Anda di halaman 1dari 3

MAKAN SIHAT MINDA CERDAS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Perpaduan dan Salam Malaysia


Madani.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Pimpinan Majlis. Yang berbahagia, Dr, Nora’Azian binti
Hj. Nahar, seterusnya, penjaga masa yang begitu peka dengan edaran jam serta saudara saudari
yang dikasihi sekalian.

Pada petang yang mulia ini, saya akan menyampaikan pidato yang berbunyi “Makan Sihat
Minda Cerdas.”

Hadirin yang dihormati,

Menurut Dr. Joseph Tan (2022), makanan tidak mampu membuatkan kita bijak serta-merta
namun pengambilan makanan yang sihat mampu menjamin minda yang cerdas. Setiap
makanan yang dimakan sangat mempengaruhi tubuh dan minda serta memberikan kesan dalam
jangka waktu pendek mahupun jangka waktu yang panjang. Oleh itu, pemakanan yang sihat
sangat penting untuk badan yang cergas dan minda yang cerdas. Persoalannya, apakah inisiatif
terbaik yang dapat kita laksanakan untuk mewujudkan masyarakat yang sihat dan cerdas?

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Indikator saya yang pertama ialah makanan sihat makanan hebat. Sama seperti perut, minda
juga memerlukan makanan pada setiap hari. Pengambilan madu telah menjadi amalan sejak
zaman Rasulullah SAW. Al-Quran mengiktiraf madu sebagai Shifa yang bermaksud
penyembuh penyakit. Madu berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit sehingga digelar
sebagai Raja Ubat. Daya ingatan dan ketajaman mental seseorang boleh dipertingkatkan
dengan madu. Madu juga bermanfaat dalam merawat penyakit mental kerana madu dapat
menghentikan keletihan otak yang penat melakukan banyak kerja. Selain madu, susu juga
terkenal dengan kepentingannya membekalkan kalsium kepada tulang. Bukan itu sahaja, susu
juga bermanfaat untuk kesihatan otak, peningkatan daya ingatan, serta membekalkan tenaga
fizikal dan mental. Susu dapat membantu mencegah dan merawat masalah lupa serta membaiki
penglihatan. Maka, marilah kita bersama-sama ‘mengenyangkan’ minda kita dengan makanan
yang sihat supaya segala sifat negatif dapat dipulihkan.
Hadirin sekalian,

Indikator saya yang kedua ialah pemakanan melambangkan diri. Hess et al. (2016)
mentakrifkan makanan ringan sebagai makanan yang dimakan di luar waktu makan utama dan
merupakan makanan yang mengikut budi bicara seseorang. Makanan ringan yang
mengandungi kandungan Monosadium Glutamat (MSG) yang tinggi menyebabkan seseorang
ketagih untuk kerap memilih makanan yang tidak sihat. Menurut Papadakis et al. (2020)
makanan seperti ini mampu mengubah emosi seseorang menjadi lebih negatif seperti perasaan
marah, takut dan sedih yang kemudiannya boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan.
Tidak salah sekiranya mahu makan makanan ringan, namun kita perlulah pintar mengawal
kuantiti pengambilan makanan supaya kesan-kesan buruk yang dapat merosakkan minda dapat
dielakkan. Lebih baik sekiranya kita mengubah jenis makanan ringan kepada yang lebih
berkhasiat. Sebagai contoh, mencipta makanan ringan berunsurkan sayur-sayuran seperti
makanan ringan keluaran Hearty Beauty iaitu OVOCHI, kerepek sayuran kering pelbagai jenis.
Makanan ini menggunakan konsep vakum kering di mana membuatkan makanan tersebut tidak
berminyak, bebas kolestrol serta tidak mengandungi bahan pengawet dan pewarna. Makanan
ini terbukti dapat menggantikan ketagihan terhadap makanan ringan yang lain. Sesungguhnya,
“Anda adalah apa yang anda makan.”

Hadirin yang dirahmati,

Indikator saya yang ketiga ialah sokongan persuasif menggalakkan pemakanan yang sihat.
Oleh kerana hampir separuh dari masa harian dihabiskan di tempat kerja, mengawal kualiti dan
kuantiti makanan yang diambil di sana memberikan kesan yang ketara terhadap status
pemakanan. Persekitaran yang menyokong pemakanan secara sihat membantu mewujudkan
status kesihatan yang baik. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan untuk
mewujudkan kafeteria sihat di setiap tempat kerja. Kafeteria sihat merupakan kerjasama pintar
antara pihak KKM dan pengusaha makanan. Majikan perlulah memainkan tanggungjawab
dengan memberi pengiktirafan atau keizinan kepada pengusaha makanan terlebih dahulu.
Bersesuaian dengan namanya, kafeteria sihat hanya dibenarkan untuk menjual makanan yang
berkhasiat sahaja seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta makanan yang rendah lemak, gula
dan garam. Pengusaha makanan juga perlu mementingkan kebersihan dan kualiti makanan.
Tindakan ini bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan, malah
kesihatan minda masyarakat juga terjaga. Hal ini kerana makanan yang sihat dapat membina
minda yang cerdas
Hadirin yang dikasihi,

Kesimpulannya, makanan sihat sememangnya mencerdaskan minda. Seiring mengamalkan


pemakanan yang berkhasiat, kita juga digalakkan untuk menjalani gaya hidup yang sihat seperti
bersenam dan mendapatkan tidur yang cukup secara konsisten. Kesannya, kita dapat merasai
perbezaan hidup yang lebih baik. Hal ini sekaligus membuktikan amalan pemakanan yang sihat
ialah amalan yang dapat memberi maslahat kepada diri kita lebih-lebih lagi kepada minda.
Tiada istilah sudah terlambat untuk menjadi cerdas dan cergas kerana kitalah yang menentukan
sama ada mahu menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Cantik sungguh memakai sari,

Menyiram bunga di waktu pagi,

Selesai sudah tugas diberi,

Di lain masa bertemu lagi.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai