Anda di halaman 1dari 6

RULES

DAM HAJI
Pemain
1. Pemain bagi dam haji ini terdiri daripada 2 orang yang mana masing masing mewakili bidak
hitam dan merah.

2. Pemilihan pihak lawan adalah berdasarkan giliran ketika pendaftaran.

Cara Permainan
1. Permainan akan dimulakan dengan menentukan giliran pemain. Bagi menentukan giliran,
pemain dikehendaki untuk one two som, yang menang akan diberi peluang untuk memulakan
permainan.

2. Setiap pemain boleh menggerakkan bidaknya ke hadapan secara diagonal ke petak kosong
yang bersebelahan, jika petak tersebut tidak dihalang oleh bidak lawan. Bidak-bidak hanya
boleh digerakkan ke hadapan.

3. Apabila bidak berada di sebelah bidak lawan dan terdapat petak kosong di belakang bidak
lawan, pemain boleh "makan" bidak lawan dengan melompati bidak tersebut. Bidak lawan
yang dimakan akan dikeluarkan dari papan.

4. Jika bidak biasa berjaya mencapai baris paling hujung papan lawan, bidak tersebut akan
"naik haji". Bidak haji dapat bergerak ke hadapan dan ke belakang serta boleh melompati bidak
lawan dalam mana-mana arah diagonal.

Permainan Tamat
1. Jika pemain tidak lagi mempunyai gerakan, pemain itu dianggap "mati hidup" dan akan
kalah dalam permainan tersebut.
CONGKAK
1. Papan congkak terdiri daripada 14 lubang kecil disebut sebagai rumah dan 2 lubang besar
iaitu kampung. setiap peserta akan mewakili 7 rumah dan 1 kampung.

2. Setiap pemain akan dibekalkan dengan 7 biji guli bagi setiap rumah yang menjadikannya 49
biji guli secara keseluruhan.

Cara Permainan
1. Pemain akan memulakan permainan secara serentak pada mana mana rumah yang diingini
dan memasukkan guli satu demi satu di dalam rumah seterusnya juga diikuti dengan kampung.

2. Sekiranya guli di tangan jatuh di rumah yang mempunyai biji guli, pemain boleh mengambil
guli-guli tersebut dan meneruskan permainan.

3. Bagi pemain yang guli terakhirnya jatuh di rumah yang kosong, pemain tidak lagi boleh
meneruskan permainan dan perlu menunggu pihak lawan untuk berhenti sebelum meneruskan
permainan.

4. Sekiranya guli terakhir jatuh di lubang kampung milik sendiri, pemain berhak untuk
meneruskan permainan dengan mengambil mana mana guli dari lubang rumah miliknya.

5. Jika biji terakhir pemain jatuh di rumah miliknya, dan rumah pihak lawan di hadapan
mempunyai guli, pemain boleh tikam guli dan masukkan ke dalam kampung milik pemain.

Permainan Tamat
1. Permainan berakhir apabila salah satu semua lubang rumah pada salah satu baris telah
kosong, kemudian baris di hadapannya boleh mengutip guli yang masih tersisa. Kemudian,
pemain akan menyusun semula gulinya dari kampung ke setiap rumah miliknya sambil
mengira guli tersebut. Sesiapa yang memiliki jumlah guli yang lebih banyak akan memenangi
permainan tersebut.
CEPER
1. Permainan ini terdiri daripada 2 pemain, dengan 5 penutup ceper.

Peraturan Menimbang Ceper


1. Cara menangkap ceper akan membezakan mata. Sekiranya pemain menangkap ceper dengan
kaut = 2 mata, manakala jika pemain menangkap ceper dengan tadah = 1 mata.

2. Sekiranya pemain tidak berasa yakin, pemain boleh menjatuhkan beberapa biji ceper
mengikut keselesaan.

3. Jika pemain gagal menangkap biji ceper yang berada di belakang telapak tangan, maka mata
yang diperolehi adalah 0.

4. Jika ceper jatuh sewaktu ingin menimbang, mata diperolehi adalah 0.

Cara Permainan
1. Pemain dikehendaki untuk menimbang ceper bagi menentukan giliran. Pemain dengan mata
yang lebih tinggi akan memulakan permainan.

2. Permainan bermula dengan pemain menyelerakkan ceper. Kemudian, pemain dikehendaki


untuk mengeluarkan satu daripada lima ceper.

3. Pihak lawan akan memberikan arahan untuk jentik ceper mengikut pelan pihak lawan. Cara
yang ideal untuk jentik adalah dengan menggunakan satu tangan untuk menghadang dan satu
tangan lagi untuk menjentik.

4. Sekiranya jentikan tersasar, giliran akan menjadi hak pihak lawan.

5. Jika terdapat satu atau lebih ceper terbalik, maka ceper selebihnya juga perlu diterbalikkan.

6. Jika permainan tersentuh sedikit atau "garip", ianya akan dikira sebagai batal dan hak giliran
akan berpindah kepada pihak lawan.

7. Permainan ini akan berselang seli dengan menimbang bagi mendapatkan mata dan menjentik
ceper.

Situasi dalam Ceper

SITUASI 1
Sekiranya ceper yang diselerakkan bertindih dua, pemain dikehendaki untuk memilih satu jari
pihak lawan dan pihak lawan akan mencucuk bagi menyelerakkan ceper menggunakn jari
tersebut.
SITUASI 2
Sekiranya ceper yang diselerakkan bertindih tiga iaitu "jamban", pihak lawan akan membentuk
jamban di tengah dan mengukur sejengkal dari jamban dan meletakkan ceper di situ. Lalu,
pemain dikehendaki untuk menjentik ceper mengikut yang ditetapkan pihak lawan.

SITUASI 3
Sekiranya ceper yang diselerakkan bertindih empat iaitu "bunga", pihak lawan dikehendaki
untuk menyusun ceper seperti bentuk bunga dan pemain akan memilih satu jari pihak lawan
yang akan digunakan untuk memecahkan bunga tersebut.

Permainan Tamat
1. Permainan diteruskan sehingga salah seorang capai mata yang ditetapkan.
BATU SEREMBAN
1. Permainan ini melibatkan 2 pemain dan 5 batu seremban.

Cara Menimbang Batu Seremban


1 biji batu seremban = 2 mata.

1. Sekiranya pemain berasa tidak yakin, pemain boleh jatuhkan batu seremban mengikut
keselesaan.

2. Jika batu seremban jatuh, maka markah yang diperolehi adalah 0.

3. Jika pemain gagal untuk menangkap batu seremban di belakang telapak tangan, maka
markah yang diperolehi adalah 0.

Cara Permainan
1. Permainan dimulakan dengan menimbang batu seremban bagi menentukan giliran. Pemain
dengan mata paling banyak akan memulakan permainan.

2. Permainan batu seremban akan dimulakan dengan buah 1 dan berterusan sehingga buah 5.
Setelah selesai buah 5, pemain dikehendaki untuk menimbang bagi memperoleh mata.
Kemudian meneruskan permainan dengan buah 1 semula.

3. Sekiranya pemain gagal untuk menangkap batu seremban, gilirannya akan berpindah kepada
pihak lawan.

4. Permainan akan diteruskan pada buah pemain berhenti sebelumnya.

Buah Permainan
Buah Satu
Pemain perlu melambung satu buah dan mengambil satu buah dalam masa yang sama
menggunakan sebelah tangan sahaja.

Buah Dua
Pemain perlu melambung satu buah dan mengambil dua buah dalam masa yang sama
menggunakan sebelah tangan sahaja.

Buah Tiga
Pemain perlu melambung satu buah dan mengambil satu buah kemudian ulang dengan
melambung satu buah dan mengambil tiga buah dengan menggunakan sebelah tangan sahaja

Buah Empat
Pemain perlu melambung satu buah dan mengambil empat buah dalam masa yang sama dengan
menggunakan sebelah tangan sahaja
Buah Lima
Pemain perlu melambung satu buah dan meletakkan empat buah di bawah kemudian lambung
semula satu buah dan ambil empat buah dengan menggunakan sebelah tangan sahaja

Permainan Tamat
1. Permainan diteruskan sehingga salah seorang capai mata yang ditetapkan.

Anda mungkin juga menyukai