Anda di halaman 1dari 2

NAMA : Nadhirah Anis binti Ahmad Abid Abakia

SUBJEK: SPA1205 Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku


TAJUK : Cara-cara mengatasi tingkah laku masalah negatif (bergantung) dan (disruptif) yang
berlaku dalam kelas.

Dalam kehidupan seorang guru, pasti akan bertemu para pelajar yang bermacam ragam
dan perangai samada dari segi positif mahupun negatif. Jadi, para guru mestilah tahu cara
mengendalikan sesuatu keadaan atau situasi yang melibatkan tingkah laku atau emosi para
pelajar kerana itu adalah salah satu perkara penting yang ditekankan dalam mendidik para
pelajar.
Bagi tingkah laku bermasalah negatif (bergantung) iaitu tingkah laku yang menghalang
seperti mempunyai kebimbangan yang tinggi, pergantungan berlebihan, pengunduran diri serta
pengasingan diri, kelakuan mereka ini tidak membahayakan pelajar lain, namun membahayakan
diri sendiri kerana mereka merasakan diri mereka tidak sebagus pelajar lain, malu untuk
menunjukkan kebolehan mereka, tiada keyakinan diri, menjadi seorang yang manja dan tidak
pandai berdikari serta boleh menyebabkan diri mereka tidak bergaul dan menjauhkan diri
daripada pelajar lain.
Antara pendekatan yang boleh diambil oleh seorang guru bagi pelajar yang mempunyai
tingkah laku bermasalah negatif (bergantung) ini adalah dengan membimbing mereka
melakukan kerja atau aktiviti dalam bilik darjah bersama, tidak meninggalkan pelajar ini hanya
bersama pelajar lain atau berseorangan. Guru juga perlu memastikan kelas dalam keadaan yang
kondusif dan selesa untuk pelajar bergaul sesama sendiri. Di samping itu, guru mengadakan
aktiviti yang menarik dan bersesuaian dengan pelajar yang mempunyai tingkah laku bermasalah
negatif (bergantung) seperti melukis lakaran dalam membuat jalan kira bagi subjek Matematik,
berjalan sekitar sekolah dalam memperkenalkan perkataan baharu bagi subjek Bahasa Arab dan
sebagainya. Tidak lain hanya untuk meningkatkan keyakinan pelajar ini seterusnya membantu
mereka bergaul dengan pelajar lain.
Manakala bagi pelajar yang mempunyai tingkah laku bermasalah negatif (disruptif) iaitu
pelajar yang berkelakuan nakal, bising, hiperaktif dan agresif dari segi lisan mahupun fizikal,
guru perlu bersikap lebih proaktif supaya pelajar lain tidak terkesan dengan pelajar yang
mempunyai tingkah laku bermasalah (disruptif) ini. Dalam bilik darjah, guru boleh
menempatkan pelajar ini berdekatan dengan guru supaya keadaan kelas sedikit terkawal
berbanding jika ditempatkan pelajar ini berjauhan dari guru iaitu di bahagian belakang kelas.
Setidaknya, pelajar ini tidak dapat mengelakkan pandangan guru daripadanya dan mudah juga
bagi guru untuk memantaunya. Guru juga digalakkan melakukan aktiviti yang melibatkan pelajar
ini dan memberikan tugasan yang khusus buatnya dengan syarat tugasan tersebut tidak
membahayakan diri mereka mahupun pelajar lain. Guru juga boleh mewujudkan peraturan-
peraturan dalam bilik darjah seperti dibenarkan keluar dari kelas hanya dengan meminta izin
guru, tidak bising dalam kelas dan sebagainya serta mengenakan hukuman atau denda yang
sesuai jika peraturan tersebut tidak dipatuhi. Di samping itu, guru juga perlu terus menasihati
dan menegur pelajar ini untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak baik kepada diri sendiri
mahupun kepada pelajar lain. Guru boleh bercerita kisah-kisah terdahulu yang mempunyai
pengajaran dan kesan yang mendalam kepada pelajar ini supaya tidak berkelakuan yang negatif.
Perkara yang paling penting sebelum menangani tingkah laku pelajar bermasalah negatif
ini, guru perlu peka dan cakna dengan keadaan setiap pelajar yang mempunyai pelbagai latar
belakang serta kelakuan yang berbeza-beza. Setelah itu, barulah guru boleh merancang cara
menangani dan menguruskan pelajar yang mempunyai tingkah laku bermasalah negatif
mahupun positif. Dalam pada itu, guru juga boleh berbincang bersama ibu bapa dan guru lain
dengan meminta pendapat mereka dalam menangani masalah ini. Akhir kata, "Yang paling
hebat bagi seorang guru itu adalah mendidik, dan rekreasi yang paling indah itu pula adalah
mengajar." - Maimoen Zubair. Semoga kita berjaya menjadi seorang pendidik yang membina
generasi masa akan datang lebih baik daripada masa sekarang.

Anda mungkin juga menyukai