Anda di halaman 1dari 4

Punca-punca Pencemaran Alam Sekitar

Oleh: Hourus Sofiyya Syakirin


Dalam kerancakan manusia mengejar kemajuan alaf milenium
kini, nilai-nilai material semakin membekas dalam masyarakat
madani sehingga menyongsong kewarasan akal dan kemurnian
nilai-nilai integriti. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan
semata-mata seakan-akan mengikis sehingga tandusnya
pertimbangan manusia terhadap alam sekitar yang menjadi warisan
yang tidak ternilai harganya kepada anak watan penggerak masa
hadapan. Sedar tidak sedar, alam sekitar yang dahulunya merimbun
memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia
yang bersultan di mata beraja di hati. Kajian Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan sebanyak 3.3 juta
manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara.
Bilangan tersebut tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian
yang disebabkan oleh kemalangan kenderaan. Di Malaysia,
kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan
mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki
kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi
pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun
pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Atas faktor
apakah yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran ini?
Siapakah dalang yang terlibat dalam kemelut yang semakin pincang
ini? Kupasan teliti akan dihuraikan bagi menjawab
segala persoalan ini.
Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti
berpunca daripada tangan-tangan kotor individu yang tidak
bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi
kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan mereka sering
memandang enteng tentang isu alam sekitar yang kini
menjadi hidangan wajib dalam berita-berita yang dipaparkan
dalam media massa arus perdana. Bagi sesetengah individu,
mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-
rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal, jika
direnungkan andai ada seratus orang individu yang
bersikap sedemikian sudah semestinya alam sekitar akan menjadi
kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Sikap nafsi individu-
individu ini semakin memburukkan fenomena alam sekitar.
Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke
dalam sungai dan longkang telah menyebabkan berlakunya
pencemaran air sedangkan air merupakan medium utama dalam
melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu yang
membuang puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran
secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang serius lantas
menyebabkan pencemaran udara. Kempen berkongsi kereta
yang diwara-warakan pronya dalam aspek kesesakan jalan raya dan
kontranya dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat
sambutan hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air
ke daun keladi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara
oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal
secara berlebihan akibat kedegilan sikap individu yang menjadi
pengguna jalan raya telah menyebabkan indeks udara berada
pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa
ini.
Selain individu, organisasi seperti pemilik kilang juga turut
menjadi agen penyumbang kepada masalah pencemaran alam
sekitar. Terdapat kilang-kilang yang menjalankan operasi
pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam pengeluaran
mereka dan pada kebiasaannya kilang-kilang tersebut akan
mengambil jalan mudah dengan membuang sisa toksik tersebut
terus ke dalam laut dan sungai yang berdekatan dengan kawasan
tersebut. Kebiasaan yang melanggar lumrah alam ini sudah pasti akan
mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem hidupan akuatik pasti
terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-
pihak ini. Dalam pada itu, terdapat juga kilang-kilang yang
melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara
seterusnya menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Walaupun
sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik kilang
yang dihentak tak masuk, diumpil tak bergerak. Ada juga segelintir
pemilik premis-premis kilang tersebut yang mengelakkan diri
daripada memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah yang
dicipta oleh mereka tidak ubah seperti enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing sama sekali tidak dapat
menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing ini. Kemelut ini
jika dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang malang
kepada kondisi udara dan air lantas menyebarkan pelbagai wabak
penyakit yang akan menyerang kesihatan marhaen. Bagaimana
mungkin kemelut ini terus meruncing tanpa adanya prakarsa yang
pragmatik dan efisien daripada pihak-pihak yang terbabit
atau penantian ini hanya sekadar menantikan putih gagak hitam?
Tepuk dada tanya selera.
Pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh
pihak kerajaan atau pihak swasta tanpa memikirkan secara
terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang
melibatkan alam sekitar juga merupakan faktor berlakunya
pencemaran air, tanah, udara dan bunyi. Lebih teruk lagi, jika hal ini
dibiarkan berleluasa akan menyebabkan bencana alam seperti tanah
runtuh dan banjir. Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan
hujan akan menyebabkan hujan yang turun tidak dapat diserap ke
dalam tanah akibat tiadanya akar pokok yang berfungsi menyerap
lebihan air yang mengalir. Tindakan ini akan menyebabkanstruktur
tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan berlakunya tanah
runtuh. Tanah yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini
seterusnya menyebabkan pencemaran sungai dan mendapan lumpur
yang di bawa menyebabkan air sungai menjadi semakin cetek.
Penggunaan jentera yang terlalu banyak dalam proses pembangunan
sesuatu kawasan juga akan menghasilkan pencemaran bunyi
dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi
tersebut mengeluarkan asap yang berlebihan. Akibat daripada
projek-projek pembangunan yang menolak natijah alam maka
terciptalah kemusnahan alam akibat corak yang dilukiskan oleh
manusia yang tiada pertimbangan dalam setiap keputusan
yang diizharkan. Jika keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati,
sudah pasti kewarasan dalam pertimbangan ditolak ke tepi. Walau
bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya. Dalam mencari
penyelesaian kepada permasalahan ini, setiap pihak
perlu berhampar lapis, berlicin daun.
Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda, justeru
kurangnya bukti yang boleh mengheret individu yang terbabit dalam
pencemaran lantaran pemantauan yang tidak konsisten oleh pihak
berkuasa juga dilihat sebagai faktor penyumbang kepada pencemaran
yang kini berleluasa tanpa mampu dikekang. Peranan pihak berkuasa
dilihat semakin kurang menyebabkan ramai individu yang tidak
bertanggungjawab membuat onar seperti tiada takut akan antah.
Undang-undang yang diimplementasikan dilihat sekadar hiasan
perlembagaan tanpa adanya penguatkuasaan. Pihak-pihak berkuasa
khususnya pihak kerajaan seharusnya membuka mata dan lebih peka
terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua pihak dengan
mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap
projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara
tersebut dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup
masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu
mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil daripada
pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku sesetengah
organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang kesedaran
sivik. Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik
dengan membuat serbuan ke tempat-tempat yang disyaki menjadi
punca pencemaran dengan segera kerana jika kerajaan kurang
memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek kemaslahatan rakyat,
maka masalah pencemaran pasti berada di tahap yang semakin
membimbangkan. Perlukah sudah patah baru hendak melantai?
Natijahnya, jika setiap pihak mengambil langkah sederap ibarat
ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini
dapat diatasi. Kupasan demi kupasan berkaitan punca-punca
pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil serius oleh
semua pihak dan organisasi agar belenggu yang merantai
permasalahan pencemaran clam sekitar seperti pencemaran air, udara,
tanah dan bunyi ini dapat dirungkai dan diselesaikan hingga ke akar
cerucuknya. Hal ini penting untuk memastikan kelestarian dan
kehijauan flora dan fauna yang bebas daripada pencemaran dapat
dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi masa hadapan
yang akan mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan
berkembang.

Anda mungkin juga menyukai