Anda di halaman 1dari 5

FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN

LHE3101

PENGAJARAN KEMAHIRAN LISAN

TAJUK:

KISAH AZAZIL DIBUANG KE DUNIA

NAMA:

WAN NURUL I’RFAH BINTI WAN MAT ISA

NOMBOR MATRIK:

207397

NAMA PENSYARAH:

YANG BERBAHAGIA DATO’ DR. ROSELAN BIN BAKI


Dahulu, sebelum terciptanya Nabi Adam A.S di atas dunia, golongan jin lah yang menjadi

penghuni di muka bumi ini. Azazil merupakan satu makhluk bernama iblis yang tergolong

dalam kalangan jin yang wujud di dunia sebelum penciptaan makhluk pertama yang bergelar

manusia iaitu Nabi Adam. Pada ketika itu, para malaikat akan memerangi golongan jin

kerana terlampau banyak melakukan kerosakan di atas muka bumi. Semasa serangan tersebut

dilaksanakan, Azazil telah ditawan oleh golongan malaikat dan dibawa ke langit.

Kemudiannya, Azazil turut mengikuti amalan para malaikat iaitu beribadat dan akhirnya

diangkat menjadi malaikat yang paling mulia dan hamba Allah yang paling tinggi ilmu dan

amal ibadatnya. Azazil berupa sangat cantik dan bersayap. Dia juga bergelar sebagai

penguasa bumi dan langit di lapisan yang pertama serta sebagai penjaga syurga.

Azazil adalah imam kepada seluruh malaikat. Ada riwayat yang mengatakan bahawa

Azazil telah beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang

tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Illahi. Ada satu riwayat menceritakan bahawa

malaikat Israfil telah melihat apa yang telah tersurat di Luh Mahfuz iaitu:

“ adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya disebabkan oleh

satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga

hari Kiamat.”

Maka menangislah malaikat Israfil kerana bimbang makhluk yang telah tersurat di Luh

Mahfuz adalah dirinya sendiri. Maka Israfil menceritakannya kepada seluruh malaikat

mengenai pengalamannya melihat apa yang tersurat di Luh Mahfuz tersebut. Maka

menangislah sekalian malaikat kerana takut dan bimbang akan diri mereka kerana

kemungkinan merekalah yang dinyatakan itu.


Kemudiannya, kesemua malaikat datang menemui Azazil yang merupakan ketua segala

malaikat agar Azazil akan mendoakan keselamatan semua malaikat di dunia dan akhirat.

Azazil mendoakan mereka dengan berkata:

“Ya Allah, janganlah engkau murka terhadap mereka (para malaikat)”

Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan dirinya sendiri agar sentiasa selamat dan

diteguhkan keimanan untuk terus beriman kepada Allah. Selepas mendoakan para malaikat di

dalam syurga tersebut, Azazil terus menuju ke syurga. Di hadapan pintu syurga Azazil

terlihat suatu suratan yang menyatakan:

“Ada satu hamba dalam kalangan hamba Allah yang muqarrabin telah diperintahkan untuk

membuat satu tugasan tetapi hamba tersebut telah mengingkari perintah Allah. Lalu dia

tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”

Selain daripada doanya yang makbul, Azazil juga dikenali sebagai Sayyidul Malaikat iaitu

penghulu segala malaikat dan Khazinul Jannah iaitu Bendahara Syurga. Selama 120 ribu

tahun Azazil menyandang semua gelaran yang terhormat sehingga tibalah pada satu masa

para malaikat melakukan mesyuarat besar atas undangan Allah. Allah telah bersabda bahawa

Dia akan mencipta seorang khalifah iaitu pemimpin di muka bumi:

“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah (pemimpin) di muka bumi

”(Surah Al Baqarah: 30)

Semua para malaikat hampir serentak menyatakan persoalan iaitu:

“Ya Allah, mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di muka bumi sedangkan mereka

hanya membuat kerosakan dan menumpahkan darah di bumi, padahal kami sentiasa bertasbih

dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau.”


Allah menjawab kerisauan para malaikat dengan meyakinkan mereka bahawa:

“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Lalu, Allah menciptakan Nabi Adam a.s dan memerintahkan kepada seluruh para malaikat

untuk sujud sebagai tanda hormat terhadap Nabi Adam, tetapi dia menolak kerana dia merasa

bahawa dirinya jauh lebih baik daripada Nabi Adam. Sementara itu, seluruh malaikat yang

lain terus sujud tanpa pimpinan Azazil. Bukan sahaja enggan sujud kepada Nabi Adam,

malah sombong dan menjawab kepada Allah: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami

berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan

iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?

Keengganannya untuk sujud ini adalah berpunca dari hasad dengki iblis kerana Adam lah

yang akan dilantik sebagai khalifah di muka bumi kerana ia dijadikan dari api sedangkan

manusia dijadikan daripada tanah. Ia mula menderhaka kepada Allah serta bersikap takabbur.

Allah kemudiannya bersabda: “Hai iblis, apakah yang menghalangmu daripada bersujud

kepada yang telah Kuciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu takabbur dan merasa

lebih tinggi daripadanya?” Mendengar pernyataan Allah, bukan kata-kata ampun yang keluar

daripada mulutnya sebaliknya ia menentang dengan berkata: “Ya Allah, aku memang lebih

baik dibandingkan dengan Adam. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan Adam Kau

ciptakan daripada tanah.” Kemudian Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga.

Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir.” Maka, Azazil telah dihalau keluar dari

syurga. Namanya telah ditukar daripada semulia-mulia makhluk yang bernama Azazil kepada

sehina-hina makhluk iaitu iblis. Apabila iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan

menyesatkan seluruh umat manusia serta keturunannya. Katanya: “Ya Allah, tangguhlah aku

sampai mereka ditangguhkan”.


Sesungguhnya Allah Maha Pemurah kerana permintaan iblis tersebut tetap ditunaikan oleh

Nya. Allah telah mengabulkan permintaan iblis iaitu masa hidup yang panjang selama

manusia masih hidup di muka bumi. Iblis lantas bersumpah akan menyesatkan Adam dan

seluruh cucunya kecuali hamba-hamba yang mukhlis. Maka Allah bersabda: “Yang benar

adalah sumpah-Ku dan hanya kebenaran itulah yang Kukatakan. Sesungguhnya Aku pasti

akan memenuhi neraka jahanam dengan golongan kamu dan orang-orang yang

mengikutimu”.

Pengajaran yang dapat diperoleh daripada rentetan peristiwa ini ialah permulaan yang baik

bagi setiap orang tidak semestinya berakhir juga dengan pengakhiran yang baik. Sama seperti

peristiwa yang menimpa Azazil iaitu seorang ketua malaikat yang sentiasa disanjungi kepada

iblis yang dihina dan dikeji. Sikap iri hati yang telah memakan diri menjadi satu-satunya

punca kepada sikap derhaka iblis kepada Allah. Iblis juga nekad untuk menyesatkan seluruh

umat manusia meskipun dia tahu bahawa neraka jahanam merupakan seburuk-buruk tempat

pengakhiran bagi setiap makhluk. Hal ini menunjukkan bahawa kerasnya hati iblis untuk

menerima bahawa manusialah yang berhak untuk bergelar pemimpin di dunia. Oleh itu,

sebagai seorang makhluk yang bernama manusia, kita mestilah sentiasa berdoa kepada Allah

supaya diteguhkan iman dan terpelihara daripada segala hasutan iblis agar kita tidak

tergolong dalam kalangan orang-orang yang sesat.

Anda mungkin juga menyukai