sistem sedia ada ini cukai jualan yang dibayar di peringkat pengilangan telah menjadi
kos kepada pemborong dan peruncit. Ia telah diambil kira di dalam pengiraan margin keuntungan. Apabila
barang itu sampai kepada pengguna maka segala kos itu dipindahkan kepada pengguna menyebabkan pengguna
membayar lebih .

Apabila GST dilaksanakan nanti segala kelemahan dalam SST seperti kesan bertindih dan berganda (cascading
effect and double taxation), kesan cukai bertingkat (compounding), elemen terselindung dalam kos barangan
dieksport dan aktiviti pemindahan harga (transfer pricing) akan dihapuskan. Ini bermakna GST mampu
menjadikan harga barang lebih berpatutan dan stabil kerana ia menghapuskan pengenaan cukai berganda dan
cukai bertingkat yang terdapat dalam SST.
Di bawah GST, pengguna akan mengetahui jumlah cukai yang mereka bayar berdasarkan yang tercatat di resit
pembelian. Cukai dikenakan mengikut banyak mana mereka berbelanja pada barangan dan perkhidmatan yang
dikenakan GST. Pengguna mempunyai pilihan berbelanja secara berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu
membayar terlalu banyak cukai ini maka pengguna boleh mengehadkan perbelanjaan terhadap barangan atau
perkhidmatan yang dikenakan GST.

Sayogia difahami bahawa tidak semua barang dan perkhidmatan dikenakan GST. Antaranya ialah barangan
keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak di samping barangan dapur lain seperti kacang dal, cili, herba,
ikan kering, cencalok, budu dan, belacan. Sayuran, ikan, telur, daging, ayam juga antara barangan tidak
dikenakan GST.

Air paip, elektrik (sebahagian), perkhidmatan kerajaan, pengangkutan awam (bas, LRT, feri), pendidikan,
kesihatan, perkhidmatan kewangan dan penjualan, pembelian atau penyewaan hartanah juga tidak dikenakan
GST. Selain itu, barang dan perkhidmatan yang dieksport juga tidak dikenakan GST supaya eksport negara
menjadi lebih kompetetif di peringkat antarabangsa.

Apakah GST akan memberi impak negatif kepada pengguna? Impak positif lebih nyata berbanding impak
negatif. GST mungkin memberi impak minima seperti berlaku sedikit kenaikan harga pada beberapa barang dan
perkhidmatan. Kenaikan itu berlaku secara ‘one off’ pada tahun pertama ia dilaksanakan. Namun, sedikit
kenaikan itu masih pada harga berpatutan. Pun begitu, Indeks Harga Pengguna (IHP) akan turun bagi sesetengah
barang dan perkhidmatan. Kesan inflasi pula terlalu minima pada tahun pertama pelaksanaan dan tidak akan
menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

Apa pun kerajaan tetap menyediakan mekanisme mengawal pelaksanaan GST. Kerajaan akan memantau harga
dan memastikan peniaga mengikut peraturan yang ditetapkan. Bagi peniaga yang cuba menyelewengkan GST
maka mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang seperti di bawah Akta Kawalan dan Anti
Pencatutan 2010.

Untuk memudahkan pengguna, kerajaan akan menyediakan ‘shoppers Guide’ yang memaparkan perbandingan
harga barang dan perkhidmatan yang akan diterbitkan sebelum tarikh pelaksanaan GST. Penentu Harga (price
setter) juga akan disediakan dengan kerjasama daripada pasar raya bagi memudahkan pengguna mengetahui
harga barangan yang ditawarkan berasaskan pelaksanaan GST.

Hanya peniaga yang berdaftar di bawah Akta GST sahaja akan di benarkan menggunakan cukai ke atas jualan
mereka. Pendaftaran adalah wajib sekiranya perniagaan mempunai nilai jualan tahunan RM500,000 atau lebih.
Manakala peniaga kecil yang jualan tahunannya kurang dari jumlah itu seperti kedai runcit tidak wajib
mendaftar dan tidak layak memungut GST. Mereka boleh menjual barang tanpa mengenakan GST.

Kesimpulan, pelaksanaan GST merupakan sebahagian daripada transformasi sistem percukaian negara bertujuan
meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan dalam pengurusan cukai di negara ini. GST juga adalah
cara terbaik untuk mengatasi kelemahan yang wujud dalam SST seperti kebocoran dan ketirisan hasil
disebabkan berlakunya aktiviti pemindahan harga.

Anda mungkin juga menyukai